Site icon MuslimahHTM News

Pergaulan Lelaki dan Wanita (I):  Aurat dan Pakaian Syarie

Pergaulan Lelaki dan Wanita (I):  Aurat dan Pakaian Syarie

 

Oleh: Ustaz M. Taufik NT

 

Iklim kebebasan dan globalisasi informasi hari ini mempersembahkan pelbagai bentuk aktiviti pergaulan lelaki perempuan dan tayangan yang tidak sesuai Islam. Hal ini sangat berpengaruh kepada para remaja, bahkan orang tua. Apa yang dulu dianggap aib, sekarang dianggap biasa, bahkan menjadi kebanggaan. Bercinta, membuka aurat, mempamerkan kecantikan, berduaan dengan lawan jenis, campur-baur (ikhtilâth) lelaki-wanita tanpa keperluan saat ini tidak dianggap aneh. Sebaliknya, mempersoalkan semua hal tersebutlah yang dianggap aneh.

 

Memang, lingkungan akan berpengaruh terhadap sikap. Tontonan yang sering dilihat lama-lama akan berubah menjadi panduan yang boleh menutup penerimaan hati kepada kebenaran. Ibrahim bin Adham RA pernah berkata:

 

كَثْرَةُ النَّظَرِ إِلَى الْبَاطِلِ تُذْهِبُ بِمَعْرِفَةِ الْحَقِّ مِنَ الْقَلْبِ

“Sering melihat kebatilan akan melenyapkan pengetahuan tentang kebenaran dari hati.”

 

Islam mengakui perlunya pemenuhan hasrat seksual pada manusia. Akan tetapi, pandangan Islam terhadap hubungan antara lelaki dan wanita bukan pandangan yang bersifat seksual semata. Islam memberikan sejumlah peraturan agar hasrat seksual yang ada pada manusia tidak membahayakan kehidupan manusia itu sendiri.

 

Islam mencegah segala hal yang dapat membangkitkan nafsu seksual dalam kehidupan umum. Islam membatasi hubungan seksual hanya pada keadaan-keadaan tertentu. Islam melarang lelaki dan wanita ber-khalwat. Islam melarang wanita bersolek dan berhias di hadapan lelaki asing (non-mahram). Islam juga melarang setiap lelaki mahupun wanita memandang lawan jenisnya dengan pandangan penuh nafsu berahi. Islam juga telah membataskan kerjasama yang mungkin dilakukan oleh lelaki dan wanita dalam kehidupan umum. Islam telah menentukan bahawa hubungan seksual antara lelaki dan wanita hanya boleh dilakukan dalam dua keadaan, tidak lebih, iaitu: pernikahan dan pemilikan hamba sahaya.

 

Memandang Wanita

 

Seorang lelaki boleh melihat wanita yang termasuk mahram-nya, lebih dari sekadar wajah dan kedua telapak tangannya. Dia boleh melihat bahagian-bahagian tubuh wanita yang menjadi tempat melekatnya perhiasannya. Ini berdasarkan QS an-Nûr (24) ayat 31. Adapun selain mahram hanya boleh melihat jika memang ada keperluan untuk itu; baik lelaki melihat wanita atau sebaliknya. Dia boleh melihat bahagian tubuh sebatas yang diperlukan saja serta tidak boleh melihat bahagian-bahagian tubuh yang lainnya selain wajah dan kedua telapak tangan.

 

Orang yang terpaksa ada keperluan untuk melihat bahagian tubuh wanita dan secara syarie memang dibolehkan adalah doktor, paramedik, pemeriksa atau yang lainnya, yang memang terpaksa perlu melihat bahagian-bahagian tubuh tersebut, baik termasuk aurat ataupun bukan. Nabi SAW pernah mengangkat Saad bin Muadz sebagai hakim untuk kalangan Bani Quraizah. Saad menyingkap penutup tubuh lelaki remaja mereka untuk mengetahui mana yang sedah baligh dengan melihat tumbuh tidaknya rambut kemaluan mereka.

 

Adapun yang bukan aurat, lelaki dan wanita boleh saling memandang asalkan bukan dengan pandangan untuk menikmati.

 

كَانَ اْلفَضْلُ بْنُ الْعَبَّاسِ رَدَيْفَ النَّبِيِّ ﷺ فَجَاءَتْهُ الْخَثْعَمِيَّةُ تَسْتَفْتِيْهِ فَجَعَلَ اْلفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ فَصَرَفَ رَسُوْلُ اللهِ ﷺ وَجْهَهُ عَنْهَا

“Fadhl ibn ‘Abbas pernah menaiki tunggangan bersama dengan Rasulullah SAW. Kemudian datanglah seorang wanita dari kabilah Khats‘am bertanya kepada Baginda. Fadhl lalu memandang wanita itu. Wanita itu pun memandang dia. Rasulullah SAW lalu memalingkan wajahnya dari wanita tersebut.”

 

Dalam riwayat dari ‘Alî ibn Abî Thâlib RA ditambahkan keterangan bahawa ‘Abbas RA bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, mengapa engkau memalingkan leher sepupumu?” Rasulullah SAW menjawab:

رَأَيْتُ شَابًّا وَشَابَّةً فَلَمْ آمَنِ الشَّيْطَانَ عَلَيْهِمَا

“Aku melihat seorang pemuda dan seorang pemudi yang tidak selamat dari gangguan syaitan.”

 

Aurat dan Batasannya

 

Keharaman memandang aurat juga disertai dengan keharaman membuka aurat dalam keadaan tidak terpaksa. Sebahagian ulama menganggap hal demikian sebagai dosa besar. Ulama lainnya yang memandang hal itu sebagai dosa kecil menekankan bahawa tidak boleh meremehkan dosa kecil. Meremehkan dosa kecil akan menjadikan dosa itu menjadi dosa besar. Imam Ibnu Hajar al-Haitami bahkan menulis satu bab dalam kitabnya:

 

الْكَبِيرَةُ الرَّابِعَةُ وَالسَّبْعُونَ: كَشْفُ الْعَوْرَةِ لِغَيْرِ ضَرُورَةٍ وَمِنْهُ دُخُولُ الْحَمَّامِ بِغَيْرِ مِئْزَرٍ سَاتِرٍ لَهَا

“Dosa besar ke-74: membuka aurat bukan kerana darurat, termasuk memasuki pemandian tanpa kain penutup aurat.”

 

Adapun batasan aurat wanita merdeka adalah seluruh tubuhnya selain muka dan telapak tangan. Allah SWT berfirman:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

…dan janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa tampak pada diri mereka” [TMQ an-Nur (24): 31]

 

Majoriti ulama mentafsirkan perkataan “kecuali yang kelihatan daripadanya” adalah wajah dan telapak tangan saja. Pendapat jumhur tersebut bersandarkan pada riwayat ‘Aisyah RA bahawa Asma binti Abu Bakar pernah menemui Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis. Baginda berpaling seraya bersabda:

 

يَا أَسْمَاءَ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَّغَتْ المَحِيْضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلاَّ هَذَا وَهَذَا، وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيِهِ.

“Wahai Asma, sesungguhnya perempuan itu, jika telah baligh, tidak layak untuk diperlihatkan dari tubuhnya kecuali ini dan ini,”—sambil menunjuk telapak tangan dan wajahnya.

 

Adapun batas aurat lelaki dengan lelaki, menurut majoriti ulama, adalah dari pusat sampai kedua lutut. Hal ini sebagaimana hadis Nabi SAW:

… فَإِنَّ مَا تَحْتَ السُّرَّةِ إِلَى رُكْبَتِهِ مِنَ الْعَوْرَةِ

“…Sesungguhnya di antara pusat sampai lututnya (lelaki) adalah aurat.”

 

Pakaian Syarie

 

Pakaian yang dituntut oleh syariah bukan hanya sekadar menutup aurat, namun juga mesti memenuhi beberapa syarat, antara lain:

 

  1. Tidak menampakkan warna kulit. Kerana itu pakaian tipis dan jarang tidak memenuhi syarat.
  2. Tidak membentuk lekukan aurat (ketat).
  3. Tidak menyerupai lelaki (bagi wanita) dan menyerupai wanita (bagi lelaki). Ini berdasarkan hadis dari Abu Hurairah RA, katanya:

 

أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ لَعَنَ الْمَرْأَةَ تَتَشَبَّهُ بِالرِّجَالِ وَالرَّجُلَ يَتَشَبَّهُ بِالنِّسَاءِ

“Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat wanita yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai wanita.”

 

Sebagai tambahan bagi wanita, Al-Quran menyebutkan perintah memakai tudung dan jubah dalam firman-Nya:

 

وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ ٣١

…dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung (khimar) ke atas dada mereka” [TMQ an-Nur (24): 31]

 

Khumûr adalah jamak dari khimâr yang maknanya adalah tudung atau penutup kepala wanita. Adapun juyûb penjelasannya adalah sebagai berikut:

 

وَالْجُيُوبُ جَمْعُ الْجَيْبِ، وَهُوَ مَوْضِعُ الْقَطْعِ مِنْ الدِّرْعِ وَالْقَمِيصِ، فَأَمَرَ تَعَالَى بِأَنْ يُلْوَى الْخِمَارُ عَلَى الْعُنُقِ وَالصَّدْرِ، فَدَلَّ عَلَى وُجُوبِ سَتْرِهِمَا

“Juyûb” adalah bentuk jamak’ dari “jayb”. Ia adalah tempat lubang baju atau jubah. Allah memerintahkan agar tudung di­tutupkan pada leher dan dada. Hal itu menunjukkan kewajipan menutup keduanya.”

 

Memakai tudung yang dituntut oleh ayat di atas adalah menutupi jayb, iaitu lubang di kolar baju dan dada bahagian atas. Tidak cukup dengan menutupkan tudung pada leher dan thawq jilbab/jubah bahagian atas. Tudung mestilah ditutupkan ke bahagian yang jelas dari dada untuk memastikan bahagian jaybnya betul-betul ditutup oleh tudung.

 

Adapun terkait jilbâb, Allah SWT berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ قُل لِّأَزۡوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ يُدۡنِينَ عَلَيۡهِنَّ مِن جَلَٰبِيبِهِنَّۚ ٥٩

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri kaum Mukmin, “Hendaklah mereka memanjangkan jubahnya ke seluruh tubuh mereka.” [TMQ al-Ahzab (33): 59]

 

Ada beberapa penjelasan tentang apa yang dimaksud dengan jilbâb. Di antaranya dinyatakan oleh Syeikh Wahbah az-Zuhaili:

 

وَهُوَ الْمُلَاءَةُ الَّتِي تَشْتَمِلُ بِهَا الْمَرْأَةَ فَوْقَ الْقَمِيصِ، أَوْ الثَّوْبِ الَّذِي يَسْتُرُ جَمِيعَ الْبَدَنِ

“(Jilbâb) adalah al-mulâ’ah yang dipakai wanita di atas pakaian atau baju yang menutup seluruh tubuh.”

 

Adapun al-mulâ’ah secara fiqhiyyah dalam Kamus Al-Ma’âni dinyatakan sebagai:

ثَوْبٌ مِنْ قِطْعَةٍ وَاحِدَةٍ ذُو شِقَّيْنِ مُتَضَامَيْنِ يُلْبَسُ فَوْقَ الثِّيَابِ

“Pakaian satu potong (terusan) dengan dua belahan yang saling tumpang-tindih, yang dikenakan di atas pakaian lain.”

 

Dalam Kamus Al-Muhîth dinyatakan:

والجِلْبَابُ، كَسِرْدابٍ وسِنِمَّارٍ: القَميصُ، وثَوْبٌ واسِعٌ للْمَرأَةِ دونَ المِلْحَفَةِ، أو ما تُغَطِّي به ثِيابَها من فَوْق كالمِلْحَفَةِ، أو هو الخِمارُ

“Jilbab, seperti sirdab dan sinimmar, adalah jubah, pakaian lebar untuk wanita, bukan milhafah (pakaian yang dipakai di atas pakaian hariannya), atau apa yang dia gunakan untuk menutupi pakaiannya dari atas, seperti milhafah, atau dia adalah khimar.”

 

Kerana itu, selain menutup aurat, seorang wanita diperintahkan memakai tudung dan jubah (jilbâb) dengan ketentuan seperti di atas. Ini adalah pandangan yang tidak diperselisihkan. Adapun jilbab dimaknakan dengan yang selainnya, itu ada ikhtilaf di dalamnya.

 

WalLâhu a’lam.

 

#aurat #pakaiansyarie #hijabsyarie #pakaianmuslimah #khimar #jilbab

Exit mobile version