Site icon MuslimahHTM News

[Persepsi Berbahaya] Dialog Antara Agama (Bahagian 5/6)

[Persepsi Berbahaya] Dialog Antara Agama (Bahagian 5/6)

 

Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum

 

(Sambungan daripada “Dialog Antara Agama” Bahagian 4/6.)

 

Allah SWT berfirman, “Sesiapa sahaja yang mencari agama selain Islam, maka agamanya itu tidak akan diterima.” [TMQ Ali Imran (3): 85].

 

Di samping itu, Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Islam itu dibina atas lima perkara. …” Sebagaimana yang diketahui, agama-agama selain Islam tidak dibina atas dasar lima perkara seperti yang dinyatakan dalam hadis tersebut.

 

Dalam konteks ini bermaksud, selepas maknanya ditransformasikan (dipindahkan) kepada makna syarie, semua perkataan yang merupakan terbitan daripada perkataan Islam, seperti aslama (fi’l madhi) dan muslim (ism fa’il), jika diucapkan tanpa disokong oleh adanya petunjuk (qarinah) tertentu, yang dimaksudkan adalah makna syarie, bukannya makna yang lain. Sebaliknya, jika yang dimaksudkan sememangnya makna bahasanya yang asli, mestilah ada petunjuk (qarinah) yang menyokong adanya transformasi maknanya, iaitu daripada makna syarie kembali kepada makna bahasanya.

 

Contohnya terdapat dalam firman Allah SWT, “Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani. Akan tetapi, beliau adalah seorang yang lurus lagi berserah diri.” [TMQ Ali Imran (3): 67].

 

Ertinya, Nabi Ibrahim AS bukanlah penganut agama Islam, iaitu agama yang khusus diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Akan tetapi, beliau adalah seorang yang tunduk patuh (munqâd) terhadap segala apa yang Allah SWT turunkan kepadanya. Beliau sendiri bukan tergolong dalam kalangan orang Yahudi mahupun Nasrani (Kristian), iaitu dua kumpulan manusia yang telah melakukan pengubahan terhadap agama nabi-nabi mereka.

 

Dengan demikian, maksud daripada kenyataan bahawa Nabi Muhammad SAW, Nabi Isa AS, dan Nabi Musa AS telah mengikuti agama Ibrahim adalah bahawa mereka mengimani akidah yang sama, iaitu akidah tauhid (monoteisme) sebagai dasar atau inti semua agama yang berasal daripada sisi Allah SWT. Inilah yang dimaksudkan daripada firman Allah SWT, “Dia telah mensyariatkan bagi kamu daripada agama ini apa yang telah diwasiatkan kepada Nuh, apa yang telah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad), serta apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa, dan Isa, iaitu, ‘Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah-belah di dalamnya.’” [TMQ Asy-Syura (42): 13].

 

Walhasil, agama (ad-din) yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah dasar atau teras agama (ashl ad-din), iaitu akidah tauhid. Manakala syariat mereka masing-masing tidaklah sama kerana ayat tersebut telah di-takhsis (dikhususkan) oleh firman Allah SWT, “Bagi setiap umat di antara kamu, Kami telah berikan syariat (peraturan hidup) dan jalan yang terang.” [TMQ Al-Ma’idah (5): 48].

 

Kedua, aspek syarie. Allah SWT telah mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai penutup para nabi untuk seluruh umat manusia. Mereka semua dituntut untuk meninggalkan agama-agama mereka, sama ada agama samawi mahupun bukan, lalu mengambil Islam sebagai agama mereka. Sesiapa sahaja yang memenuhi tuntutan ini, dia dianggap telah masuk Islam. Sebaliknya, sesiapa sahaja yang tidak memenuhinya, dia dianggap telah kafir.

 

Allah SWT berfirman, “Katakanlah kepada orang-orang yang diberikan Al-Kitab dan orang-orang yang ummi, ‘Adakah kamu mahu masuk Islam?’ Jika mereka masuk Islam, sesungguhnya mereka telah mendapat petunjuk. Sebaliknya, jika mereka berpaling, maka kewajipanmu hanyalah menyampaikan (ayat-ayat Allah) sahaja. Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya.” [TMQ Ali Imran (3): 20].

 

Allah SWT juga berfirman, “Orang-orang kafir daripada kalangan Ahli Kitab dan orang-orang musyrik tidak akan meninggalkan agama mereka sehinggalah datang kepada mereka bukti yang nyata, iaitu seorang rasul daripada Allah (Muhammad). …” [TMQ Al-Bayyinah (98): 1-2].

 

Ertinya, orang-orang Ahli Kitab dan orang-orang musyrik tidak boleh dikatakan telah meninggalkan kekufuran, melainkan jika mereka masuk Islam, iaitu mengikuti agama Nabi Muhammad SAW. Sementara itu, Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tanganNya, tidaklah seseorang daripada kalangan umat ini mendengar tentang aku, sama ada Yahudi mahupun Nasrani, kemudian dia mati dalam keadaan tidak mengimani risalah yang aku bawa, melainkan dia termasuk dalam kalangan penghuni neraka.” [HR Muslim].

 

Walhasil, seluruh umat manusia telah diseru untuk memeluk Islam. Sesiapa sahaja yang tidak mahu memeluk Islam setelah dikemukakan hujah kepadanya, secara pasti dia bermaksud tergolong dalam kalangan orang kafir. Orang-orang Yahudi dan Kristian yang hidup selepas diutusnya Nabi Muhammad SAW, jika mereka tetap menganut agama mereka masing-masing, bermakna mereka adalah orang-orang kafir.

 

Demikian menurut nas Al-Quran. Ini bermakna haram hukumnya menyifatkan mereka sebagai orang-orang Muslim. Sesiapa sahaja yang secara iktikad (i’tiqadi) meyakini bahawa orang-orang Yahudi dan Kristian serta para penganut agama lain termasuk dalam kalangan orang Muslim, sesungguhnya dia telah kafir. Alasannya, dengan iktikad tersebut bermakna dia telah mengingkari nas-nas syariat yang qath’i tsubut (pasti sumbernya) dan qath’i dalalah (pasti maknanya). Seandainya dia mati dalam keadaan berkeyakinan sedemikian, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni neraka.

 

Ketiga, aspek yang menyentuh wacana tentang anak cucu Nabi Ibrahim AS. Sebenarnya, wacana atau perbincangan di sekitar anak cucu Ibrahim ini menyeru kaum Muslim ke arah ikatan primordialisme atas dasar kebangsaan (rabithah qawmiyah). Padahal, pada hakikatnya, ikatan primordialisme seumpama ini merupakan ikatan yang bersifat emosional dan bermutu rendah yang lahir daripada naluri manusia untuk mempertahankan eksistensi dirinya (gharizah al-baqa’).

 

Ikatan seumpama ini tidak boleh dianggap sebagai sebuah ikatan yang manusiawi. Alasannya, ikatan ini sememangnya tidak layak untuk dijadikan faktor pengikat seorang manusia dengan manusia yang lain apabila berhadapan dengan realiti bahawa kedua-duanya, misalnya, berbeza dari segi asal-usul keturunan atau nasabnya. Selain itu,  ikatan primordial yang disandarkan pada asal-usul anak cucu Nabi Ibrahim AS sesungguhnya telah terhapus oleh peredaran zaman, malah hakikatnya tidak ada lagi dalam realiti kehidupan.

 

Orang-orang yang bernasab kepada Nabi Ibrahim AS dan keturunannya telah bercampur baur dengan bangsa-bangsa lain sebagai kesan daripada adanya hubungan perkahwinan, pergaulan, migrasi, dan peperangan. Oleh itu, sangat sukar, malah mustahil jika kita kini berupaya untuk membezakan mereka daripada manusia yang lain.

 

Di samping itu, pada hakikatnya, para pengikut ketiga-tiga agama tersebut, iaitu Islam, Kristian, dan Yahudi, berasal daripada pelbagai bangsa dan suku yang ada di dunia. Masing-masing telah terintegrasi atas dasar agama, bukan atas dasar asal-usul keturunan. Atas dasar itu, istilah “Anak Cucu Ibrahim” untuk merujuk kepada para penganut agama Islam, Yahudi, dan Kristian, termasuk mereka yang tinggal di sekitar Masjidil Aqsa atau tempat yang lain adalah sebutan yang melulu, tidak berasas, dan tidak benar. Istilah ini sebenarnya lebih bertujuan untuk memerangi Islam dan kaum Muslim, menjustifikasikan proses perdamaian yang dipaksakan, serta melegitimasi pembukaan hubungan diplomatik dengan negara Yahudi yang menduduki tanah kaum Muslim yang mereka rampas.

 

Semua ini ditujukan untuk memberikan legaliti ke atas pelbagai tindakan jenayah yang sangat menjijikkan yang telah dilakukan oleh para penguasa yang khianat atas dasar suruhan majikan-majikan mereka yang kafir.

 

Sumber: Abdul Qadim Zallum, Persepsi-Persepsi Berbahaya untuk Meruntuhkan Islam dan Mengukuhkan Peradaban Barat.

 

(Bersambung ke “Dialog Antara Agama” Bahagian 6/6.)

 

#PersepsiBerbahaya #DialogAntaraAgama #Pluralisme #Sekularisme #RacunPemikiran #AbrahamicDialogue

Exit mobile version