Lari daripada Kewajipan Terhadap Islam dan Mencipta Alasan
Oleh: Mu’nis Hamid – Wilayah Irak
Salah satu musibah terbesar yang sedang menimpa umat Islam ialah lemahnya rasa tanggungjawab seorang Muslim terhadap agamanya. Keadaan ini menyebabkan mereka berdiam diri daripada melaksanakan kewajipan mereka, kemudian diikuti dengan penciptaan pelbagai alasan untuk membenarkan sikap tersebut. Jadi, bukannya memperbaiki diri dan mengakui kelemahan sendiri, mereka malah cuba meyakinkan diri dan orang lain bahawa tingkah laku mereka itu normal dan tidak perlu dipersoalkan.
Islam tidak menjadikan seorang Muslim sebagai individu yang hidup hanya untuk dirinya sendiri, tetapi menjadikannya memikul tanggungjawab terhadap agama, umat, dan masyarakatnya. Seorang Muslim diperintahkan untuk mendirikan solat, menyeru (berdakwah) kepada kebaikan, membela kebenaran, melakukan amar makruf nahi mungkar (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran), serta mempertahankan nilai-nilai dan akhlak Islam dengan sebaik dan semaksimum mungkin.
Namun, kebanyakan umat hari ini apabila diminta untuk melaksanakan salah satu kewajipan ini, mereka berkata: “Zaman telah berubah, tidak ada siapa yang mahu mendengar, saya tidak mampu, agama ada di dalam hati, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang!” Mereka menggunakan kata-kata ini sebagai topeng untuk menyembunyikan kelemahan dan sikap pasif mereka.
Sesungguhnya, Islam telah memberikan peringatan terhadap pendekatan seperti ini kerana orang yang benar-benar beriman tidak mencari-cari alasan, tetapi mencari keredhaan Allah. Manakala jiwa yang lemah cenderung mencari kemudahan, sehingga ketika dibebani tanggungjawab, dia mula mencari pembenaran, mencipta alasan, berpegang teguh kepada kesenangan dunia, dan menghindari kewajipan yang Allah ciptakan untuknya.
Allah SWT telah menceritakan kepada kita kisah Perang Tabuk, ketika sebahagian orang berdiam diri daripada mendukung Nabi Muhammad SAW, maka orang-orang munafik datang dengan alasan-alasan palsu untuk membenarkan sikap berdiam diri mereka, sementara orang-orang yang jujur mengakui kekurangan mereka dan bertaubat kepada Allah. Perbezaannya sangat jelas antara orang yang lari daripada kewajipan dengan membuat alasan dan orang yang benar-benar jujur kepada Allah SWT.
Lari daripada kewajipan untuk menolong Islam bukan hanya terbatas pada meninggalkan peperangan atau perkara-perkara besar dalam agama. Akan tetapi, perkara itu boleh dimulakan dengan tindakan yang kelihatannya kecil, seperti berdiam diri terhadap kesalahan kerana takut akan pandangan masyarakat, mengabaikan seruan kepada kebaikan kerana malas atau sibuk dengan urusan dunia, menghadkan diri hanya kepada solat dan beberapa ibadah wajib, sedangkan isu-isu dan masalah-masalah kaum Muslim diabaikan, atau meninggalkan aktiviti keagamaan dengan alasan sibuk bekerja dan mengejar urusan duniawi. Lama-kelamaan, sikap menghindar ini akan menjadi kebiasaan, dan hati pula terbiasa mencari alasan sehingga kehilangan rasa tanggungjawabnya terhadap agama dan umat.
Para sahabat Nabi Muhammad SAW berasa sedih dan menyesal apabila mereka terlepas daripada melakukan suatu perbuatan baik, kerana mereka mengetahui bahawa hidup ini singkat dan setiap manusia akan berdiri di hadapan Allah untuk diminta pertanggungjawaban tentang agamanya, kewajipannya terhadap agama tersebut, dan apa yang telah dipersembahkan untuknya.
Namun, pada hari ini, ramai orang, ketika mereka lalai, mereka mencari seseorang untuk membenarkan tindakan mereka, bukan seseorang untuk mengingatkan mereka tentang tanggungjawab mereka di hadapan Allah SWT kelak.
Ketahuilah bahawa umat tidak akan bangkit dan maju melalui orang-orang yang malas, juga keadaannya tidak akan berubah hanya dengan banyaknya alasan. Sesungguhnya, umat ini akan bangkit dan maju melalui orang-orang yang tulus ikhlas dan memikul tanggungjawab mereka, berjuang melawan hawa nafsu sendiri, dan berjuang demi agama mereka, walaupun dalam perkara-perkara kecil. Allah SWT berfirman:
﴿وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ﴾
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan” (TMQ. At-Taubah [9] : 105).
Marilah kita sentiasa bertanya kepada diri sendiri: Apakah yang telah kita persembahkan untuk Islam? Adakah kita bersama para pejuang yang tulus ikhlas atau bersama mereka yang sentiasa mencari-cari alasan?
Cabaran paling serius yang dihadapi oleh golongan muda umat kita pada hari ini bukan sekadar banyaknya godaan, tetapi juga pembaziran hidup mereka dalam perbualan kosong, aktiviti yang tidak bermanfaat, dan terlalu terikat dengan perkara-perkara yang tidak berguna, sehingga hari dan tahun berlalu tanpa memberi kesan nyata kepada keimanan atau kehidupan mereka. Betapa ramai anak muda yang telah mensia-siakan tenaga dan masa mereka di sebalik pertemuan-pertemuan kosong, media sosial, dan mengikuti kisah kehidupan orang lain, sedangkan kewajipan mereka terhadap agama semakin lemah dari hari ke hari?
Golongan muda merupakan kekuatan dan tonggak umat. Jika mereka terlalu sibuk dengan perkara remeh, terbiasa mencari alasan, dan mengabaikan tanggungjawab agama dan dakwah mereka, maka seluruh umat akan menjadi lemah.
Ingatlah bahawa kehidupan yang telah berlalu tidak akan kembali, dan suatu hari nanti setiap seorang akan berdiri di hadapan Allah Yang Maha Kuasa untuk ditanya tentang masa mudanya dan bagaimana dia menggunakannya, serta tentang umurnya dan bagaimana dia menghabiskannya.
Pemuda Muslim tidak sepatutnya hanya menjadi penonton terhadap penderitaan umatnya, atau menjadi tawanan sikap selesa diri dan suka menangguhkan tindakan. Sebaliknya, dia hendaklah mendedikasikan masa mudanya untuk ketaatan dan pengabdian kepada Islam, walaupun hanya melalui kata-kata yang baik, menyokong kebenaran, dan membela kepentingan umat Islam. Allah SWT berfirman:
﴿أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثاً وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ﴾
“Apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu dengan sia-sia dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (TMQ. Al-Mu’minun [23] : 115).
Berbahagialah orang yang menyedari nilai hidupnya sebelum ia berakhir, dan menjadikan hidupnya sebagai saksi kepada kebaikannya, bukan sebagai saksi kepada keburukannya, dan mengabdikan masa mudanya kepada perkara-perkara yang mendapat keredhaan Allah, serta bermanfaat kepada manusia, sebelum tiba saatnya penyesalan tidak lagi berguna.
Kami memohon kepada Allah SWT agar membangkitkan hati-hati daripada kelalaian, menjadikan kami termasuk dalam golongan para pejuang yang jujur dalam membela agama-Nya, serta mengurniakan kepada kami keikhlasan dan keteguhan hati.
Sumber: hizb-ut-tahrir.info, 15/5/2026.
#KejujuranHati #BahayaMenciptaAlasan #Munafik #AyuhUmatBangkit #BersegeradalamKebaikan #Istiqamah #Kesungguhan #FastabiqulKhairat

