Awal Muharram : Selamat Menyambut Tahrun Baru 1448H
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama menyambut kedatangan Tahun Baru 1448H.
Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah bukan sekadar perpindahan tempat, tetapi merupakan titik perubahan besar dalam sejarah umat Islam. Hijrah telah menjadi asas kepada pembentukan Daulah Madinah yang menerapkan Islam secara menyeluruh dalam seluruh aspek kehidupan, dan seterusnya diteruskan melalui sistem Khilafah selama berabad-abad.
Sempena tahun baru ini, marilah kita mengambil kesempatan untuk bermuhasabah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Hasyr ayat 18.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.” (TMQ Al-Hasy-r [59]:18)
Muhasabah bukan sahaja terhadap diri sendiri sebagai persediaan menuju akhirat, malah terhadap keadaan umat Islam yang sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam aspek ekonomi, sosial dan kemanusiaan, termasuk penderitaan saudara-saudara kita di Palestin, Yaman, Iran, Lubnan dan seluruh belahan dunia.
Oleh yang demikian, semangat hijrah hendaklah diterjemahkan sebagai usaha melakukan perubahan yang hakiki dan menyeluruh. Kita perlu kembali menjadikan syariat Allah SWT sebagai panduan kehidupan serta berperanan aktif dalam menyebarkan kesedaran Islam di tengah masyarakat. Setiap usaha, walau sekecil mana sekalipun, merupakan sebahagian daripada langkah menuju kebangkitan umat.
Pada hari ini, kita juga perlu menyedari bahawa peranan kita bukan lagi sekadar pelengkap, tetapi penentu arah perjuangan umat. Islam kaffah bukanlah satu pilihan, sebaliknya suatu kewajipan yang mesti diperjuangkan agar dapat diterapkan dalam seluruh aspek kehidupan. Jangan biarkan sejarah masa depan umat ditulis tanpa sumbangan dan peranan kita. Marilah kita menjadi sebahagian daripada pelaku sejarah yang berusaha menegakkan Islam secara kaffah, sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW melalui peristiwa hijrah.
Semoga dengan kesungguhan dan istiqamah umat Islam, cahaya Islam kembali menyinari peradaban manusia, membawa rahmat, keadilan dan kesejahteraan kepada seluruh alam. Semoga tahun baru ini menjadi pemangkin kebangkitan umat dan momentum perjuangan ke arah perubahan yang hakiki; menguatkan keimanan, memperkukuh ukhuwah, serta mendekatkan kita kepada keredhaan Allah SWT.
Selamat Menyambut Awal Muharam dan Tahun Baru 1448H.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dengan ingatan tulus ikhlas daripada,
Keluarga besar Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia
1 Muharram 1448H/ 16 Jun 2026
#AwalMuharram #Muharram1448H #TahunBaruHijriah #PerubahanHakiki #AyuhUmatBangkit

