Site icon MuslimahHTM News

Dari Ibadah Haji Menuju Persatuan Umat Dan Kejayaan Islam

Dari Ibadah Haji Menuju Persatuan Umat Dan Kejayaan Islam

 

Setiap kali tiba bulan Zulhijjah, kita sentiasa diingatkan kepada dua sosok agung, iaitu Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Daripada kedua-dua utusan Allah SWT ini, kita juga diingatkan tentang dua peristiwa besar dalam Islam, iaitu ibadah haji dan korban. Kedua-duanya juga diperintahkan oleh Allah SWT untuk membina Kaabah. Dengan penuh ketaatan, mereka membina Kaabah sambil berdoa kepada Allah SWT. Peristiwa ini diabadikan dalam firman-Nya:

 

(Ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) asas-asas Baitullah bersama Ismail (sambil berdoa), “Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal-amal kami). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (TMQ. al-Baqarah [2]: 127).

 

Baitullah yang dikenali sebagai Kaabah inilah yang kemudiannya menjadi pusat pelaksanaan ibadah haji bagi umat Islam seluruh dunia.

 

Ibadah haji merupakan salah satu Rukun Islam yang hukumnya wajib bagi setiap Muslim yang mampu. Ibadah haji juga menjadi simbol ketaatan kepada Allah, pengorbanan serta persatuan kaum Muslim sedunia. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

 

وَأَذِّن فِي ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ يَأۡتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأۡتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Serulah manusia untuk mengerjakan haji! Nescaya mereka akan datang kepada kamu dengan berjalan kaki, juga dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (TMQ. al-Hajj [22]: 27).

 

Simbol Ketaatan

 

Ibadah haji merupakan salah satu syariat agung dalam Islam. Ia mengandungi makna mendalam tentang ketaatan seorang hamba kepada Allah SWT. Seluruh rangkaian ibadah haji mengajarkan bahawa seorang Muslim mesti tunduk sepenuhnya kepada perintah Allah SWT. Walaupun  kadangkala akal manusia tidak selalu memahami hikmah di sebalik setiap perintah-Nya, khususnya dalam ibadah haji dan korban.

 

Kisah Nabi Ibrahim a.s., Siti Hajar, dan Nabi Ismail a.s. menjadi asas spiritual ibadah haji yang menunjukkan kemuncak ketaatan kepada Allah SWT. Nabi Ibrahim a.s. sanggup meninggalkan keluarganya di padang tandus Mekah. Bahkan baginda juga bersedia mengorbankan anaknya kerana ketaatan kepada perintah Allah SWT. Dari sinilah ibadah haji mengajarkan bahawa keimanan sejati menuntut kepasrahan total kepada kehendak Ilahi. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

 

Sempurnakanlah oleh kalian ibadah haji dan umrah semata-mata kerana Allah.” (TMQ. al-Baqarah [2]: 196).

 

Simbol Pengorbanan

 

Selain simbol ketaatan, ibadah haji juga merupakan simbol pengorbanan. Seorang Muslim yang menunaikan haji perlu mengorbankan harta, tenaga, masa dan keselesaan demi memenuhi panggilan Allah SWT. Pakaian ihram yang sederhana mengajarkan pelepasan atribut duniawi seperti status sosial, kekayaan dan kebanggaan diri. Semua jemaah tampil sama di hadapan Allah SWT. Nilai pengorbanan ini juga mengingatkan manusia bahawa kehidupan dunia tidak sepatutnya menjadikan seseorang sombong dan lalai daripada tujuan akhirat.

 

Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menunaikan ibadah haji semata-mata ikhlas kerana Allah, lalu tidak berkata kotor dan tidak berbuat fasik, maka dia kembali seperti hari dilahirkan oleh ibunya.” (HR al-Bukhari dan Muslim).

 

Hadis ini menunjukkan bahawa haji bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi juga proses penyucian jiwa melalui pengorbanan dan keikhlasan.

 

Simbol Persatuan

 

Ibadah haji juga menjadi simbol persatuan umat Islam di seluruh dunia. Jutaan umat Islam dari pelbagai negara, dengan pelbagai bahasa dan warna kulit berbeza, berkumpul di Masjidil Haram dengan tujuan yang sama, iaitu beribadah kepada Allah SWT.

 

Dengan demikian, ibadah haji perlu difahami sebagai melting point (titik peleburan) umat Islam dari seluruh penjuru dunia. Mereka melebur menjadi satu tanpa memandang suku bangsa, warna kulit, bahasa serta status ekonomi dan sosial. Semua menghambakan diri hanya kepada Rabb Yang Satu, Allah SWT.

 

Mereka menghadap kiblat yang sama. Mereka memakai pakaian ihram yang sama dan melaksanakan ritual yang sama tanpa membezakan status sosial mahupun kebangsaan.

 

Momentum ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama persaudaraan yang menyatukan umat Islam di seluruh dunia atas dasar tauhid. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman:

 

Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara. Maka, damaikanlah di antara dua saudara kalian itu, dan bertakwalah kepada Allah, supaya kalian mendapat rahmat.” (TMQ. al-Hujurat [49]: 10).

 

Dengan demikian, semangat ketaatan, pengorbanan dan persatuan yang terkandung dalam ibadah haji seharusnya tidak terhenti pada dimensi ritual individu semata-mata. Ia juga sepatutnya melahirkan kesedaran kolektif umat Islam dalam aspek sosial, politik dan peradaban. Ibadah haji mempertemukan jutaan umat Islam daripada pelbagai bangsa, bahasa dan mazhab dalam satu kiblat dan satu tujuan: iaitu penghambaan kepada Allah SWT. Momentum ini menunjukkan bahawa Islam merupakan asas persatuan umat Islam seluruh dunia yang melampaui batas etnik mahupun nasionalisme sempit.

 

Dalam sejarah Islam, semangat persatuan ini pernah menjadi kekuatan besar yang melahirkan solidariti politik dan peradaban dunia Islam. Marshall Hodgson dalam The Venture of Islam menjelaskan bahawa salah satu kekuatan utama peradaban Islam klasik adalah kesedaran kolektif umat sebagai satu komuniti global (ummah), yang dihubungkan oleh akidah, hukum dan budaya intelektual yang sama. Kekuatan utama peradaban Islam yang menyatukan negeri-negeri Muslim itulah Khilafah Islamiyah.

 

Realiti Umat Hari Ini

 

Namun begitu, realiti dunia Islam kontemporari menunjukkan keadaan yang bertentangan. Persatuan umat semakin melemah akibat konflik politik, nasionalisme, sektarianisme dan kepentingan geopolitik global. Krisis kemanusiaan di Gaza, Palestin menjadi salah satu contoh nyata lemah dan buruknya solidariti politik dunia Islam. Ribuan orang awam terbunuh. Infrastruktur dimusnahkan. Sekatan berpanjangan menimbulkan penderitaan kemanusiaan yang besar.

 

PBB dan pelbagai badan kemanusiaan antarabangsa berulang kali melaporkan tingginya jumlah korban awam dan kerosakan kemudahan awam di Gaza akibat genosid yang berpanjangan. Keadaan ini memperlihatkan wujudnya jurang antara simbol persatuan umat dalam ibadah dengan realiti politik dunia Islam yang masih berpecah-belah.

 

Ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah juga menunjukkan kerumitan hubungan antara negara-negara Islam. Konflik yang melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat pada tahun 2026 ini sering dipengaruhi oleh kepentingan politik serantau dan global. Dalam situasi tersebut, sebahagian negara Arab mempunyai pendirian politik yang berbeza-beza berdasarkan pakatan keselamatan dan kepentingan nasional masing-masing.

 

Menuju Persatuan Umat Sedunia

 

Oleh itu, ibadah haji tidak sewajarnya sekadar difahami sebagai ritual spiritual tahunan, tetapi juga sebagai momentum untuk membuktikan ketaatan dan membina persatuan umat Islam sedunia. Jutaan umat Islam yang berkumpul di Masjidil Haram menunjukkan bahawa Islam mempunyai potensi persatuan global yang sangat besar. Dengan jumlah populasi lebih daripada dua bilion jiwa, umat Islam sebenarnya merupakan salah satu kekuatan demografi terbesar di dunia. Jika potensi tersebut disatukan di bawah satu kepimpinan politik, maka umat Islam mampu menjadi kekuatan peradaban yang disegani dunia. Allah SWT berfirman:

 

Berpegang teguhlah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.” (TMQ Ali ‘Imran [3]: 103).

 

Selain memiliki jumlah penduduk yang besar, dunia Islam juga dianugerahkan dengan sumber alam dan kedudukan geopolitik yang sangat strategik.

 

Banyak negara Muslim berada di kawasan yang kaya dengan minyak, gas, laluan perdagangan antarabangsa dan laluan pengangkutan global. Data daipada Organization of the Petroleum Exporting Countries (OPEC) menunjukkan bahawa sebahagian besar rizab minyak dunia berada di negara-negara majoriti Muslim.

 

Sejarah menunjukkan bahawa peradaban Islam pernah menjadi kekuatan besar dunia apabila umat bersatu dalam visi dan kepimpinan yang kuat, iaitu Khilafah Islamiyah di bawah kepimpinan seorang khalifah.

 

Demikian juga di tanah air. Umat Islam mesti menjaga persatuan dan memelihara ukhuwah Islamiyah di tengah pelbagai perbezaan politik, organisasi, mahupun mazhab. Persatuan umat sangat penting agar masyarakat tidak mudah dipecah-belahkan oleh kepentingan sempit yang boleh melemahkan kekuatan mereka. Islam mengajarkan bahawa umat Islam adalah saudara yang wajib saling membantu dalam kebaikan dan ketakwaan.

 

Oleh itu, perjuangan memperbaiki keadaan negeri-negeri umat Islam hendaklah dilakukan dengan semangat persaudaraan, dakwah, pendidikan dan kesedaran politik Islam.

 

Dengan demikian, semangat ketaatan dan persatuan dalam ibadah haji perlu menjadi tenaga besar untuk menggerakkan umat menuju satu perintah agung; iaitu menegakkan Khilafah Islamiyah yang akan melaksanakan hukum-hukum Allah secara kaffah yang selama ini diabaikan. Khilafah Islamiyah juga akan menyatukan umat Islam sedunia serta melindungi mereka daripada pelbagai kezaliman yang menimpa mereka.

 

Semoga Allah SWT sentiasa menolong dan meredhai perjuangan umat Islam di seluruh dunia untuk mengembalikan kegemilangan peradaban Islam di bawah naungan Khilafah Islamiyah. Amin.

 

WalLaahu a’lam bi ash-shawaab. 

 

———–

 

Hikmah:

 

Rasulullah SAW bersabda:

Perumpamaan kaum Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seperti satu tubuhJika salah satu anggota tubuh sakit, seluruh tubuh juga ikut merasakannya dengan tidak dapat tidur dan demam. (HR al-Bukhari dan Muslim).

 

 

Sumber : Buletin Dakwah Kaffah, Edisi 444

 

 

#Haji #PolitikHaji #MuhasabahZulhijjah #KesatuanUmmah #KesatuanHakiki #KemenanganIslam #TheSpiritofZulhijjah

Exit mobile version