Site icon MuslimahHTM News

Pentingnya Mengetahui yang Makruf dan yang Mungkar

Pentingnya Mengetahui yang Makruf dan yang Mungkar

 

Perbincangan tentang amar makrûf nahi mungkar membawa kita kepada perbincangan mengenai pentingnya pengetahuan berkaitan kedua-duanya. Hal ini kerana, ilmu mesti wujud sebelum seseorang melaksanakan perintah atau menjauhi larangan. Tidak akan ada usaha menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran tanpa ilmu.

 

Sudah jelas bahawa ilmu mesti mendahului amal. Amal juga hendaklah sesuai dengan ilmu syariat; jika tidak, maka amal tersebut tidak akan bernilai sebagai ibadah. Allah ﷻ memerintahkan kaum Muslimin untuk melakukan perkara yang makruf, maka yang makruf itu mestilah diketahui agar dapat diamalkan. Begitu juga Allah ﷻ memerintahkan mereka untuk menjauhi kemungkaran, maka kemungkaran itu juga mesti diketahui agar dapat dielakkan.

 

Ibadah, ketaatan, dan kepatuhan kepada aturan syariat merupakan asas utama, manakala ilmu adalah syarat yang diperlukan untuk merealisasikan perkara tersebut. Oleh itu, ilmu tidak dituntut semata-mata kerana ilmu itu sendiri, tetapi untuk tujuan ibadah dan ketaatan.

 

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun melainkan untuk ditaati dengan izin Allah ﷻ.” (TMQ. an-Nisâ’ [4]: 64). Maka, ibadah dan ketaatan itulah tujuan utamanya.

 

Ilmu tentang kedua-dua perkara ini boleh dicapai pada peringkat paling rendah, iaitu dengan ber-taqlid, sehingga ke peringkat tertinggi, iaitu dengan ber-ijtihad. Kedua-duanya mengandungi kebaikan selagi keterikatan kepada aturan dan ketaatan dapat direalisasikan.

 

Sesiapa yang menunaikan solat dengan menjaga rukun dan syarat-syaratnya serta menjauhi perkara-perkara yang membatalkannya, maka dia telah beribadah dan menunaikan kewajipannya. Namun, jika ibadahnya dilakukan secara taqlid, iaitu mengambil hukum daripada seorang ulama tanpa mengetahui dalilnya, maka dia telah kehilangan kebaikan besar; iaitu kebaikan ilmu.

 

Orang yang menunaikan solat secara ittibâ’, iaitu mengambil hukum daripada orang lain tetapi mengetahui dalilnya, pada hakikatnya juga seorang muqallid, tetapi keadaannya lebih baik daripada orang awam yang tidak mengetahui dalil.

 

Adapun seorang mujtahid, dialah yang berada pada kedudukan paling baik, paling utama, dan mempunyai darjat yang paling tinggi. Dia menggali sendiri hukum syariat, meneliti dalil-dalil, dan merumuskan hukum Allah ﷻ yang terpakai ke atas dirinya berdasarkan dalil-dalil tersebut.

 

Sumber: “Ad-Da’wah ila al-Islam” (Ahmad al-Mahmud)

 

#AmarMakrufNahiMungkar

Exit mobile version