Status Harta Mangsa Bencana
Oleh : KH. Hafidz Abdurrahman
Soalan:
Banjir besar yang berlaku di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat telah mengorbankan nyawa dan harta benda. Ribuan nyawa dan harta benda tertimbus dalam lumpur, kayu dan batu. Bagaimanakah status harta mangsa yang ditemui, baik di atas tanah, mahupun di bawah timbunan bahan tersebut?
Jawapan:
Secara umum, status harta yang ditemui di atas permukaan tanah boleh dibahagikan menjadi kepada dua keadaan berdasarkan kawasan tempat harta tersebut ditemui. Pertama: Jika kawasan tersebut merupakan tanah tidak bertuan, tanah mati dan bukan tempat laluan manusia, maka harta yang ditemui di atasnya dihukum sebagai rikaz. Kedua: Jika kawasan tersebut merupakan tanah yang bertuan, bukan tanah mati, dan tempat laluan manusia, maka harta yang ditemui di atasnya dihukum sebagai luqathah. Inilah perbezaan secara umum antara rikaz dan luqathah.
Dalam konteks kawasan bencana, sama ada Aceh, Sumatera Utara atau Sumatera Barat, terdapat beberapa kawasan yang harta dan nyawa dinyatakan hilang, akibat dihanyutkan, atau tertimbus oleh lumpur, tanah, batu, atau pokok. Sebelum berlaku bencana, kawasan ini termasuk kawasan yang bertuan, bukan tanah tidak bertuan, malah ada sebahagian penduduknya yang masih selamat. Status harta yang ditemui di kawasan tersebut tidak boleh dihukum sebagai rikaz, sebaliknya lebih tepat dikategorikan sebagai luqathah. Maka secara umum, hukum luqathah hendaklah diterapkan ke atas harta benda yang ditemui di kawasan tersebut.
Secara harfiah, luqathah, daripada lafaz Laqatha, iaitu mengambil sesuatu dari atas permukaan tanah dan setiap biji-bijian atau kurma yang berselerak di atas tanah. [1]
Adapun luqathah menurut istilah syarak:
وَاللُّقَطَةُ شَرْعًا: هِيَ الْمَالُ الضَّائِعُ مِنْ رَبِّهِ يَلْتَقِطُهُ غَيْرُهُ، أَوْ الشَّيْءُ الَّذِيْ يَجِدُهُ الْمَرْءُ مُلْقًى فَيَأْخُذُهُ أَمَانَةً.
Luqathah menurut syarak ialah harta yang hilang daripada pemiliknya, dan diambil oleh orang lain, atau sesuatu yang ditemui oleh seseorang, lalu dia ambil sebagai amanah. [2]
Secara umum, definisi tentang luqathah hampir sama, antara satu fuqaha’ atau mazhab dengan fuqaha’ atau mazhab yang lain. [3]
Mengenai hukum mengambil atau membiarkan barang yang ditemui, para ulama berbeza pendapat:
Menurut mazhab Hanafi boleh jadi sunat, haram atau wajib.
Pertama; Disunatkan mengambil barang yang ditemui yang berada di tanah, jika orang yang mengambil merasa dirinya amanah, maka dia akan mengumumkannya. Jika tidak, maka meninggalkan atau tidak mengambilnya, itu lebih baik daripada mengambilnya.
Kedua: Jika dia mengambilnya untuk dirinya sendiri maka haram. Kerana hal ini sama seperti Ghasab (mengambil harta orang lain tanpa hak).
Ketiga: Wajib untuk mengambilnya, jika bimbang barang tersebut hilang, kerana harta seorang Muslim itu kemuliaannya sama seperti nyawanya sendiri. Jika dia meninggalkannya, yang menyebabkan harta tersebut hilang, maka dia berdosa. [4]
Menurut mazhab Maliki boleh jadi haram, makruh dan wajib.
Pertama: Jika orang yang mengambil barang yang ditemui itu tahu bahawa dirinya tidak amanah maka mengambilnya adalah haram.
Kedua: Jika dia bimbang akan tergoda oleh syaitan dan tidak yakin akan amanahnya, maka mengambilnya adalah makruh.
Ketiga: Jika dia yakin akan dia seorang yang amanah maka ada dua kemungkinan: Jika di tempat itu ada orang baik, dan tidak ada orang yang tidak amanah, atau jika dia khuatir akan ada orang yang tidak amanah. Jika dia khuatir, maka dia wajib untuk mengambilnya.
Jika tidak, maka Imam Malik memiliki tiga pendapat: (1) disunatkan untuk mengambilnya secara mutlak; (2) disunatkan mengambilnya hanya untuk dirinya sendiri; (3) makruh. [5]
Mazhab Syafie menyatakan: Jika dia menemuinya di tempat yang tidak berpenghuni, dan amanah untuk menjaganya, maka lebih baik dia mengembalikannya. Abu Khatthab memilih pendapat ini dan meriwayatkan pendapat lain dari Imam Syafie, bahawa mengambilnya adalah wajib untuk menjaga harta dari kerosakan, bahkan hilang. Ini berdasarkan firman Allah:
وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ ٧١
“Kaum Mukmin, baik lelaki mahupun perempuan, itu merupakan pelindung (penolong) bagi sesama Mukmin yang lain.” (TMQ at-Taubah [9]: 71).
Jika seorang Mukmin adalah wali (pelindung dan penolong) bagi Mukmin yang lain, maka wajib bagi dia untuk menjaga hartanya sehingga tidak membiarkannya rosak atau hilang. Di antara yang memilih pendapat lebih baik mengambilnya adalah, Said bin Al-Musayyab, Hasan bin Salih, dan Ubay bin Kaab. [6]
Imam Ahmad berpendapat bahawa yang lebih baik adalah tidak mengambil barang temuan. Pendapat ini juga diriwayatkan dari Ibn ‘Abbas dan Ibn ‘Umar RA. Pendapat ini juga dipilih oleh Jabir, Ibn Zaid, Rabi’ bin Khutsaim dan ‘Ata’. Dalil mereka adalah hadis al-Jarud yang diriwayatkan dari Nabi SAW:
ضَالَّةُ الْمُسْلِمِ حَرَقُ النَّارِ
“Harta benda kaum Muslim yang hilang (lalu ditemukan oleh orang lain jika ingin dimiliki) itu akan menghantarkan ke neraka (kebinasaan).” (HR Ibn Majah).
Mereka juga berpendapat bahawa mengambil barang temuan dapat menyebabkan seseorang terjatuh dalam memanfaatkan harta haram, meninggalkan kewajipan untuk mengumumkannya, dan menunaikan amanah, kerana itu meninggalkannya, atau tidak mengambilnya, lebih baik dan lebih selamat. [7]
Lalu siapa yang berhak mengambil barang temuan tersebut?
Dalam hal ini, para ulama berbeza pendapat tentang siapa yang boleh dan berhak melakukan untuk mengambil barang temuan, seperti penjelasan di atas. Dalam hal ini ada dua pendapat:
- Pertama, menurut Hanafi, Syafie, dalam pendapat yang lebih kuat dan Hanbali, mengambil barang yang ditemui itu dibolehkan bagi sesiapa sahaja, baik mukallaf, atau tidak; baik yang akalnya sempurna atau tidak. Kerana itu, boleh bagi anak kecil, orang lemah akal, orang bodoh, dan orang yang mabuk, baik Muslim atau kafir, untuk mengambil barang temuan tersebut. Adapun menurut mazhab Hanafi, orang lemah akal dikecualikan. Maksudnya, dia tidak sah mengambil barang temuan tersebut. Begitu juga dengan orang bodoh, dalam satu pendapat, dinyatakan tidak boleh.
Dalil mereka: Pertama, keumuman hadis-hadis tentang Luqhatah, yang tidak membezakan di antara orang yang mengambilnya, apakah seorang mukallaf, atau bukan, apakah berakal sihat atau tidak, dan seterusnya. Kedua, mengambil barang temuan itu adalah salah satu bentuk kepemilikan, sehingga sah bagi mereka sepertimana halnya berburu dan memungut kayu. [8]
- Kedua, Imam Malik berpendapat bahawa yang boleh mengambil barang temuan adalah orang merdeka (bukan hamba), Muslim dan baligh. Tidak boleh hamba, kafir Zimmi, dan anak kecil mengambil barang temuan. Sebahagian pengikut mazhab Syafie juga sependapat dengan pendapat ini tentang tidak sahnya kafir Zimmi mengambil barang temuan. Mereka berpendapat dengan beberapa alasan:
Pertama, Luqhatah adalah wilâyah (perwalian). Hamba, kafir Zimmi, serta anak kecil tidak memiliki kapasiti untuk menjadi wali. Kedua, Luqhatah adalah amanah, sementara kafir Zimmi tidak berhak menerima amanah. Ketiga, jika barang temuan rosak di tangan orang yang berhak mengambilnya bukan kerana faktor kelalaian, maka dia tidak wajib mengganti, kerana dia mengambil sesuatu yang berhak diambil, selain itu tangannya juga merupakan tangan amanah, sebagaimana pemilik asalnya. Keempat, Jika kerosakan terjadi kerana kelalaian maka dia wajib menggantikan dengan hartanya sendiri. [9]
Jika anak-anak di bawah umur telah mengambil barang temuan tersebut, maka ketentuannya seperti berikut:
- Jika wali (orang yang bertanggungjawab)- mengetahui, bahawa anak di bawah jagaannya telah mengambil barang temuan, maka dia wajib untuk mengambilnya daripada anak tersebut, kerana anak tersebut tidak memiliki kapasiti untuk menjaga dan amanah.
- Jika wali membiarkannya di tangan anak tersebut, maka dia wajib menggantinya, kerana dia bertanggungjawab untuk menjaga hak anak tersebut.
- Jika wali mengambilnya maka dia mesti mengumumkannya, kerana anak yang menemukan barang tersebut tidak berhak mengumumkannya.
- Jika wali mengumumkannya selama masa pengumuman dan tidak ada yang mengklaimnya, maka barang tersebut menjadi milik anak tersebut, bukan milik wali, kerana sebab kepemilikan telah dipenuhi, sehingga kepemilikan ditetapkan untuk anak tersebut. [10]
Persaksian
Mengenai persaksian barang temuan, para ulama juga berbeza pendapat tentang adakah disunatkan atau wajib untuk persaksian barang temuan atau tidak? Menurut mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, disunatkan untuk menghadirkan saksi atas barang temuan ketika menemukannya, sebagai perlindungan bagi dirinya sendiri daripada keinginan untuk memiliki dan menyembunyikannya, serta untuk menjaga hak-hak ahli warisnya, jika dia meninggal, dan hak-hak orang-orang yang mempunyai hutang terhadapnya, jika dia bankrap, sehingga barang temuan tersebut tidak dianggap sebagai barangnya.
Menghadirkan saksi atas barang temuan dapat dilakukan baik untuk tujuan memiliki, atau menjaganya. Menurut mazhab Hanafi, dan pendapat lain dari mazhab Syafie, wajib untuk menghadirkan saksi atas barang temuan tersebut, berdasarkan hadis Nabi SAW:
مَنْ وَجَدَ لُقَطَةً فَلْيُشْهِدْ ذَا عَدْلٍ أَوْ ذَوَي عَدْلٍ وَلاَ يَكْتُمْ وَلاَ يُغَيِّبْ فَإِنْ وَجَدَ صَاحِبَهَا فَلْيَرُدَّهَا عَلَيْهِ وَإِلَّا فَهُوَ مَالُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ يُؤْتِيْهِ مَنْ يَشَاءُ
“Siapa saja yang menemukan barang temuan, hendaklah dia bersaksi dengan dua orang yang adil, dan janganlah dia menyembunyikannya atau menghilangkannya. Jika dia menemukan pemiliknya, hendaklah dia mengembalikannya kepadanya. Jika tidak, maka itu adalah harta Allah yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki.” (HR Abu Dawud, An-Nasa’i, Ibn Majah dan Ahmad).
Menurut mazhab Maliki, hukumnya juga wajib jika ada kemungkinan mendakwa kepemilikan. Persaksian barang temuan ini dapat dilakukan dengan mengatakan di hadapan orang ramai, contohnya, “Saya menemui barang temuan, sesiapa saja yang mengakuinya, silakan datang kepada saya.”
Jika dia telah bersaksi dan barang temuan itu hilang, maka perkataannya yang dipercayai, dan tidak ada kewajipan ganti rugi atasnya. Dalam bersaksi, dia harus menyebutkan beberapa ciri-ciri barang temuannya, tetapi tidak perlu menyebutkan semua ciri-cirinya, agar tidak disalahgunakan oleh orang yang tidak berhak. [11]
Para ulama sepakat, bahawa wajib bagi orang yang menemukan barang untuk mengumumkannya, sama ada dia ingin memilikinya mahupun menjaganya agar kelak boleh diambil oleh pemiliknya. Ini berdasarkan hadis Ubay bin Kaab yang mengatakan: Saya menemukan sebuah kantong berisi 100 dinar. Lalu saya membawanya kepada Nabi SAW dan beliau bersabda:
«عَرِّفْهَا حَوْلاً»
“Umumkanlah selama setahun.”
Saya pun mengumumkannya selama setahun, tetapi tidak ada yang mengakuinya. Lalu saya kembali kepada Nabi SAW, dan beliau bersabda, “Umumkanlah lagi selama setahun.” Saya pun mengumumkannya lagi, tetapi masih tidak ada yang mengakuinya. Lalu saya kembali kepada Nabi SAW untuk ketiga kalinya dan beliau bersabda:
«اِحْفَظْ وِعَاءَهَا وَعَدَدَهَا وَوِكَاءَهَا، فَإِنْ جَاءَ صَاحِبُهَا، وَإِلاَّ فَاسْتَمْتِعْ بِهَا»
“Simpanlah wadah, jumlahnya dan tali pengikatnya. Jika pemiliknya datang, maka kembalikanlah kepadanya. Jika tidak, maka gunakanlah.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Kerana itu, tidak ada perbezaan antara orang yang ingin menjaga barang temuan dan orang yang ingin memilikinya. Sebabnya, menjaga barang temuan untuk dikembalikan kepada pemiliknya hanya boleh dilakukan dengan mengumumkannya sehingga pemiliknya dapat mengetahuinya. Jika barang temuan tetap berada di tangan orang yang menemukannya tanpa diumumkan, maka itu sama sahaja dengan menghilangkannya. Selain itu, menyembunyikan barang temuan tanpa mengumumkannya adalah tindakan yang tidak dibolehkan, kerana itu bermaksud menghilangkan kesempatan pemiliknya untuk mendapatkannya kembali.
Jika tidak diumumkan, maka barang temuan tersebut tidak boleh diambil. Sebabnya, jika seperti itu, membiarkan barang temuan itu tetap berada di tempatnya lebih memungkinkan pemiliknya untuk menemukannya kembali. Kerana itu mengambil barang temuan tanpa mengumumkannya boleh menyebabkan kerugian bagi pemiliknya, maka hukum mengumumkannya adalah wajib bagi yang menemukannya.
Para ulama Syafie menyatakan bahawa orang yang mengumumkannya harus memenuhi beberapa syarat, iaitu: (1) Akal sihat; (2) Boleh dipercayai (tsiqah); (3) Tidak semestinya adil, tetapi perkataannya boleh dipercayai; (4) Tidak terkenal sebagai orang yang suka berbuat jahat, atau tidak peduli dengan apa yang dia lakukan. [12]
Imam Malik, Syafie dan Ahmad berpendapat bahawa barang temuan mestilah diumumkan selama satu tahun tanpa membezakan antara barang yang bernilai murah atau mahal. Pendapat ini juga dipegang oleh Muhammad bin al-Hasan dari mazhab Hanafi. Mereka berpendapat dengan hadis Nabi SAW yang memerintahkan Zaid bin Khalid al-Juhani untuk mengumumkannya selama satu tahun tanpa membezakan antara barang yang bernilai murah atau mahal. Selain itu, satu tahun adalah masa yang cukup untuk memungkinkan orang yang kehilangan barang untuk mencari dan menemukannya kembali. Dalam tempoh satu tahun, orang boleh melakukan perjalanan dan mencari barang yang hilang di pelbagai tempat.
Imam Abu Hanifah dan pengikutnya berpendapat bahawa ada perbezaan antara barang yang bernilai murah dan mahal. Jika barang temuan bernilai kurang daripada 10 dirham, maka cukup diumumkan selama beberapa hari sahaja, sesuai dengan pertimbangan bahawa pemiliknya tidak akan mencarinya lagi setelah itu. Namun, jika barang temuan bernilai 10 dirham atau lebih, maka ia mesti diumumkan selama satu tahun, kerana ada hadis yang menyebutkan, bahawa Nabi SAW memerintahkan untuk mengumumkannya selama satu tahun untuk barang temuan yang bernilai 100 dinar (senilai dengan 1000 dirham). [13]
Hadis dari Zaid bin Khalid al-Juhani yang berkata: Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya tentang barang temuan. Beliau bersabda, “Kenali wadah dan tali pengikatnya. Lalu umumkanlah selama satu tahun. Jika pemiliknya datang, kembalikanlah kepada dia. Jika tidak, maka ia menjadi milikmu.” Lelaki itu bertanya, “Bagaimana jika yang ditemui itu ialah kambing?” Nabi SAW menjawab, “Itu milikmu, atau milik saudaramu, atau milik serigala.” Lelaki itu bertanya lagi, “Bagaimana jika yang ditemui itu ialah unta?” Nabi SAW menjawab, “Tidak ada urusan antara kamu dengan unta itu. Ia memiliki tempat air dan sepatunya. Biarkanlah ia minum dan makan dedaun sehingga ditemukan oleh pemiliknya.”.
Mengenai waktu dan tempat pengumumannya, dinyatakan oleh para fuqaha’, bahawa orang yang menemukan barang temuan tersebut hendaklah mengumumkannya pada siang hari, bukan pada waktu malam. Sebabnya, waktu siang ialah waktu orang berkumpul, sedangkan tidak pada waktu malam. Pengumuman mestilah dilakukan pada hari ketika dia menemukannya, dan selama satu minggu setelahnya, kerana pada waktu itu ramai orang mencari barang yang hilang.
Pengumuman mestilah dilakukan di tempat ketika barang temuan itu ditemui. Ini kerana, itu adalah tempat yang paling memungkinkan pemiliknya mencari barang tersebut. Selain itu, pengumuman juga boleh dilakukan di pintu-pintu masjid dan tempat-tempat orang ramai yang lain, seperti pasar, majlis, dan tempat-tempat perhentian kenderaan, terutama pada waktu-waktu solat. Namun, pengumuman tidak boleh dilakukan di dalam masjid, kerana masjid tidak dibina untuk tujuan itu dan ada larangan untuk melakukannya. [14]
Jumhur fuqaha’, seperti Imam Malik, Syafie, dan Ahmad, berpendapat bahawa orang yang menemukan barang temuan itu boleh memilikinya, jika telah mengumumkannya selama satu tahun atau kurang, dan tidak ada yang mengakuinya. Barang temuan tersebut menjadi miliknya, sama ada dia kaya atau miskin. Kepemilikan itu terjadi setelah pengumuman selesai dilakukan.
Imam Syafie menambahkan bahawa barang temuan itu tidak menjadi milik orang yang menemukannya hingga dia menyatakan keinginannya untuk memilikinya dengan kata-kata yang jelas, seperti, “Saya memiliki barang temuan ini”. Namun, jika orang yang menemukannya adalah orang yang bisu, maka isyarat yang jelas dapat dianggap sebagai pernyataan keinginannya untuk memiliki.
Imam Abu Hanifah berpendapat, bahawa orang yang menemukan barang temuan itu tidak boleh memilikinya dan memanfaatkannya, kecuali jika dia sendiri adalah orang yang miskin. Sebabnya, ada dua pertimbangan yang perlu dipenuhi. Pertama, memberikan pahala kepada pemiliknya. Kedua, memberikan manfaat kepada orang yang menemukannya. Kerana itu, barang temuan tersebut boleh diberikan kepada orang lain yang miskin. Orang yang menemukannya juga dapat memberikan kepada ayah, anak, atau isterinya, jika mereka miskin, walaupun dia sendiri kaya.
Imam Syafie dan Imam Ahmad berpendapat, bahawa tidak ada perbezaan antara keluarga Nabi SAW (Bani Hashim) mahupun bukan, serta antara orang kaya dan miskin dalam hal memiliki barang temuan. Namun, Imam Abu Hanifah berpendapat, bahawa orang yang tidak boleh menerima sedekah, seperti orang kaya, dan keluarga Nabi SAW (Bani Hasyim), tidak boleh memiliki barang temuan.
Jika dua orang atau lebih yang menemukan barang temuan bersama-sama, maka mereka memiliki hak kepemilikan bersama atas barang temuan tersebut, termasuk keuntungan yang diperolehi daripada barang itu, baik keuntungan itu berbentuk pertambahan nilai atau hasil yang dipisahkan.
Mengenai status anak dari barang temuan (seperti haiwan yang ditemui sedang bunting) memiliki status yang sama dengan barang temuan itu sendiri. Jika anak itu lahir sebelum orang yang menemuinya memiliki hak kepemilikan, maka anak itu juga harus diumumkan. Namun, jika anak itu lahir setelah orang yang menemuinya memiliki hak kepemilikan, maka anak itu menjadi miliknya sebagai sebahagian daripada barang temuan yang telah dia miliki. [15]
Inilah ketentuan secara umum tentang hukum luqathah dan bagaimana solusi Islam terhadapnya. Sesiapa yang ingin mendalaminya lebih terperinci, boleh merujuk kitab-kitab fikih yang ditulis oleh para ulama pada zamannya.
WalLâhu a’lam bi as-shawâb.
Nota kaki:
- Abu al-Fadhl Jamaluddin Muhammad bin Mukrim, Ibn Mandzur, Lisan al-‘Arab, Dar al-Fikr, Beirut: t.t., Juz VII, hal. 392; Abi al-Husain Ahmad bin Faris bin Zakariya, MU’jam Maqayis al-Lughah, Dar Ibn al-Jauzi, Qahirah, cet. I, 1439 H/2018 M, hal. 728.
- As-Syaukani, Fath al-Qadir, Juz VI, hal. 118; Al-Khathib as-Syarbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Ma’ani Alfadzi al-Minhaj, Juz II, hal. 406;
- Lihat, Ibn Qudamah, al-Mughni, Juz VIII, hal. 290; Al-Murdawi, al-Inshaf, Juz VI, hal. 399; Ibn ‘Abidin, Hasyiyah Ibn ‘Abidin, Juz IV, hal. 298; Dr. Mahmud ‘Abdurrahman ‘Abd al-Mun’im, Mu’jam al-Musthalahat wa al-Alfadz al-Fiqhiyyah, Juz III, hal. 180-182.
- Ibn ‘Abidin, Hasyiyah Ibn ‘Abidin, Juz IV, hal. 277; As-Sarakhsi, al-Mabsuth, Juz XI, hal. 2; Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Juz XXXV, hal. 295.
- Ibn Rusyd, Bidayatu al-Mujtahid wa Nihayatu al-Muqatshid, Juz II, hal. 336-337; Ad-Dasuqi, Hasyiyah ad-Dasuqi, Juz IV, hal. 120.
- Al-Khathib as-Syarbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Ma’ani Alfadzi al-Minhaj, Juz II, hal. 406-407; As-Syirazi, al-Muhadzdzab, Juz I, hal. 429.
- Lihat, Ibn Qudamah, al-Mughni, Juz V, hal. 693; Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Juz XXXV, hal. 296.
- Ibn ‘Abidin, Hasyiyah Ibn ‘Abidin, Juz III, hal. 313; Al-Khathib as-Syarbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Ma’ani Alfadzi al-Minhaj, Juz II, hal. 426; Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Juz XXXV, hal. 296-297; Taqiyuddin An-Nabhani, An-Nidzam al-Iqatishadi fî al-Islam, Dar al-Ummah, Beirut, cet. IV, 1425 H/2004 M, hal. 123-124.
- Ibn Rusyd, Bidayatu al-Mujtahid wa Nihayatu al-Muqatshid, Juz II, hal. 333; Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Juz XXXV, hal. 297.
- Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Juz XXXV, hal. 297.
- Ibn ‘Abidin, Hasyiyah Ibn ‘Abidin, Juz III, hal. 319; Al-Khathib as-Syarbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Ma’ani Alfadzi al-Minhaj, Juz II, hal. 407; Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Juz XXXV, hal. 298.
- Al-Khathib as-Syarbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Ma’ani Alfadzi al-Minhaj, Juz II, hal. 412; Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Juz XXXV, hal. 298.
- Al-Khathib as-Syarbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Ma’ani Alfadzi al-Minhaj, Juz II, hal. 413; Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Juz XXXV, hal. 299.
- Ibn ‘Abidin, Hasyiyah Ibn ‘Abidin, Juz III, hal. 319-320; Al-Khathib as-Syarbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Ma’ani Alfadzi al-Minhaj, Juz II, hal. 412; Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Juz XXXV, hal. 298.
- Al-Khathib as-Syarbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Ma’ani Alfadzi al-Minhaj, Juz II, hal. 415; Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Juz XXXV, hal. 303.
#luqathah #barangtemuan #lostandfound #baranghilang #bencanaalam #kepemilikanharta #fikihbencana

