Sumayyah binti Khabath, Srikandi Mulia Syahidah Pertama
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Tentu kita sentiasa mengingati figura seorang sahabiyah ini. Kekuatan iman yang dimilikinya telah mendorong dirinya menuju syurga yang dijanjikan. Beliau adalah syahidah pertama, Sumayyah binti Khabath atau lebih dikenali sebagai Ummu Ammar. Beliau adalah ibu kepada Ammar bin Yassir, salah seorang sahabat Rasulullah SAW.
Sebelum mengenal Islam, Sumayyah merupakan hamba kepada Abu Hudzaifah bin Mughirah al-Makhzumi, seorang tokoh terkemuka di kota Mekah. Beliau dinikahkan oleh Abu Hudazaifah dengan Yasir, seorang penduduk Yaman yang menetap di Mekah kerana mempunyai sesuatu kepentingan, iaitu mencari saudaranya yang hilang.
Kisah awal Sumayyah Memeluk Islam
Hasil perkahwinan dengan Yasir, Sumayyah dikurniakan seorang anak lelaki yang penuh berkah yang dinamakan Ammar bin Yasir. Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Sumayyah dikurniakan dua orang anak lelaki, iaitu Ammar dan Ubaidillah. Kebahagiaan pasangan ini makin sempurna ketika Abu Khudzaifah (majikan mereka) memutuskan untuk memerdekakan Ammar daripada statusnya sebagai seorang hamba. Namun, tidak lama kemudian Abu Khudzaifah meninggal dunia.
Apabila meningkat dewasa, Ammar mengetahui tentang agama baru yang didakwahkan oleh Rasulullah SAW. Selepas mendengar risalah baginda, Ammar segera menyahut seruan iman dengan hati terbuka. Beliau bergegas ke rumah Al-Arqam dengan langkah ringan dan pantas. Setibanya di sana, beliau melihat Rasulullah SAW, lalu mendengarkan wahyu yang disampaikan. Akhirnya Ammar pun memeluk Islam.
Yang lebih mengagumkan adalah, setelah mengucapkan kalimah syahadah di hadapan Rasulullah SAW, Ammar kembali ke rumahnya. Beliau menemui kedua-dua ibu bapanya dalam keadaan sedang merasai kemanisan iman yang telah terpahat di dalam jiwanya. Beliau menceritakan peristiwa yang dialaminya sehingga pertemuannya dengan Rasulullah SAW, lalu mengajak kedua ibubapanya untuk mengikuti dakwah baru itu. Dengan izin Allah SWT, Sumayyah dan Yasir menyambut dakwah yang penuh keberkatan. Malah, Sumayyah mengumumkan keislamannya sehingga beliau menjadi salah seorang daripada tujuh orang pertama yang menyatakan keislaman secara terbuka.
Syahidah Pertama
Diriwayatkan daripada Abu Nuaim dari Abdullah yang menyebut, “Ada tujuh orang yang pertama menyatakan keislamannya secara terbuka, iaitu Rasulullah SAW, Abu Bakar, Ammar, Ummi Ammar (Sumayyah), Shuhaib, Bilal, dan Miqdad. Rasulullah SAW dilindungi Allah SWT melalui bapa saudara baginda. Abu Bakar dilindungi Allah SWT melalui kaumnya. Adapun lima orang yang lain diseksa oleh orang-orang musyrik. Mereka dipaksa memakai baju besi, lalu dibiarkan tubuh mereka terpanggang dibawah terik matahari. Mereka semua dalam keadaan tidak berdaya sehingga terpaksa menurut kehendak orang-orang musyrik, kecuali Bilal. Beliau merasakan bahawa seksaan itu masih terlalu ringan selagi menanggungnya kerana Allah SWT. Bilal tidak menghiraukan penderitaan yang dilakukan oleh kaumnya. Beliau terus mengucapkan, “Ahad, Ahad.”
Dalam kitab sirah Ibnu Hisyam, Ibnu Ishaq berkata, “Ketika panas matahari terik membara, Bani Makhzum membawa Ammar bin Yasir, ayahnya dan ibunya ke padang pasir Mekah untuk diseksa. Ketika keluarga Islam ini sedang diseksa, Rasulullah SAW berjalan melewati mereka. Baginda bersabda, “Bersabarlah wahai keluarga Yasir, kerana sesungguhnya yang dijanjikan kepada kamu ialah syurga. Sesungguhnya aku tidak memiliki sesuatu pun daripada Allah untuk kamu.”
Tidak ada yang diucapkan oleh Sumayyah ketika itu, kecuali, “Sesungguhnya aku melihat syurga tampak nyata, wahai Rasulullah.” Khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada keluarganya menjadikan Sumayyah semakin tabah dan optimis. Dengan kekuatan imannya, beliau mengulang-ulang kata-katanya dengan penuh keberanian, “Aku bersaksi bahawa engkau adalah utusan Allah dan aku bersaksi bahawa janjimu adalah benar.”
Kata-kata Sumayyah itu telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan kafir Quraisy sehingga kemarahan mereka memuncak. Abu Jahal turut serta dalam penyeksaan tersebut, sehingga Sumayyah akhirnya menghembuskan nafas terakhir di tangannya. Dia menusukkan tombak pendek ke bahagian kemaluan Sumayyah sehingga beliau meninggal dunia sebagai syahidah pertama. Mujahid dalam kitab Al-Bidaayah wa An-Nihaayah menyatakan, “Wanita pertama yang gugur sebagai syahidah pada fasa awal perkembangan Islam ialah Ummu Ammar, Sumayyah. Abu Jahal menusuk kemaluan Sumayyah dengan tombak pendek.”
Demikianlah, akhirnya Sumayyah menghembus nafas terakhirnya di tangan Abu Jahal. Sumayyah meraih darjat syahid dalam sirah Islam. Penyeksaan itu dialami oleh Sumayyah daripada orang-orang Quraisy, sehingga beliau dibunuh kejam oleh Abu Jahal di hadapan keluarganya.
Jasad dan roh Sumayyah telah terpisah untuk selama-lamanya, menyambut janji Rasulullah SAW di syurga. Beliau menjadi wanita pertama yang syahid di jalan Allah. Tidak lama kemudian, suaminya, Yasir, menyusul menghadap Tuhan sekalian alam. Kedua-duanya syahid pada tahun ketujuh sebelum hijrah. Yasir dan Sumayyah digambarkan sebagai golongan yang dijanjikan oleh Allah kehidupan yang lebih baik. Hal ini selaras dengan firmanNya, “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui..” [TMQ An-Nahl (16): 41].
Pengajaran Berharga daripada Seorang Srikandi Mulia
Banyak teladan yang boleh kita ambil daripada peribadi Sumayyah dan keluarganya, antaranya adalah sifat hanif (berpegang teguh pada Islam) yang ada pada diri mereka ketika berdepan dengan agama baru, iaitu Islam. Apabila menyedari kebenaran dalam ajaran Islam, mereka segera memeluknya sehingga mereka memasuki kehidupan baru yang penuh dengan cahaya keimanan.
Setiap Muslimin hendaklah meneladani kehidupan Sumayyah binti Khabath yang menerima Islam dengan sepenuh hati sehingga kita semua menjadi Muslim sejati yang benar-benar tunduk kepada ketetapan Allah SWT. Selain itu, kekuatannya dalam memegang teguh keyakinan serta kesabarannya menghadapi ujian amatlah jelas. Hal ini tampak daripada sikap Sumayyah terhadap penganiayaan yang menimpa dirinya.
Dalam satu riwayat diceritakan bagaimana Sumayyah dan keluarganya diseret ke tengah padang yang panas terik lalu disuruh memakai baju besi. Mereka tidak diberi minum, bahkan tetap dibiarkan terpanggang di bawah sinar matahari. Namun, penyeksaan yang dialami tidak mengoyah keyakinan mereka. Malah, Ibnu Abdil Barr rahimahullah menyatakan: “Sumayyah termasuk dalam golongan para sahabat yang mengalami penyeksaan di jalan Allah dan sabar terhadap penderitaan yang menimpanya. Beliau termasuk wanita yang berbaiat, baik, dan mulia. Semoga Allah merahmatinya.”
Keadaan ini sangat jauh berbeza dengan kehidupan kita pada hari ini. Tidak sedikit kesulitan hidup yang menyeret para Muslimah mencabut keyakinan mereka. Mereka tergoda hanya dengan janji sejumlah harta, lalu mengubah keyakinan. Malah, hanya kerana urusan cinta atau lelaki yang dicintai, bukan sedikit Muslimah yang menggadaikan akidahnya dan meninggalkan saudara-saudara seiman.
Kekuatan iman seperti yang dimiliki oleh Sumayyah binti Khabath perlu ada pada setiap Muslimah masa kini. Ketika pelbagai kesulitan hidup melanda, sehingga hampir mengugat keislamannya, janganlah hanya kerana kesulitan harta seorang Muslimah meninggalkan keyakinannya. Sebaliknya, pelbagai ujian dan kesulitan hidup seharusnya semakin menguatkan keimanan serta keyakinan akan datangnya pertolongan Allah. Semoga Allah SWT sentiasa melindungi keimanan kita daripada segala hal yang boleh memalingkan kita daripada din yang lurus ini. Amin. Wallahu’alam bissawab.
#Sahabiyah #Sumayyah #Iman #Akidah #KeteguhanIman

