[Nahdhah Fikriyyah | NF150]
Kesedaran Membangun Visi Cahaya Islam Dalam Sistem Kehidupan
Oleh: Dr Aslam Diyana binti Selamat
Saban hari, pelbagai masalah keruntuhan moral dan kerosakan budaya berlaku dalam masyarakat sehingga menjadikannya semakin sukar untuk ditangani. Tambahan pula, kehidupan dunia tanpa batasan melalui teknologi digital dan media sosial membolehkan penyusupan budaya kuffar dengan hanya satu sentuhan di hujung jari. Gaya hidup bebas, budaya couple, LGBT dan budaya hedonisme dinormalisasi secara terbuka tanpa berselindung. Bahana kesesatan hidup ini bukan sahaja menjatuhkan maruah diri dan meruntuhkan institusi keluarga, malah turut mengundang penularan penyakit dalam komuniti.
Puncanya, manusia sudah tidak lagi peduli untuk menjadikan wahyu Kitabullah sebagai landasan kehidupan, sebaliknya menentukan sendiri nilai baik dan buruk mengikut kehendak hawa nafsu. Malah, lebih dahsyat lagi apabila ada yang bersikap melampaui batas sehingga berani mencabar kuasa Tuhan. Jelaslah bahawa inilah yang disebut sebagai “zulumat” iaitu pelbagai bentuk kegelapan sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran, Surah Ibrahim ayat 1.
Refleksi Terhadap Fenomena Kerosakan Masyarakat
Persoalannya, apakah yang seharusnya menjadi perhatian kita tatkala menyaksikan fenomena kerosakan masyarakat yang semakin parah pada hari ini? Walhal wahyu al-Quran ini telah berkurun lama diturunkan sebagai panduan hidup manusia. Firman Allah SWT,
“(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (hukum-hukum yang terkandung di dalamnya), serta Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas agar kamu mengambil pelajaran.” [TMQ an-Nur (24):1]
Ayat ini menegaskan bahawa hukum-hukum yang terkandung dalam al-Quran wajib dilaksanakan tanpa syarat. Apabila ditelusuri, intipati surah an-Nur ini memberikan panduan yang menyeluruh dalam konteks kemasyarakatan (ijtimaie) – bermula daripada individu, hubungan antara lelaki dan wanita, institusi kekeluargaan sehinggalah lingkungan komuniti. Inilah hakikat cahaya petunjuk iman dan kebenaran yang terpancar daripada al-Quran apabila hak Allah SWT dikembalikan melalui implementasi hukum syariat dalam kehidupan manusia.
Ejen Pencetus Kesedaran Masyarakat
Seorang Muslim yang beriman mestilah mempercayai bahawa realiti kehidupan yang rosak pada masa kini pasti akan berubah. Perubahan ini telah dijanjikan oleh Allah SWT melalui firman-Nya,
“Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang mengerjakan kebajikan bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa; Dia sungguh akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah Dia redhai; dan Dia sungguh akan mengubah (keadaan) mereka setelah berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa…” [TMQ an-Nur (24): 55].
Oleh itu, umat Islam tidak boleh selama-lamanya bersikap pragmatis dan pasrah dengan pelaksanaan sistem kehidupan kapitalis dan individualistik yang telah lama mencorakkan kehidupan masyarakat Muslim selama ini. Sebaliknya, melalui pengukuhan pemikiran dan kefahaman Islam yang bersandarkan al-Quran dan as-Sunnah, kita mesti bertekad untuk menjadi ejen pencetus kesedaran dalam membentuk masyarakat Muslim yang mendambakan kehidupan Islam serta tidak bersikap ragu untuk berubah. Akan tetapi, bagaimanakah kesedaran ini dapat dicetuskan secara kolektif? Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil:
- Membangun Literasi Politik Islam
Umat Islam mesti mendidik masyarakat bahawa politik (siyasah syar’iyyah) adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang bertujuan untuk mengurus hal ehwal umat. Kefahaman ini merangkumi kewajipan untuk menerapkan segala isi kandungan al-Quran dan Sunnah secara menyeluruh.
- Penglibatan Aktif dalam Komuniti
Umat Islam juga perlu aktif membina komuniti yang peka terhadap isu-isu semasa sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa serta menawarkan penyelesaian berdasarkan prinsip Islam. Platform digital terutamanya media sosial mestilah dimanfaatkan sebagai medium untuk memupuk kesedaran politik, maklumat yang sahih serta nilai-nilai Islam dalam masyarakat.
- Peranan Institusi Kekeluargaan dan Agama
Di rumah, ibu bapa perlu menanamkan kesedaran tanggungjawab sosial dan politik kepada anak-anak sejak dari kecil. Institusi agama seperti masjid dan pusat pengajian turut berperanan membangun kesedaran politik Islam yang benar dan harmoni dalam suasana mendidik. Bukannya menjadikan institusi ini sebagai medan untuk saling menghasut yang membawa kepada perpecahan.
Justeru, usaha membangunkan kesedaran ini memerlukan jaringan kerjasama daripada pelbagai pihak. Proses pendidikan, nasihat dan pembinaan ketakwaan individu perlu dilakukan secara berterusan agar lahir kesedaran yang menyeluruh dalam masyarakat. Kesedaran yang meluas dalam kalangan masyarakat inilah seterusnya akan membangkitkan dorongan secara alami bagi perubahan politik yang berlandaskan syariat Islam secara nyata.
Khatimah
Kesimpulannya, perubahan sebenar bagi umat Islam adalah dengan mengembalikan semula konteks sebuah negara Muslim yang ideal dengan menempatkan posisi al-Quran sebagai sumber asas perundangan dalam implementasi sistem pemerintahan dan perundangan. Peranan negara ini sangat penting untuk membangunkan dasar yang akan menutup segala pintu yang mengundang kepada tingkah laku maksiat serta kerosakan dalam masyarakat. Usaha ini mesti dilakukan tanpa menghitung komitmen untung rugi dalam penghasilan negara serta menolak penerapan daripada sumber pemikiran manusia yang berdasarkan logik akal dan hawa nafsu. Sesungguhnya, inilah puncak keimanan yang perlu dilahirkan daripada sebuah masyarakat Muslim yang ideal dalam mengembalikan semula cahaya hidup Islam yang adil untuk seluruh umat manusia seperti mana yang dijanjikan Allah SWT buat kita semua.
Sumber rujukan :
- Tafsir Surah An Nur , Dr Muhammad Ali Hassan & Abdurrahman Fariz Abu Ulbah
- Pengembangan Masyarakat : Wacana & Praktik, Dr Zubaedi, Prenada Media Group , 2013
#TrueVision4Change #VisiSejatiDemiPerubahan #MasyarakatMuslimIdeal

