Site icon MuslimahHTM News

Perang Iran Menghilangkan Pengaruh Amerika

Perang Iran Menghilangkan Pengaruh Amerika

 

Perang pencerobohan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat bersama entiti Yahudi terhadap Iran bukan sekadar operasi ketenteraan di rantau Teluk, melainkan boleh dianggap sebagai sebuah ujian kompleks terhadap had kuasa Amerika dan kapasiti sistem antarabangsa untuk menghadapi konflik serantau baru di tengah-tengah fasa peralihan perubahan pesat dalam keseimbangan kuasa global.

 

Walaupun kuasa ketenteraan adalah penting, ia tidak mencukupi untuk mencapai tujuan strategik yang lebih luas. Perang di rantau sensitif seperti Teluk Arab berkait rapat dengan ekonomi global, pasaran tenaga antarabangsa dan perdagangan dunia. Ini lebih penting memandangkan konflik itu berdekatan dengan salah satu laluan laut paling penting di dunia, iaitu Selat Hormuz, menjadi laluan bagi sekitar 20% bekalan minyak dan gas global.

 

Amerika pada awalnya menjangkakan perang dengan Iran kemungkinan besar hanya akan menjadi konfrontasi ketenteraan yang singkat. Namun, AS tidak menyedari bahawa konflik itu akan menjadi ujian penting terhadap had kuasanya dan keupayaannya untuk mengarahkan sistem antarabangsa melalui perang ini.

 

Sejak hari pertama, Presiden Trump mempromosikan naratif bahawa kemenangan cepat ke atas Iran boleh dicapai. Akan tetapi, rangkaian fakta yang muncul di medan perang dengan segera menunjukkan kesilapan dakwaan ini. Trump akhirnya terpaksa mendapatkan bantuan daripada sekutu Eropah dan Atlantiknya, termasuk China, Australia, dan Jepun, untuk mengamankan laluan pelayaran di Selat Hormuz. Dalam erti kata lain, dia meminta mereka untuk membantu menghadapi Iran—satu langkah yang secara praktikalnya bercanggah dengan idea kemenangan cepat yang digembar-gemburkannya sebelum ini.

 

Penutupan Selat Hormuz oleh Iran dengan relatif mudah, serta terganggunya arus pelayaran di dalamnya, telah menempatkan ekonomi global pada sebuah krisis tenaga yang sebenar, mencerminkan kebimbangan dunia terhadap kesinambungan perang. Peristiwa ini menegaskan bahawa setiap konfrontasi ketenteraan di kawasan Teluk tidak pernah berhenti sebagai isu serantau semata, tetapi dengan segera meluas menjadi persoalan ekonomi global.

 

Perang yang sedang berlangsung di Teluk kini memberi kesan pada seluruh dunia. Iran, melalui perang ini, berusaha menegakkan peraturan baru dalam mekanisme pencegahannya (daya gentar) demi menjaga kelangsungan sistem pemerintahannya daripada ancaman kejatuhan. Iran menolak tunduk dan menolak diturunkan statusnya daripada sebuah negara satelit yang mengorbit sesuai kepentingan tertentu menjadi negara yang tunduk pada kekuatan negara kuasa besar.

 

Dalam proses tersebut, Iran menanggung pukulan keras daripada Amerika dan entiti Yahudi, namun tetap menunjukkan ketahanan dengan mengorbankan banyak hal serta bersabar atas penderitaan rakyatnya. Semua itu dilakukan dengan harapan dapat mempertahankan posisinya dan melanjutkan model pemerintahan yang telah dijalankan selama lebih dari empat dekad.

 

Keraguan Eropah untuk bergabung sepenuhnya bersama Amerika dalam gabungan maritim yang diusulkan Trump untuk melindungi laluan pelayaran di Teluk mencerminkan betapa dalamnya keretakan yang semakin melebar antara kedua pihak, dan bagaimana hal itu telah ‘mencederakan’ pakatan tradisional mereka yang bersejarah. Canselor Jerman, Friedrich Merz, bahkan menegaskan kedudukan Eropah terhadap perang ini: “Perang di Timur Tengah bukanlah urusan NATO, oleh kerana itu Jerman tidak akan terlibat secara ketenteraan.” Bahkan sebahagian orang Eropah yang menyokong matlamat pentadbiran Trump untuk membendung Iran kini bercakap secara terbuka tentang ketiadaan rancangan yang jelas untuk menamatkan perang dengan cepat dan meyakinkan.

 

Sementara itu, Rusia dan China sedang memerhatikan perkembangan ketenteraan dengan berhati-hati. Kedua-duanya mahu Amerika Syarikat tenggelam lebih dalam ke dalam “lumpur Teluk,” sehingga terkuras oleh konflik berlarutan yang tidak menghasilkan keuntungan strategik. Dengan cara ini, mereka berusaha untuk melemahkan Amerika melalui perang yang panjang dan meletihkan, sambil pada masa yang sama mewujudkan ruang untuk diri mereka sendiri menjadi lebih menonjol dalam bidang ekonomi dan politik rantau ini.

 

Perang yang berterusan telah menyebabkan pengumpulan kapal tangki minyak di kedua-dua belah Selat Hormuz dan menghentikan lalu lintas pelayaran di laluan tersebut. Keadaan ini telah melonjakkan harga minyak mentah sehingga $120 setong, dan dijangka mencecah $200 jika perang berterusan untuk beberapa minggu akan datang. Keadaan ini telah meningkatkan lagi kebimbangan global tentang kemelesetan dunia, terutamanya selepas beberapa fasiliti minyak dan gas di negara-negara Teluk disasarkan oleh serangan peluru berpandu Iran sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas pemasangan tenaga di wilayah Pars di Iran.

 

Tidak diragukan lagi bahawa perang ini akan mengkonfigurasi semula sistem antarabangsa pada tahun-tahun akan datang, terutamanya selepas kegagalan pentadbiran Trump untuk memaksa Iran menyerah kalah, serta kegagalannya untuk menggantikan kepimpinan Iran dan menggulingkan sistem pemerintahan negara itu. Kegagalan ini telah mengakibatkan kemunduran yang jelas daripada objektif asalnya, dengan AS kembali kepada dakwaannya bahawa ia hanya berusaha untuk menghentikan program nuklear dan peluru berpandu Iran.

 

Respons Iran terhadap pencerobohan Amerika dan entiti Yahudi adalah bersifat eksistensial, bukan sekadar simbolik atau terhad, seperti yang dibayangkan oleh pentadbiran Trump. Tindakan balas Iran bukan sahaja melibatkan pelancaran peluru berpandu ke arah entiti Yahudi dan negara-negara Teluk, tetapi juga kawalan penuh ke atas Selat Hormuz dan mengeksploitasi penutupannya untuk mempengaruhi ekonomi global.

 

Iran juga memainkan peranan Hizbullah di Lubnan dengan keberkesanan yang belum pernah terjadi sebelumnya, menghidupkan semula idea untuk menjerumuskan entiti Yahudi ke dalam “lumpur Lubnan,” seperti yang dilakukannya pada tahun 1980-an. Selain itu, Iran telah memberi isyarat bahawa ia akan menggunakan peranan Houthi dengan keberkesanan yang lebih besar jika keadaan memerlukannya.

 

Beberapa laporan Amerika telah mengesahkan perkara ini dengan menyatakan bahawa pihak Trump “tersalah menilai sekurang-kurangnya dua perkara: pertama, bahawa Iran akan bertindak balas terhadap perang kali ini sebagai ancaman eksistensialisme, bukannya episod pembalasan terbatas seperti perang singkat tahun lepas. Kedua, bahawa kesan ke atas Selat Hormuz dan tenaga akan dapat diuruskan serta-merta. Akibat salah perhitungan ini, pentadbiran Trump terpaksa menyesuaikan rancangannya di tengah pertempuran, daripada pemindahan diplomatik yang tergesa-gesa kepada meneroka pilihan untuk menurunkan harga bahan api dan akhirnya kepada perbincangan lewat tentang kawalan kapal tangki. Walau bagaimanapun, kemudiannya muncul bahawa Tentera Laut AS tidak melihat pengawalan sedemikian sebagai langkah yang boleh dilaksanakan pada masa ini disebabkan oleh risiko tinggi yang dihadapi.”

 

Nampaknya pentadbiran Trump kini sedang mencari jalan keluar untuk memelihara imejnya dan menyelamatkan air muka, terutamanya di tengah-tengah tentangan politik yang kuat untuk memanjangkan perang, baik di dalam mahupun di luar negara. Kebimbangan juga semakin meningkat tentang kesan negatif perang terhadap pilihan raya pertengahan penggal AS yang dijadualkan pada bulan November.

 

Kemungkinan besar Trump akan mengisytiharkan kemenangan besar secara palsu, mendakwa pasukannya telah memusnahkan lebih daripada 90% kuasa Iran dan memundurkannya selama dua puluh tahun. Dia juga akan menegaskan bahawa Amerika akan terus mengepung Iran, mengenakan sekatan, dan melancarkan serangan bila-bila masa yang diperlukan sehingga Iran bersetuju sepenuhnya dengan semua tuntutan tersebut.

 

Di sisi lain, perang ini telah mendedahkan kelemahan serius dalam kebebasan pelayaran antarabangsa melalui laluan air yang sempit, dan ketidakupayaan kuasa-kuasa besar untuk menjamin perlindungan terhadap laluan tersebut. Perang ini juga telah mendedahkan kerapuhan ekonomi global dan kebergantungannya yang besar terhadap sumber tenaga. Fakta-fakta ini menggariskan kemerosotan dominasi Amerika terhadap sistem antarabangsa, di samping menunjukkan kegagalan konsep unipolariti dan kegagalan usaha Trump untuk mewujudkan tatanan dunia baharu yang sepenuhnya di bawah kawalan Amerika.

 

Sumber: Abu Hamzah al-Khathwani, Harb Irān wa Ikhtibārāt al-Quwwah. Akhbar ar-Rayah edisi 592, Mac 2026

 

#Iran #KeruntuhanHagemoniAS

Exit mobile version