Strategi Barat Mengawal Palestin
Penulis: Budi Mulyana
Isu Palestin merupakan salah satu konflik politik paling panjang, kompleks dan sarat kepentingan dalam sejarah moden. Ia tidak boleh difahami sekadar sebagai konflik antara dua kelompok etnik atau agama. Sebaliknya, ia adalah , hasil daripada campur tangan sistematik kuasa-kuasa Barat yang membentuk semula peta politik Timur Tengah sejak awal abad ke-20. Palestin menjadi contoh nyata bagaimana kolonialisme klasik, kolonialisme terselindung, dan manipulasi undang-undang antarabangsa digunakan secara berterusan untuk menguasai sesuatu wilayah dan menentukan masa depan rakyatnya.
Tulisan ini berusaha menelusuri secara sejarah langkah-langkah Barat dalam mengawal Palestin. Bermula daripada keruntuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah sebagai pelindung politik terakhir dunia Islam; diikuti dengan penguasaan British melalui Sistem Mandat, penubuhan negara Israel dengan legitimasi resolusi PBB, rangkaian perjanjian politik yang menguntungkan Israel; sehinggalah kepada kemunculan gagasan kontemporari seperti Board of Peace yang digagas oleh Donald Trump.
Dengan pendekatan sejarah-kritis, tulisan ini ingin menunjukkan bahawa apa yang berlaku di Palestin hari ini merupakan kesinambungan daripada satu rangkaian strategi panjang, bukannya peristiwa yang berdiri sendiri.
Palestin dalam Naungan Khilafah Turki Uthmaniyyah
Sebelum abad ke-20, Palestin merupakan sebahagian daripada wilayah Khilafah Turki Uthmaniyyah selama lebih empat abad. Dalam sistem Khilafah, Palestin adalah sebahagian wilayah integral negara. Al-Quds (Baitulmaqdis) mempunyai kedudukan istimewa kerana kesuciannya bagi umat Islam, Kristian dan Yahudi. Penduduk Palestin yang majoriti Muslim hidup berdampingan dengan kominiti Kristian dan Yahudi tempatan tanpa konflik struktural yang sistematik.
Walaupun Khilafah mengalami kemerosotan politik dan ketenteraan pada abad ke-19, ia tetap menjadi penghalang utama kepada penembusan langsung Barat ke wilayah Palestin. Projek Zionisme politik yang muncul di Eropah pada akhir abad ke-19 menghadapi halangan besar selagi Khilafah masih berdaulat. Penolakan Sultan Abdul Hamid II terhadap permintaan Theodore Herzl untuk mendirikan tanah air Yahudi di Palestin menjadi bukti bahawa kewujudan Khilafah merupakan benteng politik yang signifikan.
Namun begitu, kekalahan Turki Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama mengubah segalanya. Barat bukan sahaja mensasarkan kekalahan ketenteraan Uthmaniyyah, malah pembongkaran keseluruhan struktur politik Islam yang telah berdiri selama berabad-abad. Melalui Perjanjian Sevres
(10 Ogos 1920), wilayah Turki Uthmaniyyah dibahagi-bahagikan oleh pihak Bersekutu. Hak-hak Khilafah di Semenanjung Arab dan Afrika Utara dihapuskan. Melalui Perjanjian Lausanne (24 Julai 1923), Turki menjadi sebuah negara Republik dan terpaksa melepaskan tuntutan wilayahnya ke atas wilayah Uthmaniyyah di Timur Tengah. Perjanjian ini menjadikan Khilafah sekadar simbol, tanpa kuasa politik. Akhirnya, pada 3 Mac 1924 Perhimpunan Kebangsaan Besar Republik Türkiye memansuhkan jawatan Khalifah dan menamatkan sistem Pemerintahan Khilafah.
Kejatuhan Khilafah dan Rekayasa Politik Barat
Perang Dunia Pertama menjadi momentum bagi British dan Perancis untuk membahagikan wilayah Timur Tengah. Melalui Perjanjian Sykes–Picot (1916), kedua-dua kuasa kolonial ini secara rahsia bersetuju membahagikan wilayah Arab Uthmaniyyah ke dalam zon pengaruh masing-masing. Kesepakatan ini dibuat tanpa melibatkan penduduk tempatan dan bertentangan dengan janji British kepada bangsa Arab untuk memberikan kemerdekaan.
Kejatuhan Khilafah secara rasmi pada 1924 menandakan berakhirnya autoriti politik Islam yang menyatukan wilayah Muslim. Kekosongan kuasa ini dimanfaatkan Barat untuk membina sistem baru berdasarkan negara-bangsa yang lemah, berpecah, dan bergantung kepada kuasa kolonial. Palestin menjadi salah satu wilayah yang paling terkesan dari rekayasa ini.
Tanpa Khilafah, Palestin tidak lagi memiliki pelindung politik yang mampu menahan tekanan antarabangsa. Inilah keadaan ideal bagi Barat untuk meneruskan agenda kolonialnya dengan pendekatan baharu yang lebih halus tetapi efektif.
British dan Sistem Mandat Palestin
Setelah Perang Dunia Pertama, Liga Bangsa-Bangsa memperkenalkan Sistem Mandat yang didakwa sebagai mekanisme transisi menuju kemerdekaan. Palestin diletakkan di bawah Mandat British pada tahun 1920. Namun dalam praktiknya, sistem ini menjadi bentuk kolonialisme baharu yang dilegalkan secara antarabangsa.
Peranan British di Palestin sangat penting. Bahkan sebelum mandat bermula lagi, British telah mengeluarkan Deklarasi Balfour pada 1917 yang menjanjikan penubuhan “tanah air nasional bagi bangsa Yahudi” di Palestin. Pastinya, deklarasi ini dibuat tanpa persetujuan penduduk Palestin. Ia juga mengabaikan kenyataan bahawa ketika itu Palestin adalah masih dalam wilayah Turki Uthmaniyyah. Ini bermakna, sedari awal British memang berniat untuk mengambil wilayah Palestin untuk diserahkan kepada Zionis.
Sepanjang tempoh Mandat British (1920–1948), dasar kolonial diarahkan untuk memperkukuh komuniti Zionis. British memudahkan penghijrahan besar-besaran Yahudi dari Eropah, yang membolehkan pengambilalihan tanah secara meluas, serta menyokong pembentukan institusi politik dan ketenteraan Yahudi. Sebaliknya, penentangan rakyat Palestin ditekan dengan keras melalui undang-undang darurat, penangkapan besar-besaran dan pembubaran organisasi politik Arab.
Dengan demikian, British tidak bertindak sebagai pentadbir yang berkecuali, sebaliknya sebagai aktor utama yang menyediakan asas dan infrastruktur bagi penubuhan negara Israel.
Penubuhan Negara Israel melalui Resolusi PBB
Menjelang akhir Mandat British, konflik antara komunitii Yahudi yang dibawa masuk oleh British dengan penduduk Arab Palestin semakin memuncak. British kemudian menyerahkan isu Palestin kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada 1947, Perhimpunan Agung PBB meluluskan Resolusi 181 mengenai pembahagian Palestin.
Resolusi ini membahagikan Palestin kepada dua buah negara: negara Yahudi dan negara Arab, manakala Baitulmaqdis (Yerusalem) diletakkan di bawah rejim antarabangsa. Pembahagian ini sangat tidak seimbang. Negara Yahudi memperoleh wilayah yang lebih luas dan strategik walaupun jumlah penduduk Yahudi lebih kecil berbanding penduduk Arab Palestin.
Rakyat Palestin dan negara-negara Arab menolak resolusi tersebut kerana dianggap tidak adil serta melanggar hak mereka. Namun begitu, dengan sokongan politik, diplomatik dan ketenteraan daripada Barat, Israel tetap mengisytiharkan kemerdekaannya pada 14 Mei 1948.
Peristiwa ini mencetuskan Tragedi Nakba. Di mana lebih daripada 700,000 rakyat Palestin diusir dari tanah mereka. Sejak itu, Israel berdiri sebagai sebuah negara kolonial yang dilindungi oleh sistem antarabangsa, manakala Palestin kehilangan kedaulatan dan terjerumus dalam status sebagai pelarian serta wilayah yang diduduki. Tanpa ada pembelaan.
Pengukuhan Dominasi Israel Pasca-1948
Selepas penubuhan Israel, langkah Barat seterusnya adalah memastikan kelangsungan dan keselamatan negara tersebut. Amerika Syarikat tampil sebagai pelindung utama Israel, menggantikan posisi British yang semakin lemah di peringkat global. Amerika menyokong Israel baik melalui bantuan ketenteraan, ekonomi dan diplomatik. Setiap usaha antarabangsa yang berpotensi memberi tekanan kepada Israel sering diveto oleh Amerika Syarikat di Majlis Keselamatan PBB.
Peperangan Arab–Israel yang berlaku pada 1948, 1967, dan 1973 pula semakin mengukuhkan kedudukan Israel. Negara-negara jiran yang terlibat dalam peperangan tersebut secara tidak langsung memperkukuh kewujudan Israel. Mereka berperang atas senario Barat. Bukan semata-mata untuk membela Palestin. Wilayah Palestin semakin mengecil, hanya tinggal Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur. Itu pun dalam keadaan yang terhad, kerana secara keseluruhannya wilayah Palestin boleh dikatakan berada di bawah pendudukan ketenteraan Israel.
Perjanjian Kem David: Memecah Solidariti Arab
Untuk menguatkan sokongan antarabangsa supaya dianggap selari dengan nilai-nilai propaganda Barat, bahawa mereka masih membuka ruang kepada rakyat Palestin. Barat mula mengalihkan strategi daripada pendekatan ketenteraan terbuka kepada pendekatan diplomasi dan perjanjian politik yang digambarkan sebagai proses perdamaian.
Perjanjian Kem David pada tahun 1978 antara Mesir dan Israel, yang dimediasi oleh Amerika Syarikat, menjadi titik penting dalam strategi Barat. Buat pertama kalinya, negara Arab terbesar secara rasmi mengiktiraf Israel.
Perjanjian ini berjaya memecahkan solidariti Arab dan mengurangkan tekanan serantau terhadap Israel. Ia merupakan satu keuntungan strategik yang besar bagi Barat dan sekutunya.
Persidangan Madrid dan Normalisasi Proses Rundingan
Persidangan Madrid pada tahun 1991 diadakan selepas Perang Teluk dengan tajaan Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Forum ini memperkenalkan kerangka rundingan langsung antara Israel dan pihak Arab, termasuk wakil Palestin.
Namun begitu, kerangka Madrid meletakkan Israel sebagai pihak yang setara dengan mangsa pendudukan. Isu-isu utama seperti pelarian, penempatan haram dan status Baitulmaqdis ditangguhkan perbincangannya. Proses ini lebih berfungsi untuk menormalkan kewujudan Israel serta mengurangkan penentangan antarabangsa terhadap pendudukannya.
Selepas persidangan ini, semakin banyak negara Arab membuka hubungan diplomatik dengan Israel, termasuk Jordan.
Perjanjian Oslo: Autonomi Tanpa Kedaulatan
Perjanjian Oslo pada tahun 1993 sering dianggap sebagai satu terobosan ke arah perdamaian. Melalui perjanjian ini, PLO mengiktiraf Israel, manakala Israel pula mengiktiraf PLO sebagai wakil rakyat Palestin.
Namun begitu, hasil sebenar daripada Oslo sebenarnya merugikan Palestin. Pihak Berkuasa Palestin ditubuhkan dengan kuasa yang terhad, tanpa kawalan terhadap sempadan, keselamatan dan sumber alam. Wilayah Palestin pula terpecah-pecah menjadi kawasan-kawasan kecil yang terasing, sementara penempatan Yahudi terus berkembang.
Pada hakikatnya, Oslo telah mengubah bentuk pendudukan langsung kepada pendudukan tidak langsung, dengan sebahagian beban pentadbiran dipindahkan kepada pihak Palestin sendiri.
Board of Peace dan Strategi Barat Kontemporari
Dalam era moden, pendekatan Barat terhadap Palestin terus berlanjutan dengan wajah baharu. Donald Trump, sepanjang tempoh kepresidenannya, menunjukkan keberpihakan terbuka kepada Israel, termasuk pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel serta sokongan terhadap aneksasi wilayah Palestin.
Trump dianggap sebagai presiden Amerika Syarikat yang banyak menyumbang kepada usaha menjadikan Zionis Israel dapat diterima dalam dunia Islam. Melalui Abraham Accords, Trump berjaya mendorong beberapa negara Arab menormalisasi hubungan dengan Israel seperti Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi. AS terus menggalakkan negara lain untuk turut serta.
Kebelakangan ini, gagasan Board of Peace dimulakan oleh Trump untuk menarik negara-negara lain dengan pendekatan yang lebih lembut, seperti isu pembinaan semula Gaza. BoP berjaya menarik minat negara-negara seperti Indonesia, Arab Saudi dan lain-lain dengan dipromosikan sebagai inisiatif perdamaian global.
Namun begitu, dalam konteks Palestin, konsep seperti ini dilihat sebagai alat legitimasi baharu bagi penyelesaian versi Barat. Seperti inisiatif terdahulu, ia pastinya mengabaikan akar konflik: iaitu penjajahan, perampasan tanah, dan penafian hak kembali bagi pelarian Palestin.
Bukannya membebaskan Palestin, mekanisme perdamaian seperti ini cenderung mengukuhkan status quo dan menekan pihak yang dijajah untuk menerima realiti yang tidak adil.
Penutup
Sejarah Palestin menunjukkan satu pola yang konsisten dalam langkah-langkah Barat mengawal wilayah ini: penghancuran autoriti politik Islam melalui kejatuhan Khilafah, kolonialisme terselindung melalui Sistem Mandat, legitimasi antarabangsa terhadap penubuhan Israel, serta rangkaian perjanjian politik yang menguntungkan penjajah atas nama perdamaian.
Memahami rangkaian sejarah ini penting agar perjuangan Palestin tidak disempitkan menjadi sekadar konflik dua pihak, sebaliknya difahami sebagai isu keadilan global dan kolonialisme moden. Tanpa perubahan paradigma dan pengiktirafan terhadap akar permasalahan, setiap inisiatif perdamaian baharu hanya akan mengulangi kegagalan yang lalu.
Jelas bahawa terdapat peranan negara kuasa besar dalam proses ini. Dahulu, Khilafah Islam merupakan kuasa besar yang mempertahankan Palestin daripada agenda Zionis yang ingin menguasainya. Apabila Khilfah runtuh, British menjadi kuasa besar yang menyediakan dan memudahkan penubuhan negara Zionis Israel. Kini, Amerika Syarikat pula bertindak sebagai kuasa besar yang membesarkan dan terus mempertahankan kewujudannya, malah memaksakan penerimaan terhadap negara Zionis dan penjajahan ke atas Palestin sebagai sesuatu yang normal.
Untuk mengembalikan Palestin, maka memerlukan kemunculan semula kuasa besar Islam, sebagaimana peranan yang pernah dimainkan oleh Khilafah Turki Uthmaniyyah dan khilafah-khilafah sebelumnya dalam membuka serta menjaga bumi Palestin sebagai tanah yang diberkati, yang di dalamnya terletak kiblat pertama umat Islam, iaitu Masjid al-Aqsa. WalLâhu a’lam.
Rujukan:
- Mafahim Siyasiyah li Hizbit Tahrir
- Rashid Khalidi, The Iron Cage: The Story of the Palestinian Struggle for Statehood, Beacon Press.
- Ilan Pappé, The Ethnic Cleansing of Palestine, Oneworld Publications.
- Eugene Rogan, The Fall of the Ottomans: The Great War in the Middle East, Basic Books.
- Edward Said, The Question of Palestine, Vintage Books.
- Benny Morris, 1948: A History of the First Arab-Israeli War, Yale University Press.
- Arkib Liga Bangsa-Bangsa tentang Mandat Palestin.
- Resolusi Majelis Umum PBB No. 181 Tahun 1947.
- Dokumen Perjanjian Camp David (1978).
- Dokumen Konferensi Madrid (1991).
- Oslo Accords I dan II (1993–1995).

