Site icon MuslimahHTM News

[Kewangan Global] Perspektif Islam (Bahagian 2/6)

[Kewangan Global] Perspektif Islam (Bahagian 2/6)

 

(Sambungan dari bahagian 1/6)

 

Kita juga menyaksikan kegagalan total dalam sasaran pembasmian kemiskinan, khususnya di sub-Sahara Afrika. Krisis kewangan telah mewujudkan jurang yang semakin ketara, antara perhatian terhadap perniagaan-perniagaan  besar melawan perhatian terhadap kemanusiaan. Hal ini terjadi tatkala ukuran anti-kemiskinan paling jujur sepanjang tempoh 15 tahun tidak dapat terpenuhi. Puluhan dan ratusan bilion dolar, yang nilainya berkali ganda KDNK, telah diagihkan dalam satu minggu untuk menyelamatkan bank.

 

Hukum Islam menetapkan bahawa  kemuliaan hidup berada dalam senarai teratas. Syarat ketat untuk memenuhi komitmen kontrak mestilah dipenuhi, baik oleh individu mahupun negara. Hal ini juga ditetapkan berdasarkan perintah Al-Qur’an, “Hai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad itu.” (TMQ Al-Maidah: 1).

 

Penciptaan Kredit atau Kesengsaraan?

 

“Neither a borrower nor a lender be, for loan oft loses both itself and friend.”

Baik peminjam mahupun yang meminjam, seringkali kehilangan, baik pinjamannya mahupun temannya. (Hamlet, William Shakespeare).

 

Larangan tegas terhadap riba dalam Islam sangat diketahui umum. Akan tetapi, yang kurang dikenali adalah fakta bahawa  pinjam-meminjam sebaliknya merupakan sesuatu yang dianjurkan dalam masyarakat Islam. Rasulullah SAW  bersabda, “Tidak ada seorang muslim pun yang akan memberi pinjaman dua kali kepada seorang muslim lainnya, kecuali salah satunya dicatat sebagai sedekah.”

 

Ajaran ini jelas menunjukkan bahawa  meminjamkan sesuatu kepada orang yang sama dua kali, memiliki nilai amal yang setara dengan sedekah.

 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa  Rasulullah SAW  juga bersabda, “”Dahulu ada seorang lelaki yang biasa memberikan pinjaman hutang kepada orang lain. Dia selalu berpesan kepada pembantunya, ‘Jika engkau mendapati orang yang kesulitan, maka maafkanlah dia, semoga Allah memaafkan kita (di akhirat).’ Kemudian dia menemui Allah (meninggal), dan Allah pun memaafkannya.”  [Muttafaq ‘alaih]

 

Memberi pinjaman dan kemurahan hati dalam penagihannya sangat ditekankan di dalam Islam. Sebaliknya, hutang yang tidak dibayar juga mendapat kecaman keras. Rasulullah SAW  telah memberi contoh ketika baginda menolak untuk menyembahyangkan jenazah orang yang masih terlilit hutang. Perkara paling penting untuk dicatat ialah bahawa  pemberian pinjaman dan peminjaman dalam Islam tidak disertai dengan pampasan (faedah) sehingga membolehkan aset yang dipinjamkan tetap ada dan selaras dengan aset sebenar yang ada di tengah masyarakat.

 

Segala macam bentuk pinjam-meminjam yang melibatkan faedah (bunga/riba) di dalamnya sangat dilarang keras dalam ajaran Islam, sehingga baik bank mahupun individu tidak boleh menuai keuntungan dengan jalan pinjam-meminjam. Di dalam masyarakat semacam ini, mungkin timbul pertanyaan tentang asal usul insentif untuk pelaburan dan bentuk pelaburan yang dibenarkan dalam skop ajaran Islam.

 

Tanpa adanya faedah (bunga/riba) ke atas pinjaman dan tanpa penciptaan kredit melalui operasi pasaran terbuka atau pengewangan sekuriti dan derivatifnya, ketidakamanan dalam masyarakat sedemikian jelas tidak wujud.

 

The Asymetric Threats Contingency Alliance (ATCA) pernah menganggarkan bahawa  sepanjang 12 tahun terakhir dari tempoh ‘ledakan’ terbaru, US$100 trilion penjaminan hutang telah tercipta (sebahagian daripada tompokan 1.1 kuadrilion dolar yang juga mereka anggarkan telah tercipta dalam tempoh masa yang sama).

 

Istilah “penciptaan” dalam hal ini digunakan kerana berbagai “aset” tersebut telah mengerdilkan peranan aset sebenar yang benar-benar ada di atas muka bumi ini (jumlah seluruh barangan dan perkhidmatan dianggarkan setara nilai US$60 trilion, dengan peredaran dolar AS (M2) sekitar US$16 trilion). Dalam sistem ekonomi kapitalisme, bank boleh dan berhak menciptakan wang dan segala produk derivatifnya, daripada sesuatu yang tidak ada dan melipatgandakannya daripada nilai ekonomi yang sebenar.

 

Apabila suatu bank memiliki cadangan yang disyaratkan senilai 5%, mereka dapat menciptakan pinjaman bernilai 20 kali ganda nilai asetnya atas deposit mereka. Ini terjadi sebelum jaringan kompleks produk derivaif leveraj yang kompleks turut dipertimbangkan (SEC di AS pada 2003 memberikan lampu hijau kepada 5 bank pelaburan terbesar untuk memanfaatkan aset mereka hingga 30 kali ganda). Sebelumnya, bank-bank tersebut dipandang mampu mengembangkan baki aset mereka yang sangat jauh daripada realiti dan tersembunyi daripada pandangan umum.

 

Oleh itu, tidak hairanlah jika kemudian bank-bank tersebut memaksimumkan keuntungan sepenuhnya dengan menggunakan “lampu hijau” (izin) itu demi menghasilkan sesuatu daripada produk yang sebenarnya tidak wujud. Hal ini boleh memberikan pulangan yang tinggi dalam persekitaran yang berisiko rendah pada umumnya. Bank-bank juga dapat menuai keuntungan daripada faedah pinjaman dan menjamin pengembalian melalui pengambilalihan aset ketika siklus perniagaan menurun.

 

Dalam siklus menurun, sudah tentu terdapat penurunan nilai aset kerana kedudukan pinjaman perlu dibiarkan tidak terganggu. Apabila kedudukan pinjaman tertunggak menurun dan dicirikan oleh kegagalan bank atau institusi kewangan lain, ini mengakibatkan krisis kredit. Semua wang tunai digunakan untuk membayar pinjaman dan menampung baki sakit atau menampung kerugian.

 

Memandangkan skala penciptaan kredit yang belum pernah terjadi sebelumnya sejak sedekad yang lalu, keperluan untuk pinjaman yang dikeluarkan akan menjadi lebih mengganggu dan berlaku secara besar-besaran. Ia tidak berbeza dengan kegagalan beribu-ribu skim piramid atau gelembung yang telah berlaku selama berabad-abad, cuma kali ini ia menimbulkan ancaman 10–20 kali ganda lebih besar kepada seluruh ekonomi global.

 

Krisis kredit yang sangat dahsyat ini kini membuat panik kerajaan di seluruh dunia panik. Situasi ini memaksa mereka mencari jalan untuk mengatasi masalah namun tanpa usaha untuk memahami kekacauan yang berlaku, akibat pelbagai amalan korup yang telah terjadi sejak beberapa waktu.

 

Islam memandang penarikan faedah dan penempatan semula aset oleh pemberi pinjaman sebagai haram dan melarangnya dengan tegas. Mencipta wang baharu daripada sesuatu yang tidak wujud, kemudian meminjamkannya pada kadar faedah tertentu juga jelas merupakan amalan korup dan mengundang bencana sebagaimana yang sedang kita saksikan sekarang.

 

Larangan terhadap amalan seperti ini terpakai tanpa pandang bulu, sama ada dalam skala kecil atau besar. Malah mereka yang memegang modal berhadapan dengan pilihan untuk melabur tanpa orientasi faedah dan berdasarkan prinsip perkongsian keuntungan dan risiko kerugian. Ini selaras dengan pengagihan modal yang diperuntukkan oleh pelabur.

 

*Bersambung ke “Perspektif Islam” Bahagian 3/6.

 

Sumber: Jamal Harwood, Membedah Krisis Kewangan Global.

 

#KrisisKewanganGlobal #SistemKewangan #Kapitalisme

Exit mobile version