JELAS, PERANG IRAN-AMERIKA TIDAK BERJALAN SESUAI DENGAN SENARIO TRUMP
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
PERANG yang dilancarkan Amerika Syarikat terhadap Iran ternyata tidak bergerak sesuai dengan senario mudah yang dibayangkan oleh Donald Trump. Pada fasa awal, Washington kelihatan sangat yakin bahawa tekanan militer berskala besar akan segera menggoncang Tehran, melumpuhkan pusat kawalan kekuasaan, lalu memaksa Iran menerima posisi baru: tunduk sepenuhnya di bawah kehendak Amerika Syarikat.
Namun, perang bukan sekadar perhitungan teknologi, jumlah peluru berpandu atau keunggulan udara. Ada unsur yang sering gagal diambil kira oleh kuasa besar, yakni daya tahan politik dalaman pihak lawan.
Bukan Iran yang segera roboh, sebaliknya yang muncul adalah penentangan sengit daripada unsur militer paling ideologis di negeri tersebut: Pasukan Revolusi (Kor Pengawal Revolusi Islam [pent.]). Dari titik inilah kegelisahan Amerika mulai tampak jelas. Kenyataan Trump berubah-ubah. Dari ultimatum 48 jam, bergeser menjadi lima hari, kemudian sepuluh hari. Bahkan kemudiannya muncul cadangan 15 syarat yang, jika dibaca secara jernih, sesungguhnya bukanlah tawaran damai, melainkan format penyerahan politik total Iran kepada Washington.
Semua ini menunjukkan satu fakta bahawa, Amerika belum memperoleh hasil strategik yang diinginkan.
Target Amerika: Bukan Menghancurkan Iran, tetapi Menjinakkan Iran
Sejak awal, sasaran utama Amerika sudah jelas bukan semata-mata untuk menghancurkan kemampuan militer Iran, melainkan mengubah posisi Iran daripada sebuah negara yang masih memiliki ruang manuver geopolitik menjadi negara yang sepenuhnya jinak.
Amerika memahami bahawa selama bertahun-tahun Iran memang bergerak dalam orbit pengaruh global Barat (AS) dalam banyak sisi, tetapi tetap menyisakan unsur pembangkangan strategik; terutama dalam isu nuklear, peluru berpandu, jaringan serantau dan kedudukan di Selat Hormuz.
Sebab itu, serangan besar Amerika Syarikat dilakukan berdasarkan andaian yang sederhana: menyerang pusat kepimpinan, menumpaskan elit teras, lalu memunculkan figura baru yang lebih bersikap kompromi. Namun begitu, perkiraan tersebut tersasar. Struktur internal Iran ternyata tidak runtuh secepat yang diduga Washington. Pasukan Revolusi sebaliknya mampu mengawal keadaan, lalu merespon dengan serangan peluru berpandu dan dron ke berbagai sasaran, termasuk wilayah Israel dan pangkalan Amerika di kawasan Teluk.
Di sinilah Amerika tersentak. Ini kerana perang yang dirancang untuk jangka pendek berubah menjadi situasi yang memaksa mereka mengira semula langkah-langkahnya.
Salah Hitung Empat Hari
Sejumlah laporan antarabangsa menunjukkan bahawa Amerika Syarikat dan Israel pada awalnya menganggarkan perang hanya akan berlangsung singkat: empat hari. Serangan kilat dilancarkan ke pusat nuklear, prasarana peluru berpandu, dan elit tertinggi negara. Harapannya sederhana: apabila pucuk pimpinan tumbang, lapisan kedua kuasa akan menyerah. Namun begitu, Iran ternyata tidak bergerak mengikut senario tersebut. Sebaliknya, struktur militer ideologikal Iran mengambil alih momentum.
Ultimatum yang Berubah-Ubah: Bahasa Kebuntuan Strategik
Dalam politik antarabangsa, perubahan nada diplomatik sering lebih jujur daripada pidato kemenangan. Sebab itu apabila Trump mula memperpanjangkan tempoh demi tempoh, sesungguhnya itu adalah bahasa lain daripada kebuntuan taktikal.
Pada 22 Mac diumumkan ultimatum 48 jam. Sehari kemudian ia dilanjutkan kepada lima hari. Selepas itu ditambah lagi sepuluh hari. Jika Amerika benar-benar memiliki keunggulan mutlak, tentu pola seperti ini tidak diperlukan. Perubahan tarikh akhir biasanya menunjukkan bahawa pihak lawan belum berjaya dipaksa menerima syarat yang ditetapkan. Malah, besar kemungkinan lanjutan itu sekaligus menjadi ruang untuk konsolidasi tambahan kekuatan militer Amerika di rantau tersebut. Ini bermaksud, tekanan diplomatik berjalan seiring dengan persiapan eskalasi.
Proposal 15 Perkara: Dokumen Penyerahan Diri Politik
Cadangan Trump yang disalurkan melalui Pakistan mengandungi syarat-syarat yang sangat berat terhadap Iran: pembongkaran sepenuhnya keupayaan nuklear, penghentian pengayaan uranium, penyerahan bahan nuklear, pemusnahan fasiliti utama, penghentian sokongan terhadap sekutu serantau, serta sekatan ke atas peluru berpandu. Dari sudut politik, ini bukanlah cadangan damai biasa. Ia merupakan perubahan status sesebuah negara. Iran diminta menyerahkan keseluruhan alat tawar-menawar strategiknya.
Oleh itu, penolakan rasmi oleh televisyen kerajaan Iran boleh difahami: menerima cadangan tersebut bermakna menerima kedudukan sebagai negara bawahan.
Dua Arus Besar di dalam Tubuh Iran
Perang ini sekaligus membuka realiti dalaman Iran sendiri. Pertama: arus Pasukan Revolusi yang cenderung keras dan mahu Iran bergerak lebih bebas serta berdikari. Kedua: unsur sivil-politik yang masih membuka ruang untuk rundingan.
Oleh itu tidak menghairankan jika peluru berpandu terus dilancarkan, sementara saluran komunikasi masih kekal terbuka. Dalam politik global, perang sering bukan pengganti kepada rundingan, tetapi alat untuk menguatkan kedudukan tawar-menawar dalam rundingan.
Lubnan dan Cita-cita Israel hingga Litani
Di tengah tekanan terhadap Iran, Israel juga mengarahkan perhatian ke selatan Lubnan. Kenyataan Israel Katz tentang pembinaan zon pengaman hingga ke Sungai Litani menunjukkan bahawa perang serantau ini tidak berdiri sendiri. Terdapat reka bentuk wilayah yang terus diperluas sedikit demi sedikit. Akan tetapi, sasaran itu tidak mudah. Wilayah selatan Lubnan bukan ruang kosong. Ia menyimpan sejarah penentangan yang panjang. Oleh kerana itu, jika tekanan Amerika terhadap Iran melemah maka daya tekanan Israel pun akan turut menurun.
Pelajaran Besar bagi Dunia Islam: Mengapa Umat Selalu Menjadi Arena Pertembungan?
Di sinilah pelajaran terbesar perlu dibaca dan difahami oleh umat Islam. Negara-negara Muslim terus menjadi medan pertembungan global. Ini kerana Dunia Islam tidak memiliki kepimpinan politik tunggal yang mampu melindungi seluruh wilayahnya.
Allah SWT berfirman:
قُلْ لِلَّذِينَ كَفَرُوا سَتُغْلَبُونَ وَتُحْشَرُونَ إِلَى جَهَنَّمَ وَبِئْسَ الْمِهَادُ
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”. (TMQ Ali ‘Imran [3]: 12).
Imam Ibnu Katsir, di dalam Tafsiir al-Qur’aan al-‘Azhiim (2/19), ketika mentafsirkan ayat ini, menjelaskan bahawa ayat ini turun sebagai ancaman politik terhadap kekuatan kufur yang merasa unggul, sekaligus khabar bahawa kemenangan hakiki berpihak kepada kaum Mukmin ketika mereka tegak di atas sebab-sebab pertolongan Allah.
Adapun menurut Imam ath-Thabari dalam Jaami’ al-Bayaan (6/287), ayat ini menunjukkan janji Allah SWT tentang kekalahan politik, militer dan moral orang-orang kafir yang memerangi risalah Allah-Nya. Maksudnya, ayat ini bukan sekadar janji (ancaman) akhirat terhadap kaum kafir, tetapi juga mengandungi sunnatullah sejarah dunia tentang kepastian kekalahan mereka daripada umat Islam.
Secara sejarah, kekalahan mereka ke atas kaum Muslim sudah terbukti berkali-kali pada era Daulah Islam pimpinan Baginda Rasulullah SAW, era Khulafaur Rasyidin dan era Kekhilafahan Islam setelah itu selama berabad-abad lamanya. Hal itu, antara lain, dibuktikan dengan luasnya wilayah kekuasaan Daulah Islam atau Khilafah Islam pada masa tersebut, yang pernah menguasai hampir dua pertiga dunia.
Khilafah: Keperluan Syariah, Bukan Sekadar Nostalgia
Di titik inilah kepentingan mendesak terhadap institusi Khilafah perlu dibaca secara jernih. Imam al-Mawardi berkata dalam Al-Ahkaam as-Sulthaaniyyah:
الإمامة موضوعة لخلافة النبوة في حراسة الدين وسياسة الدنيا به
“Imamah (Khilafah) ditegakkan sebagai pengganti kenabian untuk menjaga agama dan mengatur dunia dengan agama”.
Kenyataan ini menunjukkan bahawa syariah Islam tidak dapat hidup tanpa institusi politik dan pemerintahan Islam (Khilafah). Sebabnya, tanpa kekuasaan (Khilafah), hukum-hukum Islam yang bersifat umum tidak mungkin dapat dijalankan.
Selain itu, hari ini Dunia Islam memiliki pelbagai sumber yang amat besar. Selain sumber manusia yang berjumlah tidak kurang dari dua billion pada saat ini, mereka turut memiliki sumber alam yang melimpah-ruah (minyak, gas, dll); juga laluan laut yang strategik, kedudukan geografi berpusat, dll. Akan tetapi, dengan semua pontensi itu, umat Islam tetap nampaknya tidak berdaya. Mengapa? Sebabnya, mereka tercerai-berai. Akibatnya, ketika sebuah negeri ditekan, negeri lain diam. Ketika satu wilayah dibom, wilayah lain pula sibuk menghitung kepentingannya sendiri.
Padahal sejarah membuktikan: ketika umat memiliki satu kepemimpinan global (Khilafah Islam), dua empayar terbesar dunia—Empayar Parsi Sasaniyah dan Empayar Romawi Timur—jatuh dan mampu dikuasai hanya dalam beberapa dekad.
Iran Boleh Melawan, Tetapi Tidak Menentukan Akhir Sejarah Jika Tetap Sendirian
Iran memang mampu memberikan pukulan terhadap musuh. Akan tetapi, pukulan separa tidak identik dengan perubahan peradaban. Selagi Dunia Islam tetap terpecah-belah, selagi tidak ada kepemimpinan tunggal umat, maka pembenturan hanya melahirkan kitaran perang yang berulang-ulang.
Allah SWT berfirman:
إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“Kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.“ (TMQ Muhammad [47]: 7).
Fakhruddin ar-Razi dalam Mafaatih al-Ghayb menjelaskan bahawa pertolongan Allah SWT pada ayat ini terkait dengan tegaknya kesetiaan total pada syariah-Nya, bukan sekadar semangat emosional semata.
Dunia Islam Sedang Menunggu Titik Perubahan
Hari ini Amerika mungkin masih kelihatan dominan. Trump mungkin masih mengancam. Israel mungkin masih bergerak. Akan tetapi, sejarah belum selesai. Sebabnya, sesungguhnya yang paling ditakuti kekuatan besar dunia bukan hanya peluru berpandu, bukan hanya serangan dron, bukan hanya perang serantau yang terbatas. Yang paling mereka takutkan adalah ketika umat Islam sadar bahawa kelemahan terbesar mereka bukan kurangnya sumber, tetapi hilangnya kepemimpinan politik yang menyatukan. Tatkala kesedaran itu bangkit, maka peta dunia pun dapat berubah. Sebabnya, darah kaum Muslim yang tertumpah dari Palestin hingga ke kawasan Teluk sesungguhnya sedang mengajukan satu pertanyaan besar: Sampai bila umat sebesar ini hidup tanpa pelindung politik yang satu?
Jika pertanyaan itu telah berubah menjadi kesedaran kolektif maka yang bergoncang kelak bukan hanya satu pangkalan militer. Bukan hanya satu rejim. Akan tetapi, seluruh bangunan dominasi global–yang selama ini berdiri di atas tercerai-berainya umat–juga akan tergoncang. Ketika umat benar-benar kembali menegakkan kepemimpinan Islam global (Khilafah), dunia akan menyaksikan bahawa janji Allah SWT tentang kemenangan umat Islam bukanlah slogan. Ia adalah kepastian sejarah.
Allah SWT berfirman:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka”. (TMQ an-Nur [24]: 55).
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.
Sumber: ABI-FOCUS/Forum on Contemporary Ummah Studies
#AyuhUmatBangkit #KesedaranIslam #PolitikIslam #PolitikDunia

