Site icon MuslimahHTM News

[Persepsi Berbahaya] Globalisasi (Bahagian 1/3)

[Persepsi Berbahaya] Globalisasi (Bahagian 1/3)

 

Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum

 

Perumpamaan istilah globalisasi dalam kalangan istilah-istilah baharu adalah ibarat jilbab di antara pakaian dan seperti Kuda Trojan di antara sarana perang. Ertinya, istilah tersebut melitupi apa yang  terkandung di dalamnya untuk menyembunyikan sesuatu yang dilitupinya. Malah, ia menyembunyikan lebih banyak perkara daripada sekadar sesuatu yang mampu dilitupinya.

 

Bukti yang sangat jelas tentang hal itu ialah peristiwa yang pernah berlaku di Beirut pada penghujung tahun 1997. Pada masa itu, Pusat Kajian Kesatuan Arab sebagai salah satu institusi peninggalan golongan nasionalis Arab telah menganjurkan satu persidangan untuk mengkaji globalisasi dan sikap yang perlu diambil oleh negara-negara Arab dalam menghadapinya. Mereka seolah-olah menganggap bahawa globalisasi bertentangan dan mengancam fahaman nasionalisme.

 

Dalam mukadimah undangan persidangan itu, dinyatakan bahawa topik-topik persidangan ialah (1) Globalisasi dan pendekatan negara-negara Arab dalam memahami serta menyikapinya, (2) Kemunculan globalisasi dalam bidang politik, ekonomi dan budaya, (3) Sejarah, latar perkembangan dan peranan globalisasi pada masa kini, (4) Sikap Amerika terhadap globalisasi, khususnya selepas runtuhnya Kesatuan Soviet dan berakhirnya Perang Dingin, (5) Kesan globalisasi dalam bidang ekonomi dan pembangunan di negara-negara Arab, (6) Pencarian peranan dan identiti kebudayaan Arab.

 

Dalam persidangan itu, puluhan ulama dan profesor dari pelbagai universiti telah diundang. Ternyata mereka mempunyai persepsi yang bercelaru tentang globalisasi dan cara menyikapinya. Akhbar-akhbar tempatan telah menyiarkan ringkasan pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh para peserta persidangan tersebut yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut. Hal ini menunjukkan bahawa persidangan itu lebih tepat disifatkan sebagai “perdebatan yang sia-sia” daripada sebuah persidangan yang serius membahaskan suatu pemikiran. Akhirnya, jawatankuasa penganjur memutuskan bahawa persidangan itu tidak akan mengeluarkan sebarang resolusi atau rekomendasi.

 

Globalisasi ialah istilah baharu dalam bahasa Inggeris dan Perancis yang mula muncul kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Istilah ini tidak digunakan untuk menggambarkan sesuatu, iaitu bahawa kewujudan sesuatu itu telah berskala global di sebahagian besar pelosok dunia. Sebaliknya, istilah tersebut digunakan untuk menyatakan bahawa terdapat satu atau beberapa pemain ekonomi (economic player) yang berhasrat mengglobalisasikan sesuatu.

 

Sebagai contoh, wujud sesebuah syarikat multinasional (MNC) tertentu yang mengguna pakai strategi rantaian bekalan (supply chain strategy) dengan menganggap seluruh dunia sebagai hab pengeluaran (production hub) yang berpotensi untuk menghasilkan barangan mereka. Entiti perniagaan tersebut kemudiannya benar-benar memindahkan operasi pengeluaran mereka ke satu atau beberapa buah negara pasaran pesat membangun yang menawarkan kelebihan kos mutlak (absolute cost advantage) dari segi kos buruh dan bahan mentah yang lebih rendah berbanding di negara asal.”

 

Pada ketika itulah dikatakan bahawa sesebuah syarikat multinasional (MNC) telah mengglobalisasikan produk mereka. Istilah ini juga diterapkan kepada kegiatan-kegiatan lain firma tersebut atau entity perniagaan yang lain. Sebagai contoh, keadaan ini berlaku  apabila syarikat itu mengamalkan dasar globalisasi untuk memasarkan dan mempromosikan produk mereka, meneroka komoditi baharu serta kepelbagaian produk (diversifikasi), mengupah buruh, pakar dan pengurus, ataupun untuk menarik minat para pelabur dan pembiaya (kreditor) bagi membiayai operasi  syarikat, dan sebagainya.

 

Istilah globalisasi pertama kali digunakan untuk menggambarkan kegiatan konglomerat gergasi Amerika pada awal pertengahan tahun 1980-an. Ketika Ronald Reagan menjadi Presiden Amerika pada tahun 1981, dia mengambil dasar-dasar yang agresif dalam hubungan antarabangsa, sama ada dalam sektor ekonomi mahupun politik. Dasar-dasar beliau mendapat sokongan kuat daripada komuniti perniagaan Amerika Syarikat.

 

Antara dasar tersebut ialah dasar dolar kukuh (strong dollar policy)  untuk menarik para pelabur asing agar mereka mahu melaburkan modal mereka dalam bon kerajaan Amerika Syarikat dan pasaran modal yang terdapat di sana. Langkah ini dilaksanakan bertujuan untuk membiayai program-program persenjataan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran  Reagan dan menewaskan Kesatuan Soviet dalam perlumbaan senjata yang sedang memuncak ketika itu. Program ini terbukti berjaya melumpuhkan sistem  ekonomi komunis pada tahun 1989.

 

Dasar dolar kukuh ini menyebabkan nilai mata wang dolar meningkat dengan ketara dan kekal tinggi pada tahun-tahun awal pemerintahan Reagan. Indeks kadar pertukaran dolar, apabila diukur berbanding mata wang negara-negara lain dan berdasarkan imbangan  perdagangan Amerika Syarikat, mencecah paras 159 mata pada Februari 1985. Sebaliknya,  pada bulan pertama pemerintahan Reagan, iaitu Januari 1981, indeks kadar pertukaran dolar hanyalah berada ialah 91 mata. Ertinya, nilai pertukaran  dolar meningkat lebih kurang 75 peratus.

 

Antara langkah politik berani Reagan ialah pengabaiannya terhadap kesan negatif atau kesan sampingan (spillover effects) daripada dasar dolar kukuh yang diambilnya. Ini kerana beliau menumpukan perhatian untuk memenangi persaingan antara kapitalisme dengan komunisme. Antara kesan negatif tersebut ialah peningkatan nilai dolar yang telah menjejaskan daya saing produk domestik Amerika Syarikat berbanding lambakan produk asing di pasaran tempatan mereka sendiri.

 

Akibatnya, eksport Amerika Syarikat merosot, manakala importnya melonjak dengan mendadak. Defisit imbangan perdagangan luar Amerika Syarikat semakin terkumpul dalam jumlah yang besar pada era Reagan. Ini kerana jumlah keseluruhannya sepanjang pemerintahan Reagan pada tahun 1980-an telah mencapai US$723 bilion. Sedangkan pada era presiden sebelumnya pada awal 1980-an, jumlah keseluruhan defisit itu hanya lebih kurang AS$4 bilion.

 

Antara kesan negatif dasar dolar kukuh ini termasuklah penyusutan keuntungan bersih syarikat Amerika Syarikat akibat persaingan antara produk asing dengan produk tempatan yang harganya bersandarkan pada nilai dolar. Keadaan ini memaksa syarikat-syarikat Amerika Syarikat menurunkan harga barangan mereka. Rentetan itu,  mereka menilai secara serius cara untuk mengurangkan kos pengeluaran barangan mereka, khususnya melibatkan upah buruh domestik Amerika Syarikat.

 

Sekumpulan profesor daripada beberapa universiti di Amerika Syarikat kemudiannya mengemukakan idea penstrukturan semula korporat (corporate restructuring) bagi firma-firma ini. Usaha ini dilaksanakan dengan mengadakan kajian semula secara mendasar terhadap operasi syarikat, sama ada dalam aspek pengeluaran, pemasaran mahupun kegiatan lain. Idea ini mendapat sambutan hangat daripada kalangan pelabur dan usahawan Amerika Syarikat.

 

Perlaksanaan idea tersebut secara praktikalnya telah mengakibatkan penutupan banyak kilang dan cawangan syarikat Amerika Syarikat , selain pemberhentian pekerja  dan buruh secara besar-besaran yang melibatkan pembayaran pampasan penamatan perkhidmatan (severance pay) yang tinggi. Situasi Ini seperti yang pernah dilakukan oleh General Motors, pengeluar automobil terbesar di Amerika Syarikat, yang memberhentikan seramai 74 ribu pekerjanya sekaligus. Begitu juga IBM, gergasi teknologi di negara tersebut, yang memberhentikan kira-kira 60 ribu pekerjanya melalui tiga fasa dalam tempoh masa yang hampir sama.

 

Sumber: Abdul Qadim Zallum, Persepsi-Persepsi Berbahaya untuk Menghentam Islam dan Mengukuhkan Peradaban Barat.

 

Bersambung ke “Globalisasi” Bahagian 2/3.

 

#PersepsiBerbahaya #Globalisasi #Kapitalisme

Exit mobile version