Site icon MuslimahHTM News

Umayyah binti Qais, Gadis Remaja yang Turut Berjihad di Jalan Allah SWT

Umayyah binti Qais, Gadis Remaja yang Turut Berjihad di Jalan Allah SWT

 

Antara kisah yang telah dicatat oleh sejarah untuk kita ialah kisah para wanita yang menggalas cita-cita Islam. Mereka berusaha bersungguh-sungguh berkhidmat kepada Islam melalui pelbagai cara yang mampu mereka lakukan. Salah seorang daripada mereka ialah Umayyah binti Qais bin Abi Ash-Shalt al-Ghifariyyah.

 

Kisah Umayyah binti Qais dalam Perang Khaibar diriwayatkan oleh al-Waqidi dalam kitab Al-Maghazi. Umayyah binti Qais datang menemui Rasulullah SAW bersama beberapa orang wanita daripada Bani Ghifar. Mereka berkata:

 

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami ingin pergi bersama engkau dalam peperangan yang sedang engkau hadapi ini. Kami akan merawat para tentera yang cedera serta membantu kaum Muslimin dengan apa sahaja yang termampu oleh kami.”

 

Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Pergilah dengan keberkatan daripada Allah.”

 

Maka mereka pun berangkat bersama Rasulullah SAW.

 

Umayyah binti Qais ketika itu merupakan seorang gadis yang masih remaja. Rasulullah SAW memboncengkannya di atas kantung yang berisi barang-barang baginda. Apabila tiba waktu Subuh, baginda menjalankan untanya. Ketika itu Umayyah binti Qais berada di atas kantung tersebut dan darah haidnya terkena padanya. Itulah haid pertama yang dialaminya. Umayyah binti Qais lalu bersembunyi di sebalik unta kerana berasa malu.

 

Apabila Rasulullah SAW melihat keadaannya dan darah tersebut, baginda bersabda:

“Nampaknya kamu telah didatangi haid.”

 

Umayyah binti Qais menjawab:

“Ya.”

 

Baginda SAW lalu bersabda lagi:

“Jika begitu, bersihkanlah dirimu. Ambillah satu bekas air, kemudian campurkan garam ke dalamnya dan basuhlah darah yang terkena pada kantung ini. Kemudian biasakanlah melakukan perkara itu.”

 

Lalu Umayyah binti Qais melaksanakan perintah Rasulullah SAW tersebut.

 

Setelah Rasulullah SAW berjaya menakluki Khaibar, baginda memberikan harta fai’ (harta rampasan perang) kepada mereka. Namun, baginda tidak membahagikannya mengikut pembahagian biasa. Sebaliknya, baginda mengambil seutas kalung lalu menyematkannya sendiri pada leher Umayyah binti Qais. Umayyah binti Qais berazam demi Allah bahawa dia tidak akan menanggalkan kalung tersebut selama-lamanya.

 

Kalung itu terus berada di lehernya sehingga beliau meninggal dunia. Beliau juga berwasiat agar kalung tersebut dikebumikan bersama jasadnya. Selain itu, beliau tidak pernah bersuci daripada haid melainkan dengan mencampurkan garam ke dalam air yang digunakan untuk bersuci. Bahkan beliau turut berwasiat agar air yang digunakan untuk memandikan jenazahnya dicampurkan dengan garam.

 

Demikianlah kisah seorang sahabiah muda yang turut berjihad bersama Rasulullah SAW. Daripada kisah ini, terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil.

 

Pertama, jihad untuk menentang musuh-musuh Allah tidak memandang status sosial, jantina mahupun usia. Walaupun Umayyah binti Qais hanyalah seorang gadis yang baru mencapai usia baligh, beliau mampu memberikan sumbangan besar dengan membantu merawat tentera yang cedera di medan peperangan. Begitu juga generasi muda hari ini, mereka hendaklah menyumbang dalam perjuangan menegakkan Islam secara menyeluruh (kaffah) mengikut potensi dan kemampuan terbaik yang dimiliki.

 

Kedua, kegigihan Umayyah binti Qais dalam melaksanakan setiap perintah Rasulullah SAW. Baginda telah memerintahkannya supaya mencampurkan garam ke dalam air yang digunakan untuk bersuci. Beliau terus melaksanakan amalan tersebut sehingga akhir hayatnya. Malah, beliau turut berwasiat agar air yang digunakan untuk memandikan jenazahnya dicampurkan dengan garam. Semua itu dilakukan semata-mata kerana ketaatan kepada perintah Rasulullah SAW.

 

Ketiga, Umayyah binti Qais sentiasa mengharapkan keberkatan daripada Rasulullah SAW. Oleh sebab itu, beliau tidak pernah menanggalkan kalung yang disematkan sendiri oleh Rasulullah SAW pada lehernya.

 

Keempat, wujudnya azam yang kuat dalam diri seorang gadis remaja untuk berjihad di jalan Allah SWT. Perkara ini tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh pelaksanaan Islam secara menyeluruh pada ketika itu. Oleh itu, pelaksanaan Islam secara kaffah dilihat sebagai suatu keperluan untuk melahirkan generasi pejuang Islam seperti para sahabiah, dan merupakan suatu kewajipan yang perlu diperjuangkan.

 

 

Sumber: MuslimahNews

 

 

#Sahabiyah #SerikandiTeladan #Mujahidah #RemajaTeladan #MuslimYouth

Exit mobile version