Site icon MuslimahHTM News

[Demokrasi Sistem Kufur] Haram Mengambil, Menerapkan, dan Menyebarluaskan Demokrasi (Bahagian 4/16)

[Demokrasi Sistem Kufur] Haram Mengambil, Menerapkan, dan Menyebarluaskan Demokrasi (Bahagian 4/16)

 

Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum

 

(Sambungan dari Bahagian 3/16.)

 

Sama ada parlimen di negara-negara demokrasi yang didakwa mewakili pendapat majoriti, mahupun para pemimpin yang juga didakwa dipilih berdasarkan suara majoriti serta menjalankan pemerintahan menurut peraturan yang ditetapkan dan dikehendaki oleh majoriti, semuanya ternyata tidak selaras dengan hakikat dan realiti yang sebenar. Dakwaan sedemikian jelas merupakan suatu pembohongan dan bersifat menyesatkan.

 

Penjelasan di atas berkaitan dengan realiti di beberapa negara asal demokrasi. Sementara itu, realiti pelbagai parlimen di dunia Islam adalah lebih buruk lagi. Di dunia Islam, parlimen tidak lebih daripada sekadar istilah tanpa yang tidak ada faktanya. Hal ini kerana tidak ada satu pun parlimen di dunia Islam yang berani mengkritik atau menentang pemimpin dan sistem pemerintahannya.

 

Parlimen Jordan, misalnya, yang dipilih dengan slogan “Mengembalikan Demokrasi dan Mewujudkan Kebebasan”, ternyata tidak berani mengkritik Raja Hussein ataupun rejim pemerintahannya sendiri.

 

Sesungguhnya semua ahli parlimen mengetahui bahawa krisis dan kemerosotan ekonomi yang berlaku tidak lain berpunca daripada kerosakan rejim keluarga diraja yang telah merampas kekayaan negara. Walaupun demikian, tidak ada seorang pun ahli parlimen yang berani mengkritik rejim tersebut. Mereka hanya berani mengkritik Zayd ar-Rifa’i dan beberapa orang menteri kepada Hussein. Padahal, mereka sedar bahawa Zayd ar-Rifa’i dan para menteri itu hanyalah pegawai bawahan. Mereka tidak akan berani mengambil sebarang tindakan tanpa mendapat izin dan restu daripada rajanya. Ini dari satu sisi.

 

Di sisi lain, undang-undang yang wujud pada umumnya sebenarnya digubal oleh kerajaan dalam bentuk rang undang-undang. Rang undang-undang tersebut dihantar oleh kerajaan kepada parlimen. Kemudian ia dikaji oleh jawatankuasa-jawatankuasa khas yang akan memberikan pandangan mereka terhadap rang undang-undang tersebut, lalu meluluskannya. Padahal pada hakikatnya, ramai ahli parlimen yang langsung tidak memahami isi undang-undang tersebut. Ini kerana perbahasan undang-undang itu bukan dalam bidang kepakaran mereka.

 

Kesimpulannya, pernyataan bahawa peraturan yang ditetapkan oleh parlimen-parlimen di negara-negara demokrasi merupakan ungkapan kehendak umum rakyat, serta bahawa kehendak umum tersebut mewakili kedaulatan rakyat, juga merupakan pernyataan yang bertentangan dengan hakikat dan realiti yang ada.

 

Kelemahan lain yang ketara dalam sistem demokrasi yang berkaitan dengan pemerintahan dan kabinet dapat dilihat dengan jelas, antaranya apabila dalam sesebuah negara demokrasi tidak terdapat parti politik besar yang menguasai majoriti mutlak di parlimen dan mampu membentuk kabinetnya sendiri. Dalam keadaan seperti ini, pemerintahan negara tersebut biasanya menjadi tidak stabil dan kabinetnya sentiasa digugat oleh pelbagai tekanan krisis politik yang silih berganti.

 

Hal ini berlaku kerana kerajaan negara berkenaan sukar memperoleh kepercayaan daripada majoriti parlimennya. Keadaan seperti ini boleh memaksa kerajaan untuk meletakkan jawatan. Kadangkala selama berbulan-bulan presiden tidak mampu membentuk kabinet baharu sehingga kerajaan menjadi lumpuh atau hampir tidak berfungsi. Kadangkala juga, presiden terpaksa membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya baharu bagi mengubah keseimbangan kuasa politik supaya beliau dapat membentuk kabinet baharu.

 

Krisis-krisis tersebut berlaku berulang kali sehingga kerajaan sentiasa tidak stabil, aktiviti politiknya terus terganggu dan hampir tidak terurus. Keadaan seperti ini pernah berlaku di Itali, Greece, dan beberapa negara demokrasi lain. Negara-negara tersebut mempunyai banyak parti politik, namun tidak ada satu pun parti besar yang menguasai majoriti mutlak di parlimen.

 

Keadaan seperti ini sering mendorong berlakunya proses tawar-menawar antara parti-parti tersebut. Akibatnya, parti-parti kecil kerap kali mampu mendikte parti-parti lain yang lebih besar, yang mengajak mereka berkoalisi untuk membentuk kabinet dengan mengemukakan syarat-syarat yang sukar sebagai langkah untuk merealisasikan kepentingan mereka sendiri. Dengan demikian, parti-parti kecil yang hanya mewakili minoriti rakyat itu dapat mengawal parti-parti lain dan mendikte kegiatan politik negara tersebut, termasuk dalam penetapan dasar-dasar kabinetnya.

 

Antara bencana paling dahsyat yang menimpa seluruh umat manusia ialah idea kebebasan yang bersifat umum yang dibawa oleh demokrasi. Idea ini telah mengakibatkan pelbagai malapetaka global serta merendahkan kedudukan martabat dan maruah masyarakat di negara-negara yang menganut demokrasi sehingga ke tahap yang lebih hina daripada darjat sekumpulan haiwan.

 

Idea kebebasan pemilikan dan oportunisme yang dijadikan sebagai ukuran bagi sesuatu perbuatan, misalnya, sebenarnya telah melahirkan golongan kapitalis yang memiliki modal besar. Mereka jelas memerlukan bahan mentah untuk menjalankan industri mereka serta pasaran pengguna untuk memasarkan produk-produk industri tersebut.

 

Perkara inilah yang telah mendorong negara-negara kapitalis untuk bersaing antara satu sama lain bagi menjajah bangsa-bangsa yang dianggap terbelakang, menguasai harta benda mereka, memonopoli kekayaan alam mereka, serta mengeksploitasi mereka dengan cara yang bertentangan dengan semua nilai kerohanian, akhlak, dan kemanusiaan.

 

Keserakahan dan kerakusan negara-negara kapitalis yang luar biasa, kekosongan jiwa mereka daripada nilai-nilai kerohanian, akhlak, dan kemanusiaan, serta persaingan sesama mereka untuk mencari harta yang haram telah menyebabkan darah bangsa-bangsa yang dijajah menjadi seperti barang dagangan. Faktor-faktor inilah juga telah menyebabkan tercetusnya bencana dan peperangan antara bangsa-bangsa yang dijajah. Dengan demikian, negara-negara kapitalis tersebut dapat memasarkan produk-produk industri mereka, serta mengembangkan industri ketenteraan mereka yang mampu menghasilkan keuntungan besar.

 

Sungguh, betapa banyak perkara yang menggelikan sekaligus menjijikkan yang sering dijadikan bahan propaganda oleh negara-negara demokrasi penjajah yang tidak tahu malu. Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Perancis, misalnya, seringkali melaungkan nilai-nilai demokrasi dan Hak Asasi Manusia (HAM) di mana-mana.

 

Namun pada waktu yang sama, mereka menginjak-injak semua nilai kemanusiaan dan akhlak, mengabaikan hak asasi manusia, serta menumpahkan darah pelbagai bangsa di dunia. Pelbagai krisis di Palestin, Asia Tenggara, Amerika Latin, Afrika Hitam (Afrika Tengah), dan Afrika Selatan merupakan bukti paling jelas yang akan membuka topeng mereka serta mendedahkan sifat mereka yang penuh penipuan dan tidak tahu malu.

 

Sumber: Abdul Qadim Zallum, Demokrasi Sistem Kufur (Edisi Terjemahan)

 

 

(Bersambung ke Bahagian 5/6.)

 

#Demokrasi #DemokrasiSistemKufur #Sekularisme #Politik #AyuhUmatBangkit #KembalikanSistemIslam

 

 

Exit mobile version