[Demokrasi Sistem Kufur] Haram Mengambil, Menerapkan, dan Menyebarluaskan Demokrasi (Bahagian 10/16)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
(Sambungan dari Bahagian 9/16.)
Di samping itu, Al-Quran telah mencela orang-orang yang hendak berhukum pada hukum yang tidak dibawa oleh Rasulullah SAW, yakni hukum-hukum kufur. Allah SWT, berfirman,
“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.” (TMQ An-Nisa’: 60).
Hal ini menunjukkan bahawa berhukum pada hukum yang tidak dibawa oleh Rasul adalah suatu kesesatan. Ini kerana tindakan demikian bererti berhakim kepada taghut, yakni kekufuran. Padahal, Allah SWT telah memerintah kaum muslim untuk mengingkari taghut itu.
Berdasarkan penjelasan sebelumnya, umat Islam diharamkan untuk mengambil peradaban (budaya) Barat beserta segala peraturan dan undang-undang yang dilahirkannya. Hal ini kerana peradaban tersebut bertentangan dengan peradaban Islam. Selain itu, perkara lain seperti peraturan dan undang-undang administrasi adalah bersifat mubah dan boleh diambil. Ini sebagaimana Umar bin Khattab telah mengambil peraturan pentadbiran daripada Parsi dan Rom.
Peradaban Barat berdiri atas akidah pemisahan agama daripada kehidupan, serta pemisahan agama daripada negara. Sebaliknya, peradaban Islam mendasarkan dirinya pada akidah Islam yang mewajibkan pelaksanaan kehidupan bernegara berdasarkan perintah dan larangan Allah, iaitu hukum-hukum Islam.
Peradaban Barat juga berdiri atas asas manfaat (kepentingan) yang dijadikan ukuran bagi semua perbuatan mereka. Oleh itu, peradaban Barat ialah peradaban yang hanya mempertimbangkan nilai manfaat. Mereka tidak mengambil kira sebarang nilai lain selain nilai manfaat yang bersifat materialalistik. Kesimpulannya, dalam peradaban Barat tidak akan ditemui nilai kerohanian, akhlak, mahupun kemanusiaan.
Sebaliknya, peradaban Islam berdiri di atas landasan rohani (spiritual), iaitu keimanan kepada Allah, sikap menjadikan prinsip halal dan haram sebagai ukuran bagi seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan, serta usaha untuk mengawal semua aktiviti dan nilai berdasarkan perintah dan larangan Allah SWT.
Lebih daripada itu, peradaban Barat menganggap kebahagiaan identik dengan memberikan kenikmatan jasmaniah yang sebesar-besarnya kepada manusia serta segala sarana untuk memperolehnya. Sebaliknya, peradaban Islam menganggap kebahagiaan sebagai meraih redha Allah SWT.
Atas dasar itulah, umat Islam diharamkan mengambil sistem pemerintahan demokrasi, sistem ekonomi kapitalisme, dan sistem kebebasan individu yang terdapat di negara-negara Barat. Dengan demikian, umat Islam tidak boleh mengambil perlembagaan dan undang-undang demokrasi, sistem pemerintahan monarki dan republik, bank-bank berasaskan riba, serta sistem bursa dan pasaran kewangan antarabangsa.
Umat Islam diharamkan mengambil semua peraturan ini kerana semuanya merupakan peraturan dan undang-undang kufur yang sangat bertentangan dengan hukum dan peraturan Islam.
Sepertimana umat Islam diharamkan mengambil peradaban Barat beserta seluruh idea dan peraturan yang dilahirkannya, mereka juga diharamkan mengambil peradaban (budaya) komunisme. Hal ini kerana peradaban ini secara keseluruhannya juga bertentangan dengan peradaban Islam.
Peradaban komunisme berdiri atas akidah yang menyatakan bahawa tidak ada pencipta alam semesta ini, bahawa material adalah asal segala benda, dan bahawa seluruh benda di alam semesta ini berasal daripada material yang wujud melalui proses evolusi.
Sebaliknya, peradaban Islam berdiri di atas prinsip bahawa Allahlah Pencipta alam semesta. Segala sesuatu yang ada di alam semesta merupakan makhluk-Nya. Allah telah mengutus para nabi dan rasul dengan membawa agama-Nya kepada umat manusia. Allah mewajibkan manusia untuk mengikuti perintah dan larangan-Nya yang telah diturunkan kepada mereka.
Peradaban komunisme pula menganggap bahawa peraturan hanya diambil daripada alat-alat pengeluaran. Masyarakat feudal yang menggunakan kapak sebagai alat pengeluaran akan mengambil peraturan feudalisme yang diilhamkan daripada faktor alat-alat tersebut. Jika masyarakat tersebut berkembang menjadi masyarakat kapitalis dan menggunakan mesin sebagai alat pengeluaran, mereka akan mengambil peraturan kapitalisme berdasarkan faktor mesin. Kesimpulannya, peraturan komunisme diambil daripada evolusi material.
Sebaliknya, peradaban Islam menganggap bahawa Allah SWT telah menetapkan suatu peraturan untuk manusia dilaksanakan dalam kehidupan mereka. Allah SWT juga telah mengutus Nabi Muhammad SAW untuk membawa peraturan ini, sementara baginda telah menyampaikan peraturan tersebut kepada manusia dan mewajibkan mereka untuk melaksanakannya.
Peradaban komunisme pula memandang bahawa peraturan yang bersumber daripada faktor material adalah ukuran dalam kehidupan. Dengan berkembangnya material, maka berkembanglah juga ukuran manusia dalam kehidupan. Sebaliknya, peradaban Islam menjadikan halal dan haram, iaitu perintah dan larangan Allah, sebagai standard ukuran bagi perbuatan manusia dalam kehidupan. Perbuatan yang halal dilakukan, manakala yang haram ditinggalkan.
Hukum-hukum Islam tidak akan berevolusi atau berubah. Prinsip halal dan haram ini juga tidak ditetapkan berdasarkan asas manfaat atau materialisme, sebaliknya ditetapkan berdasarkan syariat semata-mata. Daripada sini, jelas bahawa terdapat perbezaan yang sangat ketara antara peradaban komunisme dan peradaban Islam.
Dengan demikian, umat Islam diharamkan untuk mengambil peradaban komunisme beserta segala idea dan peraturan yang berasal daripadanya. Oleh itu, umat Islam diharamkan mengambil idea evolusi material, penghapusan pemilikan individu, penghapusan pemilikan kilang dan alat pengeluaran, serta penghapusan pemilikan tanah oleh individu. Mereka juga diharamkan mengambil idea mempertuhankan manusia, penyembahan manusia, dan seluruh idea atau peraturan daripada peradaban ateistik ini. Hal ini kerana semuanya merupakan idea dan peraturan kufur yang bertentangan dengan akidah Islam serta idea dan hukum Islam.
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Demokrasi Sistem Kufur.
(Bersambung ke Bahagian 11/16.)
#Demokrasi #DemokrasiSistemKufur #Sekularisme #Politik

