Hukum Tawanan dalam Islam
Penulis: Ati Solihati
Penderitaan umat Islam di Palestin merupakan naratif panjang tentang ketabahan yang sentiasa diuji. Namun, tindakan parlimen Zionis meluluskan undang-undang hukuman mati terhadap tahanan Palestin menandakan satu babak baharu yang lebih kejam.
Berdasarkan laporan Al Jazeera pada 30 Mei 2026, parlimen Zionis, Knesset pada Isnin (30-3-2026) telah meluluskan satu undang-undang sepihak yang mencetuskan kontroversi. Undang-undang tersebut mengarahkan mahkamah tentera supaya menjatuhkan hukuman mati terhadap rakyat Palestin yang didapati membunuh warga Zionis dalam tindakan yang dilabel sebagai “keganasan”, namun hukuman yang sama tidak akan dikenakan terhadap warga Zionis Yahudi yang didapati membunuh rakyat Palestin. Undang-undang itu diluluskan di Knesset yang mempunyai 120 kerusi dengan sokongan 62 ahli parlimen, termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, manakala 48 ahli menentang dan seorang berkecuali.
Menurut laporan Reuters (31-3-2026), undang-undang tersebut mewajibkan pelaksanaan hukuman mati secara khusus melalui gantung sampai mati, satu ketetapan yang menurut para pakar dibuat kerana kebimbangan doktor Zionis akan enggan melaksanakan suntikan maut. Secara umum, hukuman mati itu akan dilaksanakan dalam tempoh 90 hari selepas keputusan dijatuhkan, tanpa hak untuk menerima pengampunan.
Pengesahan undang-undang tersebut merupakan satu bentuk legalisasi pembunuhan secara sistematik. Ini bukan lagi sekadar konflik wilayah, sebaliknya kemuncak kepada amalan penindasan tersusun yang mengarah kepada genosid. Di sebalik jeriji penjara Zionis, nyawa manusia kini dipertaruhkan dalam hitungan hari, menjadikan keadilan sebagai sesuatu yang semakin sukar diperoleh dan dirampas secara paksa. Amnesty International menyatakan bahawa hukuman mati merupakan satu lagi alat diskriminasi dalam sistem apartheid Zionis. [Al Jazeera, 3-2-2026]
Penderitaan Panjang Para Tawanan Palestin
Sejak perang di Gaza bermula pada Oktober 2023, dianggarkan Zionis telah menahan lebih daripada 18,500 rakyat Palestin. Kumpulan hak asasi manusia seperti Human Rights Watch (HRW), B’Tselem, dan Palestinian Centre for Human Rights (PCHR) menjelaskan bahawa Zionis telah menyeksa para tahanan sepanjang perang, termasuk melalui penderaan fizikal, psikologi dan seksual terhadap rakyat Palestin yang ditahan oleh Zionis.
Menurut kumpulan advokasi tahanan Palestin ADDAMEER, lebih daripada satu pertiga daripada 9,500 rakyat Palestin yang ditahan Zionis sehingga 11 Mac 2026 telah ditahan secara pentadbiran tanpa dibicarakan. Pelbagai bentuk penyeksaan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa turut dilaksanakan. Antara perlakuan kejam Zionis ialah terhadap para petugas kesihatan, termasuk memotong tangan tahanan hanya kerana mereka seorang doktor, serta memaksa mereka meringkik seperti keldai [Al Jazeera, 18-3-2026].
Kekejaman bukan sahaja dialami oleh tahanan dewasa, malah turut menimpa kanak-kanak. Kumpulan hak asasi manusia Palestin, Defense for Children International – Palestine (DCIP) menyatakan bahawa 51% daripada 351 kanak-kanak Palestin yang ditahan berada dalam “tahanan pentadbiran”, iaitu amalan penahanan di mana Zionis menahan rakyat Palestin (termasuk kanak-kanak) tanpa pertuduhan rasmi atau perbicaraan, dengan alasan penahanan tidak didedahkan kepada tahanan mahupun peguam mereka, dan tempoh tahanan boleh dilanjutkan berulang kali. Kanak-kanak tersebut menerima layanan yang mengerikan, termasuk dipukul, kekurangan makanan dan air, dinafikan rawatan perubatan serta mengalami penyeksaan [Al Jazeera, 18-3-2026].
Demikianlah gambaran perlakuan keji bangsa Zionis terhadap para tawanan Palestin. Satu demi satu kekejaman terus ditimpakan ke atas mereka. Penggubalan undang-undang yang membenarkan mahkamah tentera Zionis menjatuhkan hukuman mati kepada para tahanan Palestin sudah pasti akan memburukkan lagi penderitaan mereka. Ini adalah keadaan yang benar-benar menyayat hati. Umat Rasulullah SAW diinjak-injak kemuliaan, maruah, dan martabatnya. Namun, apakah perspektif Islam mengenai hukum perlakuan terhadap tawanan perang?
Hukum Tawanan dalam Islam
Dalam kehidupan umat manusia, ada keadaan apabila berlakunya peperangan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Demikian juga dalam kehidupan peradaban Islam. Namun, sebagai agama wahyu, peperangan (jihad) dalam Islam mesti mengikuti panduan Ilahi. Mekanisme jihad dalam Islam terikat dengan adab berperang yang mengambil kira aspek kemanusiaan, dengan tujuan menegakkan keadilan, bukan membawa kerosakan.
Beberapa adab berperang, di antaranya adalah larangan melampaui batas; melindungi wanita, anak-anak, dan orang lanjut usia yang tidak ikut berperang; serta tidak merosakkan alam sekitar dan tempat ibadah. Jika dalam peperangan mengharuskan penawanan, maka ia harus terikat dengan hukum syariat Islam dalam memperlakukan tawanan perang. Perlakuan terhadap tawanan hendaklah sebagaimana yang diizinkan oleh Allah SWT dan dicontohkan oleh Rasulullah SAW.
Syeikh Taqiyudin an-Nabhani dalam kitab Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah [Jilid II, hlm. 186] menjelaskan bahawa jika kaum Muslimin melakukan penawanan terhadap pihak musuh, maka urusan para tawanan tersebut diserahkan kepada perintah khalifah secara langsung. Dalam hal ini, Khalifah wajib mengikuti hukum syarak tentang urusan tawanan perang.
Dalam Islam, tawanan perang dibahagi kepada dua kategori. Pertama ialah tawanan lelaki dewasa yang disebut al-asra, iaitu lelaki kafir dewasa yang terlibat dalam medan perang menentang orang Islam dan kemudian ditawan oleh pasukan Islam. Kedua ialah tawanan daripada kalangan perempuan kafir dan kanak-kanak, yang disebut as-sabiy.
Al-Asra
Berkenaan al-Asra, hanya ada dua pilihan dalam perlakuan terhadap mereka iaitu yang pertama, dibebaskan, dan yang kedua dibayar tebusan. Ketetapan ini berdasarkan firman Allah SWT,
فَاِذَا لَقِيْتُمُ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا فَضَرْبَ الرِّقَابِۗ حَتّٰٓى اِذَآ اَثْخَنْتُمُوْهُمْ فَشُدُّوا الْوَثَاقَۖ فَاِمَّا مَنًّا ۢ بَعْدُ وَاِمَّا فِدَاۤءً حَتّٰى تَضَعَ الْحَرْبُ اَوْزَارَهَاۛ ذٰلِكَۛ وَلَوْ يَشَاۤءُ اللّٰهُ لَانْتَصَرَ مِنْهُمْ وَلٰكِنْ لِّيَبْلُوَا۟ بَعْضَكُمْ بِبَعْضٍۗ وَالَّذِيْنَ قُتِلُوْا فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ فَلَنْ يُّضِلَّ اَعْمَالَهُمْ ٤
“Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya (serta mengalahkannya) maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya. Setelah selesai pertempuran itu maka (terserahlah kepada kamu) sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang-orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusnya) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya. (Bertindaklah demikian terhadap golongan kafir yang menceroboh) sehinggalah berakhir peperangan jihad itu (dan lenyaplah sebab-sebab yang memimbulkannya). Demikianlah (diperintahkan kamu melakukannya). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Ia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi Ia (perintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu). Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan ugamanya), maka Allah tidak sekali kali akan mensia-siakan amal-amal mereka.” [TMQ Muhammad (47): 4].
Di dalam ayat ini, Allah SWT menetapkan pemberian hukuman bagi tawanan (al-asra) hanya terdapat dua pilihan, iaitu al-mann (membebaskan) atau al-fida (meminta tebusan). Pembatasan hanya pada dua pilihan ini berdasarkan penggunaan lafaz imma dalam ayat di atas yang mengandungi makna pembatasan (al-hashr) terhadap apa yang disebut selepasnya, iaitu: فَإِمَّا مَنًّا بَعْدُ وَإِمَّا فِدَاءً.
Pembatasan perlakuan terhadap tawanan perang (al-asra) dengan dua pilihan ini juga berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW. Baginda pernah membebaskan Tsamamah bin Uthal (pembesar penduduk Yamamah), Abu ‘Izzah al-Jumahi, dan Abu al-As bin al-Rabi.
Berkaitan dengan tebusan, Rasulullah SAW pernah menetapkan tebusan dalam tiga bentuk. Pertama, tebusan berupa harta. Ini sebagaimana hadis Rasulullah SAW, daripada Ibnu Abbas, “Rasulullah SAW menetapkan tebusan bagi tawanan orang jahiliah dalam Perang Badar sebanyak 400 dirham.” [HR Abu Dawud, Al-Hakim al-Nishaburi, dan Al-Baihaqi].
Kedua, tebusan dalam bentuk perkhidmatan yang mesti mereka sediakan. Ini telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW.
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: كَانَ نَاسٌ مِنَ الْأَسْرَى يَوْمَ بَدْرٍ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ فِدَاءٌ، فَجَعَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فِدَاءَهُمْ أَنْ يُعَلِّمُوا أَوْلَادَ الْأَنْصَارِ الْكِتَابَةَ،
Dari Ibnu Abbas RA, Beliau berkata, “Apabila seorang tawanan dalam Perang Badar tidak mampu menebus dirinya, maka Rasulullah SAW menjadikan tebusannya mengajarkan anak-anak kaum Ansar menulis”. [HR Muslim].
Ketiga, pertukaran tawanan,
. عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَدَى رَجُلَيْنِ مِنَ الْمُسْلِمِينَ بِرَجُلٍ مِنَ الْمُشْرِكِينَ (من بني عقيل)
“Daripada Imran bin Hushain RA bahwasanya Rasulullah SAW menebus dua orang lelaki muslim (yang ditawan) dengan seorang lelaki musyrik (daripada Bani Uqail).” [HR Muslim].
Oleh itu, layanan terhadap tahanan dihadkan kepada dua pilihan sahaja, iaitu pembebasan atau tebusan. Oleh itu, tidak boleh memperlakukan tawanan dengan sewenang-wenangnya, tidak boleh memberi perlakuan kejam, tidak boleh memerintahkan kerja paksa, apatah lagi tidak boleh membunuh mereka. Sebaliknya, tawanan tetap harus dihormati dari aspek kemanusiaannya. Islam bahkan memuji orang-orang yang berbuat baik kepada tawanan. Firman Allah SWT.
وَيُطْعِمُوْنَ الطَّعَامَ عَلٰى حُبِّهٖ مِسْكِيْنًا وَّيَتِيْمًا وَّاَسِيْرًا ٨
“Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.” [TMQ Al-Insaan (76):8]
Adapun apa yang diriwayatkan bahawa dalam Perang Badar Rasulullah SAW membunuh An-Nadr bin Al-Harith dan Uqbah bin Abi Mu‘ayt, serta bahawa baginda membunuh Abu Izzah al-Jumahi dalam Perang Uhud, maka hal tersebut tidak menunjukkan bahawa itu adalah hukum umum bagi tawanan perang, kerana baginda tidak melakukannya terhadap semua tawanan dan tidak pada semua peperangan. Sedangkan pembebasan dan tebusan dilakukan terhadap seluruh tawanan dalam semua peperangan.
Alasan Rasulullah SAW melakukan pembunuhan terhadap mereka adalah kerana Rasulullah SAW memandang bahawa dalam diri orang-orang tersebut terdapat bahaya terhadap kaum Muslimin. Membunuh orang-orang tertentu yang berbahaya, yang ditetapkan oleh khalifah, adalah sesuatu yang dibolehkan oleh syarak.
As-Sabiy
Sebagaimana al-asra, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitab Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah [Jilid II, hlm. 188] juga menerangkan secara terperinci tentang as-sabiy. As-sabiy ialah wanita dan kanak-kanak yang mengiringi kaum lelaki dalam peperangan. Kehadiran mereka dalam pertempuran biasanya untuk menambah bekalan dan memberi semangat kepada barisan musuh, tetapi mereka bukan sebahagian daripada tentera dan tidak terlibat dalam pertempuran.
Mengenai perlakuan as-sabiy, khalifah diberi pilihan antara melepaskan mereka dan memperhambakan mereka, dan tidak menggantikan mereka dengan tebusan. Ini pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW terhadap as-sabiy (tawanan wanita) dalam Perang Hunain. Walaupun mereka dijadikan hamba, Nabi melayani mereka dengan lemah lembut, bahkan kemudian baginda membebaskan mereka dan mengembalikan mereka kepada keluarga mereka. Manakala semasa Perang Khaibar, Rasulullah SAW membiarkan mereka kekal merdeka dan tidak memperhambakan mereka sama sekali. Peruntukan ini terpakai jika wanita dan kanak-kanak menyertai medan pertempuran. Namun, jika mereka tinggal di rumah masing-masing, mereka tidak boleh diapa-apakan dan tidak boleh dijadikan al-asra atau as-sabiy.
Tindakan khalifah dalam hal memperhambakan as-sabiy perlu berdasarkan pertimbangan strategi perang dalam menghadapi musuh, dan bukan atas dasar keinginan untuk memperhambakan mereka. Ini hanyalah salah satu bentuk interaksi dalam peperangan yang diserahkan sepenuhnya kepada khalifah. Selain itu, Islam telah menetapkan satu set hukum syarak untuk menghapuskan perhambaan.
Demikianlah hukum Islam tentang perlakuan terhadap tawanan, baik lelaki dewasa (al-asra) mahupun kaum perempuan dan anak-anak (as-sabiy). Mereka diperlakukan dengan baik, secara manusiawi, tidak dilanggar kehormatan mereka, tidak dianiaya, dan tidak dibunuh. Tidak menghairankan jika para tawanan pada waktu itu, setelah dibebaskan, ramai yang memilih untuk memeluk Islam.
Ketetapan syariat Islam mengenai layanan terhadap tawanan yang menekankan aspek kemanusiaan dan keadilan, telah ditetapkan kira-kira 14 abad yang lalu, jauh melangkaui Konvensyen Geneva III yang menetapkan Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) yang mengawal perlindungan tawanan perang, yang baru ditubuhkan pada tahun 1949. Malah konvensyen ini sendiri jelas tidak berkesan untuk mengikat negara-negara tawanan. Bukti yang paling jelas, Zionis bebas memperlakukan tahanan Palestin dengan kejam, malah dengan bebas meluluskan undang-undang yang mengenakan hukuman mati kepada tahanan Palestin.
Penderitaan rakyat Palestin dan para tawanannya tidak akan berakhir selagi umat Islam kekal dihalangi oleh nasionalisme, yang menjadikan umat Islam lemah kerana terpecah-belah menjadi negara bangsa. Sudah tiba masanya umat Islam melepaskan belenggu nasionalisme dan bersatu semula sebagai satu entiti, di bawah sistem kehidupan yang diasaskan di atas landasan Nabi Muhammad SAW, iaitu Khilafah Islamiyah.
Khilafah akan menyatukan kekuatan rohani dan kekuatan fizikal seluruh negeri-negeri Muslim, menjadi sebuah kekuatan besar yang akan menggerunkan Amerika Syarikat dan Zionis, serta seluruh musuh Allah SWT dan Rasul-Nya. Khilafah akan membebaskan Palestin dan mengembalikannya sebagai tanah yang diberkahi. Bahkan, Khilafah akan membebaskan seluruh negeri-negeri Muslim dan mengembalikannya kepada kewibawaan dan kemuliaan. Rahmat Islam pun akan kembali dirasakan oleh seluruh alam. Wallahu a‘lam bissawab.

