Site icon MuslimahHTM News

Wahai Umat Islam, Kami Menyeru Anda untuk Melibatkan Diri dengan Tekun dan Produktif dalam Pekerjaan yang akan Membebaskan Anda daripada Pertanggungjawaban

Wahai Umat Islam, Kami Menyeru Anda untuk Melibatkan Diri dengan Tekun dan Produktif dalam Pekerjaan yang akan Membebaskan Anda daripada Pertanggungjawaban

 

Allah (swt) berfirman dalam kitab suci-Nya, dan Dia lah Yang Maha Benar dalam ungkapannya:

﴿وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ﴾
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” [Ali-Imran 3:104].

 

Dalam ayat yang mulia ini, Allah (swt) telah menjadikan suatu kewajipan kolektif ke atas umat Islam untuk mempunyai sebuah kelompok yang tugasnya, sebagaimana disebut dalam ayat yang sama, ialah menyeru kepada kebenaran, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar. Semua ini merupakan tindakan politik, kerana politik adalah pengurusan urusan, dan Islam mengatur sepenuhnya urusan manusia sejak saat penciptaan dalam rahim ibu sehingga ke kematiannya, bahkan menentukan bagaimana pembahagian harta pusaka selepas kematian. Oleh itu, dakwah Islam mestilah merupakan dakwah politik yang menegakkan dominasi Islam dalam masyarakat, menjadikannya sebagai kekuasaan yang mengatur kehidupan manusia, serta menyampaikan risalahnya ke seluruh dunia melalui dakwah dan juga perjuangan di jalannya.

 

Perintah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran, yang berkaitan dengan kelompok ini, ditentukan setelah menetapkan definisi jenis pekerjaan yang dituntut daripada kelompok tersebut menurut hukum syarak. Tujuan, kerja dan isi kandungan budaya kelompok ini adalah berkait rapat dengan realiti. Kita tidak membincangkan di sini tentang kelompok yang ditubuhkan untuk melaksanakan hukum-hukum syarak secara separa, seperti pertubuhan kebajikan yang membantu umat Islam miskin, persatuan dakwah dan bimbingan, atau institusi pendidikan al-Quran dan seumpamanya. Sebaliknya, perbincangan kita adalah mengenai satu kelompok yang berusaha menegakkan keseluruhan agama melalui penegakan Khilafah, yang seterusnya akan menegakkan Islam dalam kehidupan umat Islam.

 

Tanggungjawabnya atau tujuannya adalah untuk menegakkan semua kebaikan yang diperintahkan oleh syarak dan menghapuskan semua keburukan yang dilarang oleh syarak. Ia menjalankan peranannya dalam kehidupan dengan menerapkan Islam secara menyeluruh di peringkat internal (dalam negeri) serta menyampaikannya ke seluruh dunia.

 

Hukum mengenai suatu kelompok yang berusaha menegakkan sebuah negara Islam memperoleh kepentingannya daripada kepentingan matlamatnya, iaitu penubuhan negara tersebut. Setelah memahami matlamat yang ingin dicapai oleh kelompok tersebut, tidak boleh dikatakan bahawa syarak mengklarifikasikan hukum sesuatu perkara kemudian menyerahkannya kepada akal, keadaan, dan kepentingan, yang disangka sesuai sebagai pilihan jalan bagi  melaksanakan hukum tersebut. Dakwaan sedemikian bercanggah dengan hakikat syariat Islam itu sendiri. Sesungguhnya Allah (swt), dalam syariat-Nya yang suci dan adil, telah menyediakan penyelesaian kepada masalah manusia, dengan menyediakan sistem yang mampu menangani seluruh aspek kehidupan mereka.

 

Oleh kerana itu, tiada suatu perbuatan atau perkara pun melainkan Allah (swt) telah mewahyukan hukumnya, selaras dengan dua prinsip: 1) Asal bagi perbuatan adalah terikat dengan hukum syarak, dan 2) Asal bagi sesuatu perkara adalah harus selagi tiada dalil yang mengharamkannya. Manakala bagi setiap hukum syarak yang membahaskan sesuatu masalah, Islam juga menyediakan hukum praktikal lain yang berkaitan dengannya dan melengkapinya, menjelaskan bagaimana cara melaksanakan dan menerapkannya dalam realiti kehidupan, sehinggakan Islam tidak sekadar menajdi falsafah teori atau khutbah dan bimbingan semata-mata. Maka, jika hukum menegakkan negara Islam adalah suatu hukum syarak, maka kaedah (metode) untuk menegakkannya juga merupakan hukum syarak.

 

Oleh yang demikian, mana-mana kelompok yang ingin menempuh jalan untuk menegakkan pemerintahan berdasarkan hukum Allah (swt) mestilah mencari dalil-dalil syarak yang berkaitan dengan jalan tersebut, agar mereka berjalan dengan petunjuk dan cahaya Ilahi. Sesungguhnya Allah (swt), yang memerintahkan manusia untuk berpegang kepada  Islam dalam kehidupan mereka, juga memerintahkan mereka untuk berpegang kepada kaedah yang telah ditetapkan-Nya bagi mencapai matlamat tersebut, iaitu mengembalikan kehidupan Islam.

 

Allah (swt) berfirman:
﴿وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا﴾

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.” [Al-Hashr 59:7].

 

Perkataan “ma” di sini bersifat umum, merangkumi segala yang dibawa oleh Rasul melalui wahyu, sama ada dari segi idea mahupun kaedah. Allah (swt) berfirman:

﴿لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ﴾
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,” [Al-Ahzab 33:21].

 

Dan Dia berfirman, dengan memerintahkan Rasul-Nya:
﴿قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku,” [Yusuf 12:108].

 

Sebagai penjelasan lanjut,

«خَطَّ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ خَطّاً بِيَدِهِ ثُمَّ قَالَ: هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ مُسْتَقِيماً، ثُمَّ خَطَّ عَنْ يَمِينِهِ وَشِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ: هَذِهِ السُّبُلُ وَلَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلَّا عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ: ﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيماً فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ﴾»

Rasulullah (saw) telah melukis satu garis dengan tangannya lalu bersabda:
“Ini adalah jalan Allah yang lurus.” Kemudian Baginda melukis garis-garis di kanan dan kiri lalu bersabda: “Ini adalah jalan-jalan lain, dan tidak ada satu pun daripadanya melainkan ada syaitan yang menyeru kepadanya.” Kemudian Baginda membacakan:

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.” [Al-An’am 6:153].

 

Allah (swt) juga memberi peringatan kepada Rasul-Nya:
﴿وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ﴾

“…dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.” [Al-Ma’idah 5:49].

 

Dan Dia memberi amaran kepada kaum Muslimin daripada menyelisihi perintah Rasul:

﴿فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ﴾

“Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” [An-Nur 24:63].

 

Nas-nas ini dan yang lainnya mewajibkan kelompok tersebut untuk berpegang teguh kepada jalan yang ditempuh oleh Nabi Muhammad (saw) dalam menyampaikan risalah sehingga Baginda menegakkan negara. Mereka tidak boleh menyimpang daripadanya walau sedikit pun dengan dalih perbezaan keadaan, takut kepada penganiayaan, kepentingan umum, atau keperluan semasa (zaman). Oleh yang demikian, agar sesuatu jalan itu menjadi sah, maka jalan-jalan atau kaedah tersebut hendaklah menunjukkan kepatuhan kepada nas-nas syarak dan meneladani Rasulullah (saw). Kerana itu, Hizb dengan cermat meneliti nas-nas al-Quran dan Sunnah dalam membentuk kaedah (metode), pendekatan dan wasilah untuk mencapai matlamatnya yang sah, iaitu pelaksanaan hukum Allah melalui penegakan negara Islam.

 

Jika usaha menegakkan negara Islam adalah suatu kewajipan, maka mengikuti jalan Rasulullah (saw) juga mempunyai asas yang sama. Maka kita memahami bahawa amal jama’i dalam sebuah Hizb politik yang berusaha menghidupkan kembali kehidupan Islam adalah suatu kewajipan syarie yang menjadi dasar perubahan dan pembaikan keadaan semasa yang buruk pada hari ini. Amal ini penting untuk mengangkat umat daripada keadaan sukar pada hari ini, dan mengembalikannya kepada kejayaan dan keunggulannya. Hal ini setelah memahami nas-nas serta kepercayaan agama (syarak), gagasan, dan hukum yang terkandung di dalamnya, serta setelah meneliti sirah Rasulullah (saw) dalam menyampaikan risalah Islam dan usahanya mengubah masyarakat, serta membangun negara.

 

Di antara mekanisme terpenting yang mesti digunapakai oleh parti politik untuk mencapai visi perubahan yang sejati adalah:

 

Pertama: Menggunapakai budaya Islam yang dianggap sebagai persyaratan minimum untuk memahami Islam sebagai cara hidup, serta berusaha mengajarkannya secara intensif dan komprehensif dalam halaqah-halaqahnya, bagi mempersiapkan kempen dakwah (ajakan kepada Islam) serta para pendakwahnya, yang akan menegakkan Islam melaluinya. Sebagaimana Rasulullah (saw) mempersiapkan para sahabat Baginda di Mekah, yang memikul beban menyebarkan risalah di Mekah, berkongsi kesabaran dengannya dalam menghadapi penindasan, kemudian membangun negara bersama Baginda di Madinah, dan seterusnya memimpin umat serta membawa Islam ke seluruh penjuru dunia.

 

Mekanisme ini sangat fundamental dan tepat kerana internalisasi (penyerapan) dan kristalisasi (kejernihan pemahaman) terhadap idea secara jelas oleh anggota kelompok, bersama kejelasan terhadap kaedah (metodenya), membolehkan parti untuk berinteraksi dengan umat dan menanamkan prinsip tersebut dalam masyarakat. Selain itu, kesedaran penuh dan kehendak yang teguh daripada anggota parti membolehkan parti untuk terlibat dalam perjuangan intelektual dan aktivisme politik, dan untuk mengambil alih kepemimpinan umat, serta membimbingnya menuju matlamat yang diinginkan.

 

Hizb juga mesti menyampaikan tsaqafahnya kepada masyarakat melalui seminar, ceramah, penerbitan, buku, media sosial dan sebagainya, sehingga terbentuk pendapat umum (public opinion) yang sedar tentangnya, dengan berfokus pada serangkaian idea dan penilaian tertentu, seterusnya mengubah mereka menjadi kekuatan pendorong yang memacu masyarakat untuk menerapkannya (tsaqafah Islam) dalam arena kehidupan, sehinggakan orang ramai pun mempercayainya, memahaminya, menerimanya, dan memperjuangkan penerapannya.

 

Kedua: Hizb hendaklah memimpin masyarakat atas dasar prinsip untuk mengatur dan menerapkan Islam secara menyeluruh dan komprehensif. Oleh kerana itu, Hizb mesti terlibat dalam perjuangan pemikiran (intelektual) dan aktivisme politik. Perjuangan pemikiran melibatkan penentangan terhadap idea-idea yang ada dalam masyarakat, dan mengkritik kebiasaan, kepercayaan, dan konsep yang bercanggah dengan Islam. Hal ini dilakukan untuk membongkar idea-idea kufur dan menumbuhkan pendapat awam (public opinion) yang menentangnya. Disamping itu, ia juga untuk menyebarluaskan dan memfokuskan idea-idea Islam bagi menghasilkan dukungan awam terhadap idea-idea tersebut, yang berasal daripada kesedaran umum, yang dicapai dengan menghubungkan idea-idea ini dengan akidah Islam (doktrin), iaitu, dengan nas-nas syarak.

 

 

Manakala perjuangan politik pula bermaksud menentang sistem dan undang-undang tidak Islami yang mengatur kehidupan, serta memuhasabah mereka yang berada di posisi kepimpinan dan orang-orang yang memiliki autoriti. Tindakan politik ini turut mencakupi meminta pertanggungjawaban para pemimpin, membongkar makar (rancangan dan konspirasi) mereka terhadap umat dan perjuangannya, serta melawan kuasa penjajah, mengungkap skema mereka, dan menumbuhkan pendapat awam terhadap dasar-dasar, pengaruh dan projek mereka di negeri-negeri umat Islam.

 

Inilah mekanisme dakwah bagi sebuah parti politik yang berasaskan Islam: sebuah Hizb yang strukturnya di dasarkan atas tsaqafah Islam melalui pengadopsian sejumlah idea dan hukum Islam tertentu. Idea dan hukum ini merupakan pemikiran parti, dan thariqah parti yang mesti berasal daripada prinsip-prinsip tersebut. Selanjutnya, ikatan akidah yang menyatukan anggota parti mestilah berupa ikatan ideologi, yang diwujudkan dalam akidah dan tsaqafah Hizb.  Dimensi politik juga perlu menonjol dalam semua kegiatan parti, memastikan bahawa idea dan hukum tersebut ditafsirkan secara politik, dengan tujuan untuk menerapkannya dalam kehidupan nyata dan menjadikannya prinsip-prinsip panduan dalam hubungan antara manusia dan cara hidup mereka, yang berasal daripada akidah Islam mereka.

 

Oleh kerana itu, kami menyeru kepada kalian wahai kaum Muslimin, untuk terlibat dalam melaksanakan amal (pekerjaan) yang bersungguh-sungguh, produktif dan soleh ini, yang akan membebaskan kita daripada tanggungjawab serta mendapat keredhaan Rabb kita (swt); untuk bersama Hizbut Tahrir mengembalikan kehidupan Islam melalui penegakan Khilafah kedua di atas manhaj kenabian, sebagai pemenuhan terhadap janji Tuhan kita (swt), yang telah berfirman dalam Al-Quran:

﴿وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْناً يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئاً وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ﴾

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” [An-Nur 24:55].

 

Dan juga sebagai memenuhi khabar gembira Rasulullah (saw), dalam hadis riwayat Imam Ahmad, daripada Huzaifah ibn al-Yaman, bahawa Baginda bersabda:

 

تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا عَاضًّا فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا جَبْرِيَّةً فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ ثُمَّ سَكَتَ

“Akan ada pada kalian kenabian selama mana yang Allah kehendaki ia wujud, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia kehendaki mengangkatnya, kemudian akan ada khilafah mengikut manhaj kenabian, maka ia akan wujud selama mana yang Allah kehendaki ia wujud, kemudian Allah mengangkatnya apabila Allah kehendaki mengangkatnya, kemudian akan ada pemerintahan yang menggigit, maka ia akan wujud selama mana yang Allah kehendaki ia wujud, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia kehendaki mengangkatnya, kemudian akan ada pemerintahan yang memaksa, maka ia akan wujud selama mana yang Allah kehendaki ia wujud, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia kehendaki mengangkatnya, kemudian akan ada khilafah mengikut manhaj kenabian, kemudian baginda diam..”

Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Rana Mustafa

 

#TrueVision4Change #VisiSejatiDemiPerubahan #KhilafahSistemIslam

#MasyarakatMuslimIdeal #PerubahanHakikidenganIslam #IslamKaffah

#Dakwah #AmalJamaie #PolitikIslam

 

Exit mobile version