Site icon MuslimahHTM News

Kemarahan Ishmatuddin Khatun kerana Kehilangan Wirid

Kemarahan Ishmatuddin Khatun kerana Kehilangan Wirid

Penulis: Rif’ah Kholidah

Antara wanita yang dikenali dalam sejarah ialah Sayidah Ishmatuddin Khatun, isteri kepada Al-Malik ash-Shalih Nuruddin Mahmud Zanki. Beliau dan ayahnya merupakan raja terkenal yang memikul tanggungjawab besar dalam menghadapi serangan Pasukan Salib yang tersebar di wilayah kaum Muslim. Wanita solehah ini berdiri di samping suaminya untuk membantu dalam menghadapi musuh-musuh Islam. Beliau juga selalu menghidupkan malam dengan qiamulail. Ibnu Katsir RA berkata, “Dia adalah wanita yang banyak mendirikan qiamulail pada waktu malam.”

Pada suatu malam, dia tertidur sehingga terlepas wiridnya, lalu dia bangun pada waktu pagi dalam keadaan marah. Nuruddin kemudian bertanya kepadanya tentang tidurnya yang menyebabkan beliau terlepas wiridnya. Kemudian Nuruddin memerintahkan seseorang agar memukul thablakhanah (sejenis gong) di dalam benteng pada waktu sahur supaya orang- orang yang tertidur dapat bangun untuk melaksanakan qiamulail. Beliau juga memberikan upah yang banyak kepada orang yang memukul thablakhanah. (Al-Bidayah wa An- Nihayah 12/317).

Ishmatuddin adalah wanita yang sentiasa merindui untuk bermunajat kepada Rabb-nya. Beliau selalu menghidupkan malamnya dengan qiamulail sehingga sanggup meninggalkan kenikmatan tidur. Ini sebagaimana firman Allah SWT, “Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam dan pada akhir malam, mereka selalu memohon ampun (kepada Allah).” (TMQ Adz-Dzariyat [51]: 17–18).

Daripada kisah ringkas Ishmatuddin Khatun ini, kita dapat mengambil beberapa hikmah:

Pertama, Ishmatuddin Khatun mengajarkan kepada kita bahawa posisi sebagai seorang isteri khalifah tidak menjadikan hidupnya lalai dengan kemewahan dunia, sebaliknya dia sentiasa menjadi pendamping suaminya yang memikul tugas besar agar suaminya mampu menghadapi Pasukan Salib yang tersebar di wilayah kaum Muslim. Dia mengisi malamnya dengan bermunajat dan berdoa kepada Allah Taala. Dia berharap Allah akan memberikan pertolongan kepada suaminya agar dapat menewaskan musuh-musuh Allah.

Hal ini sangat berbeza dengan kehidupan dalam sistem sekular kapitalisme hari ini. Ramai isteri pegawai yang mempamerkan gaya hidup mewah, melancong ke luar negara, dan gemar menunjuk-nunjuk kemewahan, sedangkan rakyat semakin terbeban dengan kesusahan hidup.

Kedua, Ishmatuddin Khatun mengajarkan kepada kita untuk sanggup meninggalkan kenikmatan tidurnya (kenikmatan dunia) demi menghidupkan qiamulail dan bermunajat kepada Allah Taala. Sesungguhnya, kebahagiaan dan ketenangan hidup seorang hamba terletak pada kedekatan kepada Rabb-Nya, bukan semata-mata pada pemenuhan keperluan jasmani.

Ketiga, Ishmatuddin Khatun menunjukkan bahawa kemarahannya bukan kerana kehilangan harta atau material yang bersifat duniawi, tetapi kerana kehilangan kesempatan berharga untuk menghidupkan qiamulail dan bermunajat kepada Allah. Hal ini kerana boleh jadi malam tersebut adalah malam terakhir untuk bermunajat kepada Rabb-nya. Sesungguhnya, kita tidak mengetahui bilakah Allah akan mencabut ajal kita.

Keadaan ini berbeza dengan kehidupan dalam sistem sekular kapitalisme hari ini. Kebanyakan orang, melampiaskan kemarahan mereka kerana kehilangan harta benda atau kesenangan duniawi.

Keempat, untuk memastikan kaum Muslim mudah dalam melaksanakan qiamulail dan bermunajat kepada Allah, Nuruddin Mahmud Zanki, suami Ishmatuddin Khatun dan sebagai penguasa, dia bertanggungjawab dalam pelaksanaannya. Dia membuat dasar melantik petugas memukul gong dengan ganjaran yang besar.

Inilah gambaran seorang penguasa sebagai Khadimul Ummah (pelayan umat) yang sentiasa mengurus kemaslahatan umat. Hal ini dilakukan agar hak-hak  umat dipenuhi sehingga mereka dapat menggunakan waktu malam untuk bermunajat kepada Rabb-nya. Namun, gambaran penguasa seperti ini kita tidak temui dalam sistem sekular kapitalisme hari ini.

#SerikandiTeladan

Exit mobile version