[Kenyataan Media] KL Headline Season 2026”: Kerajaan Madani Sudah Tidak Peduli Murka Allah!
Kuala Lumpur bakal muncul sebagai destinasi utama jelajah konsert antarabangsa di Asia menerusi “KL Headline Season 2026”, yang menghimpunkan 25 persembahan artis global sepanjang tahun 2026. Ibu negara Malaysia ini dijadualkan menjadi tuan rumah kepada 25 persembahan artis antarabangsa, di enam lokasi dengan sasaran lebih 500,000 peminat dari dalam dan luar negara – demikian menurut penganjur, Live Nation Malaysia. “KL Headline Season dijangka menyaksikan ribuan rakyat merebut peluang untuk mendapatkan tiket bagi konsert dan persembahan terbesar pada tahun ini,” kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, ketika berucap sempena pelancarannya pada 25 Mei 2026 lalu.
Pesta Air dan Muzik yang mendapat kecaman hebat baru sahaja berlalu, sehingga kerajaan Madani terpaksa berusaha “menyamak” Bukit Bintang dengan program bacaan Al-Quran dan selawat dalam rangka meredakan kemarahan umat Islam. Kini, kerajaan yang sama dengan bangganya mengotorkan semula Kuala Lumpur, bukan dengan satu “najis”, tetapi 25 “najis mughallazah”. Inilah realiti kerosakan sistem demokrasi-kapitalisme pada hari ini yang lahir daripada akidah sekularisme, yang menjadikan hiburan sebagai sebuah “kewajipan” sesuai dengan gaya hidup hedonisme yang menjadi tonggak ajarannya.
Sistem demokrasi yang lahir dari ideologi kapitalisme adalah sebuah sistem yang tidak pernah mempedulikan halal dan haram, kerana satu-satunya pertimbangan dalam melakukan tindakan adalah manfaat. Atas dasar itu, pintu maksiat terus dibuka seluas-luasnya dalam sistem kufur ini selama aktiviti maksiat tersebut boleh mendatangkan manfaat. Apa yang lebih memburukkan keadaan ialah segala keharaman yang dilakukan kerajaan, jika pun tidak didiamkan, akan “dibersihkan” oleh para Mufti dan pihak berkuasa agama yang dibayar gaji lumayan oleh kerajaan. Atas dasar itu, kerajaan bukan sahaja tidak merasa bersalah, malah berbangga dengan maksiat yang dilakukan secara mega oleh mereka.
Walaupun negara ini telah ditimpa pelbagai musibah akibat tangan-tangan kotor pemerintah, namun mereka tetap mengabaikan semua itu selagi mana kantung kewangan mereka kekal terisi. Kemurkaan Allah tidak pernah menjadi perkiraan mereka kerana fokus utama hanyalah tertumpu kepada keuntungan duniawi semata-mata. Para pemerintah ini, yang sewajarnya berfungsi sebagai benteng umat daripada api neraka, sebaliknya bertindak sebagai pihak yang menjerumuskan umat ke lembah kebinasaan. Pada saat mereka mendakwa bahawa negara ini merupakan negara yang paling berpegang kepada ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah, pada saat itu jugalah mereka menganjurkan puluhan konsert maksiat yang secara terang-terangan bertentangan dengan Sunah!
Apa yang lebih menyedihkan dan mengecewakan ialah, penganjuran KL Headline Season 2026 ini berlangsung di saat Gaza masih bermandi darah, yang menunjukkan kerajaan ini sudah hilang sensitiviti dengan apa yang berlaku di Gaza. Bagaimana mungkin di saat Gaza masih dibantai siang dan malam, Malaysia pula berpesta besar-besaran?! Sesungguhnya apabila kerajaan ini sudah tidak lagi takut akan murka Allah (swt), maka ia sebenarnya sudah hilang segala-galanya – sensitiviti, maruah, perasaan malu, ketakwaan dan jauh sekali kehendak untuk Jihad Fi Sabilillah. Dengan sengaja mengundang murka Allah (swt) berulang-ulang kali, sesungguhnya tidak ada apa lagi yang tersisa pada kerajaan ini kecuali keburukan.
Wahai kaum Muslimin! Masalah hiburan melampau yang tidak berkesudahan di negara ini tidak muncul begitu sahaja, tetapi lahir dari sebuah sistem dan gaya hidup yang datang dari Barat yang bertujuan merosakkan dan melemahkan umat Islam, serta paling penting bertujuan menjauhkan umat Islam daripada agamanya. Konsert maksiat ini hanyalah salah satu buah busuk dari pohon beracun demokrasi yang ditanam di negara umat Islam oleh Barat. Para penguasa Muslim pula, sejak dulu hingga kini, menjadi orang yang menyirami, merawat dan menjaga pohon beracun ini. Umat Islam perlu memahami bahawa selagi pohon ini tidak dicabut dari akar-akarnya, maka ia akan terus menghasilkan buah beracun yang akan mencelakakan siapa sahaja yang memakannya.
Wahai kerajaan Madani! Kami dengan ini menyatakan bantahan keras kami terhadap KL Headline Season 2026. mendesak dan mengingatkan anda untuk membatalkan kesemua konsert maksiat yang anda telah rancang dan luluskan, kerana apa yang anda lakukan hanyalah mengundang murka Allah (swt). Ingatlah bahawa negara ini bukan kepunyaan anda untuk anda melakukan sewenang-wenangnya ke atasnya. Negara ini adalah milik umat Islam, dan tanah ini adalah milik Allah (swt), yang Dia amanahkan ke atas anda untuk menjaganya berdasarkan kehendak-Nya, bukan berdasarkan hawa nafsu anda. Dengan mengundang murka Allah (swt), anda sebenarnya sedang mengundang azab-Nya. Anda mungkin bergembira beberapa saat di dunia dengan KL Headline Season anda, tetapi azab pedih yang berpanjangan menanti anda di akhirat.
Ya Allah Ya Tuhan kami! Gantilah segera kerajaan yang memaksiati-Mu dan yang menyesatkan manusia daripada jalan-Mu ini, kepada sebuah pemerintahan Islam di bawah Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah. Amin Ya Rabbal Alamin.
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia
#KLHeadlineSeason2026 #BahayaHedonisme #KapitalismePerosakBangsa

