Site icon MuslimahHTM News

Penegakan Islam Tidak Akan Sempurna Tanpa Khilafah Islamiyyah

Penegakan Islam Tidak Akan Sempurna Tanpa Khilafah Islamiyyah

 

Sungguh menghairankan apabila terdapat orang yang berusaha menegakkan Islam tetapi tidak berusaha mewujudkan Khilafah Islamiyyah. Atau tidak memandang Khilafah dan usaha untuk mewujudkannya kecuali hanya sekadar hukum syarak biasa yang tidak mempunyai keutamaan atau prioriti khusus berbanding hukum-hukum yang lain. Juga menghairankan apabila melihat umat Islam yang berusaha melaksanakan hukum Islam melalui sistem yang sedia ada pada hari ini, dan mengabaikan usaha menegakkan Khilafah Islamiyyah, sedangkan Khilafah itulah yang akan melaksanakan hukum-hukum Islam.

 

Oleh itu, kita dapat simpulkan bahawa kewajipan yang paling penting dan paling utama daripada sekian banyak fardhu kifayah ialah usaha untuk menegakkan Khilafah Islamiyyah yang memerintah dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah ﷻ.

 

Usaha ini sememangnya sedang dilakukan oleh sebahagian umat Islam. Namun, fardhu kifayah tersebut belum terlaksana kerana Khilafah belum tertegak hingga kini. Kerana itu, fardhu kifayah ini menjadi seumpama fardhu ‘ain, maksudnya setiap Muslim pada masa kini dituntut untuk berusaha sedaya upaya mereka bagi menegakkan Khilafah Islamiyyah.

 

Meneladani Rasulullah ﷺ dengan cara yang paling tepat dan sahih ialah seorang Muslim memberi perhatian kepada kewajipan fardhu-fardhu ‘ain yang telah diwajibkan oleh Allah ﷻ, serta menjauhi segala perkara yang diharamkan—yang semuanya merupakan fardhu ‘ain. Kemudian, dia juga memberi perhatian kepada fardhu-fardhu kifayah yang diperintahkan oleh Allah ﷻ agar dia dapat melaksanakannya atau turut serta dalam merealisasikannya mengikut kemampuannya. Setelah diteliti, fardhu kifayah yang paling mendesak ialah usaha menegakkan Khilafah Islamiyyah yang merupakan jalan untuk menegakkan sebahagian besar hukum Islam.

 

Dengan melaksanakan semua itu, seorang Muslim telah berpegang kepada kebenaran dari seluruh aspek. Dia menegakkan Islam dalam dirinya  sebagai individu, dan berjuang menegakkan Islam dalam masyarakat. Sekiranya masih ada yang belum dia laksanakan, maka itu hanyalah sebahagian kecil daripada fardhu kifayah yang bersifat individu, bukan kolektif, seperti menjawab salam, mendoakan orang yang bersin, dan menunaikan solat jenazah.

 

Sumber : “Ad-Da’wah ila al-Islam” (Ahmad al-Mahmud)

 

#KhilafahSistemIslam #Khilafah #DaulahIslam #IslamKaffah #FardhuAin #FardhuKifayah

 

 

 

Exit mobile version