Site icon MuslimahHTM News

[NF152] SUMUD MUSLIMAH BUAT PALESTIN

[NF152] SUMUD MUSLIMAH BUAT PALESTIN

 

Oleh : Ummu Zinnirah

 

Muqaddimah

 

Misi Global Sumud Flotilla (GSF) masih belum berjaya menghantar bantuan ke Gaza melalui jalan laut. Misi tersebut membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan kepada rakyat Gaza yang telah sekian lama ditindas serta berdepan dengan  penderitaan yang berpanjangan. Perkataan Arab ‘sumud’ sendiri membawa maksud ketabahan, kekuatan jiwa dan kemampuan untuk terus bertahan walaupun diuji dengan pelbagai rintangan dan cabaran.

 

Usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui jalan laut bukanlah sesuatu yang baharu. Pelbagai misi telah digerakkan sebelum ini sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin yang berdepan sekatan dan penindasan berterusan. Global Sumud Flotilla (GSF) merupakan antara misi yang meneruskan usaha tersebut, namun turut berdepan pelbagai halangan daripada pihak Israel. Meskipun berisiko tinggi serta terdedah kepada ancaman keselamatan, para peserta tetap meneruskan pelayaran mereka demi membawa bantuan dan menyuarakan penderitaan rakyat Gaza kepada dunia. Di sudut yang lain, dikatakan bahawa tujuan untuk break the siege” berjaya membuka mata dunia terhadap apa yang berlaku di Gaza dan keganasan tentera Israel. Ibarat terang lagi bersuluh, keganasan dan penindasan yang berlaku di rantau ini turut menggambarkan betapa luasnya konflik yang melibatkan umat Islam di beberapa wilayah, termasuk Palestin, Lubnan dan kawasan sekitarnya.

 

Namun, mungkinkah terdapat cara lain yang lebih tuntas bagi menangani isu ini? Pelbagai resolusi PBB berkaitan Palestin telah dikeluarkan, namun banyak daripadanya tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan akibat konflik kepentingan kuasa besar. Sedangkan,  Rasulullah SAW telah berpesan:

 

“Tidak sepatutnya seorang yang beriman disengat sebanyak dua kali daripada lubang yang sama.” [HR Bukhari & Muslim]

 

Sempat juga timbul perbahasan apabila beberapa orang muslimah dari Malaysia menyertai misi tersebut buat kali kedua pada tahun ini. Atas dasar rasa prihatin terhadap keselamatan mereka, isu percampuran bebas semasa pelayaran, perjalanan berbahaya tanpa mahram, serta tindakan meninggalkan anak-anak yang masih kecil menjadi antara perkara yang mengundang kecaman. Walaupun dalil mengenai keharaman wanita bermusafir melebihi sehari semalam tanpa mahram telah dijelaskan, masih ada pihak yang memberikan pelbagai dalih atas nama sumud dan jihad muslimah demi Palestin.

 

Apakah Yang Boleh Muslimah Lakukan?

 

Tidak dinafikan bahawa muslimah juga mempunyai peranan penting dalam isu pembebasan Palestin. Antaranya yang pertama ialah para muslimah seharusnya menyebarkan kefahaman yang sahih tentang makna sebenar pembebasan Palestin. Isu Palestin bukan sekadar isu peperangan, perebutan tanah, atau konflik kemanusiaan semata-mata. Palestin ialah tanah umat Islam yang dijajah, dan pembebasannya tidak boleh difahami dalam kerangka nasionalisme atau negara bangsa semata-mata. Di bumi Palestin terletaknya Masjid al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam dan salah satu tanah suci yang mempunyai kedudukan istimewa dalam hati kaum Muslim

 

Namun pada hari ini, ramai yang melihat perjuangan Palestin hanya dari sudut kemanusiaan tanpa memahami akar sebenar penjajahan yang berlaku. Ada yang menganggap bantuan makanan dan kewangan semata-mata telah mencukupi, sedangkan pembebasan Palestin memerlukan kefahaman yang lebih mendalam tentang kesatuan umat, maruah Islam dan tanggungjawab mempertahankan tanah umat Islam. Pembebasan Palestin bukanlah dengan meja rundingan. Satu-satunya jalan ialah dengan jihad memerangi dan menghalau Zionis Israel keluar dari Palestin.

 

Kedua, muslimah mestilah berperanan untuk memuhasabah para tentera muslimin untuk mempertahankan tanah Palestin. Al-Quran dan Sunnah menegaskan bahawa apabila umat Islam diserang atau ditindas, kewajipan berjihad terletak di atas bahu seluruh kaum Muslimin. Firman Allah SWT:

 

“ Dan apakah sebabnya kamu tidak mahu berperang di jalan Allah, dan (membela) orang-orang yang lemah, baik lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak yang berdoa: “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu, dan berilah kami penolong dari sisi-Mu.” [TMQ an-Nisa’(4):75]

 

Jelaslah kewajipan umat Islam adalah menggerakkan tentera bagi menyelamatkan mereka yang dizalimi.

 

Di antara perkara yang sering menyentuh hati dunia ialah ketabahan para ibu di Palestin. Dalam keadaan serba kekurangan, mereka tetap kuat membesarkan anak-anak dengan penuh iman dan keberanian. Oleh itu, peranan ketiga ialah muslimah boleh mencontohi ketabahan luar biasa ibu-ibu Palestin dalam mendidik generasi. Anak-anak mereka amat mencintai agama, menghormati maruah diri dan tidak tunduk kepada kezaliman. Walaupun kehilangan ahli keluarga, rumah dan harta benda, mereka tidak menyerah kepada ketakutan, sebaliknya mereka terus bangkit membantu masyarakat, menjaga keluarga dan mempertahankan agama untuk masa depan umat. Semuanya berlumba-lumba untuk mati syahid dalam mempertahankan tanah diberkati Palestin.

 

Perang yang berpanjangan di Palestin turut mendedahkan kelemahan utama umat Islam pada hari ini iaitu perpecahan. Walaupun umat Islam mempunyai jumlah yang ramai, namun mereka gagal menjadi kekuatan yang disegani akibat berpecah kepada pelbagai negara dan kepentingan politik. Oleh sebab itu, peranan keempat bagi Muslimah ialah menyeru umat lslam agar kembali kepada kesatuan dan kepimpinan politik tunggal iaitu Khilafah. Dalam sejarah Islam, umat Islam pernah disatukan di bawah kepimpinan politik yang menjaga urusan umat serta mempertahankan tanah dan maruah kaum Muslimin. Kekuatan politik inilah yang menjadikan umat Islam digeruni musuh dan mampu melindungi wilayah-wilayah Islam daripada penjajahan. Selagi umat Islam terus berpecah dan bergantung kepada kuasa-kuasa dunia untuk menyelesaikan isu Palestin, selagi itulah penderitaan rakyat Palestin akan berterusan.

 

Khatimah

 

Keberanian muslimah merupakan tanda keimanan dan ukhuwah Islamiah terhadap saudara-saudara kita di Palestin. Namun, peranan muslimah yang lebih utama adalah dengan turut sama membina umat dan generasi berasaskan akidah serta pemikiran Islam yang menyeluruh. Dengan kekuatan akidah dan keimanan, muslimah mampu menjadi sebahagian daripada kebangkitan umat Islam dan usaha pembebasan Palestin.

 

Islam tidak pernah membebankan muslimah sehingga terpaksa menggadaikan jiwa dan maruah semata-mata untuk berdepan ancaman musuh tanpa perlindungan dan jaminan daripada seorang khalifah. Walaupun berjauhan dari sudut jarak, penderitaan yang dialami rakyat Palestin tetap dirasai oleh umat Islam yang lain.

 

Oleh itu, sempena kedatangan tahun baharu Islam, Muharam 1448H, marilah kita bersama-sama meningkatkan usaha menyedarkan umat agar kembali kepada pemerintahan Islam yang syarie. Dengan tertegaknya pemerintahan Islam, in sha Allah bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan lebih berkesan dan maruah umat Islam akan terus terpelihara.

 

Teruskan ketabahan dan kesedaranmu wahai muslimah. Palestin memerlukan umat Islam yang bersatu, sedar akan tanggungjawab mereka terhadap agama dan umat, serta kembali menjadikan Islam sebagai asas kehidupan. Yakinlah bahawa Allah akan menolong orang-orang yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

 

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata.” [TMQ al-Anfal (8): 39]

 

 

Wallahu a’lam bissawab

 

Sumber rujukan :

 

#FikratulUmmah #SumuduntukPalestin #ArmiestoAqsa #ArmiestoGaza #FreePalestine #SpeakUpforPalestine

Exit mobile version