Site icon MuslimahHTM News

Pesta Air dan Muzik 2026: Demokrasi Selamanya Akan Membuka Pintu Maksiat dan Mengundang Bala

[Kenyataan Media] Pesta Air dan Muzik 2026: Demokrasi Selamanya Akan Membuka Pintu Maksiat dan Mengundang Bala

 

Sudah menjadi tabiat mana-mana kerajaan di bawah sistem demokrasi di Malaysia untuk menganjurkan pesta maksiat dari semasa ke semasa, baik di peringkat pusat mahu pun negeri. Pesta muzik, nyanyian, tarian, sama ada oleh artis-artis tempatan atau antarabangsa tidak pernah sunyi diadakan di negara ini biar pun penyanyi yang diundang jelas-jelas pendukung LGBTQ mahu pun pendukung ‘Israel’; biar pun sudah banyak pelanggaran syarat yang berlaku semasa konsert; biar pun sudah terbukti merosakkan akhlak; dan biar pun bantahan demi bantahan telah dilakukan. Kerajaan sekular di bawah sistem demokrasi tidak pernah peduli semua itu kerana apa yang diambil peduli hanyalah keuntungan duniawi.

 

Terbaru, pada 30 April hingga 2 Mei ini satu lagi pesta besar-besaran akan diadakan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, yang meniru pesta Songkran dari Thailand, yang dinamakan Pesta Air dan Muzik (Rain Rave Water Music Festival) 2026. Pesta ini menampilkan konsep gabungan muzik, air dan elemen hiburan moden, dianjurkan oleh kerajaan Malaysia sempena Hari Pekerja Sedunia serta inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026. Songkran merupakan sebuah pesta yang terkait dengan agama Buddha yang melibatkan ritual seperti Song Nam Phra (menyiram patung) dan kepercayaan bahawa air tersebut dapat membasuh dosa atau nasib malang. Walaupun dewasa ini pesta tersebut sudah mengalami perubahan dan pemodenan, namun ia tetap disambut dengan suatu kepercayaan tertentu oleh penganut Buddha, yang bertentangan dengan akidah Islam.

 

Hizbut Tahrir / Malaysia dengan ini menzahirkan bantahan keras terhadap kerajaan Madani yang menganjurkan pesta maksiat ini. Sungguh ironi, sebuah negara yang mengaku berpegang teguh dengan akidah al-Asy’ariyyah dan al-Maturidiyyah, namun menganjurkan sebuah pesta yang meniru hadharah kufur, yang jelas-jelas bertentangan dengan akidah Islam. Lebih jelas dan pasti ialah, pesta tersebut, sama sebagaimana pesta-pesta lainnya, menonjolkan gaya hidup hedonisme, percampuran bebas antara lelaki-perempuan (Ikhtilat), pendedahan aurat, kerosakan akhlak, penggunaan bahan-bahan terlarang dan pelbagai keburukan lainnya. Bagaimana mungkin sebuah negara yang mengaku berpegang teguh dengan ajaran fiqh Imam Syafie serta ajaran tasawuf Imam al-Ghazali dan Junaid al-Baghdadi, tetapi menganjurkan pesta maksiat dengan skala negara?! Dalam bab manakah ajaran Imam al-Ash’ari, al-Maturidi, al-Syafie, al-Ghazali dan al-Baghdadi membenarkan pesta sedemikian?!

 

Inilah realiti Malaysia yang sungguh menyakitkan di bawah sistem demokrasi. Tanpa mengira parti mana pun yang memerintah di bawah sistem kufur ini, kemaksiatan seperti ini bukan sahaja sentiasa dibenarkan, bahkan digalakkan, atas nama tarikan pelancongan, perkembangan ekonomi dan keperluan rakyat kepada hiburan. Dalam sistem demokrasi-kapitalisme yang diamalkan pada hari ini, hiburan dilihat sebagai satu keperluan, selain menjadi sumber pendapatan kepada kerajaan, tanpa mengira halal dan haram.

 

Demikianlah hakikat sistem demokrasi – penguasa tidak pernah bertindak sebagai perisai umat daripada api neraka, sebaliknya menuntun umat ke arah kebinasaan. Pintu kemaksiatan bukan sahaja sentiasa dibuka luas oleh penguasa, mereka bahkan menggalakkan umat memasuki pintu-pintu ini dan mereka menyatakan bahawa ini merupakan pintu-pintu kebaikan untuk masyarakat dan negara. Lebih parah apabila sistem ini, sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah sistem kufur, membenarkan orang-orang kafir menjadi pemimpin ke atas umat Islam, yang dengannya mereka memimpin umat ke jalan kekufuran.

 

Kami ingin bertanya, apakah ini yang kerajaan Madani  ingin tunjukkan kepada dunia iaitu mengadakan pesta air dan muzik dengan menghabiskan berapa ribu gelen air di saat warga Gaza bersusah payah mencari segelas air bersih untuk diminum? Apakah kerajaan Madani gembira mengadakan pesta air yang akan menghujani para peserta sambil menari terlonjak-lonjak, di saat warga Gaza dihujani bom-bom tentera Yahudi siang dan malam? Apakah Rain Rave Water Music Festival ini bersesuaian dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang kerajaan Madani berbangga selama ini sebagai sebuah negara yang berpaksikan Ahli Sunnah Wal Jamaah? Di manakah Jabatan-jabatan agama dan Jabatan-jabatan Mufti dalam hal ini? Apakah tidak berani untuk menegur majikan anda, atau sememangnya bersetuju dengan majikan anda?

 

Wahai Perdana Menteri Malaysia! Jika anda lupa, kami ingin mengingatkan anda bahawa di dalam Islam, tugas pemerintah ialah menjaga akidah, syariat dan akhlak rakyat, bukannya mengadakan pesta hiburan, mengutip cukai hiburan, atau membenarkan rakyat berhibur secara terbuka dan besar-besaran, dengan bercampur-baur antara lelaki-perempuan. Sampai bila anda akan terus mewarisi perangai pemimpin-pemimpin sebelum anda dengan terus membuka pintu maksiat dan mengundang bala Allah, padahal Dia telah memberikan peluang kepada anda untuk meraih kemuliaan di sisi-Nya jika anda memerintah dengan apa yang Dia turunkan, sebuah peluang yang Dia akan tarik sebentar sahaja lagi daripada anda?!

 

Wahai umat Islam! Sedarlah bahawa para penguasa sekular tidak akan pernah menerapkan Islam. Sebaliknya, mereka akan terus melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam. Pesta maksiat seumpama ini bukanlah insiden terpinggir, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada urat nadi sistem sekular-demokrasi pada hari ini, sebuah sistem yang selamanya akan memisahkan agama daripada pemerintahan negara, kerana itu sudah menjadi sifat semulajadinya. Tinggalkanlah sistem ini dan ayuhlah berusaha untuk menegakkan kembali sistem Islam di bawah bingkai negara Khilafah, yang insya Allah akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya secara kaffah, dan menutup rapat segala pintu kemaksiatan dan kerosakan.

 

Abdul Hakim Othman

Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia

 

#DemokrasiMenyuburkanMaksiat #HentikanPestaMaksiat

Exit mobile version