Dua Pilar Dasar Baharu AS di Timur Arab
Banyak perkara yang kita saksikan hari ini. Terdapat perubahan-perubahan pantas di kawasan—di Lubnan, Palestin, Syria dan Iraq. Pelbagai peristiwa besar berlaku silih berganti dengan kadar yang luar biasa sejak Operasi Taufan al-Aqsa berupa: pembunuhan beramai-ramai, kemusnahan dan jenayah yang dilakukan oleh Amerika melalui kaki tangannya, entiti Yahudi. Terdapat pemusnahan kekuatan Faksi Iran di Lubnan, penghapusan pengaruh Iran di Syria, kemudian penyerahan kuasa di Syria kepada Hayat Tahrir al-Sham. Semuanya hampir mempunyai satu tema yang sama. Tema tersebut ialah bahawa Amerika menilai waktunya telah tiba untuk melaksanakan satu rancangan lama, yang sebelum ini telah dicuba untuk diwujudkan dalam beberapa peringkat, namun sentiasa tersandung dan gagal. Kini, Amerika melihat bahawa peluang untuk melaksanakan semua rancangannya telah tersedia.
Sejak mengadopsi entiti Yahudi selepas penubuhannya oleh Britain, tujuan Amerika adalah untuk mengukuhkan kewujudan entiti ini di kawasan tersebut; menjadikan entiti tersebut sebagai sebahagian yang “alami” daripada lingkungan sekitarnya, serta menyelesaikan apa yang disebut sebagai isu Timur Tengah atau konflik Arab–Yahudi. Dengan itu, normalisasi penuh dengan entiti tersebut dapat dicapai.
Namun begitu, kerumitan keadaan di kawasan ini serta banyaknya pihak yang terlibat telah menghalang tercapainya tujuan tersebut. Amerika juga disibukkan dengan isu-isu lain yang dianggap lebih penting, khususnya sepanjang tempoh Arab Spring. Prioriti utamanya ketika itu adalah menggagalkan revolusi-revolusi tersebut. Terutamanya di Syria, Amerika mengekalkan rejim selama tiga belas tahun bagi menghalang penubuhan Negara Islam yang merdeka.
Sejak tahun 2015, Amerika meletakkan Syria dan Lubnan di bawah pengaruh Iran. Sebelum itu, pengaruh Iran telah pun menguasai Iraq. Terdapat juga peranan yang diberikan Amerika kepada Rusia di Syria. Pada masa yang sama, Amerika turut memberi perhatian besar kepada kawasan Timur Jauh, khususnya dalam menghadapi China dan kekuatan ekonominya yang semakin berkembang.
Amerika melihat bahawa kawasan Timur Tengah telah kehilangan prioritinya. Kini, keutamaannya adalah fokus kepada Timur Jauh. AS berusaha mengekang China serta membina pakatan antarabangsa dan serantau untuk menyekat China. Oleh itu, Amerika memutuskan untuk berundur sebahagian dari kawasan ini. Amerika menyerahkan peranannya kepada kuasa-kuasa serantau lain—terutama Iran, Turki dan Rusia; sementara Amerika mengawal arah perkembangan dari jauh.
Kemudian menjadi jelas bahawa Parti Republik tidak berpuas hati dengan dasar yang diambil oleh pentadbiran Demokrat di bawah Obama. Apabila Trump memasuki Rumah Putih, dia menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Iran. Trump mula mengehadkan pengaruh Iran. AS bahkan secara terbuka membunuh Qassem Soleimani, Komander Pasukan Al-Quds Iran, dalam usaha untuk merebut kawalan di rantau ini.
Namun begitu, rancangannya gagal, dan dia kalah dalam pilihan raya seterusnya. Selepas itu, Parti Demokrat kembali berkuasa dan sebahagiannya memperbaiki hubungan dengan Iran. Akibatnya, proses perubahan di kawasan ini menjadi perlahan. Walaupun begitu, perlu diperhatikan bahawa selepas Operasi Decisive Storm, Presiden Demokrat Joe Biden pada penghujung tempoh pemerintahannya memutuskan untuk meneruskan rancangan bagi menamatkan pengaruh Iran di kawasan.
Serangan-serangan yang menewaskan ribuan pejuang Hizbullah, serta pembunuhan hampir seluruh pemimpin peringkat kedua organisasi tersebut, berlaku pada masa kepresidenan Biden. Ini berlaku sebelum pilihan raya dan bahkan sebelum kemenangan Trump menjadi jelas. Kemudian Trump kembali berkuasa dan bergerak pantas untuk menyelesaikan misi tersebut.
Apakah yang diinginkan oleh Trump? Mudah. Trump dan majoriti elit politik Amerika telah bersetuju tentang keperluan untuk menguasai kawasan ini secara langsung. Amerika tidak lagi mahu menyerahkan pengurusan wilayah Syam kepada sesiapa pun. Amerika ingin mewujudkan para penguasa yang tunduk secara langsung kepadanya di Lubnan, Iraq, Syria, dan wilayah lain. Amerika juga ingin mengakhiri konflik Palestin dan kawasan ini dengan entiti Yahudi, serta mengukuhkan dominasinya di kawasan tersebut.
Apakah yang mendorong Amerika mengambil pendekatan ini sekarang?
Perubahan Pandangan AS Terhadap Wilayah Syam
Kini Amerika melihat Syam sebagai wilayah yang mempunyai potensi pelaburan yang besar. Sama seperti pandangannya terhadap negara-negara Teluk beberapa dekad lalu sebagai kawasan pelaburan. Terutamanya kerana dijangkakan terdapat penemuan rizab gas dalam jumlah besar, yang mempunyai nilai ekonomi yang sangat tinggi serta nilai strategik yang penting.
Amerika menginginkan gas Syam dan gas Qatar—yang dirancang untuk disalurkan melalui paip dari Qatar, melalui Arab Saudi, Syam, dan Turki menuju ke Eropah—sebagai alternatif kepada gas Rusia. Sebelum ini, gas Rusia telah diputuskan oleh Amerika dari Benua Eropah dengan mencetuskan perang Rusia–Ukraine. Di satu pihak, ini bertujuan menggantikan gas Rusia. Di pihak lain, Amerika ingin memutuskan hubungan ekonomi yang memberi kesan kepada hubungan politik antara Rusia dan Eropah. Amerika juga ingin menarik Eropah kembali ke dalam pengaruhnya, dengan menguasai bekalan gas Arab ke Eropah.
Selain itu, kawasan ini juga merupakan sebahagian daripada konfrontasi Amerika terhadap Inisiatif Jalur dan Jalan China (BRICS) yang menghubungkan China hingga ke Eropah. Amerika memutuskan untuk menyaingi inisiatif ini dengan membina laluan alternatif dari India, melalui negara-negara Teluk, merentasi Jordan, dan berakhir di pesisir Palestin yang diduduki.
Terdapat kecurigaan kuat bahawa pembukaan laluan ini berkaitan dengan pemusnahan sistematik Gaza, pengusiran penduduknya dari wilayah tertentu dan menghalang mereka kembali. Tujuannya adalah untuk mengamankan kawasan yang akan dilalui laluan tersebut. Ini selari dengan kenyataan Trump mengenai pembangunan kawasan ala Riviera di Gaza.
Perlu diingat juga bahawa akan berlaku projek pembinaan semula besar-besaran di Gaza, Lubnan dan Syria. Ini merupakan taktik lama negara penjajah penjenayah Amerika: apabila syarikat-syarikat dan ekonominya menghadapi kesukaran, Amerika memusnahkan dengan alasan pembinaan semula.
Kita boleh mengingati perang Iraq, apabila tentera Amerika melakukan kemusnahan secara sengaja walaupun selepas kemenangan dan kejatuhan rejim. Mengapa? Agar Iraq berada dalam keadaan sangat memerlukan pembinaan semula, lalu syarikat-syarikat Amerika masuk untuk membangunkan semula sambil mengaut kejayaan minyaknya.
Kehancuran besar merupakan aset bernilai tinggi bagi Amerika dan negara-negara yang ingin melabur. Semakin besar kehancuran, semakin besar projek pembinaan semula. Kemudian, siapakah yang akan menanggung kosnya sekarang? Negara-negara Teluk, seperti biasa. Inilah cara untuk mengaut berbilion malah bertrilion dolar yang akhirnya kembali kepada ekonomi Amerika.
Kenyataan Trump sangat jelas dan tanpa berselindung apabila beliau berbicara tentang zon wisata ala Riviera di Gaza dan Zon Ekonomi Trump di selatan Lubnan. Ini juga sebagaimana Presiden Syria, al-Jaulani, yang tidak lama selepas kejatuhan Bashar al-Assad, berbicara tentang pembinaan Trump Tower di Damsyik.
Rancangan pelaburan Amerika ini memerlukan kestabilan rantau, kerana pelaburan mustahil berlaku tanpa kestabilan. Di sinilah pentingnya sikap tergesa-gesa Trump untuk menamatkan konflik di rantau ini, mempercepat proses normalisasi, serta pengiktirafan rejim-rejim terhadap entiti Yahudi penjajah.
[Ahli Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir. Sumber: Akhbar Al-Rayah, Edisi 585 – 04/02/2026].
Dua Pilar Dasar Baharu AS di Timur Arab

