Site icon MuslimahHTM News

Rakyat Akan Terus Ditindas Dengan Harga Minyak Selagi Tidak Ada Khilafah

[Kenyataan Media]
Rakyat Akan Terus Ditindas Dengan Harga Minyak Selagi Tidak Ada Khilafah

Susulan perang di Asia Barat dan gangguan di Selat Hormuz serta peningkatan harga minyak dunia, kerajaan Malaysia turut mengambil kesempatan menaikkan harga minyak dalam rangka berterusan menghisap darah rakyat. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung dinaikkan sebanyak 80 sen kepada RM5.52 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada harga RM2.15 seliter. Harga runcit petrol RON97 pula dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM5.15 seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April ini manakala harga petrol RON95 tanpa subsidi turut dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM3.87 seliter. Manakala harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95) pula kekal pada paras RM1.99 seliter.

Kami tidak berhasrat memberi komen mengenai alasan perang yang diberikan oleh kerajaan, kerana sebelum ini dalam keadaan tiada perang pun kerajaan tetap menaikkan harga minyak. Pelbagai alasan akan sentiasa diberi oleh kerajaan setiap kali ingin menghisap darah rakyat. Kami cuma ingin katakan bahawa apa yang menambahkan api kemarahan rakyat ialah kerana Malaysia sekarang ini dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang sewaktu menjadi pembangkang tidak pernah berhenti “melalak” dan memaki hamun kerajaan setiap kali harga minyak dinaikkan. Dia kemudian menabur janji yang jika dilantik menjadi Perdana Menteri harga minyak akan turun, di samping menghentam Perdana Menteri-Perdana Menteri pada waktu itu sebagai pemimpin tak guna, yang tidak pandai mengurus ekonomi negara.

Kami seterusnya ingin katakan bahawa Malaysia, sebagaimana kebanyakan negara umat Islam lainnya, sejak sekian lama telah diperintah dan diurus di bawah sistem ekonomi Kapitalisme, sebuah sistem yang berasal dari Barat, yang bertentangan dengan Islam, dan merupakan sebuah sistem yang berpaksikan manfaat tanpa mempedulikan halal dan haram. Di bawah Kapitalisme, negara ditadbir mengikut hawa nafsu pemerintah yang melahap kekayaan negara untuk masuk ke poket sendiri. Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet dan para Kapitalis di belakang dan hadapan mereka hidup dengan kekayaan yang melimpah ruah, manakala rakyat terus menderita kerana saban hari dihisap darah mereka. Inilah realiti ekonomi Kapitalisme, sebuah sistem yang senantiasa mengayakan elit pemerintahan dan memiskinkan rakyat marhaen.

Kami juga ingin katakan bahawa di dalam Islam, minyak, sebagaimana kesemua sumber alam lainnya, merupakan hak milik rakyat. Ia termasuk dalam kategori al-Milkiyah al-Ammah (pemilikan umum / public ownerhip) yang tidak boleh dimiliki oleh negara, tidak boleh diniagakan oleh negara kepada rakyatnya, tidak boleh diambil keuntungannya satu sen pun oleh negara, dan tidak boleh diberi konsesi kepada mana-mana individu atau syarikat, lebih-lebih lagi syarikat asing. Tugas negara terhadap al-Milkiyah al-Ammah hanyalah mengelola atau menguruskannya sahaja untuk kemaslahatan rakyat, lalu kemudian mengagihkan setiap sen keuntungannya kepada setiap individu rakyat.

Kami seterusnya ingin mengingatkan umat Islam bahawa, selagi penguasa yang ada berhukum dengan hukum ekonomi Kapitalisme, maka selagi itulah umat Islam akan terus ditindas dan dihisap darahnya oleh pemerintah, kerana demikianlah sifat sistem kufur ini, dan demikian jugalah sifat pemerintah yang berpegang teguh dengannya. Padahal Allah (swt) telah menganugerahkan minyak dan lain-lain kekayaan alam yang melimpah ruah di negeri-negeri kaum Muslimin di seluruh dunia, yang jika diurus berdasarkan hukum Islam, Insya Allah tidak ada seorang pun yang akan menderita. Tidak dapat dibayangkan jika kesemua negeri-negeri kaum Muslimin yang memiliki limpahan kekayaan alam ini disatukan di bawah satu pemerintahan (Khilafah) yang menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, Insya Allah umat Islam bukan sahaja akan menikmati hidup dengan penuh kesejahteraan, malah jauh lebih penting daripada itu ialah menikmati hidup di bawah redha Allah (swt).

Sesungguhnya pilihan ada di tangan umat Islam samada untuk terus hidup tertindas dan menderita di bawah keburukan sistem Kapitalisme warisan penjajah, atau bangkit melakukan perubahan bersama Hizbut Tahrir dengan mengembalikan semula sistem Khilafah warisan Rasulullah, yang akan mengelola dan memanfaatkan kesemua al-Milkiyah al-Ammah untuk kemaslahatan umat Islam. Lebih daripada itu, negara Khilafah yang bakal berdiri nanti – dengan izin Allah – akan menjadi negara yang memelihara umat, memayungi umat, menyayangi umat dan menuntun umat ini kepada kebaikan dan kemenangan dunia dan akhirat.

Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia


Sumber : Mykhilafah

Exit mobile version