Kembalilah Umat Islam Kepada Perintah Pencipta
Penulis : Ummu Huda
Dalam menjalani kehidupan bermasyarakat pada hari ini, pelbagai gejala berlaku di sekeliling kita. Sistem kapitalis yang diterapkan dalam pentadbiran negara telah menimbulkan pelbagai masalah yang seakan-akan tiada penghujung. Dalam aspek pergaulan sosial, statistik di Malaysia menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan.
Menurut data rasmi, sebanyak 67,628 anak tidak sah taraf dari sudut perundangan direkodkan di Malaysia dalam tempoh lima tahun, iaitu antara tahun 2020 hingga 31 Oktober 2024, berdasarkan catatan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957. Selain itu, data daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menunjukkan bahawa dalam tempoh 2019 hingga 2023, terdapat sebanyak 17,646 kes kelahiran anak luar nikah dari perspektif hukum syarak.
Pada masa yang sama, data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan seramai 16,951 remaja hamil berusia 19 tahun ke bawah dan tidak berkahwin yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2024. Majoriti daripada mereka ialah remaja Melayu yang beragama Islam.
Statistik-statistik ini jelas menunjukkan bahawa isu anak luar nikah bukanlah fenomena kecil atau terpencil. Sebaliknya merupakan masalah serius yang memberi impak besar terhadap struktur sosial di Malaysia. Bahkan, isu ini menimbulkan pelbagai cabaran terhadap institusi keluarga, hak dan nasab anak, perancangan keluarga, pengurusan sosial, sistem kesihatan serta kestabilan sosial secara keseluruhannya.
Lebih membimbangkan, fenomena normalisasi maksiat dalam budaya popular serta pengaruh media sosial turut menyumbang kepada peningkatan statistik ini dalam kalangan masyarakat. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjejaskan keupayaan masyarakat untuk membezakan antara perkara yang baik dan buruk, serta antara yang halal dan haram.
Penyelesaian dalam Islam
Islam memandang zina bukan sekadar kesalahan moral peribadi, tetapi sebagai perbuatan yang menggugat kesejahteraan sosial serta merendahkan martabat manusia. Fenomena kelahiran anak tidak sah taraf turut mencetuskan pelbagai kesan sosial yang perlu ditangani dan dirawat dengan mengembalikan umat kepada petunjuk wahyu dalam membina kehidupan yang sejahtera.
Oleh itu, kesucian masyarakat hendaklah dipelihara secara kolektif oleh pemerintah yang adil melalui pelaksanaan hukum yang telah ditetapkan oleh Pencipta. Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 2 bukan sekadar ayat yang menetapkan hukum, malah merupakan panggilan kepada masyarakat untuk kembali kepada cahaya wahyu yang memberikan garis panduan yang jelas dalam menjaga maruah manusia serta memelihara ketertiban sosial.
Hukuman yang ditetapkan dalam Islam juga berfungsi sebagai penebus dosa bagi pelakunya dan sebagai pencegah kepada masyarakat daripada melakukan perbuatan yang sama. Dalam konteks peningkatan statistik kelahiran anak luar nikah di Malaysia, keperluan kepada petunjuk wahyu ini menjadi semakin jelas.
Masyarakat Muslim yang ideal ialah masyarakat yang dibimbing dengan cahaya petunjuk wahyu. Ia bukan sekadar masyarakat yang bebas daripada pelanggaran hukum, tetapi juga masyarakat yang memahami nilai-nilai Islam, menjaga batas-batas pergaulan, serta bersama-sama membina ketenteraman sosial berlandaskan petunjuk Ilahi demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Surah an-Nur ayat 2 menegaskan satu realiti sosial yang sangat penting dalam kehidupan manusia, iaitu larangan hubungan luar nikah serta implikasinya terhadap masyarakat. Allah SWT berfirman:
ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِى فَٱجْلِدُوا۟ كُلَّ وَٰحِدٍۢ مِّنْهُمَا مِا۟ئَةَ جَلْدَةٍۢۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌۭ فِى دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَآئِفَةٌۭ مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya:
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada kedua-duanya dengan seratus kali sebatan. Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam melaksanakan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah hukuman terhadap mereka disaksikan oleh sekumpulan orang yang beriman.” [TMQ An-Nur (24): 2]
Ayat ini bukan sekadar menetapkan hukum syarak terhadap individu, tetapi juga merupakan satu bentuk pengurusan sosial yang menyentuh aspek nilai, maruah, identiti serta kesejahteraan generasi.
Seruan (khitab) pada firman Allah SWT “fajlidū” (maka sebatlah oleh kamu) ditujukan kepada seluruh kaum Muslimin. Namun demikian, pelaksanaan hukum ini tidak diserahkan kepada individu. Oleh sebab khalifah merupakan wakil umat dalam menerapkan hukum-hukum Islam, maka khalifahlah yang bertanggungjawab melaksanakan hukuman tersebut. Hal ini bermaksud bahawa seseorang individu tidak dibenarkan melaksanakan hukuman sebat terhadap individu lain. Seorang ayah tidak boleh melaksanakan hukuman sebat terhadap anaknya, begitu juga seorang lelaki terhadap saudara perempuannya, atau mana-mana individu terhadap individu yang lain. Pelaksanaan hukum ini berada di bawah kuasa pemerintahan yang sah. Penjelasan ini dapat dirujuk dalam kitab tafsir Surat An-Nur penulisan Dr Muhammad Ali al-Hasan Abdurrahim Faris Abu ‘Ulbah yang diterbitkan oleh Pustaka Thariqul Izzah.
Oleh itu, menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk berusaha menegakkan semula sebuah negara Islam yang dipimpin oleh seorang khalifah yang akan menerapkan hukum sebat ini serta hukum-hukum Islam lain secara menyeluruh termasuklah dalam urusan kenegaraan.
Di samping itu, dalam sebuah negara Islam, masyarakat juga diperintahkan untuk menjauhi segala perkara yang boleh membawa kepada zina. Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu ialah suatu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.” [TMQ Surah Al-Isra (17): 32]
Apabila hukum-hakam Islam diterapkan secara menyeluruh dan masyarakat dididik untuk menjaga batas-batas syarak, maka akan lahirlah sebuah masyarakat Muslim yang ideal, iaitu masyarakat yang hidup dalam ketaatan kepada Allah SWT serta memperoleh keredhaan-Nya.
#MasyarakatMuslimIdeal #CahayaPetunjuk #MasyarakatQurani

