Dosa Besar Memfitnah Rasulullah SAW
Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi SAW, baginda bersabda:
تَسَمَّوْا بِاسْمِي وَلَا تَكْتَنُوا بِكُنْيَتِي، وَمَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي؛ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَتَمَثَّلُ فِي صُورَتِي، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ.
“Berilah nama dengan namaku, namun janganlah kamu menggunakan kunyah-ku (nama julukan). Barang siapa melihatku dalam mimpi, maka dia benar-benar telah melihatku, kerana syaitan tidak dapat menyerupai rupa bentukku. Dan barang siapa yang berdusta atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia menyiapkan tempat duduknya di neraka.” (Sahih Bukhari, hadis 110)
Jika ada yang bertanya: “Berdusta adalah maksiat, kecuali yang dikecualikan seperti untuk mendamaikan orang dan lainnya, dan setiap maksiat telah diancam dengan neraka. Lalu, apa bezanya ancaman bagi orang yang berdusta atas nama Rasulullah SAW dibandingkan dengan orang yang berdusta atas nama orang lain?”
Terdapat dua pandangan bagi jawapan terhadap perkara ini:
Pertama: Berdusta atas Nabi SAW secara sengaja dianggap sebagai kekafiran menurut sebahagian ahli ilmu. Namun, majoriti ulama berpendapat bahawa pelakunya tidak menjadi kafir kecuali jika dia meyakini halalnya perbuatan dusta tersebut.
Kedua: Berdusta atas nama baginda adalah dosa besar, sedangkan berdusta atas nama orang lain adalah dosa kecil (shaghîrah), maka keduanya berbeza. Persamaan ancaman neraka bagi keduanya tidak bererti tempat tinggal atau lamanya mereka di neraka akan sama. Sabda nabi SAW: “maka hendaklah dia menyiapkan tempat duduknya,” menunjukkan lamanya tempoh masa tinggal di neraka. Bahkan zahir hadis ini menunjukkan dia tidak akan keluar darinya kerana Nabi SAW tidak menyebutkan tempat tinggal lain baginya. Akan tetapi, dalil-dalil qathie telah menetapkan bahawa pengekalan abadi di neraka hanya khusus bagi orang-orang kafir.
Nabi SAW telah membezakan antara berdusta atas nama baginda dengan berdusta atas orang lain, sebagaimana akan dijelaskan dalam Kitab al-Janâ’iz pada hadis al-Mughîrah, di mana baginda bersabda: “Sesungguhnya berdusta atasku tidaklah sama dengan berdusta atas orang lain.”
Sumber: “Fath al-Bari Syarh Shahih Bukhari” – Imam Ibnu Hajar al-Asqlani
#dusta #dosabesar #fitnah

