Rezeki dan Kematian
Oleh: Ustaz M. Taufik NT
Kebimbangan tentang rezeki pada masa depan sering menghantui fikiran manusia. Syaitan juga memanfaatkan hal ini untuk memprovokasi manusia agar berbuat kejahatan.
ٱلشَّيۡطَٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلۡفَقۡرَ وَيَأۡمُرُكُم بِٱلۡفَحۡشَآءِۖ ٢٦٨
“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji” [TMQ al-Baqarah (2): 268]
Kerana alasan rezeki ini, ada yang tidak mahu membayar zakat. Dia merasa bahawa zakat akan mengurangkan rezekinya. Sebahagian mengambil jalan yang haram. Seolah-olah itu jalan yang paling cepat untuk memperoleh rezeki. Sebahagian yang lain meninggalkan dakwah yang tidak disukai oleh penguasa. Dia bimbang pintu rezekinya ditutup oleh penguasa.
Begitu juga tentang ajal dan kematian. Sebahagian orang meninggalkan kewajipannya atau mengerjakan perkara haram kerana bimbang terancam jiwanya.
Kerana itu pemahaman sekitar rezeki, ajal dan kematian sangat penting untuk keistiqamahan seseorang dalam menjalani kehidupan secara umum, khususnya bagi pengemban dakwah.
Rezeki Berbeza dengan Pemilikan
Rezeki berbeza dengan pemilikan (al-milkiyyah). Dalam bahasa Arab, rezeki berasal daripada kata razaqa yang bermaksud a’thâ (memberi). Adapun pemilikan dimaksudkan dengan:
«حِيَازَةُ الشَّيْءِ بِكَيْفِيَّةٍ مِنْ الْكَيْفِيَّاتِ الَّتِي أَجَازَ الشَّرْعُ حِيَازَةَ الْمَالِ بِهَا»
Penguasaan atas sesuatu dengan cara yang diperbolehkan syariah untuk mendapatkan harta.[1]
Rezeki adalah apa saja yang dikuasai seseorang, baik dengan cara yang dibenarkan oleh syariah (halal) ataupun yang tidak (haram). Ibnu Abbas RA berkata:
«مَا مِنْ مُؤْمِنٍ وَلَا فَاجِرٍ إِلَّا وَقَدْ كَتَبَ اللهُ تَعَالَى لَهُ رِزْقَهُ مِنَ الْحَلَالِ، فَإِنْ صَبَرَ حَتَّى يَأْتِيَهُ أَتَاهُ اللهُ تَعَالَى، وَإِنْ جَزَعَ فَتَنَاوَلَ شَيْئًا مِنَ الْحَرَامِ نَقَصَهُ اللهُ مِنْ رِزْقِهِ الْحَلَالِ»
Tidak ada seorang Mukmin mahupun seorang fajir pun kecuali sudah ditetapkan rezekinya daripada yang halal. Jika dia mahu bersabar hingga rezeki itu diberi, nescaya Allah akan memberi dia rezeki. Akan tetapi, jika dia tidak sabar, kemudian dia menempuh cara yang haram, nescaya Allah akan mengurangkan bahagian rezeki halal untuk dirinya.[2]
Kerana itu sekadar penguasaan atas suatu zat/manfaat oleh seseorang tidak secara automatik menjadikan zat/manfaat tersebut menjadi miliknya. Akad-akad yang tidak sah/batil juga tidak menyebabkan pemindahan pemilikan walaupun itu menjadi rezeki yang haram bagi pelakunya. Syeikh Shidqi Burnu menyatakan:
«فَكُلُّ عَقْدٍ بَاطِلٍ يُعْتَبَرُ نَوْعًا مِنْ أَكْلِ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ»
Tiap-tiap akad yang batil masuk dalam kategori memakan harta orang lain dengan jalan batil.[3]
Harta yang diperolehi oleh seorang penjudi bersama rakan-rakannya dalam perjudian disebut rezeki. Ini kerana harta tersebut tidak akan mereka peroleh kecuali kerana ‘diberikan’ oleh Allah. Akan tetapi, walaupun harta tersebut mereka kuasai, harta itu statusnya bukanlah milik mereka kerana cara (kayfiyah) perolehannya tidak dibenarkan oleh syariah sehingga jadilah itu rezeki yang haram.
Sebaliknya, seorang pekerja yang telah membina rumah untuk orang lain, kemudian dia mendapatkan upah daripada orang tersebut, maka upah itu menjadi milik pekerja tersebut. Hanya saja, ketika, contohnya, setelah menerima upah dia diragut, sehingga upahnya dikuasai peragut, maka upah tersebut menjadi rezeki (yang haram) bagi si peragut. Dalam hal ini tidak dikatakan bahawa peragut tersebut telah mengambil rezekinya pekerja. Akan tetapi, dikatakan bahawa si peragut telah mengambil rezekinya daripada tangan pekerja, iaitu dengan cara yang haram.
Rezeki Semata dari Allah SWT
Seorang Muslim wajib meyakini dengan pasti bahawa rezeki itu berasal daripada Allah SWT, bukan berasal daripada manusia. Banyak ayat-ayat yang menunjukkan hal ini dengan jelas. Di antaranya:
كُلُواْ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ ١٤٢
“Makanlah daripada apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu.” [TMQ al-An’am (6): 142]
Allah SWT juga berfirman:
ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ ثُمَّ رَزَقَكُمۡ ٤٠
“Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Dia memberi rezeki kepada kamu,” [TMQ ar-Rum (30): 40]
۞وَمَا مِن دَآبَّةٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزۡقُهَا ٦
“Dan tiadalah sesuatupun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya.” [TMQ Hud (11): 6]
Adapun usaha dan kerja yang dapat mendatangkan harta, asalkan sesuai syariah, adalah salah satu sebab pemilikan, namun bukan sebab datangnya rezeki. Usaha dan kerja tersebut hanyalah sebagai hâl (keadaan) yang biasanya orang mendapatkan rezeki, namun bukan sebab yang memastikan rezeki datang daripada situ. Kerana itu kita menyaksikan ada orang yang sudah bekerja, namun tidak mendapatkan rezeki daripada pekerjaan tersebut. Sebaliknya, ada yang tanpa usaha apapun, namun tiba-tiba mendapatkan rezeki.
Hanya saja, Allah menyuruh manusia untuk bekerja dan memberikan ganjaran atas pekerjaannya tersebut. Nabi SAW bersabda:
«مَنْ أَمْسَى كَالاًّ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ أَمْسَى مَغْفُوْرًا لَهُ »
”Siapa saja yang petang hari dalam keletihan kerana pekerjaan yang telah dia lakukan, maka petang hari itu dosa-dosanya diampuni”.[4]
Namun demikian, ini bukan bermaksud bahawa dialah yang mendatangkan rezeki untuk dirinya sendiri kerana kerja dan kepandaiannya tersebut. Allah mencela Qarun yang berkata:
إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلۡمٍ عِندِيٓۚ ٧٨
“Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku” [TMQ al-Qasas (28): 78]
Hubungan Rezeki dengan Kematian
Serupa dengan rezeki, kematian juga sering menghantui fikiran seseorang. Akibatnya, dia melakukan perbuatan yang haram atau enggan melaksanakan kewajipan kerana takut dengan ancaman. Sedangkan rezeki dan ajal seseorang hanya Allah yang menentukan.
Rezeki dan kematian memiliki hubungan yang erat. Demikian sebagaimana dinyatakan dalam hadis berikut:
«فَإِنَّ نَفْسًا لَنْ تَمُوتَ حَتَّى تَسْتَوْفِيَ رِزْقَهَا وَإِنْ أَبْطَأَ عَنْهَا، فَاتَّقُوا اللهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ، خُذُوا مَا حَلَّ، وَدَعُوا مَا حَرَّمَ »
”Sesungguhnya satu jiwa tidak akan mati hingga rezekinya dipenuhi walaupun lambat. Kerana itu bertakwalah kepada Allah dan perbaguskanlah cara dalam mencari rezeki itu. Ambillah yang halal dan tinggalkan yang diharamkan.” [5]
Sebab Kematian Hanya Satu: Habisnya Ajal
Ramai orang memahami bahawa kematian itu terjadi kerana sebab-sebab tertentu. Kanser, jantung, strok, sakit buah pinggang dan sebagainya sering dikatakan sebagai penyebab kematian. Sedangkan semua itu hanyalah keadaan yang biasanya, namun tidak pasti dapat mendatangkan kematian. Tidak setiap orang yang menderita penyakit tersebut pasti akan mati. Ada orang yang tadinya mengalami keadaan seperti itu akhirnya sihat walafiat. Sebaliknya, orang yang sebelumnya sihat, tiba-tiba meninggal.
Allah SWT memberitahu bahawa penyebab kematian yang pasti hanyalah satu, iaitu datangnya ajal. Dia berfirman:
وَمَا كَانَ لِنَفۡسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ كِتَٰبٗا مُّؤَجَّلٗاۗ ١٤٥
“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.” [TMQ Ali Imran (3): 145]
وَلَن يُؤَخِّرَ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِذَا جَآءَ أَجَلُهَاۚ ١١
…dan Allah sekali-kali tidak akan menunda (kematian) seseorang setelah datang ajalnya… [TMQ al-Munafiqun (63): 11]
Yang dimaksudkan dengan ajal di sini adalah:
«الْوَقْتُ الَّذِي فِي مَعْلُومِهِ سُبْحَانَهُ، أَنَّ رُوحَ الْحَيِّ تُفَارِقُ جَسَدَهُ»
Waktu yang diketahui oleh Allah SWT ketika jiwa orang yang hidup meninggalkan tubuhnya.[6]
Kesan Pemahaman Tentang Rezeki dan Kematian
Orang yang memahami dengan betul konsep rezeki dan kematian akan selalu berani, bersemangat juang tinggi dan terikat dengan hukum syariah dalam hidup. Hal itu kerana dia yakin bahawa perjuangan dan ketaatan tidak akan mengurangkan rezekinya dan tidak akan membuat dirinya cepat mati. Sebaliknya, dia akan mengusahakan keadaan kematian yang paling tinggi nilainya di sisi Allah SWT.
Khalid bin al-Walid, menjelang wafatnya, berkata:
«لَقِيْتُ كَذَا وَكَذَا زَحْفاً، وَمَا فِي جَسَدِي شِبْرٌ إِلاَّ وَفِيْهِ ضَرْبَةٌ بِسَيْفٍ، أَوْ رَمْيَةٌ بِسَهْمٍ، وَهَا أَنَا أَمُوْتُ عَلَى فِرَاشِي حَتْفَ أَنْفِي كَمَا يَمُوْتُ العِيْرُ، فَلَا نَامَتْ أَعْيُنُ الجُبَنَاءِ»
Aku menghadapi banyak pertempuran besar. Tidak ada satu jengkal pun di tubuhku melainkan ada (bekas) tebasan pedang, atau lemparan anak panah. Inilah aku, mati di tempat tidur seperti keldai mati. Kerana itu janganlah tidur mata para pengecut (untuk memperhatikan hal ini baik-baik).[7]
Hanya saja, keyakinan tersebut tidak akan menjadikan seseorang cuai hingga membahayakan nyawanya. Diriwayatkan bahawa ketika Iblis menampakkan diri kepada Isa `alaihissalam, dia berkata, “Tidakkah engkau mengatakan bahawa tidak ada sesuatu pun yang akan menimpa kamu kecuali apa yang telah Allah tetapkan untuk dirimu?” Isa menjawab, “Ya.” Iblis berkata, “Kalau begitu, lemparkan dirimu dari puncak gunung ini, kerana jika Dia menetapkan keselamatan untuk dirimu, engkau akan selamat.” Isa menjawab:
«يَا مَلْعُونُ إنَّ لِلهِ أَنْ يَخْتَبِرَ عِبَادَهُ وَلَيْسَ لِلْعَبْدِ أَنْ يَخْتَبِرَ رَبَّهُ»
Wahai makhluk terkutuk! Hak Allah untuk menguji hamba-hamba-Nya, tetapi bukan hak hamba untuk menguji Tuhannya.[8]
Perjuangan tidak akan membuatkan seseorang menjadi miskin atau kaya ataupun tidak akan membuat orang cepat atau lambat mati. Akan tetapi, yang jelas, dengan mendedikasikan hidup untuk berjuang, harapan untuk mati dalam husnul khâtimah lebih besar.
WalLâhu a’lam.
Catatan kaki:
- Taqiyuddin al-Nabhani, As-Syakhsiyyah al-Islâmiyyah, cet. VI., vol. I (Beirut: Dâr al-Ummah, 2003), h. 111.
- Abu Nu’aim Ahmad bin Abdullah al-Ashbahani, Hilyatu Al-Awliyâ’(Beirut: Dâr al-Kutub al-Ilmiyyah, 1409), Juz 1, h. 326.
- Muhammad Shidqi Burnu, Mausû’ah al-Qawâid al-Fiqhiyyah, Cet. I. (Beirut: Muassasah al-Risâlah, 2003), h. 36.
- Sulaiman bin Ahmad al-Thabarani, Al-Mu’jam al-Awsâth(Kairo: Dâr al-Haramain, tt), Juz 7, h. 289.
- Ibnu Majah Abu Abdillah Muhammad bin Yazid al-Qazwini, Sunan Ibnu Majah, ed. Pentahkik. Muhammad Fuad Abd al-Baqi (Kairo: Dâr Ihya al-Kutub al-Arabiyyah, tt), Juz 2, h. 725.
- Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr al-Qurthuby, Al-Jâmi’ Li Ahkâm al-Qur’ân, ed. Pentahkik. Ahmad Barduni dan Ibrahim Athfisy (Kairo: Dâr al-Kutub al-Mishriyah, 1964), Juz 4, h. 227.
- Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Utsman bin Qaimaz Al- Dzahabi, Siyaru A’lâmi al-Nubalâ‘, ed. Pentahkik. Syu’aib al-Arnauth dkk, Cet. III. (Beirut: Muassasah al-Risâlah, 1985), Juz 1, h. 382.
- Abul Hasan Ali bin Muhammad Al Mawardi, Adab Al-Dunya Wa al-Din(Dâr Maktabah al-Hayah, 1986), h. 23.
#rezeki #kematian #halal #haram

