Site icon MuslimahHTM News

Wajib Menerapkan Al-Quran

[Wawancara] Wajib Menerapkan Al-Quran – KH. Rokhmat S. Labib

 

Pengantar:

 

Al-Quran sesungguhnya bukan sekadar bacaan. Al-Quran adalah pedoman kehidupan. Baik untuk mengatur kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat bahkan negara. Sayangnya, saat ini al-Quran hanya sekadar dibaca. Hukum-hukum syariatnya banyak dicampakkan. Lebih-lebih lagi dalam konteks kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Persoalannya: Mengapa semua ini boleh terjadi? Apakah faktor penyebabnya? Bagaimana pula solusinya?

 

Itulah beberapa soalan yang diajukan Redaksi kepada KH Rokhmat S. Labib. Berikut adalah hasil wawancara lengkapnya.

 

[Soalan] Ustaz, saat ini sedang berlaku fenomena umat yang ‘jauh’ daripada al-Quran. Al-Quran dibaca, namun banyak syariatnya yang tidak dilaksanakan. Misalnya masih ramai yang mengambil riba, terlibat dengan rasuah, berzina, membuka aurat, dll. Mengapa itu semua boleh terjadi?

 

Terdapat banyak faktor yang mendorong semua masalah tersebut berlaku.

 

Pertama, kurangnya pengetahuan terhadap Al-Quran. Memang Al-Quran masih dibaca, tetapi tidak difahami. Hal ini menyebabkan pembacaan tersebut tidak melahirkan pemahaman yang benar dan penghayatan yang sebenar.

 

Kedua, Al-Quran belum benar-benar dijadikan sebagai pedoman dalam kehidupan. Terutama dalam hukum-hukum yang mengatur kehidupan masyarakat dan negara. Oleh sebab itu, meskipun mereka mengetahui bahawa ada ayat yang jelas mewajibkan hukuman qishâsh bagi pembunuh, potong tangan bagi pencuri, rotan bagi penzina, namun ia tidak dilaksanakan kerana Al-Quran tidak dijadikan sebagai pedoman yang benar-benar wajib diterapkan.

 

Ketiga, Al-Quran tidak diterapkan dalam kehidupan oleh negara. Sebahagian mereka memahami dengan benar, juga menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup. Akan tetapi, mereka tidak dapat melaksanakannya kerana ianya tidak diterapkan oleh negara. Ini bermaksud, bukan mereka tidak mahu, tetapi kerana mereka dilarang oleh negara untuk melaksanakannya.

 

[Soalan] Apakah faktor fundamental yang menyebabkan umat jauh daripada Al-Quran?

 

Al-Quran tidak dijadikan sebagai pedoman kehidupan, baik secara individu mahupun oleh negara. Keduanya saling berkaitan.

 

Mengapa ada rakyat yang tidak boleh membaca, memahami dan mengamalkan Al-Quran? Kerana negaranya tidak mengajarkan, tidak mewajibkan rakyat untuk mengamalkan dan menerapkan Al-Quran. Bahkan negara melarang penerapan hukum-hukum yang terkandung di dalam Al-Quran yang bertentangan dengan ideologi dan sistem yang diterapkan oleh negara.

 

Lalu, mengapa negara tidak menjadikan Al-Quran sebagai pedoman dan dasar negara? Kerana rakyatnya mendukung, atau sekurang-kurangnya mereka mendiamkan dan membiarkan.

 

Dua sisi itu saling memberikan pengaruh. Akibatnya, umat yang sudah jauh daripada Al-Quran menjadi semakin jauh.

 

[Soalan] Adakah jauhnya umat daripada Al-Quran ada ‘rekayasa’ sistemik daripada musuh-musuh Islam?

 

Ya, jelas ada. Terutamanya ia dilakukan oleh negara­negara kafir penjajah. Mereka menyebarkan berbagai pemikiran kufur kepada umat Islam. Tersebarnya pemikiran sekularisme, demokrasi, nasionalisme, liberalisme, dan seumpamanya di tengah umat jelas memberikan pengaruh terhadap jauhnya umat terhadap Islam.

 

Negara-negara kafir penjajah itulah yang melakukan konspirasi untuk menumbangkan Khilafah Uthmaniyah, negara yang menerapkan Islam. Setelah itu, mereka mengangkat para penguasa di atas bekas wilayah kekuasaannya, serta memaksa para penguasanya untuk menerapkan hukum dan sistem kehidupan mereka yang sekular. Lebih daripada itu, para penguasa ditugaskan untuk menghalang penerapan Islam secara keseluruhan dan memerangi para pengembannya.

 

[Soalan] Siapakah pihak yang biasanya menjadi ‘pelakon’ makar menjauhkan umat daripada al-Quran?

 

Banyak. Secara garis besar dapat diklasifikasikan pada diri umat, yakni di peringkat masyarakat, pelakonnya adalah para intelektual dan ahli akademik, bahkan ulama yang terpengaruh dengan pemikiran Barat. Merekalah yang mendekatkan Islam dengan pemikiran Barat. Bahkan berusaha mencari titik tengah Islam dengan semua pemikiran tersebut. Merekalah yang menjadi penyebar istilah dan pemikiran yang menyimpang namun dilabeli dengan Islam, semisal Islam moderat, Islam inklusif, Islam liberal dan semacamnya. Akibatnya, umat yang sudah dari Islam semakin jauh.

 

Dalam level negara, yang memiliki kekuasaan dan daya paksa kepada rakyat, aktornya adalah negara dan para penguasanya. Kurikulum sekular diterapkan dalam semua tahap pendidikan, jelas ianya sangat merosakkan pemikiran umat. Bayangkan, apa yang berlaku di saat ideologi sekular beserta semua pemikiran turunannya ditanamkan kepada semua anak-anak yang bersekolah, mulai dari sekolah rendah hingga perguruan tinggi, sepanjang hari, terus-menerus, masif diikuti puluhan, bahkan ratusan juta orang?

 

Pada sama yang sama Islam hanya mengatur masalah ibadah, moral dan keluarga. Tidak diajarkan sebagai agama yang mengatur seluruh aspek kehidupan. Walaupun diajarkan, ada pelajaran tentang sistem ekonomi, perundangan, sistem pemerintahan hanya diposisikan sebagai wacana. Bukan sebagai kewajipan yang wajib diterapkan. Akibatnya sudah dapat dijangka. Menjadi generasi sekular.

 

Bukan itu sahaja, ancaman, penganiayaan dan penjenayahan terhadap orang yang mengajar Islam sebagai mabda’ atau fahaman yang mesti dihayati dan diterapkan dalam kehidupan semakin membuatkan manusia takut kepada Islam.

 

[Soalan] Adakah sekularisasi pemahaman umat Islam termasuk sebahagian rangkaian global untuk menjauhkan umat daripada al-Quran?

 

Ya, betul. Bagaimanapun, rancangan dan konspirasi mereka tidak akan mudah direalisasikan melainkan dua faktor di atas ada. Pertama, ada golongan intelek, ahli akademik atau ulama yang ingin menjadi agen mereka dalam menjaja pemikiran kafir mereka di kalangan rakyat. Sudah tentu ia akan lebih diterima oleh rakyat. Sebagai gambaran, rakyat sudah tentu tidak akan menerima ajaran sekularisme, kebebasan, nasionalisme dan seumpamanya jika ianya disampaikan oleh orang kafir. Namun, rakyat akan lebih mudah menerimanya jika yang menyampaikannya adalah ulama atau cendekiawan Islam. Selain itu, pemikiran kufur disertai dengan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Sunnah. Lebih-lebih lagi ia disampaikan dalam majlis taklim, khutbah Jumaat, dan seumpamanya.

 

Rancangan mereka untuk menjauhkan Islam itu juga dapat digagalkan jika ada negara yang menerapkan Islam, yakni Khilafah. Di antara tugas penting yang wajib dijalankan oleh Khilafah adalah melindungi rakyatnya daripada semua pemikiran kufur, sesat, batil dan menyimpang yang membahayakan akidah umat.

 

Dengan adanya Khilafah, umat juga dapat melihat keagungan, keluhuran dan segala kebaikan dalam penerapan Islam. Mereka tidak menoleh, apatah lagi tertarik dengan pemikiran dan sistem kufur yang sesat dan batil yang jelas­jelas melahirkan kerosakan, penderitaan dan berbagai keburukan lainnya

 

Mengapa bab-bab dalam syariah Islam yang mengatur pemerintahan, ekonomi dan politik seolah-olahnya ‘dikubur’ bahkan dimonsterisasi (ditampilkan sebagai menakutkan) seolah-olah membahayakan bagi negara?

 

Seperti yang sudah dijelaskan di atas, pelaku utamanya adalah penguasa yang menjadi kaki tangan penjajah. Sebabnya, jika Islam diajarkan secara keseluruhan dengan benar, dilandasi dengan keimanan, akan memberikan pemahaman yang benar pada diri umat.

 

Akibatnya sudah dapat dijangka. Umat akan menuntut penerapan syariat Islam secara kâffah. Ini yang mereka takutkan. Jadi, sekurang-kurangnya ada langkah yang perlu mereka lakukan agar ianya (penerapan Islam kaffah) tidak berlaku.

 

Pertama, tidak mengajarkan Islam sebagai agama yang mengatur seluruh aspek kehidupan, termasuk dalam masalah pemerintahan, ekonomi dan politik. Itu maksudnya, mereka berupaya ‘mengubur’ ajaran Islam sebagai sistem kehidupan.

 

Kedua, walaupun perlu mengajarkan Islam apa adanya, kerana mustahil untuk mengubur Islam secara sempurna; kerana ajaran Islam tentang politik, ekonomi, pendidikan bertaburan dalam ayat, hadis, kitab-kitab turats, seperti tafsir, syarh hadis, fiqh, sirah, tarikh, dll, maka melakukan upaya pengaburan. Dengan begitu, sekalipun umat mengetahui ada ajaran tentang semua itu, namun mereka tidak berminat untuk menerapkan dalam kehidupan. Hal itu berlaku kerana ajaran Islam tersebut digambarkan dengan kejam, ketinggalan zaman, kolot, dan lain-lain.

 

Dengan demikian setidaknya ada dua upaya yang mereka lakukan terhadap ajaran Islam.

Pertama: Menguburkan, dengan cara tidak mengajarkannya.

Kedua: Mengaburkan, dengan cara memberikan gambaran keliru terhadap Islam.

Keduanya berakhir pada sikap tiadanya keinginan pada diri umat terhadap Islam.

 

[Soalan] Apakah fungsi Al-Quran dalam kehidupan? Adakah ianya hanya sekadar bacaan semata?

 

Fungsi utamanya seperti yang disebut dengan jelas dalam surah al-Baqarah ayat 2 sebagai hudan atau petunjuk. Petunjuk bagi seluruh manusia, sebagaimana ditegaskan dalam al-Baqarah 185. Sebagai sebuah petunjuk, bererti al-Quran wajib diimani kebenarannya. Tidak mungkin seseorang atau umat mahu menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk jika tidak meyakininya. Keyakinan itu wajib utuh dan menyeluruh. Tidak boleh ada yang diingkari atau diragukan, walaupun hanya satu ayat. Meyakini sebahagian, namun mengingkari sebahagian lainnya menyebabkan pelakunya menjadi kafir. Hal ini disebutkan dengan jelas dalam surah an-Nisa ayat 150-151.

 

Oleh itu, kita tidak boleh meyakini dan menerima ayat-ayat tentang ibadah, akhlak dan kekeluargaan, tetapi menolak dan mengingkari ayat-ayat tentang ekonomi, pemerintahan, hukum-hukum jenayah, peperangan dan lain-lain, walau apapun alasannya.

 

Isi kandungan Al-Quran juga mesti difahami. Sebagai pedoman hidup, Al-Quran tidak mungkin dapat dilaksanakan, diamalkan dan diterapkan jika isinya tidak dibaca dan difahami.

 

Oleh sebab itu, umat tidak seharusnya merasa puas hanya dengan membacanya, tetapi tidak mengamalkannya dalam kehidupan.

 

Orang yang hanya membaca Al-Quran, tetapi tidak mengamalkannya dalam kehidupan, seperti seorang pesakit yang diberikan senarai ubat untuk merawat penyakitnya. Pesakit itu hanya membaca senarai ubat itu berulang-ulang, tetapi tidak mahu berubat sesuai dengan petunjuk senarai itu. Persoalannya: adakah dia akan sembuh daripada penyakitnya hanya dengan membaca senarai ubat?

 

Itu gambaran bagi orang yang membaca Al-Quran tetapi tidak mahu mengamalkannya, meskipun tentu saja tidak sama persis. Al-Quran adalah syifâ‘, ubat. Al-Quran, menjadi ubat, termasuk kepada pembacanya. Akan tetapi, kalau hanya dibaca, Al-Quran tidak akan menjadi ubat yang sempurna.

 

Sebagai contoh, ketika dalam al-Quran disebutkan bahawa dalam hukuman qishâsh terdapat hayâh atau kehidupan. Bagaimana ayat ini boleh menjadi ubat bagi masyarakat dalam mengatasi kejahatan pembunuhan jika ayat ini hanya dibaca dan tidak diterapkan?

 

Demikian firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 7: Kay lâ yakûna dûlat[an] bayna al-aghniyâ‘ minkum, agar harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kalian. Bagaimana mungkin ayat ini menjadi ubat yang menyelesaikan masalah kemiskinan dan masalah pengagihan kekayaan yang sangat timpang, jika hanya dibaca dan diterapkan, terutama oleh negara?

 

[Soalan] Ustaz, apa yang perlu dilakukan agar umat agar umat lebih dekat bahkan menjadikan Al-Quran sebagai pedoaman hidup dan perbuatannya?

 

Umat hendaklah meningkatkan momentum semua yang diwajibkan Islam terhadap Al-Quran. Meningkatkan keimanan terhadapnya, memperbanyak membacanya, mempelajari isinya, mengamalkannya dalam kehidupannya, mengajarkan dan mendakwahkannya, serta memperjuangkan agar Al-Quran dijadikan sebagai pedoman kehidupan.

 

Walaubagaimanapun, perlu diingat, hal itu akan sangat sukar jika kita hanya mengharapkan kepada umat. Bagaimana mungkin kita mengharapkan umat dapat memahami Al-Quran dengan pemahaman yang benar dan menyeluruh dengan sendirinya, jika tidak ada yang mengajarkan kepada mereka?

 

Di sinilah pentingnya keberadaan para ulama dan orang-orang yang memiliki pemahaman yang benar dan menyeluruh tentang Al-Quran. Merekalah yang sepatutnya mengajarkan kepada umat. Menjadi lebih efektif dan masif jika ada kelompok dari kalangan umat Islam yang melakukan perkara ini dengan serius. Bukan hanya mengajarkan, tetapi juga menghimpun kekuatan dan potensi umat untuk menegakkan Islam dalam kehidupan Islam.

 

Keberadaan kelompok yang menjalankan tugas-tugas tersebut sebenarnya telah diperintahkan dalam Al-Quran. Tepatnya, dalam surah Ali Imran ayat 104 (yang ertinya): Hendaklah ada di antara kalian segolongan orang yang menyerukan kebajikan (Islam) serta melakukan amar makruf nahi mungkar.

 

Dengan wujudnya kerjasama antara dua entiti tersebut, yakni entiti umat dan entiti kelompok, akan menjadi kekuatan yang besar untuk menjadikan Islam sebagai pedoman kehidupan, baik bagi individu, umat, mahupun bagi negara.

 

WalLâhu a’lam.

 

Sumber: Alwaie

 

#tegakislamkaffah #kesatuanumat #memahamiquran

Exit mobile version