Abu Bakar as-Siddiq RA, Pemimpin Teladan
Penulis: Nabila asy-Syafie
Abu Bakar as-Siddiq RA adalah seorang sahabat Rasulullah SAW sekaligus khalifah pertama yang terkenal sangat dermawan. Beliau seorang jutawan dan perunding perniagaan yang berjaya. Beliau kerap mendapat keuntungan dalam perniagaannya. Hebat lagi, semua hartanya digunakan untuk berjuang di jalan Allah SWT.
Abu Bakar pernah menginfakkan seluruh hartanya untuk berjihad di jalan Allah SWT ketika Perang Tabuk. Walaupun demikian, tidak pernah ada cerita Abu Bakar jatuh miskin dan menelantarkan keluarganya. Allah SWT dan Rasulullah SAW menjadi jaminannya. Sungguh, Allah SWT telah memberikan kelebihan berupa kepakaran dalam berdagang kepada Abu Bakar. Harta yang beliau kembangkan selalu membawa kebaikan dan keberkahan di dunia dan akhirat.
Sewaktu amanah sebagai khalifah Rasul ada dibahunya, Abu Bakar tidak boleh lagi berdagang. Beliau mencurahkan seluruh waktu, tenaga, dan fikirannya untuk menguruskan urusan umat. Tidak pernah terlintas dalam benaknya untuk memperkayakan diri mahupun keluarganya.
Atas pertimbangan Umar bin Khattab dan persetujuan sahabat lain, Abu Bakar diberi santunan dari baitulmal sebanyak tiga dirham setiap hari untuk menyantuni kehidupan dan keluarganya.
Suatu hari menjelang wafatnya Abu Bakar, Aisyah, puteri tercintanya datang berkunjung. Abu Bakar penuh kerisauan jika masih ada harta yang bukan haknya di dalam rumahnya. Dia bertanya kepada puterinya, “Wahai Aisyah, adakah masih tersisa harta umat muslim pada kita?”
“Tidak ada, ayah, kecuali seekor unta yang biasa digunakan untuk mengangkut air bagi keperluan ayah, sebuah bekas untuk memerah susu, dan sehelai baju yang ayah gunakan untuk menerima utusan,” jawab Aisyah.
Mendengar hal itu, Abu Bakar memerintahkan Aisyah untuk menjual unta tersebut, lalu wangnya diserahkan ke baitulmal. Aisyah segera menjalankan perintah ayahnya.
Abu Bakar memerintahkan, “Wahai Aisyah, hitunglah berapa wang yang telah aku ambil selama menjadi khalifah, iaitu selama 33 bulan. Jika masih kurang, segera jual tanah yang aku miliki, lalu serahkan wangnya ke baitulmal. Aku tidak ingin menemui Allah SWT, sedangkan masih ada urusan harta yang belum selesai!” Aisyah pun segera melaksanakan amanah ayahnya.
Dengan hati sedih, Aisyah berkata, “Wahai ayah, dengan apa kelak kami akan mengkafanmu jika semua harta diserahkan ke baitulmal?”
“Kafankan aku dengan baju yang aku kenakan ini,” jawab Khalifah Abu Bakar.
“Kalau begitu, aku akan bekerja agar dapat membelikan baju baru bagimu,” ucap Aisyah.
“Tidak, jangan kau lakukan itu. Baju baru lebih layak dipakai oleh mereka yang hidup daripada sebujur mayat.”
Akhirnya, sang khalifah wafat pada Isnin, 22 Jamadilakhir 13 H atau 22 Ogos 634 M setelah sakit sekitar dua minggu. Sesuai amanahnya, beliau tidak menyisakan harta benda.
Demikianlah susuk Abu Bakar as-Siddiq RA, sahabat Rasulullah SAW. Meskipun beliau seorang manusia biasa, tetapi didikan dan pembinaan dari Rasulullah SAW menjadikannya susuk pemimpin yang luar biasa. Abu Bakar meninggalkan jejak sejarah yang tertulis dengan tinta emas. Keteladanannya tidak lekang oleh waktu dan tempat.
Susuk pemimpin seperti Abu Bakar as-Siddiq RA memang sukar ditemui. Bahkan, tidak ada pada zaman sekarang. Ini kerana cetakan sekular kapitalisme telah membuat para pemimpin di negeri-negeri muslim tidak lagi menjadi pelayan umat. Mereka lebih mementingkan kekuasaan, kekayaan, dan kesejahteraan untuk diri, keluarga, dan kelompoknya. Mereka meninggalkan ajaran Islam yang mulia. Hubbud dunya atau cinta dunia telah menguasainya.
Umat muslim tentu merindukan pemimpin seperti Abu Bakar as-Siddiq. Pemimpin umat yang berkeperibadian Islam kukuh, berani menerapkan Islam kaffah, dan mengurus umat sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, mesti dimulakan dengan membina umat selari dengan teladan Rasulullah SAW dalam membina para sahabat. Kaum muslimin mesti meneladan Rasulullah SAW dalam melakukan perubahan dalam masyarakat. Baginda SAW berjaya mengubah masyarakat kafir jahiliah menjadi masyarakat Islam yang mulia.
Wallahu’alam.
#AbuBakar #PemimpinTeladan #Khalifah #Sahabat

