Luahan perasaan dengan Chatbot AI Saat Kesunyian, Buah Pahit Sekularisme
Fenomena luahan perasaan dengan chatbot AI sedang menjadi trend baru. Keberadaan AI yang praktikal, selalu ada 24 jam, tidak pernah menghakimi, dan kata-katanya selalu menenangkan hati menjadi alasan mengapa chatbot ini disukai.
“Cerita dan tanyakan apa saja kepada saya, saya selalu ada di sini.” Kalimat itu bukan hanya boleh diucapkan oleh manusia, tetapi juga oleh teknologi kecerdasan buatan, khususnya Chatbot AI.
Di sisi lain, satu tinjauan yang dijalankan pada Jun 2025 terhadap ratusan responden menunjukkan bahawa kira-kira 1 daripada 5 orang (sekitar 20%) mengaku berasa kesunyian sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Sepertiga daripada jumlah tersebut pula mengalami kesunyian hampir setiap hari.
Angka ini selari dengan laporan daripada World Health Organization (WHO) yang diterbitkan pada Jun 2025. Laporan bertajuk From Loneliness to Social Connection menyatakan bahawa prevalens kesunyian di rantau Asia Tenggara mencecah sekitar 18.3%. Krisis kesunyian ini mendorong sebahagian individu menggunakan chatbot AI sebagai teman untuk mengatasi kesunyian.
OpenAI turut mengeluarkan data terkini pada akhir Oktober 2025 yang menunjukkan bahawa ramai pengguna ChatGPT berdepan dengan masalah kesihatan mental dan memilih untuk membincangkannya secara langsung dengan chatbot AI.
Dengan lebih daripada 800 juta pengguna aktif mingguan, dianggarkan lebih satu juta individu setiap minggu menggunakan ChatGPT untuk berkongsi tentang keinginan menamatkan hidup, menurut laporan daripada TechCrunch.
Kesan Kebergantungan pada Chatbot AI
Pada awalnya, teknologi chatbot AI digunakan sebagai sarana pencarian informasi dan bantuan ringan. Namun, seiring tekanan hidup, chatbot AI mula dijadikan tempat bercerita, mencurahkan emosi dan sumber sokongan psikologi yang menimbulkan rasa selesa.
Individu dengan kerentanan psikologi cenderung memanfaatkan dunia maya sebagai penenang diri dan pengalihan emosi. Sedangkan, penggunaan yang berlebihan justeru berpotensi memperkuatkan pengasingan sosial serta memperburukkan kesihatan mental, serta menciptakan kitaran kebergantungan yang sukar diputuskan.
Jika dibiarkan, pola keterikatan ini boleh memberi kesan pada kesihatan mental dan kualiti hubungan sosial individu. Kesannya boleh bersifat psikologi, sosial dan kognitif, khususnya pada individu yang berada dalam fasa perkembangan emosi yang mudah terdedah, seperti remaja. Kebergantungan emosi terhadap chatbot AI merupakan bentuk ketagihan digital yang berpotensi mengganggu lingkaran emosi dan hubungan sosial.
Interaksi sosial cenderung berkurangan ketika dunia maya dijadikan sumber utama bagi rasa aman dan keselesaan. Hal ini dapat melemahkan kemampuan individu dalam membina hubungan interpersonal yang sihat, mengawal konflik, menyelesaikan masalah, bahkan kemampuan berfikir sederhana.
Dalam jangka panjang, keadaan ini berpotensi meningkatkan perasaan pengasingan sosial dan mengaburkan batas antara realiti dan dunia maya, sehingga individu semakin sukar membezakan sokongan emosi yang sihat dengan keselesaan segera yang ditawarkan oleh chatbot AI.
Sebuah kajian dari Stanford University memberi tumpuan pada risiko ini. Keputusan menunjukkan bahawa respons AI yang terlalu menyokong justeru boleh membuatkan seseorang makin “yakin sendiri”, bahkan ketika mereka sebenarnya salah.
Secara psikologi, manusia memerlukan cabaran intelektual untuk berkembang. Jika setiap keluhan selalu dibenarkan oleh AI, kemampuannya untuk melakukan refleksi diri (self-reflection) akan menurun.
Pengguna boleh terjebak dalam hubungan khayalan kerana karakter yang diciptakan akan selalu mengikuti senario emosi yang diinginkan pengguna. Akibatnya, keinginan untuk memperbaiki hubungan atau cuba melihat perspektif orang lain dalam sebuah konflik juga akan merosot.
Buah Pahit Sekularisme
Fenomena kesunyian besar-besaran sebenarnya lahir daripada sistem kehidupan sekularisme kapitalisme yang memisahkan agama daripada kehidupan. Sistem ini membina hubungan sosial di atas dasar manfaat, sehingga hubungan manusia menjadi transaksional.
Interaksi antara individu hanya bersandarkan pada pertukaran manfaat, perkhidmatan, atau barang dengan harapan mendapat ganjaran setara, kosong daripada nilai kerohanian. Hubungan ini memberi kesan serius pada kesihatan mental, mencetuskan tekanan kronik, kebimbangan dan kemurungan serta merasa kesunyian.
Sedangkan sebagai makhluk sosial, manusia memerlukan hubungan yang tulen, di mana sokongan tidak selalunya berdasarkan pengiraan material. Namun, sekularisme yang mengagung-agungkan material tidak mengenal nilai sosial, yang ada hanya kepentingan material. Slogan “Tidak ada kawan atau lawan abadi, yang ada hanya kepentingan abadi” membentuk watak yang ego dan mementingkan diri sendiri. Perkara ini membuatkan manusia kehilangan fitrahnya sebagai makhluk sosial.
Sekularisme menyebabkan hilangnya komunikasi tulus di dalam keluarga dan masyarakat. Dalam keluarga, kehangatan itu hilang kerana masing-masing sibuk mengejar material. Hal ini membuatkan seseorang kehilangan ruang yang selamat untuk bercerita. Mereka lebih terbiasa menulis keluh kesah melalui muat naik cerita (story) atau chatbot AI, bukan dalam percakapan hangat dengan orang tua mahupun sahabat terdekat.
Sekularisme juga membentuk masyarakat yang apati, individualistik, kurang kepedulian. “Jaga saja dirimu sendiri, tidak perlu mengurus kehidupan orang lain” merupakan ungkapan yang lumrah terjadi di sistem ini. Jika individualisme sudah membudaya, maka fenomena kesunyian kian ketara. Ketika jiran sakit dan menghadapi masalah, tidak ada yang peduli. Sungguh membimbangkan!
Lebih menyedihkan lagi, sekularisme menimbulkan krisis kerohanian, iaitu hilangnya hubungan yang mendalam dengan Allah SWT, sehingga hati merasa sunyi walaupun dikelilingi dunia yang begemerlapan.
Peluang Perniagaan
Watak materialisme dalam sistem kapitalisme sekular menjadikan setiap perkara, termasuk rasa sunyi, sebagai peluang perniagaan. Perkembangan teknologi AI ditawarkan sebagai penyelesaian kesunyian sekaligus komoditi baru untuk meraih keuntungan.
Di China, contohnya, terdapat aplikasi yang dibuat bagi individu yang tinggal sendiri. Aplikasi tersebut membolehkan pengguna untuk memastikan keadaan mereka tetap terpantau, sekaligus menghadirkan rasa tidak sepenuhnya bersendirian. Dalam konteks ini, teknologi berfungsi sebagai pendamping sekaligus sistem pengawasan.
Aplikasi dan perusahaan teknologi boleh mendapatkan keuntungan kerana tingkat keterikatan (engagement) yang tinggi. Pengguna yang kesunyian cenderung berinteraksi dengan AI secara intensif dan konsisten. Hal ini menciptakan tingkat pengekalan yang tinggi kerana AI menjadi bahagian daripada rutin harian pengguna. Mempertahankan pelanggan dengan pengekalan yang tinggi biayanya jauh lebih murah daripada mencari pelanggan baru.
Potensi pengewangan, iaitu mengubah aktiviti digital menjadi sumber pendapatan, sangat besar. Aplikasi seperti Replika menggunakan model premium, di mana ciri-ciri canggih—seperti interaksi suara, topik perbualan khusus atau hubungan romantis—dikunci di sebalik paywall.
Interaksi luahan perasaan yang mendalam juga menghasilkan data perilaku dan emosi yang berharga bagi perkembangan AI.
Sekilas nampak membantu, tetapi faktanya AI justeru memperparahkan pengasingan sosial. Manusia lebih sering menatap layar daripada menatap wajah orang lain. Percakapan mendalam berganti dengan emoji dan notifikasi, sementara dunia maya menjadi tempat untuk menenangkan diri.
Sedangkan di sebalik ketenangan itu, AI berpotensi memesongkan hubungan manusia. AI tidak menuntut apa pun daripada manusia dan tidak menimbulkan risiko konflik, penolakan atau salah faham, sedangkan hubungan antara manusia justeru berkembang daripada hal-hal tersebut. Jika manusia terbiasa dengan ‘keselesaan’ tanpa risiko ini, mereka akan semakin jauh daripada kemampuan membina hubungan yang nyata.
Manusia yang sepatutnya membina interaksi dengan manusia lain untuk menjalankan amanah menjaga bumi, malah asyik dengan chatbot AI. Bagi seorang muslim, keadaan seperti ini jelas akan menghambat dakwah, bahkan boleh menjerumuskan dalam kebinasaan diri. Ini kerana AI tidak memiliki intuisi, empati yang sebenar sehingga sangat mungkin untuk gagal mengesan tanda-tanda pemikiran bunuh diri, gangguan psikotik, mahupun kemurungan berat pada diri pengguna.
Ketiadaan Negara
Negara juga tidak mengambil berat dalam mengurus rakyat dengan memberikan pandangan hidup yang sesuai dengan fitrah manusia. Manusia akan bahagia jika dia mampu menyelesaikan seluruh masalah hidupnya dan mampu mengendalikan kebahagiaan itu dengan sewajarnya sehingga tidak mudah rapuh ketika dilanda masalah.
Negara membiarkan pasaran mengeksploitasi kelemahan jiwa rakyatnya dengan membiarkan aplikasi chatbot AI terus muncul. Rasa selesa dan perasaan difahami yang ditawarkan membuatkan individu terus kembali ke dunia maya sebagai sumber keselesaan emosi. Perkara ini sama saja dengan negara menjerumuskan rakyatnya dalam kerapuhan jiwa.
Dengan demikian, sistem kapitalisme sekular menjadi punca kemunculan masalah kesunyian yang dialami manusia. Jangankan menyelesaikan masalah, kapitalisme justeru memberikan ruang chatbot AI sebagai penyelesaian palsu atas masalah kesunyian yang dialami manusia, yang malah menambahkan masalah baru.
Sudah saatnya manusia mencari sistem sahih yang mampu memandu mereka dalam menjalani hidup, agar mereka mengetahui hakikat dirinya sebagai hamba Allah, memahami tujuan penciptaannya, dan menyedari arah setelah kehidupan dunia ini, sebagai panduan hidup sehingga terhindar daripada kekeliruan.
Berfikir Secara Asas Tentang Kehidupan
Fakta di atas menunjukkan bahawa sekularisme tidak mampu memberikan pandangan hidup yang benar sebagai sandaran manusia. Keadaan di atas hanya akan terurai saat manusia berfikir secara asas tentang kehidupan.
Islam memberikan panduan bagi umatnya untuk mengukuhkan visi hidup sebagai jawapan simpulan besar dalam menjalani hidup. Simpulan besar (uqdatul qubra) itu menjawab tiga pertanyaan, daripada mana manusia berasal, apa tujuan hidupnya dan ke mana kelak setelah meninggalkan dunia ini.
Akidah Islam menjelaskan bahawa manusia diciptakan oleh Allah SWT untuk beribadah kepada-Nya dan membawa misi memakmurkan bumi dengan syariat Islam. Setelah manusia mati, dia akan menghadap Allah untuk diminta pertanggungjawaban atas amanah yang ada di bahunya. Seterusnya, manusia akan dimasukkan ke dalam syurga atau neraka bergantung pada hasil perhitungan amal selama hidup di dunia.
Dengan menjawab tiga pertanyaan di atas, manusia akan memahami tujuan hidup dan manfaat atas sebuah aktiviti yang dilakukannya. Selain itu, tiga pertanyaan ini juga menjadi pembimbing dan penerang jalan bagi manusia. Manusia yang telah memahami tujuan dan arah pandang dalam aktivitinya akan memiliki visi hidup yang jelas, matang dan memiliki prinsip. Visi hidup yang jelas ini menjadi kunci ketenangan dan ketenteraman seorang muslim.
Setelah mengurai simpulan besar, setiap muslim diseru untuk sentiasa menciptakan ketenangan jiwa melalui solat, zikir atau berdoa. Allah SWT berfirman, “(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” [TMQ Ar-Ra’d (13): 28]
Selain itu, Islam juga mengajarkan konsep qada dan qadar. Konsep ini mengajarkan bahawa segala sesuatu yang menimpa manusia merupakan bahagian daripada ketentuan Allah Taala. Tugas manusia adalah menerima ketetapan Allah Taala. Walau demikian, menerima ketentuan Allah tidak bermakna pasrah. Sebaliknya, manusia perlu sentiasa menempuh ikhtiar yang dapat membawa pada hasil yang diinginkan. Dengan kata lain, penerimaan tersebut bermakna aktif, bukan pasif.
Penerimaan pada ketetapan Allah Taala ini erat kaitannya dengan konsep tawakal. Manusia kerap menganggap bahawa tawakal adalah kepasrahan yang dilakukan tanpa usaha. Sedangkan, tawakal ini sifatnya aktif. Manusia menempuh sebab terbaik, untuk memperoleh hasil yang terbaik juga, seraya mempasrahkan diri kepada Allah. Andai pun hasil yang diperolehnya tidak sesuai dengan harapan, dia redha atas ketetapan Allah. Inilah makna penerimaan atas ketetapan (qada) Allah yang menunjukkan sikap tawakal muslim yang progresif.
Pemahaman terhadap qada akan mampu merangsang etika kerja seorang muslim untuk produktif menjalani kehidupan. Pemahaman tentang standard kebahagiaan hanya ada tatkala Allah redha, akan membuatnya sentiasa berbaik sangka kepada Allah. Segala ikhtiar yang ditempuh seorang muslim sentiasa diiringi dengan sikap tawakal dan menerima qada yang Allah tetapkan. Inilah rahsia Islam dalam membina jiwa yang kukuh, bukan daripada algoritma.
Dia tidak akan merasa kesunyian atau disibukkan dengan perasaan-perasaan negatif, rendah diri, dengki kerana dia yakin bahawa Allah sentiasa bersamanya. Pemahamannya sentiasa membimbingnya untuk berfikir dan beramal semata kerana Allah Taala.
Kehangatan Keluarga
Sebagai unit terkecil dalam masyarakat, keluarga memiliki peranan penting dalam membina asas kehangatan keluarga. Ketika keluarga menjalankan rumahtangganya sesuai aturan Islam makan akan terjalinlah komunikasi yang sihat.
Orang tua akan menjadi tempat pertama bagi anak untuk mencurahkan setiap keresahan yang dihadapi. Seluruh anggota keluarga akan mengusahakan suasana saling memberi, menerima dan memerlukan satu sama lain. Selain itu masing-masing anggota keluarga akan saling memaafkan, mencintai, merindukan dan menguatkan dalam kebaikan.
Dengan begitu, anggota keluarga akan merasa selesa kerana mendapatkan sokongan penuh daripada keluarga, dan tidak akan merasa kesunyian. Demikianlah cara Islam melindungi individu muslim agar terhindar daripada masalah psikologi, termasuk problem merasa kesunyian.
Sistem Sosial yang Sihat
Dari aspek kemasyarakatan, usaha mewujudkan kesihatan mental merupakan hasil daripada kerja sama (taawun) antara satu individu dengan individu lainnya. Dalam Islam, masyarakat bukan hanya terdiri atas individu saja.
Dalam kitab Nizhamul Islam Syeikh Taqiyuddin An Nabhani menjelaskan tentang pengertian masyarakat. Masyarakat adalah kumpulan individu yang saling berinteraksi satu sama lainnya, dan memiliki kesatuan afkar (pemikiran), masya’ir (perasaan) dan nizham (aturan).
Jika individu dalam masyarakat mempunyai asas yang sama, iaitu akidah Islam, maka asas pemikiran masyarakat juga akan menjadi rujukan yang sama, iaitu akidah Islam. Perasaan masyarakat adalah sama, iaitu mereka sentiasa ingin mendapat keberkatan Allah. Untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan sosial, kita menggunakan peraturan yang sama, iaitu syariat Islam.
Maksudnya, Islam menciptakan sistem sosial yang sihat dan tenang bersatu dari segi pemikiran, perasaan dan peraturan yang sama di tengah masyarakat. Kesihatan jiwa tidak hanya diusahakan oleh individu, tetapi juga masyarakat yang sedar.
Islam memberikan panduan hidup bermasyarakat. Islam mengatur tatacara berjiran, berinteraksi, muamalah, saling menolong dan sebagainya. Banyak ayat mahupun hadis yang berkaitan dengan aspek sosial kemasyarakatan. Allah Taala berfirman, “…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan…” [TMQ Al-Maidah (5): 2]
Ayat ini mencerminkan suasana sosial kehidupan masyarakat Islam, di mana manusia saling membantu dalam ketakwaan sambil menghindari perbuatan dosa.
Islam juga memberikan tugas kolektif kepada masyarakat untuk mencegah kemungkaran. Rasulullah SAW bersabda, “Perumpamaan orang yang menjaga larangan-larangan Allah dan orang yang terjatuh di dalamnya adalah seperti suatu kaum yang sedang mengundi untuk mendapatkan tempat mereka masing-masing di dalam kapal. Sebahagian mendapat tempat di bahagian atas kapal dan sebahagian lainnya mendapat di bahagian bawah. Orang-orang yang berada di bawah jika ingin mendapatkan air minum mereka perlu melalui orang-orang yang ada di atas. Mereka (yang ada di bawah) berkata: “Andaikata kita melubangkan perahu ini untuk mendapatkan air minum, maka kita tidak akan mengganggu mereka yang ada di atas”. Jika orang-orang yang ada di atas membiarkan perbuatan dan keinginan orang-orang yang ada di bawah (iaitu melubangkan kapal), maka mereka semua akan tenggelam.” (HR. Bukhâri dan At-Tirmidzi).
Hadis ini menunjukkan bahawa Islam memandang masyarakat sebagai komuniti yang perlu dipelihara oleh setiap anggota masyarakat. Tugas ini membuatkan individu memiliki jaringan sosial yang sebenar dan bermakna.
Negara yang Meriayah
Demikian juga dari aspek bernegara. Negara dalam Islam berkedudukan sebagai raa’in (pengurus) yang mengurus seluruh urusan rakyatnya, termasuk hubungan sosial. Rasulullah SAW menegaskan, “Imam (ketua negara) adalah pengurus rakyat. Dia akan diminta pertanggungjawaban tentang rakyatnya.” (HR. Bukhari).
Muhammad Abd Al-Aziz bin Ali As-Syadzili, dalam kitab Al-Adab an-Nabawi, menjelaskan makna ar-râ’i adalah al-hâfidz al-mu’taman (penjaga, pemelihara, wali, pelindung, pengawal, pengurus, pengasuh yang diberi amanah). Penguasa/pemimpin wajib mewujudkan kemaslahatan siapa saja yang berada di bawah kepimpinannya.
Negara Khilafah akan membangun kehidupan sosial masyarakat sesuai panduan syariat Islam, mencetak generasi berkepreibadian Islam melalui sistem pendidikan yang berasaskan akidah Islam, serta mengembangkan teknologi untuk kemaslahatan umat.
Negara akan mengeluarkan polisi yang menjamin media informasi termasuk media digital digunakan untuk kemaslahatan umat dan menjaga masyarakat daripada pemikiran yang rosak dan menyesatkan.
Negara akan mendorong para cendekiawan muslim untuk menciptakan teknologi dan platform media sosial yang berunsur pendidikan dan bermanfaat, serta mengarahkan media digital sebagai sarana dakwah, amar makruf nahi mungkar dan penyebaran ilmu. Melalui media digital, negara mempermudahkan akses komunikasi awam antara negara dan rakyat untuk mencegah kesalahfahaman, serta sebagai sarana aspirasi dan kritik yang membina bagi masyarakat terhadap pemimpin.
Dengan pengaturan Islam secara kaffah, bermula daripada pemaknaan individu tentang kehidupan, kehangatan keluarga, sistem sosial yang sihat dan negara yang meriayah, tidak akan ada individu-individu yang kesunyian, yang kesunyiannya dieksploitasi oleh pasaran. Sebaliknya akan hadir generasi khairu ummah mengikut firman Allah SWT, “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang munkar, dan beriman kepada Allah.” [TMQ Ali Imran (3):110]
Sumber: MuslimahNews.net
#AI #KesihatanMental

