Site icon MuslimahHTM News

Pendidikan di Bawah Khilafah: Melahirkan Generasi Berwawasan Masa Depan

Pendidikan di Bawah Khilafah: Melahirkan Generasi Berwawasan Masa Depan

 

Walaupun benih Islam – kecintaan dan ketaatan kepada Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw) – pertama kali ditanam dan dipupuk dalam rumah oleh ibu bapa kepada anak-anaknya, di masjid, serta dalam setiap ruang masyarakat di mana anak-anak itu berada, benih itu selanjutnya dipelihara sehingga matang melalui tahun-tahun mereka di fasa persekolahan, universiti dan seterusnya. Pendidikan umat Islam merupakan salah satu tonggak utama Negara Khilafah kerana melalui sistem pendidikanlah identiti Islam diperkukuh lagi menerusi dasar-dasar pendidikan negara.

 

Salah satu konsep utama yang akan diterapkan kepada generasi muda ialah bahawa menjadi seorang Muslim menuntut kita berusaha menjadi hamba Allah (swt), bukan hamba kepada hawa nafsu. Tidak memadai sekadar mengaku diri sendiri sebagai Muslim dan melaksanakan beberapa kewajipan Islam. Kanak-kanak perlu memahami tujuan hidup mereka – iaitu untuk beribadah kepada Allah (swt). Bagi memastikan mereka dapat memahami perkara ini sepenuhnya, kurikulum pendidikan akan menyampaikan secara tepat apa sebenarnya maksud “beribadah kepada Allah (swt)” – iaitu tunduk patuh kepada setiap perintah-Nya serta menjadikan hukum dan batasan-Nya sebagai asas bagi setiap tindakan, pandangan dan penilaian kita. Inilah visi yang perlu ditanamkan kepada anak-anak sebagai matlamat tertinggi dan utama dalam kehidupan. Dengan itu, menuntut dan memperoleh ilmu kemudiannya menjadi sebahagian daripada kehidupan harian umat Islam yang difasilitasi oleh negara.

 

Islam menegaskan bahawa menuntut ilmu adalah satu ibadah yang akan mengangkat darjat seseorang di dunia dan akhirat. Allah (swt) berfirman:

Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah Az-Zumar: 9)

 

Rasulullah (saw) bersabda:
«وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ»

“Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.” (HR Muslim)

 

Pemahaman tentang kejayaan ini mendorong para pemerintah Muslim untuk memajukan literasi secara meluas agar masyarakat dapat membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran dan Sunnah. Negara Islam pertama di Madinah memulakan tradisi pendidikan awam di Masjid Nabawi, di mana golongan muda dan tua belajar bersama. Masjid juga berfungsi sebagai pusat sosial untuk masyarakat Islam. Malah selepas Perang Badar, Rasulullah (saw) membenarkan tawanan perang dari Mekah yang celik huruf menebus diri dengan mengajar membaca kepada sebilangan orang Islam di Madinah. Ini menunjukkan betapa pentingnya literasi dan pendidikan dalam Islam. Membaca dan memahami al-Quran serta dunia di sekeliling kita membolehkan seorang mukmin membina ketakwaan dan pemahaman yang praktikal serta bermanfaat tentang kehidupan melalui lensa Islam.

 

Allah (swt) berfirman: “Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” (Surah Faatir: 28)

 

Dan sudah tentu, usaha ini diperkasakan lagi melalui sistem pendidikan Islam.

 

Umat Islam dibentuk oleh satu budaya bersama yang menyatukan mereka dan membezakan mereka daripada bangsa lain. Budaya ini berasaskan kepercayaan teras umat Islam, yakni akidah Islam, serta peraturan, penyelesaian dan sistem yang lahir daripadanya. Tidak hanya terhad kepada ilmu tauhid, fiqh, usul fiqh, tafsir al-Quran, hadis, bahasa Arab, sejarah Islam, serta sains empirical sahaja, sebaliknya ia turut merangkumi ilmu dan sains yang dibina di atas asas tersebut. Budaya umat akan membentuk peribadi perwatakannya, membentuk cara berfikir (intelektualnya), serta kaedah menilai sesuatu perkara, kenyataan dan tindakan, di samping membentuk kecenderungan, seterusnya mempengaruhi mentaliti, keperibadian (nafsiyyah) dan tingkah laku mereka.

 

Sistem pendidikan negara akan berusaha memimpin dunia dan benar-benar berkhidmat kepada rakyat serta manusia sejagat. Ia akan berusaha membangunkan tenaga pengajar yang terlatih dan diberi ganjaran setimpal, serta menyediakan institusi pendidikan seperti sekolah, kolej, universiti, pusat penyelidikan, perpustakaan, makmal, balai cerap dan pelbagai lagi kemudahan yang lengkap dan canggih, yang didanai oleh kekayaan daripada Baitul Mal. Antara matlamatnya ialah memperkukuh keperibadian Islam para pelajar di peringkat pendidikan tinggi agar mereka menjadi pemimpin dan pemikir berwawasan yang menjaga serta berkhidmat untuk isu-isu penting umat. Sistem ini juga akan berusaha untuk melahirkan tenaga mahir yang mampu memenuhi keperluan asas umat seperti makanan berkualiti, air, perumahan, keselamatan dan penjagaan kesihatan, serta melahirkan doktor, jurutera, guru, saintis, jururawat, penterjemah dan lain-lain, yang mencukupi bagi mengurus hal ehwal umat.

 

Melalui sistem pendidikan inilah, umat Islam telah melahirkan pemimpin dan visioner yang luar biasa dalam politik, pemerintahan dan jihad seperti Abu Bakr (ra), Khalid bin Walid (ra) dan Salahuddin. Ia juga mencetak para ulama dan ilmuwan hebat dalam fiqh dan sains seperti Nafisa bint Hassan, Imam al-Shafi’i, Imam al-Bukhari, al-Khawarizmi, Ibn al-Haytham, Amrah binti Abd al-Rahman dan Fatima al-Fihri. Tujuan pengajaran ilmu ini di sekolah adalah untuk mengembangkan keperibadian pelajar Islam serta mempersiapkan mereka untuk kehidupan praktikal atau pendidikan lanjutan (diperingkat lebih tinggi), supaya mereka menjadi individu yang berkebolehan yang dapat menyumbang kepada peningkatan tahap intelektual dan saintifik umat, serta membolehkan umat Islam kembali memimpin dunia.

 

Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Sarah Mohammed (Aktivis Amerika)

 

#TrueVision4Change #VisiSejatiDemiPerubahan #GenerasiMuslimGenerasiBerwawasan #VisionerMuslimGeneration

 

Exit mobile version