بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Ucapan tahniah daripada Amir Hizbut Tahrir, alim ulama besar Sheikh Ata bin Khalil Abu al-Rasytah kepada umat Islam secara umum dan para syabab secara khusus sempena kedatangan Hari Raya Aidiladha al-mubarak bagi tahun 1447H bersamaan 2026M.
————————————
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta mereka yang setia mengikuti baginda. Amma ba’du.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, tiada Tuhan selain Allah… Allahu Akbar, Allahu Akbar, dan segala puji hanya bagi Allah.
Kepada umat Islam secara keseluruhannya, sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia; yang menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana…
Kepada para pengemban dakwah secara khusus, semoga Allah memberikan kemenangan melalui tangan-tangan mereka, serta menguatkan mereka dengan pertolongan-Nya untuk menegakkan Daulah Islam; Khilafah Rasyidah yang mengikuti manhaj kenabian…
Kepada para pengunjung halaman ini* yang dimuliakan, yang mendambakan kebaikan yang dibawanya, yang berusaha sedaya upaya untuk berpegang teguh kepada kebenaran dan mendukung para pendukungnya…
Kepada semua mereka itu diucapkan… Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya mengucapkan tahniah kepada kalian sempena Hari Raya Aidiladha tahun 1447 Hijrah, dan saya memohon kepada Allah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa agar hari raya ini menjadi permulaan kepada segala kebaikan dan keberkatan buat seluruh umat Islam.
Saudara-saudara yang dimuliakan,
Hari raya ini datang ketika pencerobohan Yahudi, dengan sokongan Amerika dan persenjataannya, masih berterusan ke atas Gaza Hasyim dan seluruh bumi Palestin… Sedangkan para pemerintah di negara-negara umat Islam hanya memerhati apa yang sedang berlaku; menghitung para syuhada lalu menamakan mereka sekadar sebagai “korban”! Bahkan yang dianggap paling “baik” antara mereka hanyalah yang bertindak sebagai orang tengah seolah-olah berkecuali, sedangkan mereka sebenarnya lebih dekat kepada pihak Yahudi.
Hari ini mereka menambah satu lagi pencerobohan yang lebih ganas dan dahsyat; Amerika dan entiti Yahudi telah melancarkan serangan bersama secara besar-besaran ke atas Iran dan ia masih berterusan sejak ia dimulakan pada 28/2/2026. Ini bermakna pencerobohan tersebut telah berlangsung selama tiga bulan terhadap Iran, Lubnan dan kawasan sekitarnya! Kini entiti Yahudi sedang mewujudkan zon penampan di selatan Lubnan sebagaimana yang mereka lakukan di Gaza Hasyim. Semua ini berlaku di hadapan mata para pemerintah negara-negara umat Islam tanpa sebarang tindakan!
Pada masa yang sama, “kereta api normalisasi” yang dipimpin oleh Donald Trump kembali bergerak pantas di Lubnan untuk menyusul negara-negara lain yang telah menormalisasikan hubungan dengan Yahudi. Rundingan-rundingan pengkhianatan terus berlangsung tanpa sedikit pun rasa malu terhadap Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman!
Malah gencatan senjata selama 10 hari dan tiga minggu yang mereka dakwa berlaku di Lubnan itu telah dipijak begitu sahaja oleh entiti Yahudi, bahkan mereka terus memperhebatkan serangan-serangan mereka…
Demikian juga gencatan senjata selama 45 hari yang diumumkan oleh Kementerian Luar Amerika Syarikat pada hari Jumaat, 15/5/2026, antara entiti Yahudi dan Lubnan, dengan kenyataan bahawa “Israel dan Lubnan telah bersetuju melanjutkan gencatan senjata selama 45 hari”, ternyata bagi entiti Yahudi ia tidak lebih sekadar dakwat di atas kertas. Serangan terus dipertingkatkan tanpa sedikit pun menghormati gencatan senjata yang didakwa itu.
Sebagai contoh, “Israel” pada hari Ahad telah melancarkan dua serangan udara di sekitar pekan Yahmar dan Sahmar di wilayah Beqaa Barat, timur Lubnan, di samping satu lagi serangan ke atas pekan Zawtar al-Sharqiyyah di selatan Lubnan… (Al Jazeera, 17/5/2026).
Sudah tentu entiti Yahudi tidak akan melancarkan serangan tanpa persetujuan Trump yang sebelum itu mengumumkan gencatan senjata tersebut!
Demikianlah keadaannya; hampir tiada siang atau malam yang sunyi daripada pencerobohan di sana sini, sedangkan para pemerintah di negeri-negeri umat Islam berada di sekelilingnya namun tetap membisu seribu bahasa, seolah-olah apa yang berlaku itu terjadi di negeri antah-berantah yang langsung tidak berkaitan dengan mereka. Alangkah buruknya hukum dan keputusan yang mereka lakukan!
Kemudian, selepas kepulangan Donald Trump daripada lawatannya ke China, dia masih meneruskan kepungan terhadap Selat Hormuz serta terus mengeluarkan ugutan dan ancaman: “Presiden Amerika Syarikat, Trump, pada hari Ahad mengancam Iran dengan akibat yang buruk sekiranya para pemimpinnya tidak segera bertindak… Trump menulis dalam hantaran di platform Truth Social: ‘Masa semakin suntuk bagi Iran dan mereka mesti bertindak segera, jika tidak, mereka tidak akan mempunyai apa-apa lagi,’ sambil menegaskan bahawa ‘masa adalah faktor penentu!’” (Al Arabiya, 17/5/2026).
Kemudian presiden Amerika itu memperbaharui lagi ancamannya untuk melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran. Dalam hantaran di platform Truth Social pada hari Isnin, dia memberikan bayangan bahawa serangan Amerika terhadap Iran boleh datang dari pelbagai arah… (WAA, 18/5/2026).
Dia terus menerus menunjukkan sikap angkuh dan sombongnya dengan berkata: “Dalam konteks yang sama, Trump menegaskan bahawa pasukan tentera Amerika telah menghancurkan sebahagian besar tentera Iran serta kepimpinan politiknya, sambil menekankan bahawa Amerika Syarikat tidak akan membenarkan Iran, dalam apa jua keadaan sekalipun, membangunkan senjata nuklear.” (Middle East Online, 20/5/2026).
BBC pula melaporkan dalam kemas kini terakhir bertarikh 21/5/2026: “Trump berkata kepada para wartawan di Pangkalan Andrews… ketika ditanya mengenai perkembangan rundingan dengan Iran, bahawa rundingan tersebut kini berada di persimpangan penting… Dia menambah: ‘Jika kami tidak memperoleh jawapan yang tepat, keadaan akan menjadi semakin buruk dengan sangat cepat. Jawapan itu mestilah lengkap seratus peratus.’” (BBC, kemas kini terakhir 21/5/2026).
Jelas sekali dia menginginkan rundingan yang tunduk sepenuhnya kepada kehendaknya, atau sebagaimana yang sering diungkapkannya: “Rundingan dengan Iran telah sampai ke peringkat akhir:”, namun pada masa yang sama dia memberikan amaran bahawa kegagalan rundingan itu akan membawa kepada lebih banyak serangan. (Iran International, 21/5/2026).
Demikianlah Donald Trump mahu rundingan berlangsung menurut kesombongan dan keangkuhannya dengan slogan “keamanan melalui kekuatan”!
Trump terus mendorong sekutunya, Benjamin Netanyahu, supaya meneruskan pemusnahan dan pencerobohan. Maka entiti Yahudi, sebagaimana yang telah kami sebutkan sebelum ini, membina kem-kem baharu untuk tenteranya di kampung-kampung Lubnan yang didudukinya dan mengisytiharkannya sebagai “zon penampan”, iaitu mengulangi “senario” Gaza bersama Hamas dan garis kuning!
Kelihatan bahawa keangkuhan Trump dengan slogan damainya yang kononnya “melalui kekuatan” itu telah menghasilkan draf perjanjian yang penuh dengan ranjau dan perangkap, sebagai mukadimah kepada rundingan atau perbincangan yang boleh berlanjutan sehingga dua bulan atau lebih, sebagaimana yang dilaporkan oleh agensi-agensi berita pada hari Ahad.
Sesungguhnya merupakan satu malapetaka besar apabila Trump boleh memulakan peperangan, kemudian menghentikan atau menamatkannya sesuka hati tanpa sedikit pun mempedulikan darah yang telah ditumpahkan, rumah-rumah yang dimusnahkan dan segala kemudahan kehidupan yang dihancurkan…
Semua itu berlaku kerana tidak wujud sebuah negara umat Islam yang mampu mematahkan tipu dayanya dan memberikan pengajaran kepadanya sebagaimana yang pernah berlaku terhadap para pengikutnya terdahulu daripada bangsa Parsi dan Rom.
Bahkan sekutunya, Netanyahu, juga bergerak mengikut perancangan dan arahan Trump dalam menghancurkan manusia, pepohonan dan batu-batuan di Palestin, Lubnan dan kawasan sekitarnya!
Sebagai penutup, para pemerintah di negara-negara umat Islam lebih memuji dan mengagungkan penjajah kafir daripada memuji Tuhan sekalian alam…
Dan daripada berusaha membebaskan Palestin serta menghapuskan entiti Yahudi, mereka sebaliknya berusaha untuk berunding dan menormalisasikan hubungan dengannya…
Para pemerintah ini memberikan kesetiaan kepada Amerika dan anak didiknya, iaitu entiti Yahudi, semata-mata untuk mendapatkan keredaan Donald Trump!
Demikianlah mereka mengundang kemurkaan Allah ke atas diri mereka demi meraih keredaan sang taghut, Trump…
Mereka telah melupakan, atau pura-pura melupakan, sabda Rasulullah ﷺ: “Sesiapa yang membuat Allah murka demi mendapatkan keredaan manusia, maka Allah akan murka kepadanya dan menjadikan orang yang diredainya itu turut murka kepadanya. Dan sesiapa yang mencari keredaan Allah meskipun manusia murka kepadanya, maka Allah akan reda kepadanya serta menjadikan orang yang murka itu akhirnya reda kepadanya, sehingga Allah memperelokkan dirinya, perkataannya dan amalannya pada pandangan mereka.” [HR Al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir].
Demikian juga para pemerintah ini tidak menyedari betapa besarnya jenayah memberikan wala’ kepada orang-orang kafir, sedangkan perbuatan itu merupakan kehinaan di dunia dan azab yang pedih di akhirat kelak:
﴿سَيُصِيبُ الَّذِينَ أَجْرَمُوا صَغَارٌ عِنْدَ اللَّهِ وَعَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا كَانُوا يَمْكُرُونَ﴾
“Mereka yang melakukan kejahatan itu akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan azab yang sangat berat disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.”
Kesetiaan para pemerintah ini kepada penjajah kafir telah sampai ke tahap apabila salah sebuah negara mereka diserang, negara-negara yang lain langsung tidak bergerak untuk membantunya. Bahkan yang paling baik antara mereka hanyalah sekadar menghitung jumlah korban yang terbunuh dan cedera!
Padahal asalnya kaum Muslimin itu ialah satu umat; keamanan mereka adalah satu dan peperangan mereka juga adalah satu. Maka pencerobohan terhadap mana-mana bahagian daripada umat ini sebenarnya merupakan pencerobohan terhadap keseluruhannya.
Namun hakikat ini tidak akan terlaksana selagi negeri-negeri umat Islam terus berpecah-belah dan para pemerintah di negara-negara umat Islam tetap memberikan kesetiaan kepada penjajah kafir.
Sebaliknya, keadaan ini hanya akan dapat direalisasikan melalui tegaknya Khilafah Rasyidah yang menyatukan kembali kaum Muslimin sebagai satu umat…
Khilafah itu akan menolong agama Allah dan menerapkan hukum-hukum-Nya, lalu mendapat pertolongan daripada Allah dengan izin-Nya. Dengan keadilan dan jihadnya, ia akan menerangi dunia, dan Allah akan memuliakannya dengan kemenangan-Nya.
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu.”
Maka sahutlah seruan Allah wahai kaum Muslimin, dan bekerjalah bersama Hizb ut-Tahrir untuk merealisasikan janji Allah SWT:
﴿وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْناً يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئاً وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ﴾
“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dalam kalangan kamu dan yang mengerjakan amal-amal soleh bahawa Dia pasti akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia pasti akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, serta Dia benar-benar akan menggantikan keadaan mereka sesudah ketakutan kepada keamanan. Mereka menyembah-Ku dan tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu apa pun. Dan sesiapa yang kufur sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.”
Demikian juga khabar gembira daripada Rasulullah ﷺ selepas zaman pemerintahan yang bersifat memaksa dan zalim yang sedang kita lalui hari ini, sebagaimana yang disebut dalam hadis Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan oleh Huzaifah ibn al-Yaman dan dikeluarkan oleh Ahmad ibn Hanbal: “…Kemudian akan wujud pemerintahan yang bersifat memaksa (mulkan jabriyyan), lalu ia akan berlangsung selama mana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Setelah itu akan kembali tegaknya Khilafah di atas manhaj kenabian. Kemudian baginda pun diam.”
﴿وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ * بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ﴾
“Dan pada hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman dengan pertolongan Allah. Dia menolong sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.”
Sebagai penutup segala penutup, aku memohon kepada Allah SWT agar hari raya ini menjadi permulaan kepada segala kebaikan, keberkatan dan kemuliaan bagi Islam serta kaum Muslimin.
﴿وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ﴾
“Dan Allah tetap berkuasa melaksanakan urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, tiada Tuhan selain Allah… Allahu Akbar, Allahu Akbar, dan segala puji hanya bagi Allah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saudara kalian,
Ata bin Khalil Abu al-Rasytah
10 Zulhijjah 1447H
Bersamaan 27/05/2026M
#EidMubarak #Aidiladha #MuhasabahZulhijjah #RenunganZulhijjah #KesatuanUmmah #KembalikanKhilafah #KhilafahAjaranIslam
Sumber asal:
https://www.facebook.com/share/p/18S2kU4GA9/ (bahasa inggeris)
https://www.facebook.com/share/p/1DdZ3utFXR/ (bahasa arab)

