Berkata Sopan dan Lembut kepada Ibu Bapa
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Anakku, pernahkah kau membaca ayat ini?
۞ وَقَضٰى رَبُّكَ اَلَّا تَعْبُدُوْٓا اِلَّآ اِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ اِحْسٰنًاۗ اِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ اَحَدُهُمَآ اَوْ كِلٰهُمَا فَلَا تَقُلْ لَّهُمَآ اُفٍّ وَّلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيْمًا
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara mereka atau kedua-duanya sudah sampai usia tua dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada mereka perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah perkataan yang baik-baik kepada mereka.” (TMQ Al-Isra’ [17]: 23)
Dalam ayat tersebut, Allah SWT memperingatkan kita dua perkara; pertama, janganlah berkata uff (اُفٍّ) pada kedua ibu bapa. Apa itu uff? Menurut ulama, kata uff dalam bahasa Arab itu menunjukkan sesuatu yang kecil seperti potongan kuku, kotoran telinga, ranting, atau kerikil.
Uff daripada kata al-Afaf [الأَفف] yang ertinya sedikit, sehingga kata uff ertinya meremehkan, menganggap kecil. Ini pendapat al-Anbari.
Seorang alim bernama as-Sa’di dalam tafsirnya mengatakan, “Ini adalah bentuk menyakiti ibu bapa yang paling ringan, hal ini diingatkan dari bentuk menyakiti lainnya. Maknanya adalah jangan sakiti keduanya walaupun itu dianggap ringan.”
Kedua, dalam ayat tadi, Allah SWT melarang kita sebagai anak membentak kedua ibu bapa seperti meninggikan suara, mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya seperti celaan atau menyebut namanya, atau memandang marah pada mereka.
Sebaliknya, kita diperintahkan berkata dengan perkataan yang baik (qawlan kariman). Imam al-Qurthubiy mentafsirkan qawlan kariman dengan perkataan yang halus/lembut (qawlan lathifan). Ibnu al-Badah al-Tajibiy pernah bertanya kepada Imam Sa’id bin Musayyab rahimahullah; “Segala perkara yang ada di dalam Al-Quran berupa (perintah) berbakti pada kedua ibu bapa telah aku ketahui, kecuali ayat, ‘dan berkatalah kepada keduanya dengan perkataan yang mulia (qawlan kariman)’, apakah maksud perkataan yang mulia itu?” Imam S’aid bin Musayyab ra. menjawab, “Seperti perkataan seorang hamba/sahaya yang berbuat salah pada majikannya yang kasar/kejam.”
Bolehkah kamu bayangkan, seperti apa perkataan seorang hamba/sahaya yang telah berbuat salah terhadap majikannya, sedangkan dia tahu majikannya adalah seorang yang kejam. Sudah pasti dia (hamba) akan merendahkan suaranya, menjaga perkataannya agar dia tidak diberikan hukuman, serta memuliakan si majikan. Begitulah kira-kira semestinya seorang anak bertutur kata kepada kedua ibu bapanya.
Mengapa Allah sampai memerintahkan kita, sebagai anak agar berhati-hati saat berbicara dengan ibu bapa? Pertama, kerana perintah Allah SWT yang berhak menentukan siapa di antara manusia yang layak dimuliakan oleh manusia lain. Ketika Allah meletakkan seseorang dalam kemuliaan, itu adalah benar. Oleh sebab itu, untuk setiap anak, tidak ada sosok yang layak dimuliakan kecuali kedua ibu bapanya, terutama ibunya, kerana Allah telah memerintahkan manusia untuk memuliakan kedua ibu bapanya. Ibu bapa adalah sosok yang bersusah payah membesarkan setiap anak, melindungi dan mendoakan anak-anak mereka agar selamat dunia dan akhirat.
Kedua, Nabi SAW menyebutkan apabila keredhaan Allah untuk anak terletak bukan pada kawan, atau pada majikan, atau manusia lain, tapi ada pada kedua ibu bapa. Sabda Nabi SAW,
رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ, وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ
“Keredhaan Allah bergantung kepada redha ibu bapa dan murka Allah bergantung kepada murka ibu bapa.” (HR Tirmidzi)
Manusia yang ingin berjaya hendaklah membahagiakan kedua ibu bapanya, memuliakan mereka, bertutur kata yang lemah lembut dan santun, serta merawat mereka di saat mereka tua. Apabila kedua-duanya redha terhadap si anak, serta-merta redha Allah akan turun kepadanya dan membawanya kepada kebahagiaan dunia-akhirat.
Seringkali anak bertikam lidah dan membantah ibu bapa kerana merasa ibu bapa mereka mempunyai pemikiran dan sikap yang keliru. Sedarilah, ibu bapamu bukan sosok yang sempurna. Tiada ibu bapa yang selalu betul dalam tutur kata dan perbuatan. Setiap manusia pasti ada melakukan kesalahan, termasuk kedua ibu bapamu. Dari situ, memungkinkan berakunya “perdebatan” antara kamu dan kedua ibu bapamu.
Kamu juga bukan orang yang pasti dan selalu betul. Mungkin ibu bapa melihat solatmu tergesa-gesa, maka mereka mengingatkanmu. Boleh jadi kamu kurang mampu menjaga pergaulan dengan lawan jenis, maka ibu bapamu menegurmu atau kamu terlalu asyik dengan duniamu sendiri, duduk di dalam bilik, di ruang tamu, ketika berjalan bersama ibu bapa, kamu malah asyik dengan gajetmu, sementara ibu bapa memerlukan bantuanmu untuk menukar tong air, mengemop lantai, atau membeli barang runcit, wajarlah jika ibu bapamu memanggil dan menegurmu. Kamu tidak menerima teguran, maka berlakulah perdebatan.
Kamu dan ibu bapamu juga tidak mesti selalu sependapat, serasa, dan se-cita-cita. Kepalamu dan kepala kedua ibu bapamu jelas berbeza, isi kepala pun boleh berbeza. Sekali lagi ini juga memungkinkan berlaku perdebatan antara kamu dan kedua ibu bapamu.
Namun itu bukan tiket bagi seorang anak untuk mengeluarkan perkataan yang merendahkan ibu bapa, atau membentak mereka dengan kasar. Allah meminta setiap anak bersabar saat menghadapi ibu bapa, terutamanya saat usia mereka kian menua.
Bahkan, seandainya ibu bapa ada melakukan kesalahan sekalipun, seorang anak tetap dilarang meninggikan suara, memaki, dan membentak kedua ibu bapanya. Perhatikanlah ketika Nabi Ibrahim as. mendakwahi ayahnya yang musyrik, beliau tetap memanggil ayahnya dengan panggilan hormat ‘ya abati’. Ketahuilah sebutan ‘abati’ lebih sopan berbanding ‘abi’. Empat kali Nabi Ibrahim memanggil ayahnya dengan sebutan ‘abati’ dalam Surah Maryam ayat 42-47, di antaranya,
اِذْ قَالَ لِاَبِيْهِ يٰٓاَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لَا يَسْمَعُ وَلَا يُبْصِرُ وَلَا يُغْنِيْ عَنْكَ شَيْـًٔا
“(Ingatlah) ketika dia (Ibrahim) berkata kepada ayahnya, “Wahai ayahku! Mengapa engkau menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat, dan tidak dapat menolongmu sedikit pun?” (TMQ Maryam [19]: 42)
Bila Nabi Ibrahim yang merupakan utusan Allah dan Khalilullah (kekasih Allah) sahaja berkata lembut dan sopan kepada bapanya yang musyrik, maka adakah pembenaran untukmu, anak-anakku, meninggikan suara kepada ibu bapamu? Membentak dan marah kepada mereka? Apalagi jika kedua ibu bapamu mengajak kepada kebaikan?
Akhirnya, anak-anakku, ingatlah kelak kalian akan menjadi ibu bapa, dan insyaAllah akan dikurniakan oleh Allah rezeki berupa anak-anak. Pada masa itu, kalian akan sangat menginginkan mereka menjadi anak-anak yang soleh/solehah, taat dan hormat, juga sentiasa berkata sopan dan lembut kepada kedua ibu bapa mereka. Rupanya, salah satu cara agar anak-anak kalian kelak berbakti dan taat kepada kedua ibu bapa mereka adalah dengan kalian terlebih dahulu berbakti kepada kedua ibu bapa kalian.
Nabi SAW bersabda,
بُرُّوا آبَاءَكُمْ تَبُرَّكُمْ أَبْنَاؤُكُمْ
“Berbuat baiklah kepada ibu bapa kalian, maka anak-anak kalian akan berbuat baik kepada kalian.” (HR Thabrani)
Sumber: iwanjanuar.com
#kekeluargaan #anaksoleh #anaksolehah #KeluargaMuslimIdeal

