Site icon MuslimahHTM News

Hijrah Nabi SAW dari Fasa Dakwah ke Fasa Negara

Hijrah Nabi SAW dari Fasa Dakwah ke Fasa Negara

Hijrah Nabi SAW bukanlah sekadar peristiwa sejarah yang diperingati setiap tahun, atau sekadar perjalanan untuk melarikan diri daripada penganiayaan kaum Quraisy. Lebih daripada itu, hijrah merupakan deklarasi transisi yang menentukan: daripada tahap dakwah murni kepada tahap negara, daripada masa kerentanan dan kesabaran menghadapi bahaya menuju masa pembentukan autoriti serta penerapan Islam sebagai realiti hidup dalam masyarakat. Ini adalah momen penting transformasi dalam perjalanan risalah, momen kesedaran politik yang mendalam bahawa gagasan-gagasan besar tidak dapat dipercayai dengsn hati semata-mata; gagasan tersebut mestilah dipayungi oleh negara yang melindungi dan menyebarluaskannya.

Di Mekah, perjuangan itu berlangsung selama tiga belas tahun. Perjuangan itu bukanlah tindakan spontan atau melulu. Ia melibatkan pembentukan kelompok yang jitu dan setia, menanamkan akidah (keimanan), membentuk keperibadian dalam sekolah wahyu, terlibat dalam konfrontasi pemikiran dengan masyarakat Jahiliyah (pra-Islam), dan menolak semua penyelesaian secara “tampal sulam”.

Nabi Muhammad SAW ditawarkan kekayaan, kekuasaan, dan kehormatan, namun baginda menolaknya. Baginda SAW ditawarkan pilihan untuk menyembah tuhan mereka selama setahun dan mereka menyembah Tuhannya selama setahun, namun jawapannya ialah:
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
“Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”

Tujuannya bukan sekadar untuk memperbaiki keadaan hidup dalam sistem pra-Islam, tetapi untuk mengubahnya secara fundamental.

Namun perubahan itu bukanlah lompatan ke arah ketidakpastian. Apabila ancaman semakin sengit, gerakan tersebut tidak terjerumus ke dalam reaksi emosional, tidak juga terlibat dalam konfrontasi bersenjata yang tidak difikirkan secara matang. Sebaliknya, gerakan itu mula mencari sokongan; sebuah kekuatan untuk melindungi dakwah Islam dan memungkinkannya untuk bertransformasi menjadi entiti politik. Islam diperkenalkan kepada suku-suku semasa musim haji, dan dialog panjang berlangsung dengan para pemimpin mereka. Persoalannya jelas: Siapa yang akan menyampaikan dakwah ini dan memberikannya perlindungan yang diperlukan untuk mendirikan sebuah negara?

Baiat Aqabah Pertama dan Kedua bukanlah sekadar baiat spiritual, melainkan fakta politik yang lengkap. Dalam Baiat Aqabah Kedua, kaum Ansar bersumpah untuk melindungi Nabi Muhammad SAW sebagaimana mereka melindungi isteri dan anak-anak mereka sendiri. Ini adalah baiat perlindungan ketenteraan, deklarasi kesediaan untuk mendirikan negara merdeka di Madinah. Di sinilah, garis besar negara mula terbentuk bahkan sebelum Nabi SAW menjejakkan kaki di bumi Yathrib (Madinah).

Hijrah itu sendiri dirancang dengan sangat teliti: waktunya, penyamarannya, bermalam di gua, serta pembahagian peranan antara Ali RA, Asma binti Abu Bakar, Abdullah bin Abu Bakar, dan Abdullah bin Urayqit, sang penunjuk jalan. Meskipun hukum sebab-akibat (sunnatullah) telah dilaksanakan sepenuhnya, namun rasa tawakal kepada Allah tetap teguh. Apabila Abu Bakar RA berkata, “Jika salah seorang daripada mereka melihat ke bawah ke arah kakinya, dia akan melihat kita.” Jawapannya ialah:

مَا ظَنُّكَ بِاثْنَيْنِ اللهُ ثَالِثُهُمَا
“Apakah sangkaanmu tentang dua orang yang mana pihak ketiganya ialah Allah?” [HR. Bukhari].

Sungguh ini merupakan contoh keseimbangan antara persiapan dan keyakinan kepada Allah SWT; inilah inti daripada metodologi tersebut.

Di Madinah, Nabi Muhammad SAW tidak hanya mendirikan komuniti untuk menyebarkan agama, tetapi juga mendirikan sebuah negara: baginda menjalin persaudaraan antara kaum Muhajirin dan kaum Ansar untuk merapatkan perbezaan di antara mereka, menyusun Piagam Madinah untuk mengatur hubungan antara pelbagai lapisan masyarakat, mendirikan pasar untuk memecahkan dominasi ekonomi kaum Yahudi, mempersenjatai tentera, dan menghantar surat kepada raja-raja. Hanya dalam beberapa tahun, Islam berubah daripada kelompok yang rentan menjadi entiti politik yang menegaskan kehadirannya di seluruh Semenanjung Arab.

Transformasi ini membangkitkan persoalan mendesak bagi realiti kontemporari kita: Adakah memadai jika dakwah itu kekal dalam batas-batas nasihat dan peringatan, atau adakah Islam pada hakikatnya merupakan cara hidup yang lengkap dan projek nyata yang tidak akan sempurna kecuali dengan negara yang melaksanakannya? Pengalaman kenabian dengan jelas menyatakan bahawa Islam bukanlah idea spiritual yang terasing daripada politik, bukan juga ritual individu yang diserahkan kepada hati nurani peribadi. Islam adalah sistem komprehensif yang mengatur pemerintahan, ekonomi, masyarakat, dan hubungan antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa sistem Islam ini tidak dapat diimplementasikan sepenuhnya di bawah sistem yang mengambil undang-undangnya daripada sumber selain Islam.

Dalam realiti umat hari ini, kita melihat Islam dikurangkan menjadi sekadar ritual, manakala pemerintahan dan urusan ekonomi dikendalikan mengikut hukum materialistik Barat. Kekayaan diuruskan mengikut logik keuntungan kapitalis, dan polisi dirumuskan mengikut imbangan antarabangsa yang tidak mengakui hukum berdasarkan wahyu Ilahi. Hasilnya: krisis yang berulang, ketergantungan politik, agihan kekayaan yang tidak merata, dan disintegrasi sosial. Ini bukanlah takdir yang tidak dapat dielakkan, melainkan kesan daripada ketiadaan entiti politik yang mewujudkan Islam sebagai sistem pemerintahan yang diperlukan dan dapat diterapkan.

Hijrah mengajar kita bahawa perubahan sejati tidak bermula dengan reaksi spontan, melainkan dengan membina gerakan yang memiliki kesedaran berdasarkan gagasan yang jelas dan menyeluruh, sehingga gagasan itu sebati di dalamnya, kemudian secara sedar berusaha untuk memperoleh kekuatan bagi melindungi gagasan tersebut. Tiada unsur kebetulan, tiada ketergesaan, dan tiada peleburan ke dalam realiti yang ada. Di Mekah, Nabi Muhammad SAW tidak berkompromi dalam prinsip-prinsip teras untuk mendapatkan sebahagian kekuasaan, dan di Madinah, baginda tidak menangguhkan penerapan hukum-hukum tersebut dengan dalih gradualisme politik.

Sebahagian orang mungkin berfikir bahawa mendirikan negara berdasarkan Islam adalah prospek yang terlalu mustahil di dunia yang dikuasai oleh kuasa-kuasa besar dan sistem antarabangsa yang kompleks. Namun, hijrah itu sendiri, dalam imbangan kekuatan pada waktu itu, merupakan langkah yang dianggap mustahil dan sangat berani. Suku Quraisy adalah kekuatan dominan di Semenanjung Arab, namun mereka tidak dapat menghalang perubahan yang berlaku. Apa yang membezakannya bukanlah keunggulan material, melainkan kejelasan projek, kekuatan kelompok yang mempercayainya, dan usaha serius untuk memperoleh sarana kekuasaan sambil tetap teguh pada gagasan.

Ramadhan, bulan hijrah dan kemenangan besar, mengingatkan umat Islam bahawa transformasi sejarah tidak dicapai hanya melalui keinginan semata-mata, melainkan melalui visi yang jelas dan tindakan yang terancang. Jalan menuju pembentukan negara memang panjang, tetapi bukan mustahil. Jalan itu bermula dengan memahami Islam sebagai cara hidup yang komprehensif, berlanjutan dengan membina kesedaran politik di atas asas ini, dan memuncak pada berdirinya sebuah entiti yang menggalas serta melindunginya.

Hijrah bukanlah kenangan yang diceritakan kembali, melainkan kaedah perubahan yang harus diikuti. Persoalan yang kekal terbuka bagi setiap Muslim ialah: Adakah kita berpuas hati dengan rasa kekitaan yang bersifat emosi dan sentimental, atau adakah kita berjuang bersungguh-sungguh untuk mengembalikan peranan peradaban yang bermula dengan langkah sedar dari Mekah ke Madinah, yang terbukti telah mengubah arah sejarah?

Pejabat Media Hizbut TahrirWilayah Mesir
Sumber: hizb-ut-tahrir.info, 28/2/2026.

#hijrah #dakwah #fasadakwah #negaraislam

Exit mobile version