Site icon MuslimahHTM News

[Demokrasi Sistem Kufur] Haram Mengambil, Menerapkan, dan Menyebarluaskan Demokrasi (Bahagian 9/16)

[Demokrasi Sistem Kufur] Haram Mengambil, Menerapkan, dan Menyebarluaskan Demokrasi (Bahagian 9/16)

 

Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum

 

(Sambungan dari Bahagian 8/16.)

 

Kaum muslim boleh mengambil semua ilmu seperti yang kami sebutkan di atas sebelumnya. Mereka juga boleh mengambil benda apa saja yang dihasilkannya, seperti produk-produk industri, alat-alat, mesin-mesin, dan berbagai bentuk benda hasil kebudayaan material.

 

Kaum muslim juga boleh mendirikan kilang-kilang industri dalam segala jenisnya dan segala macam produknya, kecuali kilang-kilang yang menghasilkan produk seperti patung, minuman keras, dan salib kerana terdapat nas yang mengharamkannya. Semua produk diperbolehkan, baik produk-produk ketenteraan mahupun bukan, baik industri berat, seperti kereta kebal, pesawat tempur, peluru berpandu, satelit, bom atom, bom hidrogen, bom elektronik, bom kimia, traktor, trak, kereta api, kapal api mahupun industri ringan, seperti industri kepenggunaan, senjata-senjata ringan, alat-alat laboratorium, alat-alat perubatan, alat-alat pertanian, perabot, karpet, dan barang-barang kepenggunaan.

 

Semua yang telah disebutkan di atas boleh diambil kerana termasuk ke dalam kategori benda-benda yang mubah dan terdapat dalil umum yang menunjukkan kemubahannya. Usaha untuk mengambil dan memanfaatkannya pada dasarnya berstatus mengamalkan hukum Islam, iaitu mubah dan mengikuti syariat Rasulullah SAW. Sebabnya, semua itu termasuk mubah, sedangkan mubah merupakan salah satu dari lima jenis hukum taklif, iaitu wajib, mandub, haram, makruh, dan mubah.

 

Idea-idea yang berkaitan dengan akidah dan syariat Islam, juga yang berhubungan dengan peradaban Islam, pandangan hidup Islam, dan hukum-hukum yang menjadi solusi bagi seluruh masalah manusia wajib disesuaikan dengan ketentuan syariat. Semua itu tidak boleh diambil dari mana pun, kecuali hanya dari syariat Islam. Ini bererti hanya dari wahyu yang terkandung dalam Kitabullah, sunnah Rasul-Nya, serta ijmak sahabat dan qiyas yang memang ditunjukkan oleh kedua-duanya. Sama sekali tidak boleh mengambil dari selain sumber-sumber tersebut.

 

Beberapa dalil syariat yang berkaitan dengan ketentuan di atas adalah sebagai berikut:

 

1. Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan kita untuk mengambil apa saja yang Rasul SAW membawanya kepada kita dan meninggalkan apa saja yang beliau melarangnya. Allah SWT berfirman, “Apa saja yang diperintahkan oleh Rasul kepada kalian, laksanakanlah, dan apa yang dilarangnya atas kalian, tinggalkanlah.” (TMQ Al-Hasyr [59]: 7).

 

Kata (apa saja) dalam ayat di atas termasuk bentuk kata yang bersifat umum. Maksudnya, ayat tersebut menunjukkan adanya kewajipan untuk mengambil semua hukum yang dibawa oleh Nabi SAW kepada kita dan menjauhi semua yang dilarangnya ke atas kita. Mafhum mukhalafah (pemahaman kebalikan) dari ayat itu adalah bahawa kita tidak boleh mengambil hukum apa pun, selain hukum yang dibawa oleh Nabi SAW untuk kita.

 

2. Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan kaum muslim untuk mentaati-Nya dan mentaati Rasul-Nya.

 

Allah SWT berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya serta ulil amri (pemimpin muslim yang menjalankan syariat Islam) di antara kalian.” (TMQ An-Nisa’: 59).

 

Mentaati Allah dan Rasul-Nya tidak mungkin terwujud, kecuali dengan mengamalkan dan mengambil syariat yang telah diturunkan Allah kepada Rasul-Nya.

 

3. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kaum muslim untuk berpegang teguh pada apa yang telah diputuskan Allah dan Rasul-Nya. Sebagaimana pula Dia telah memerintahkan mereka untuk kembali atau merujuk pada hukum Allah dan hukum Rasul-Nya ketika berlaku perselisihan dan perbezaan pendapat.

 

Allah SWT berfirman, “Tidaklah patut seorang mukmin mahupun mukminat, jika Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, mempunyai pilihan (yang lain) dalam urusan mereka.” (TMQ Al-Ahzab: 36).

 

“Kemudian, jika kalian (rakyat dan pemimpin) berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnah), jika kalian memang benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhir.” (TMQ An-Nisa’: 59).

 

4. Allah SWT telah memerintahkan Rasul-Nya yang mulia untuk memberikan keputusan berdasarkan hukum yang telah diturunkan-Nya dan memperingatkan baginda agar waspada supaya tidak menyimpang sedikit pun daripada hukum-Nya.

 

Allah SWT berfirman, “Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran dengan membawa kebenaran, sebagai pembenar atas kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya), sekaligus sebagai penghapus kitab-kitab tersebut. Oleh kerana itu, putuskanlah perkara mereka menurut wahyu yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah sampai kepadamu.” (TMQ Al-Ma’idah: 48).

 

5. Sesungguhnya Allah SWT telah melarang kaum muslim untuk mengambil hukum apa pun selain hukum Islam.

 

Allah SWT berfirman, “Demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim (pemutus) atas perkara apa saja yang mereka perselisihkan.” (TMQ An-Nisa’: 65).

 

“Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (TMQ An-Nûr: 63).

 

“Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari taghut itu.” (TMQ An-Nisa’: 60).

 

Selain itu, Rasulullah SAW telah bersabda, “Setiap perbuatan yang bukan termasuk perintah kami adalah tertolak.” (HR Muslim).

 

Nas-nas syariat di atas menunjukkan dengan jelas tentang kewajipan terikat dengan seluruh hukum yang dibawa oleh Rasulullah SAW untuk kita. Oleh kerana itu, kita tidak boleh menghalalkan apa pun, kecuali yang memang telah dihalalkan oleh Allah. Kita juga tidak boleh mengharamkan apa pun, kecuali yang telah diharamkan oleh Allah. Begitu pula, kita tidak boleh mengambil apa saja yang tidak dibawa oleh Rasul untuk kita. Kita pun tidak boleh mengharamkan apa saja yang tidak beliau haramkan atas kita.

 

Di satu sisi, ada kata (apa saja) dalam firman-Nya, “wa mâ âtâkum ar-rasûl” dan “wa mâ nahâkum ‘anhu” (TMQ Al-Hasyr: 7). Sementara itu, di sisi lain, Allah SWT berfirman sebagai berikut, “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (TMQ An-Nûr: 63).

 

Jika kata pada surah Al-Hasyr ayat 7 sebelumnya dikaitkan dengan ayat 63 surah An-Nûr di atas, akan tampak sangat jelas adanya kewajipan untuk mengambil apa saja yang dibawa oleh Rasulullah SAW semata. Dengan demikian, mengambil hukum di luar hukum yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah dosa. Pelakunya akan mendapatkan azab yang pedih. Bahkan Allah SWT tidak mengakui keimanan daripada orang yang dalam berbagai tindakannya tidak berhakim kepada Rasulullah SAW.

 

Allah SWT berfirman, “Demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim (pemutus) atas perkara apa saja yang mereka perselisihkan.” (TMQ An-Nisa’: 65).

 

Hal ini menunjukkan secara tegas tentang wajibnya berhukum pada apa yang dibawa oleh Rasul saja. Bahkan Allah SWT telah memperingatkan Rasul-Nya untuk waspada supaya tidak dipalingkan oleh manusia dari sebahagian wahyu yang diturunkan kepadanya.

 

Allah SWT berfirman, “Berhati-hatilah kamu terhadap mereka (Ahli Kitab), supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian wahyu yang diturunkan Allah kepadamu.” (TMQ Al-Ma’idah: 49).

 

Sumber: Abdul Qadim Zallum, Demokrasi Sistem Kufur.

 

(Bersambung ke Bahagian 10/16.)

 

#Demokrasi #DemokrasiSistemKufur #Sekularisme #Politik

 

Exit mobile version