Site icon MuslimahHTM News

SOLUSI  DUA NEGARA, MENGEKALKAN PENJAJAHAN PALESTIN?

SOLUSI  DUA NEGARA, MENGEKALKAN PENJAJAHAN PALESTIN?

 

Oleh: Joko Prasetyo (Jurnalis)

Adakah Solusi Dua Negara membebaskan Palestin atau sebenarnya mengekalkan penjajahan Zionis Yahudi ke atas Palestin?

 

Persoalan ini wajar dikemukakan ketika masyarakat antarabangsa sekali lagi menghidupkan harapan lama yang dikenali sebagai Solusi Dua Negara. Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (Mei 2025), sekali lagi menegaskan sokongan Indonesia terhadap gagasan tersebut. Presiden Perancis, Emmanuel Macron (April–Jun 2025), terus menggesa pengiktirafan negara Palestin dalam kerangka Solusi Dua Negara. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan beberapa negara lain turut kembali menganjurkan pelbagai forum antarabangsa untuk menghidupkan agenda yang sama.

 

𝐉𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐏𝐚𝐧𝐣𝐚𝐧𝐠 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐓𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐊𝐮𝐧𝐣𝐮𝐧𝐠 𝐒𝐚𝐦𝐩𝐚𝐢

 

Gagasan Solusi Dua Negara bukanlah suatu konsep baharu. Selama berdekad-dekad, masyarakat antarabangsa telah menjadikannya sebagai formula utama untuk menyelesaikan konflik Palestin.

 

Persidangan demi persidangan diadakan. Resolusi demi resolusi diterbitkan. Rundingan demi rundingan dijalankan. Perjanjian Oslo ditandatangani. Pelbagai forum keamanan diwujudkan.

Namun, apakah hasilnya?

 

Israel semakin kukuh dari sudut politik, ekonomi dan ketenteraan. Penempatan Zionis Yahudi terus meluas. Wilayah Palestin semakin menyempit. Gaza tetap dikenakan sekatan. Ribuan orang awam terus menjadi mangsa pencerobohan dan serangan.

 

Ironinya, setiap kali keadaan menjadi lebih buruk, dunia kembali menawarkan formula yang sama: Solusi Dua Negara.

 

Seolah-olah kegagalan selama puluhan tahun yang lalu bukanlah bukti bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena pada paradigma yang digunakan.

 

Masalahnya Bukan Kerana Kurangnya Diplomasi

 

Di sinilah persoalan yang lebih mendasar. Sistem kapitalisme antarabangsa melihat Palestin sebagai suatu pertikaian politik yang perlu diselesaikan melalui kompromi, rundingan dan pembahagian wilayah.

 

Akibatnya, penjajahan dilayan seolah-olah suatu pertikaian biasa yang boleh dirundingkan di meja perundingan.

 

Sedangkan bagi umat Islam, Palestin bukan sekadar konflik sempadan. Palestin ialah sebuah negara yang dijajah.

 

Oleh itu, apabila Solusi Dua Negara membahagikan Palestin kepada wilayah Israel dan wilayah Palestin, timbul satu persoalan asas: bukankah ini bererti menerima sebahagian daripada hasil penjajahan sebagai sesuatu yang sah?

 

Dalam pandangan Islam, Palestin tergolong sebagai tanah kharajiyyah (wilayah yang pernah dibebaskan dan menjadi sebahagian tetap daripada Daulah Islam). Tanah yang telah menjadi sebahagian daripada Darul Islam tidak gugur statusnya hanya kerana diduduki atau dirampas oleh penjajah. Ia tetap wajib dipertahankan dan dibebaskan.

 

Dari sudut pandang inilah, Solusi Dua Negara dilihat bukan sebagai pengakhiran penjajahan, sebaliknya sebagai pengiktirafan politik terhadap sebahagian daripada hasil penjajahan tersebut.

Perbezaan cara pandang ini melahirkan perbezaan dalam solusi. Jika masalah itu dianggap sebagai pertikaian wilayah, maka solusi yang ditawarkan ialah kompromi dan pembahagian wilayah. Namun, jika masalah itu dilihat sebagai penjajahan, maka solusi yang diperlukan ialah menamatkan penjajahan tersebut.

 

Oleh itu, persoalan yang jarang diajukan ialah: mengapakah umat Islam terus diminta untuk berkompromi dengan hasil penjajahan?

 

Bukankah Solusi Dua Negara pada hakikatnya mengiktiraf kewujudan kekal entiti penjajah di bumi Palestin?

 

Di sinilah terletaknya kritikan asas terhadap Solusi Dua Negara. Ia tidak menghapuskan penjajahan. Sebaliknya, ia hanya berusaha menjadikan penjajahan itu dapat diterima melalui persetujuan politik antarabangsa.

 

Palestin Bukan Isu Tempatan

 

Bagi umat Islam, Palestin bukan urusan satu bangsa atau satu wilayah semata-mata. Di bumi tersebut terletaknya Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam dan salah satu masjid yang mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam sebagai tanah suci ketiga selepas Mekah dan Madinah.

 

Oleh itu, Palestin bukan sekadar isu rakyat Palestin. Palestin ialah urusan umat Islam seluruhnya.

 

Namun sejak runtuhnya Khilafah dan dunia Islam terpecah kepada puluhan negara bangsa, Palestin secara beransur-ansur disempitkan menjadi masalah setempat yang terpaksa ditanggung sendiri oleh rakyat Palestin.

 

Akibatnya, umat hanya menjadi penonton kepada tragedi yang terus berulang. Mereka mengecam penjajahan, menghantar bantuan kemanusiaan, menghadiri persidangan, kemudian kembali menyaksikan pencerobohan dan serangan yang berikutnya.

 

Kitaran ini terus berulang tanpa pernah menyentuh akar permasalahan.

 

Jejak Sejarah Palestin

 

Sejarah sebenarnya menunjukkan pengajaran yang berbeza. Palestin mula berada di bawah naungan pemerintahan Islam pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab RA. Apabila Al-Quds diserahkan kepada umat Islam pada tahun 638 Masihi, Umar sendiri datang ke kota tersebut dan memberikan jaminan keselamatan kepada penduduknya melalui perjanjian yang dikenali sebagai ‘Ahdah Umariyyah.

 

Sejak itu, Palestin menjadi sebahagian daripada Khilafah Islam selama berabad-abad. Al-Quds berkembang sebagai sebuah kota penting dalam peradaban Islam, dan pelbagai komuniti hidup di bawah perlindungan pemerintahan Islam.

 

Namun, apabila Tentera Salib menawan Al-Quds pada tahun 1099 Masihi, sejarah mencatatkan berlakunya pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk kota tersebut. Palestin sekali lagi berada di bawah penjajahan asing.

 

Hampir satu abad kemudian, Salahuddin al-Ayyubi rahimahullah berjaya menyatukan kekuatan umat Islam dan membebaskan Al-Quds selepas kemenangan dalam Pertempuran Hattin pada tahun 1187 Masihi.

 

Perhatikan dengan teliti. Palestin berada di bawah naungan Islam bukan melalui persidangan antarabangsa. Al-Quds tidak dibebaskan melalui resolusi global. Salahuddin tidak membebaskan Palestin melalui kompromi pembahagian wilayah. Semua itu berlaku hasil daripada kesatuan politik umat yang disokong oleh kekuatan sebuah negara.

 

Islam Menawarkan Solusi yang Tepat

 

Dalam aspek solusilah terletaknya pertembungan paling asas antara kapitalisme dan Islam. Kapitalisme menawarkan solusi yang bersifat ilusi melalui diplomasi tanpa kekuatan yang mencukupi. Islam pula menawarkan solusi yang tepat dengan kekuatan yang mampu menamatkan penjajahan.

 

Kapitalisme menawarkan kompromi dengan realiti yang sedia ada. Islam menawarkan perubahan terhadap realiti yang zalim. Kapitalisme menawarkan Solusi Dua Negara, manakala Islam menawarkan jihad fi sabilillah untuk membebaskan negeri-negeri Islam yang dijajah.

 

Sememangnya, jihad yang berlangsung selama ini merupakan suatu amal soleh yang wajar dihargai. Namun sejarah menunjukkan bahawa pembebasan negeri-negeri Islam daripada penjajahan tidak pernah bergantung kepada keberanian individu semata-mata, sebaliknya disokong oleh kekuatan politik dan ketenteraan sebuah negara yang digerakkan secara tersusun dan terancang.

 

Oleh itu, Islam juga menetapkan Khilafah sebagai thariqah (kaedah yang baku) untuk menerapkan syariat Islam secara kaffah, menyatukan potensi umat, memelihara maruah kaum Muslimin serta melindungi wilayah-wilayah Islam daripada penjajahan.

 

Tanpa kesatuan politik umat, Palestin akan terus menjadi bahan perbincangan dalam forum-forum antarabangsa; dibincangkan, dirundingkan dan diperdebatkan, tetapi tidak benar-benar dibebaskan.

 

Hisab yang Tidak Dapat Dielakkan

 

Namun persoalan Palestin tidak terhenti pada urusan geopolitik semata-mata. Terdapat satu persoalan yang jauh lebih besar: bagaimanakah semua sikap ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT?

 

Kerana Palestin bukan sekadar isu politik. Palestin ialah tanah umat Islam yang dijajah. Darah yang tumpah di Gaza bukan sekadar angka statistik yang dipaparkan di kaca televisyen. Semua itu akan menjadi bahan hisab pada Hari Kiamat.

 

Rasulullah SAW bersabda: “Imam (pemimpin) adalah pemelihara urusan rakyat dan dia bertanggungjawab terhadap rakyat yang dipimpinnya.” [HR al-Bukhari dan Muslim]

 

Oleh itu, yang akan dihisab bukanlah berapa banyak persidangan keamanan yang dihadiri, dan bukan juga betapa indahnya ucapan diplomatik yang disampaikan.

 

Sebaliknya, yang akan dihisab ialah sama ada penjajahan itu ditentang atau dibiarkan terus berlanjutan. Berapa banyak lagi persidangan yang perlu diadakan? Berapa banyak lagi resolusi yang perlu diterbitkan? Berapa banyak lagi generasi rakyat Palestin yang perlu dilahirkan di bawah cengkaman penjajahan?

 

Hakikat bahawa penjajahan masih berterusan menunjukkan bahawa yang gagal bukan sekadar diplomasi, tetapi paradigma yang menjadikan penjajah sebagai pihak yang perlu diajak berkompromi, apatah lagi diberikan legitimasi melalui dua negara sebagai jalan Solusi.

 

Oleh itu, persoalan Palestin tidak akan selesai hanya dengan pengiktirafan negara demi negara. Persoalan Palestin hanya akan selesai apabila penjajahan itu sendiri berakhir.

 

Dan Islam bukan sekadar menawarkan cita-cita, tetapi turut menawarkan metode bakunya, iaitu jihad fi sabilillah di bawah naungan Khilafah ‘ala Minhaj al-Nubuwwah yang menyatukan kekuatan umat, menerapkan syariat Islam secara kaffah, serta memelihara maruah dan tanah umat Islam daripada penjajahan. Allahu Akbar!

 

 

#FreePalestine #TwoStateSolution #ArmiestoAqsa #ArmiestiGaza #PalestineNeedsJihad #WeNeedKhilafah

Exit mobile version