Site icon MuslimahHTM News

HUKUM FIKIH KORBAN – TATACARA PENYEMBELIHAN HAIWAN KORBAN

HUKUM FIKIH KORBAN – TATACARA PENYEMBELIHAN HAIWAN KORBAN

 

Oleh: K.H. Hafidz Abdurrahman

 

TATACARA MENYEMBELIH

 

  1. Takrif penyembelihan: Penyembelihan (dzabh) ialah memotong halkum, dua urat leher (wadijain), iaitu dua urat yang mengalirkan darah ke otak.

 

  1. Kesan penyembelihan terhadap haiwan: Haiwan boleh dibahagikan kepada dua jenis:
    (a) Haiwan yang halal dimakan dagingnya;
    (b) Haiwan yang haram dimakan dagingnya.

 

  1. Haiwan yang halal dimakan dagingnya: Haiwan yang halal dimakan dagingnya boleh dibahagikan kepada dua kategori:
    (a) Haiwan yang mempunyai darah yang mengalir;
    (b) Haiwan yang tidak mempunyai darah yang mengalir.

 

  1. Haiwan yang mempunyai darah yang mengalir: Haiwan jenis ini boleh dibahagikan lagi kepada:
    (a) Haiwan yang hanya hidup di dalam air;
    (b) Haiwan yang hidup di darat;
    (c) Haiwan yang hidup di dua alam (darat dan air), atau amfibia.

 

  1. Haiwan yang hidup di dalam air: Haiwan yang hanya boleh hidup di dalam air, seperti ikan, halal dimakan tanpa perlu disembelih. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

 

هُوَ طَهُوْرُ مَاؤُهُ، اَلْحِلُّ مَيْتَتُهُ

“Itu adalah suci airnya, dan halal bangkai [mayit]-nya.” [HR Abu Dawud, at-Tirmidzi, dan An-Nasa’i] [3]

 

  1. Haiwan yang hidup di darat: Jika haiwan tersebut hidup di darat, atau hidup di air tetapi boleh keluar dari air seperti anjing laut, maka haiwan itu tidak halal dimakan kecuali setelah disembelih mengikut syarak.

 

  1. Haiwan yang tidak mempunyai darah: Bagi haiwan yang tidak mempunyai darah yang mengalir, seperti belalang, maka ia halal dimakan walaupun tidak disembelih. Ini kerana sebab kerosakan dikaitkan dengan darah. Oleh itu, jika haiwan tersebut tidak mempunyai darah yang mengalir, maka tidak ada sebab yang menyebabkan ia rosak.

 

  1. Haiwan yang tidak boleh dimakan: Haiwan jenis ini terbahagi kepada dua:
    (a) Haiwan yang suci ketika hidup;
    (b) Haiwan yang najis ketika hidup.

 

Haiwan yang suci ketika hidup ialah semua haiwan kecuali babi dan anjing. Maka, haiwan yang suci tetapi tidak halal dimakan, apabila disembelih, daging dan kulitnya menjadi suci, namun dagingnya tetap haram dimakan. Jika ia mati tanpa disembelih, maka ia menjadi najis kerana tidak disembelih. Ini kerana penyembelihan menjadi sebab yang menghalalkan dan menyucikannya.

 

Adapun haiwan yang najis ketika hidup, maka ia tetap najis sama ada disembelih ataupun tidak.

 

  1. Penyembelih: Orang yang melakukan penyembelihan disyaratkan:
    (a) Berakal;
    (b) Mumayyiz;
    (c) Muslim;
    (d) Ahli Kitab (Yahudi atau Nasrani).

 

Oleh itu, sembelihan orang gila tidak halal. Begitu juga sembelihan kanak-kanak yang belum mumayyiz. Demikian juga sembelihan orang Majusi atau orang musyrik yang lain. Ini berdasarkan perjanjian Rasulullah SAW dengan kaum Majusi di Hajar:

 

صَالَحَ مَجُوْسَ هَجَرَ عَلَى أَنْ يَأْخُذَ مِنْهُمُ الْجِزْيَةَ، غَيْرَ مُسْتَحِلِّ مُنَاكَحَةِ نِسَائِهِمْ، وَلاَ أَكْلَ ذَبَائِحِهِمْ

“Diambil jizyah daripada mereka, wanita mereka tidak halal dinikahi, dan sembelihan mereka tidak halal dimakan.” [Riwayat Abu Yusuf] [5]

 

Begitu juga tidak halal sembelihan orang yang kekufurannya lebih berat daripada Majusi, seperti orang musyrik (Hindu, Buddha, Konghucu dan selainnya), orang yang murtad daripada Islam walaupun dia murtad kepada agama Yahudi atau Nasrani, orang ateis yang tidak mempercayai mana-mana agama, serta orang yang mengaku Muslim tetapi mazhabnya dihukum kafir seperti Nushairiyyah atau Alawiyyah daripada kelompok Syiah, atau Ahmadiyyah.

 

  1. Haiwan yang disembelih: Syarat bagi haiwan yang disembelih, walaupun halal dimakan, ialah haiwan tersebut:

 

(a) Tidak termasuk haiwan yang dinyatakan haram dimakan oleh syarak, seperti babi, anjing, haiwan bertaring, atau burung yang mempunyai kuku pencakar.

(b) Masih hidup dengan kehidupan yang stabil ketika disembelih. Kehidupan yang stabil ialah keadaan hidup yang membolehkan haiwan itu bergerak secara normal. Adapun kehidupan yang tidak stabil ialah keadaan ketika nyawa haiwan berada di penghujung, sehingga hilang kemampuan bergerak secara bebas.

(c) Jika haiwan yang disembelih itu bunting, kemudian keluar janin daripada perutnya, maka janin tersebut halal dimakan tanpa perlu disembelih lagi. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

 

ذَكَاةُ الْجَنِيْنِ ذَكَاةُ أُمِّهِ

“Sembelihan untuk janin mengikuti sembelihan induknya.” [HR Abu Dawud dan at-Tirmidzi] [6]

 

Haiwan yang disembelih itu juga bukan haiwan buruan di Tanah Haram. Ini kerana haiwan buruan yang ditangkap di Tanah Haram tidak boleh disembelih dan tidak boleh dimakan.

 

  1. Alat penyembelihan: Alat yang digunakan untuk menyembelih hendaklah alat yang boleh memotong. Makruh menyembelih menggunakan gigi, kuku atau alat seumpamanya sedangkan terdapat alat lain yang boleh digunakan untuk memotong. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

 

مَا أَنْهَرَ الدَّمَّ وَذُكِرَ اسْمُ اللهِ عَلَيْهِ فَكُلُوْا، لَيْسَ السِّنُّ وَالظَّفْرُ

“Apa yang boleh mengalirkan darah, dan ketika disembelih disebut nama Allah, maka makanlah. Tetapi, bukan gigi dan kuku.” [HR Bukhari] [7]

 

MEMBACA BASMALAH KETIKA MENYEMBELIH

 

Hukum membaca Basmalah:

Menyebut nama Allah SWT dan berniat bahawa penyembelihan dilakukan semata-mata kerana Allah hukumnya wajib. Oleh itu, sembelihan yang ditujukan kepada selain Allah SWT tidak halal dimakan. Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

 

﴿فَكُلُوْا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللهِ عَلَيْهِ، إِنْ كُنْتُمْ بِأَيَاتِهِ مُؤْمِنِيْنَ﴾

“Maka, makanlah apa yang ketika disembelih disebut nama Allah, jika kalian benar-benar mengimani ayat-ayat-Nya.” [TMQ al-An’am (6): 118]

 

Jika terlupa membaca Basmalah:

 

Jika seseorang terlupa membaca Basmalah ketika menyembelih, tetapi penyembelihan itu memang dilakukan kerana Allah, maka sembelihan tersebut tetap halal dimakan, sama ada penyembelihnya seorang Muslim ataupun Ahli Kitab (Yahudi atau Nasrani).

 

Jika penyembelih diam:

Jika ketika menyembelih penyembelih itu tidak menyebut apa-apa, maka sembelihannya tetap halal dimakan, sama ada penyembelih itu seorang Muslim ataupun Ahli Kitab (Yahudi atau Nasrani). Ini kerana terdapat sangkaan yang baik terhadap seorang Muslim bahawa dia menyembelih hanya kerana Allah.

 

Manakala bagi Ahli Kitab, membaca Basmalah tidak diwajibkan dalam agama mereka, namun sembelihan mereka tetap halal dimakan. Ahli Kitab (Yahudi atau Nasrani) lazimnya memang tidak menyebut nama Allah ketika menyembelih. Walaupun begitu, Allah tetap menghalalkan sembelihan mereka berdasarkan firman-Nya:

 

﴿وَطَعَامٌ الَّذِيْنَ أُوْتُوْا الكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ﴾

“Makanan orang-orang Ahli Kitab itu halal bagi kalian.” [TMQ al-Maidah (5): 5]

 

Jika disebut selain nama Allah:

Jika ketika penyembelihan disebut nama selain Allah, maka sembelihan tersebut haram dimakan, walaupun yang menyembelih itu seorang Muslim ataupun Ahli Kitab (Yahudi atau Nasrani).

 

Waktu membaca Basmalah:

Waktu membaca Basmalah ialah ketika penyembelihan dilakukan atau sejurus sebelum menyembelih. Jika Basmalah dibaca terlalu lama sebelum penyembelihan sehingga dipisahkan oleh tempoh yang panjang (contohnya selepas membaca Basmalah seseorang tidur, kemudian bangun dan barulah menyembelih haiwan tersebut) maka itu tidak dikira sebagai membaca Basmalah untuk penyembelihan tersebut.

 

Siapa yang Membaca Basmalah?

 

Bacaan Basmalah hendaklah dibaca oleh orang yang menyembelih sendiri. Oleh itu, tidak sah jika orang lain yang membaca Basmalah sedangkan penyembelih tidak membacanya.

 

Begitu juga jika bacaan Basmalah itu dirakam, kemudian rakaman tersebut dimainkan berulang kali ketika proses penyembelihan dilakukan, maka hal itu tidak dianggap sebagai membaca Basmalah. Ini kerana yang membaca bukan penyembelih itu sendiri, tetapi rakaman suara.

 

Proses penyembelihan berbeza mengikut keadaan haiwan yang disembelih. Ini kerana ada haiwan yang boleh disembelih secara syarie, dan ada juga yang tidak.

 

Haiwan yang Boleh Disembelih

 

Haiwan tersebut boleh jadi unta atau selain unta. Jika haiwan yang disembelih ialah unta, maka kaki depan dan belakang sebelah kirinya diikat, kemudian bahagian pangkal lehernya disembelih dalam keadaan unta itu berdiri dan menghadap kiblat.

 

Namun, jika haiwan tersebut bukan unta, maka haiwan itu dibaringkan secara mengiring dengan lambung kiri di bawah, kemudian disembelih dalam keadaan menghadap kiblat.

 

Bahagian yang Wajib Dipotong

 

Dalam penyembelihan, terdapat empat saluran yang perlu diputuskan:

(a) Halkum (hulqum);
(b) Dua urat leher (wadijain);
(c) Saluran makanan (mari’).

 

Jika tiga daripada empat saluran tersebut terputus, maka penyembelihan itu sah.

 

Namun, jika haiwan disembelih dari bahagian tengkuk sehingga tulang lehernya putus lalu mati, sedangkan keempat-empat saluran tersebut belum terpotong, maka sembelihan itu tidak halal dimakan. Tetapi, jika ketika tulang leher terputus, keempat-empat saluran tersebut turut terputus pada masa yang sama, maka ia halal dimakan.

 

Oleh itu, hukum menyembelih dari bahagian tengkuk adalah makruh kerana ia menyeksa haiwan sembelihan.

 

Disunnahkan Menyegerakan Penyembelihan

 

Dalam proses penyembelihan, disunnahkan agar dilakukan dengan cepat dan sebaik mungkin. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

إنَّ اللهَ كَتَبَ الإحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوْا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوْا الذَّبْحَ، وَلْيَحُدَّ أَحَدُكُمْ شَفَرَتَهُ، وَلْيُرحِ ذَبِيْحَتَهُ

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan [sempurna dalam menunaikan kebaikan] dalam segala hal. Jika kalian membunuh [haiwan buruan], maka berbuatlah baik terhadap buruanmu. Jika kalian membunuh, maka berbuat baiknya terhadap sembelihanmu. Hendaknya salah seorang di antara kalian mengasah [menajamkan] mata pisaunya, dan tidak menyakiti sembelihannya.” [HR Muslim] [8]

Disunnahkan Menguliti Setelah Haiwan Benar-Benar Mati

 

Haiwan yang telah disembelih tidak boleh terus dilapah atau disiat kulitnya sehingga dipastikan nyawanya benar-benar telah keluar daripada jasadnya.

 

Disunnahkan supaya proses menguliti, melapah dan memotong bahagian tubuh haiwan dilakukan hanya setelah haiwan itu benar-benar mati, termasuk memotong anggota tubuh yang lain.

#FikihKorban #Korban #Zulhijjah #IbadahKorban #Aidiladha

 

Exit mobile version