Iffah dalam Diri Anak Kita
Oleh: Ustaz Iwan Januar
“Dik, nanti kalau buka puasa di rumah nenek jangan minta apa-apa ya? Makan sahaja apa yang ada di rumah nenek,” pesan isteri saya kepada si bongsu yang baru darjah 3. Si bongsu mengangguk.
Petang itu si bongsu ingin berbuka puasa di rumah nenek bersama saudaranya. Kami membenarkannya tetapi dengan syarat dia tidak banyak permintaan. Makan apa sahaja yang dihidangkan nenek.
Anak-anak memang selalu ada permintaan setiap kali hendak berbuka. Selagi masih munasabah biasanya kami penuhi. Tetapi jika agendanya bukan di rumah sendiri, kami mengajar anak-anak untuk berbuka dengan apa sahaja yang dihidangkan tuan rumah.
Ada satu karakter yang ingin kami tanamkan pada anak, iaitu sifat iffah. Baginda Nabi SAW sering berdoa kepada Allah SWT dengan satu jenis doa, di mana salah satu isinya adalah permohonan sifat iffah. Sabda Nabi SAW:
« اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى »
“Ya Allah aku meminta padamu petunjuk, ketakwaan, iffah, dan kekayaan.” (HR. Muslim)
Secara bahasa iffah bermakna menahan diri. Adapun secara istilah, iffah bermakna menahan diri daripada perkara yang haram dengan segala jenisnya, dan mengendalikan diri daripada syahwat dan penyimpangan.
Salah satu bahagian daripada iffah adalah menahan diri daripada meminta-minta kepada orang lain dan merasa cukup sehingga tidak memerlukan bantuan daripada manusia. Cuba perhatikan, ramai ibu bapa yang runsing dengan sikap anak kerana banyak permintaan dan banyak makan makanan ringan (jajan). Sebahagian ibu bapa menganggap hal itu wajar, maka mereka tunaikan sahaja permintaan mereka.
Sayangnya keadaan ini berterusan seolah tiada pengakhiran. Hingga akhirnya ibu bapa runsing melayani permintaan anak. Bahkan setelah menjadi dewasa pun, mereka tak memiliki sifat iffah, tak pernah merasa cukup dan menginginkan apa yang ada pada orang lain.
Orang-orang soleh seperti para sahabat dan ulama salaf adalah generasi yang teguh dengan sifat iffah. Mereka tak pernah ingin kelihatan susah walaupun hakikatnya mereka memerlukan, dan mereka juga menjaga diri daripada harta yang haram.
Atha bin Rabi’ah rahimahullah, salah seorang tabi’in, suatu ketika mengunjungi Khalifah Hisyam bin Malik di Damaskus. Orang-orang mengerumuni majlis tersebut termasuk para pegawai Hisyam. Dalam pertemuan itu, Atha bin Rabi’ah memberikan nasihat panjang lebar yang membuat Hisyam menyembamkan kepalanya ke lantai sambil bercucuran air mata kerana takut pada Allah SWT.
Setelah memberikan nasihat, Atha bin Rabi’ah berlalu meninggalkan Hisyam bin Malik. Seorang pegawai bawahan Hisyam tergopoh-gopoh menghampiri Atha sambil membawa sebuah kantong berisi hadiah daripada Hisyam. “Amirul mukminin memberikan ini untuk anda,” katanya. Atha menolak pemberian itu sambil membacakan ayat al-Quran:
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ ۖ إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakan-ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah daripada Tuhan semesta alam.” (TMQ Asy-Syua’ara: 109)
Orang-orang menyaksikan bahawa Atha bin Rabi’ah meninggalkan majlis tanpa mahu menerima hadiah apapun bahkan tidak minum seteguk air pun!
Ibu bapa yang dirahmati Allah, banyak kebaikan daripada sifat iffah ini. Orang-orang yang memiliki sifat iffah akan mandiri hidupnya, tidak mahu bergantung kepada orang lain. Dia akan berusaha mencukupi keperluan dirinya sendiri dan merasa puas dengan apa yang dimilikinya.
Mereka yang menjaga sifat iffah juga tidak akan mahu mengemis atau meminta-minta kepada orang lain, sekalipun dia sebenarnya memerlukan. Banyak orang mengemis harta dan jawatan kepada orang lain, bahkan sehingga melakukan perbuatan haram agar tercapai keinginannya.
Bagaimanakah cara menanamkan sifat iffah ke dalam diri anak? Berikut adalah beberapa langkah:
- Ajarkan anak-anak untuk selalu bersyukur atas nikmat yang dimiliki.
- Beri kefahaman bahawa Allah akan menambah lagi rezeki dan nikmat kepada setiap orang yang bersyukur.
- Tanamkan pada mereka untuk merasa cukup dengan apa yang ada.
- Yakinkan mereka bahawa apa yang Allah beri hari ini, bermakna itulah pilihan terbaik daripada-Nya.
- Ajak mereka untuk melihat orang-orang yang keadaannya tidak seberuntung anak-anak, agar mereka bersyukur.
- Fahamkan bahawa rezeki yang haram tidak mendatangkan barakah dan kebaikan dunia-akhirat.
- Bacakan kisah-kisah kezuhudan Rasulullah SAW, para sahabat dan orang-orang soleh yang sabar dalam menguruskan harta kekayaan.
#DuniaParenting #Kekeluargaan #KeluargaMuslimIdeal

