Peluang Dan Cabaran Thalabun Nushrah Dalam Ikhtiar Menegakkan Kembali Khilafah Islamiah
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
DALAM sejarah panjang perjuangan Islam, ada satu pelajaran yang selalu relevan setiap kali umat berhadapan dengan pertanyaan tentang perubahan: bahawa kemenangan tidak pernah semata ditentukan oleh kuatnya cita-cita, melainkan oleh benar-tidaknya jalan yang ditempuh menuju tujuan itu.
Cita-cita dan keinginan besar memang dapat melahirkan daya tahan. Kegelisahan terhadap keadaan umat pun kerap menjadi bahan bakar yang membuat sebuah perjuangan terus menyala. Akan tetapi, sejarah juga berkali-kali mengingatkan, semangat yang paling tulus sekalipun tidak secara automatik menjelma menjadi perubahan jika kehilangan arah yang dituntunkan.
Kerana itulah perjalanan dakwah Rasulullah SAW tidak cukup dibaca sebagai rangkaian episod sejarah yang selesai pada masa silam. Di dalamnya terdapat susunan pelajaran yang jauh lebih mendalam: bagaimana perubahan besar dibangun bukan melalui ledakan spontan; melainkan melalui tahapan yang sabar, tertib dan sangat sedar terhadap urutan.
Sirah Nabawiyah memperlihatkan bahawa tidak ada fasa yang lahir secara tergesa-gesa. Penanaman akidah berlangsung terlebih dahulu. Lalu pembentukan peribadi-peribadi yang kukuh. Kemudian lahir jamaah yang memiliki kesedaran spiritual dan ideologi yang sama. Disusuli perjuangan yang panjang untuk menghadapi tatanan jahiliah yang mapan. Lalu pada akhirnya tiba masanya ketika dakwah memasuki wilayah yang lebih menentukan: pencarian dukungan kekuasaan yang dalam khazanah siyaasah Islam dikenali sebagai thalabun-nushrah.
Pada titik inilah pembicaraan tentang penegakan kembali Khilafah Islamiah memperoleh konteksnya yang lebih jernih. Ia tidak memadai difahami sebagai kerinduan historis (sejarah) terhadap sebuah era yang pernah dicatat sebagai gemilang dalam peradaban Islam. Ia juga bukan sekadar luapan emosi kerana melihat dunia Islam terus-menerus berada dalam tekanan.
Lebih daripada itu, Khilafah diletakkan oleh para ulama Islam sebagai sebahagian daripada kewajipan syariah. Oleh itu, cara menegakkan kembali Khilafah juga tidak boleh dipisahkan daripada jejak yang pernah dicontohkan oleh Rasulullah SAW ketika beliau mendirikan Daulah Islam untuk pertama kalinya.
Kehilangan Institusi Politik Umat
Sejak institusi Khilafah terakhir dibubarkan pada tahun 1924 (awal abad ke-20), yang hilang sebenarnya bukan hanya satu bentuk pemerintahan. Bersamaan dengan itu, umat Islam telah kehilangan payung politik yang selama berabad-abad, dengan segala pasang-surutnya, pernah menjadi kerangka besar bagi penerapan syariah, perlindungan wilayah kaum Muslim dan simbol keberadaan politik yang diambil kira oleh dunia.
Sesudah Khilafah runtuh, Dunia Islam memasuki babak yang berbeza. Negeri-negeri Muslim tumbuh di bawah sempadan-sempadan nasional yang banyak dibentuk oleh peta kolonial moden. Masing-masing bergerak dengan kepentingan politiknya sendiri. Hal itu sering justeru semakin jauh daripada gagasan kesatuan hukum dan arah politik yang bersumber dari wahyu.
Akibatnya, syariah memang tetap hidup, tetapi lebih banyak hadir dalam ruang yang terbatas. Ia dipelihara dalam wilayah ibadah, etika personal dan sebahagian hukum kekeluargaan. Sebaliknya, urusan awam—politik, ekonomi, pendtadbiran negara, hingga hubungan antarabangsa—lebih banyak disusun dengan sistem yang lahir daripada tradisi perundangan Barat moden (baca: sekular). Padahal dalam pandangan Islam, agama ini sejak awal tidak hadir hanya untuk mengatur hubungan batin manusia dengan Tuhannya. Ia datang membawa seperangkat pandangan hidup yang menjangkau sistem kehidupan secara utuh.
Oleh sebab itu, ikhtiar menghadirkan kembali Khilafah perlu difahami sebagai usaha mengembalikan Islam ke dalam kedudukannya sebagai sistem kehidupan. Akan tetapi, justeru kerana beban persoalannya sangat besar, jalan menuju ke sana tidak dapat dibangun atas dasar pragmatikme atau melalui improvisasi politik yang longgar terhadap prinsip. Dalam perkara seperti ini, metode (manhaj) bukan sekadar alat.
Metode (manhaj) perjuangan adalah sebahagian daripada substansi yang menentukan apakah perjuangan tetap berada di landasan yang diyakini benar atau sebaliknya tergelincir sebelum sampai matlamatnya.
Thalabun-Nushrah sebagai Fasa Strategik
Dalam Sirah Nabawiyah, thalabun-nushrah menempati fasa yang amat penting. Ini kerana, pada titik itulah dakwah mula berhadapan langsung dengan keperluan kepada kekuatan yang nyata. Dakwah yang telah melahirkan kesedaran memerlukan penopang agar dapat bergerak dari wilayah pembinaan menuju wilayah kekuasaan. Oleh itu, dukungan yang dicari bukan dukungan biasa.
Syeikh ‘Atha ibn Khalil Abu ar-Rashtah menjelaskan bahawa pihak yang diminta memberikan nusrah (pertolongan) sekurang-kurangnya perlu memenuhi dua syarat asas: (1) menerima Islam secara tulus; (2) memiliki kekuatan nyata yang memungkinkan perubahan berlaku.
Dua syarat ini, jika direnungkan, sesungguhnya menjelaskan mengapa nusrah bukan sekadar koalisi politik pragmatik. Dukungan tanpa asas akidah mudah berubah menjadi tawar-menawar kepentingan. Sebaliknya, penerimaan ideologi tanpa kekuatan pengaruh hanya berhenti sebagai simpati moral yang tidak cukup untuk mengubah keadaan.
Di situlah thalabun-nushrah menjadi fasa yang sangat sensitif: ia menuntut kejelasan dalam memahami prinsip, tetapi pada masa yang sama juga ketepatan membaca realiti.
Mengapa Bukan Quraisy?
Quraisy, misalnya, secara lahiriah adalah kekuatan terbesar yang ada di Mekah. Mereka menguasai laluan perdagangan, memiliki legitimasi sosial dan memegang autoriti simbolik di Tengah-tengah bangsa Arab. Akan tetapi, kepada mereka Rasulullah SAW tidak menggantungkan harapan perubahan pada fasa ini. Alasannya sederhana tetapi mendasar: golongan yang memiliki kekuatan utama mereka tidak menerima Islam.
Pada fasa Mekah, fokus dakwah tetap berada pada pembentukan asas kesedaran. Pengislaman tokoh-tokoh besar seperti Umar ibn al-Khattab dan Hamzah ibn Abd al-Muthalib memang memberikan pengaruh moral yang besar. Akan tetapi, kekuatan atau kekuasaan peribadi belum identik dengan kesediaan struktur untuk mengubah arah kekuasaan. Dari sini tampak bahawa dalam logik perjuangan kenabian, bukan semua kekuatan layak dijadikan sandaran strategik.
Dukungan Tidak Boleh Ditukar dengan Kepentingan
Pengajaran yang sama boleh dilihat ketika Rasulullah SAW berhadapan dengan Bani Amir. Respons awal mereka kelihatan seolah-olah membuka kemungkinan (peluang), tetapi kemudiannya segera disertai pertanyaan yang memperlihatkan orientasi bersifat transaksi: jika dukungan diberikan, apakah kekuasaan setelah baginda wafat akan berpindah kepada mereka?
Jawapan Rasulullah SAW sangat singkat:
الْأَمْرُ إِلَى اللَّهِ يَضَعُهُ حَيْثُ يَشَاءُ
“Perkara (kekuasaan) itu milik Allah. Dia meletakkan kekuasaan itu di mana saja yang Dia kehendaki.” (Ibnu Hisyam, Siirah Nabawiyyah, 2/424).
Kalimat pendek itu seolah-olah memutuskan seluruh kemungkinan bahawa perjuangan Islam dibangun di atas negosiasi kepentingan. Kekuasaan tidak boleh diposisikan sebagai kompensasi atau ganjaaran bagi dukungan.
Perkara yang sama juga berlaku dalam dialog dengan Bani Syaiban. Mereka bersedia memberikan perlindungan, tetapi dengan had yang jelas: tidak sampai berhadapan dengan Empayar Parsi. Rasulullah SAW tidak menerima dukungan yang bersyarat seperti itu. Dalam Siirah Ibnu Hisyam disebutkan sabda baginda:
إِنَّهُ لَا يَقُومُ بِدِينِ اللَّهِ إِلَّا مَنْ حَاطَهُ مِنْ جَمِيعِ جَوَانِبِهِ
“Agama Allah tidak akan tegak kecuali dengan perlindungan yang menyeluruh.”
Di sini jelas bahawa dukungan yang separuh hati berisiko menghalang tujuan yang lebih besar.
Krisis Kontemporari dan Tumbuhnya Kesedaran Baru
Jika realiti Dunia Islam hari ini dibaca secara jernih, sesungguhnya ada gejala yang menarik: kegagalan berulang dariipada berbagai sistem sebaliknya telah melahirkan pertanyaan-pertanyaan baru di tengah umat.
Terdapat ketidaksamaan ekonomi yang terus melebar. Lemahnya kedaulatan politik, kebergantungan terhadap kekuatan asing. Rapuhnya solidariti sosial. Malah terdapat kekecewaan sosial terhadap demokrasi, yang sering dilihat sebagai gagal menyelesaikan masalah asas.
Semua itu perlahan-lahan membentuk kegelisahan intelektual yang semakin luas. Mengapa negeri-negeri Muslim yang kaya sumber alam tetap lemah dalam menentukan arah politiknya sendiri? Mengapa syariah lebih sering hadir sebagai simbol moral berbanding kerangka penyelesaian awam? Mengapa umat sebesar ini tidak memiliki autoriti bersama yang dapat berbicara dalam skala global?
Pertanyaan-pertanyaan itu belum tentu terus berubah menjadi kesedaran politik yang matang, tetapi ia menunjukkan bahawa ruang pencarian sedang bergerak.
Hambatan yang Masih Tebal
Walaupun demikian, peluang semacam ini berdiri di hadapan cabaran yang tidak ringan. Nasionalisme moden masih menjadi sempadan psikologi yang sangat kuat. Dalam banyak keadaan, identiti kebangsaan bekerja lebih dominan daripada kesedaran sebagai satu umat.
Selain itu, setiap wacana kebangkitan politik Islam hampir selalu dibaca dengan curiga dalam tatanan dunia antarabangsa, kerana perubahan politik berskala besar di dunia Muslim akan selalu difahami sebagai pergeseran geopolitik.
Pada masa yang sama, ramai dalam kalangan pihak yang mempunyai pengaruh nyata masih terhenti pada tahap keberagamaan peribadi. Kedekatan dengan nilai agama tidak secara automatik bermakna kesediaan untuk menerima implikasi politik daripada sebuah gagasan besar. Padahal nusrah menuntut lebih daripada sekadar simpati; ia menuntut kesediaan memikul risiko sejarah.
Aqabah dan Pelajaran tentang Keikhlasan Politik
Sebab itu Baiat Aqabah Kedua sering dibaca sebagai titik di mana nusrah menemukan bentuknya yang paling murni. Kaum Ansar memahami sepenuhnya apa yang mereka ambil. Mereka tahu bahawa menerima Rasulullah SAW bermaksud membuka kemungkinan berhadapan dengan seluruh kekuatan Arab. Ketika mereka bertanya apakah balasan bagi keputusan sebesar itu, jawapan yang datang sebaliknya amat ringkas: syurga. Tidak ada janji kedudukan. Tidak ada pembahagian kuasa. Tidak ada rancangan ganajran politik. Daripada sokongan yang bebas daripada motif duniawi itulah sejarah kemudian bergerak ke arah yang tidak pernah kecil.
Menunggu dengan Menjaga Kesiapsiagaan
Sejarah memang jarang berjalan secepat keinginan manusia. Kadangkala sebuah jalan terasa panjang. Kadangkala momentum seolah-olah tertutup rapat. Akan tetapi, Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dan kaum Muslim dari Mekah ke Madinah mengajarkan satu hal penting: perubahan besar sering lahir dari ruang yang sebelumnya tidak diduga.
Maka dari itu, dalam setiap perjuangan, yang paling menentukan bukan mendesak agar kemenangan segera datang, melainkan menjaga agar arah perjuangan tetap lurus, manhaj perjuangan tetap konsisten, kesedaran tetap jernih dan kesiapsiagaan umat terus dipelihara.
Allah SWT berfirman:
إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ
“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu.” (TMQ Ali Imran [3]: 160).
Pada akhirnya, sejarah bukan hanya soal siapa yang paling ingin menang, melainkan siapa yang bersungguh-sungguh bersedia ketika pertolongan itu benar-benar datang. Pada saat itulah, Khilafah Islam yang dijanjikan dan dinubuwwahkan oleh Rasulullah SAW benar-benar akan terwujud kembali secara nyata. Sudah tentu melalui orang-orang yang senantiasa menjaga keikhlasan, kesabaran dan keistiqamahan di jalan (manhaj) perjuangannya.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.
Sumber : ABI-FOCUS/Forum on Contemporary Ummah Studies
#TalabunNusrah #Nusrah #Khilafah #SistemIslam #DakwahIslam

