Site icon MuslimahHTM News

Paylater: Riba Digital Kapitalisme yang Mengancam Umat

Paylater: Riba Digital Kapitalisme yang Mengancam Umat

 

Buy Now Pay Later (beli sekarang bayar kemudian) atau paylater telah menjadi trend pembayaran digital yang popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Paylater dipromosikan sebagai solusi kewangan ketika berlaku keperluan mendesak. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa paylater sering digunakan sekadar untuk memenuhi kehendak dan gaya hidup. Selain itu, had kredit yang tinggi juga dilihat sebagai penyelesaian segera bagi keinginan yang tidak terkawal. Semua ini menggoda ramai orang untuk membeli barangan yang sebenarnya tidak begitu diperlukan.

 

Pertanyaannya, benarkah paylater hadir sebagai solusi kewangan, atau ia  merupakan instrumen penjajahan gaya baharu yang digunakan oleh golongan kapitalis untuk menghancurkan umat Islam?

 

Invasi Konsumerisme

 

Kemudahan paylater bukanlah sekadar inovasi teknologi. Jika diteliti, paylater bukan muncul dengan sendirinya, tetapi ia merupakan hasil daripada sistem ekonomi kapitalisme neoliberal yang sememangnya direka untuk menguasai pemikiran umat serta melemahkan mentaliti dan ketakwaan umat. Untuk memahami bahayanya, kita perlu menyingkap bagaimana sistem ini berfungsi merosakkan standard kehidupan umat dan menggantinya dengan pemujaan material yang tiada penghujung.

 

Dalam sistem kapitalisme yang melahirkan paylater, penggunaan dianggap sebagai pemacu ekonomi. Akibatnya, batas antara keperluan primer, sekunder, dan tertier menjadi kabur. Paylater memudahkan pemenuhan gaya hidup konsumerisme dengan cara berhutang.

 

Sistem ini mendikte bahawa nilai diri seseorang ditentukan oleh produk yang digunakan dan dipamerkan di media sosial. Akibatnya, umat terperangkap dalam gaya hidup hedonistik dengan terus mengejar kepuasan material yang tidak berkesudahan. Paylater menjadi bahan bakar kepada perlumbaan yang melelahkan ini sehingga seseorang sanggup mengorbankan ketenangan hidupnya demi pengiktirafan palsu.

 

Secara perlahan tetapi pasti, kebergantungan terhadap had kredit paylater menghakis sikap tawakal dan qanaah (merasa cukup). Daripada bersyukur dengan apa yang ada atau bersabar menanti rezeki yang cukup, sistem ini mengajar manusia untuk memaksa diri demi memiliki sesuatu melalui hutang. Ini merupakan serangan mental yang menyebabkan umat kehilangan orientasi akhirat kerana terlalu sibuk dengan beban hutang dunia.

 

Kapitalisme juga berjaya merosakkan mentaliti iffah, iaitu menjaga maruah diri daripada berhutang. Jika dahulu berhutang dianggap sebagai aib atau jalan terakhir keadaan darurat, kini berhutang dihias sebagai gaya hidup yang moden, bahkan dianggap sebagai tanda “bijak secara kewangan”.

 

Paylater membentuk mentaliti kepuasan segera—ingin menikmati hasil sekarang tanpa mahu melalui proses kesabaran. Normalisasi ini secara perlahan mematikan kepekaan rohani kita terhadap bahaya riba. Jika hutang sudah dianggap biasa, maka bunga dan denda juga dianggap sebagai “kos” yang wajar.

 

Inilah cara sistem ini melemahkan ketakwaan dan merosakkan struktur sosial dengan membentuk masyarakat yang rapuh dari segi kewangan. Masyarakat yang dibelenggu hutang adalah masyarakat yang mudah dikawal. Tenaga dan pemikiran mereka habis tertumpu untuk memikirkan pembayaran hutang sehingga mereka hilang daya kritis dan semangat untuk membina kemandirian ekonomi yang berkat berlandaskan syariat. Daripada mandiri secara ekonomi, umat menjadi pengguna yang patuh kepada pasaran kapitalis, bukan produsen yang memimpin peradaban mulia.

 

Digitalisasi Riba

 

Dalam era digital hari ini, berlaku juga digitalisasi hutang berunsur riba. Umat diserang melalui algoritma e-dagang di skrin telefon. Sistem ini menjejak apa yang kita lihat dan kita minati, kemudian membanjiri kita dengan iklan-iklan yang seolah-olah membisikkan, “Hidupmu akan lebih mudah dengan barangan ini.” Paylater hadir seolah-olah sebagai dewa penyelamat untuk memenuhi keinginan tersebut, walaupun kemampuan kewangan tidak mencukupi. Kapitalisme berjaya menukar keinginan menjadi keperluan palsu.

 

Di sebalik slogan solusi kewangan, kapitalisme sebenarnya sedang membina sistem riba digital yang mengeksploitasi kemiskinan dan ketidaksabaran masyarakat. Paylater lazimnya mengenakan faedah ansuran dan denda kelewatan yang disyaratkan sejak awal. Dalam fikih, ini termasuk riba yang jelas haram, sebagaimana firman Allah SWT,

 

وَاَحَلَّ اللّٰهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبٰواۗ

“Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 275).

 

Istilah seperti “ansuran ringan” atau “faedah sifar peratus” menjadi helah yang membuatkan umat tidak menyedari bahawa mereka sedang melakukan dosa riba, melainkan sedang melakukan transaksi yang moden. Inilah wajah sebenar ekonomi digital dalam sistem kapitalisme. Manusia dipaksa berhutang demi gaya hidup, manakala kapitalis meraih keuntungan daripada setiap riba dan denda kelewatan yang dibayarkan.

 

Sistem kapitalisme menganggap wang bukan sekadar alat tukaran, tetapi sebagai komoditi yang boleh berkembang melalui mekanisme faedah dan denda (riba). Riba menjadi salah satu pilar ekonomi kapitalisme, bahkan menjadi salah satu sumber pendapatan yang sah bagi individu mahupun negara.

 

Paylater adalah alat pemindahan kekayaan daripada saku rakyat (melalui bunga, denda, dan kos layanan) langsung ke brankas para kapitalis. Bayangkan, jutaan umat yang membayar beberapa persen daripada pendapatannya setiap bulan hanya untuk membayar faedah daripada barang yang nilainya terus menyusut. Ini merupakan eksploitasi yang sah di sisi sistem tersebut, ini membuatkan pihak yang kaya semakin kaya, sedangkan umat tetap terperangkap dalam lingkaran kemiskinan yang sukar dihentikan.

 

Secara sistemik, timbunan beban ansuran ini mencetuskan tekanan psikologi besar-besaran yang merosak keharmonian keluarga Muslim. Sedangkan, keluarga adalah unit  paling kecil dan menjadi benteng pertahanan terakhir umat dari kerosakan kapitalisme. Apabila benteng ini rapuh kerana tekanan kewangan riba, maka ketahanan umat secara keseluruhan juga berada di ambang kehancuran.

 

Mengapa umat mudah terjerat dengan paylater? Kerana dalam sistem kapitalisme, negara hanya berperanan sebagai pengawal bagi para pemilik modal, bukan penjamin urusan rakyat. Ketika harga keperluan asas meningkat, kos pendidikan semakin mahal, dan kesihatan menjadi barang yang mahal harganya, rakyat dipaksa berjuang sendiri melalui hutang riba. Dalam sistem sekular kapitalisme, negara mengabaikan perkara halal dan haram serta gagal membentuk sikap qanaah dalam masyarakat sehingga mudah terjerat dengan riba.

 

Oleh kerana itu, penyelesaian kepada fenomena paylater tidak memadai dengan literasi kewangan atau anjuran untuk hidup berjimat-cermat dan menabung. Masalah ini bersifat sistemik, maka penyelesaiannya juga mesti sistemik iaitu dengan menghapuskan riba daripada sistem ekonomi dan mengembalikan peranan negara sebagai pelayan urusan rakyat melalui penerapan Islam secara kaffah.

 

Hukum Paylater

 

Hukum berbelanja dengan paylater adalah haram. Ini kerana terdapat unsur riba dalam bentuk faedah. Setiap tambahan daripada pinjaman yang dipersetujui sejak awal (ketika akad), statusnya adalah riba yang hukumnya haram.

 

Imam Ibnu Qudamah di dalam Al-Mughnî Juz IV menyatakan, ”Setiap pinjaman (qardh) yang mensyaratkan adanya tambahan padanya maka tambahan itu adalah riba tanpa perbezaan pendapat (di kalangan ulama).”

 

Selain itu, terdapat unsur riba dalam bentuk denda apabila berlaku kelewatan pembayaran. Denda ini merupakan riba kerana setiap tambahan daripada pinjaman yang sudah dipersetujui sejak awal, dihukumi sebagai riba, baik tambahan itu berbentuk faedah mahupun denda.

 

Persoalan lainnya adalah penetapan caj pengurusan (admin) bentuk peratusan dari nilai transaksi. Sepatutnya, caj pengurusan berbentuk kadar tetap kerana merupakan ujrah (upah) dalam akad ijarah (pengupahan).

 

Hukum Islam bukan sahaja berbicara tentang boleh atau tidak suatu amal secara individu, tetapi juga bicara tentang kerja sistem. Walaupun ada perkhidmatan paylater syariah yang didakwa tanpa riba, akadnya perlu diteliti. Selain itu, mesti diperhatikan juga adakah perkhidmatan itu mendorong `consumptivism’. Jika tujuannya tetap untuk mendukung gaya hidup mewah (israf) dan kepenggunaan konsumtif ala kapitalisme, maka hukumnya tetap haram.

 

Paylater syariah dalam sistem kapitalisme hanyalah kosmetik (formaliti syariat agar kelihatan Islami, tetapi kandungannya tetap riba) agar umat terperangkap dalam budaya hutang, sedangkan akar masalahnya (kemiskinan dan kos hidup tinggi) tidak diselesaikan oleh negara.

 

Perlu Solusi Sistemik

 

Solusi kepada fenomena paylater tidak akan ditemui dalam sistem kapitalisme. Oleh itu, umat perlu kembali kepada paradigma Islam yang tegas menyatakan keharaman riba. Pelaksanaan Islam secara kaffah oleh negara menjadikan akidah Islam sebagai asas kehidupan sehingga mampu membentuk masyarakat yang bertakwa dan bersikap merasa cukup (qanaah) dengan yang halal dan menjauhi yang haram.

 

Sistem ekonomi Islam, negara (Khilafah) wajib menjamin keperluan asas setiap individu—makanan, pakaian, dan tempat tinggal—serta menyediakan perkhidmatan asas awam seperti pendidikan dan kesihatan secara percuma dan berkualiti. Apabila beban hidup ini diringankan oleh negara, dorongan untuk mengambil pinjaman konsumtif demi bertahan hidup automatik akan hilang.

 

Sementara itu, sistem pendidikan dan maklumat dalam Islam mampu mendidik rakyat agar memiliki sikap qanaah dan menjauhi hutang riba. Sistem hukuman dari negara akan dijatuhkan kepada sesiapa sahaja yang melanggar (mengambil riba) tanpa pilih kasih. Sistem hukuman dalam Islam sangat tegas dan bersifat menjerakan.

 

Sejarah telah membuktikan bahawa kesejahteraan tanpa jeratan hutang bukanlah utopia. Pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz, pelaksanaan syariat secara kaffah mampu menjadikan hasil kekayaan yang begitu banyak dapat dibahagikan secara keseluruhannya sehingga petugas zakat sukar untuk menemui seseorang yang layak menerima zakat (mustahik). Hal ini berlaku bukan kerana setiap individu serta-merta menjadi kaya, melainkan kerana negara menjalankan fungsinya sebagai raa’in (pengurus) yang menjamin keperluan asas rakyat secara percuma.

 

Oleh itu, solusi hakiki terhadap meningkatnya paylater adalah dengan menghapuskan sistem ekonomi kapitalisme yang memaksa rakyat hidup dengan hutang dan menggantinya dengan sistem Islam yang menjamin kesejahteraan rakyat melalui peranan negara (Khilafah). Untuk itu, ia memerlukan dakwah yang berterusan untuk mengubah cara berfikir umat agar memiliki kesedaran tentang pentingnya penerapan Islam kaffah. Hanya dengan penerapan Islam kaffah, umat dapat benar-benar bebas daripada riba digital dan memperoleh kemuliaan hidup yang diredai oleh Allah Taala. Wallahualam bissawab.

 

 

Sumber : MuslimahNews

 

 

#Paylater #BNPL #Kepenggunaan #PenggunaMuslim #LiterasiKewangan #Hutang #GayaHidup #EkonomiDigital #JomBebasHutang #JomBebasRiba

Exit mobile version