Site icon MuslimahHTM News

[NF153] ANAK DI ERA DIGITAL: ANTARA PENYEJUK MATA, UJIAN DAN AMANAH

[NF153] ANAK DI ERA DIGITAL: ANTARA PENYEJUK MATA, UJIAN DAN AMANAH

 

Oleh: Hidayah Muhammad

 

Muqaddimah

 

Mengapa ada anak yang sukar mendengar nasihat ibu bapa? Mengapa ada yang sanggup meninggikan suara, melawan cakap ibu bapa, malah ada yang memilih untuk lari dari rumah demi mengejar kebebasan yang mereka impikan? Persoalan ini semakin menghantui ramai ibu bapa pada hari ini. Ada yang berkongsi kisah dan rungutan tentang perubahan sikap anak-anak yang semakin hilang rasa hormat terhadap ibu bapa, sukar menerima teguran dan terlalu mengutamakan kehendak diri. Dalam keadaan ini, tugas mendidik anak-anak menjadi semakin mencabar.

 

Cabaran Mendidik Anak

 

Arus modenisasi dan perkembangan teknologi digital telah membawa perubahan besar kepada kehidupan generasi muda. Ibu bapa bukan sahaja berusaha membentuk anak-anak di dalam rumah, tetapi terpaksa berhadapan dengan pelbagai pengaruh luar yang turut membentuk pemikiran dan tingkah laku mereka.

 

Pemikiran dan tingkah laku mereka banyak dipengaruhi oleh dunia digital yang sentiasa berada di hujung jari. Mereka hidup dalam dunia yang mempromosikan kebebasan tanpa batas, hiburan tanpa henti dan gaya hidup yang sering kali bertentangan dengan nilai Islam.

 

Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan ini ialah pengaruh media sosial. Terdapat budaya perbandingan yang kuat dalam kalangan generasi muda. Apabila mereka melihat gaya hidup yang bebas, mewah dan popular, individu-individu tersebut sering dijadikan contoh dan ikutan.

 

Selain media sosial, anak-anak juga dipengaruhi oleh budaya hidup yang berkembang dalam masyarakat hari ini. Mereka didedahkan kepada fahaman yang mengutamakan kebebasan individu, mengejar keseronokan dan menjadikan kejayaan material sebagai ukuran kebahagiaan. Akibatnya, sebahagian generasi muda mula melihat hukum syarak sebagai sesuatu yang menyekat kebebasan mereka. Jika keadaan ini tidak ditangani dengan baik, ia boleh menghakis jati diri Islam dalam diri anak-anak sedikit demi sedikit.

 

Anak dalam al-Quran

 

Dalam al-Quran, Allah SWT menyifatkan anak-anak dalam tiga keadaan. Pertama, anak sebagai qurrata a’yun (penyejuk mata). Setiap ibu bapa pasti menginginkan anak-anak yang menjadi penyejuk hati, anak yang soleh dan solehah, berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya serta berakhlak mulia. Inilah antara doa yang sering dipanjatkan oleh setiap ibu bapa:

 

“Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan-pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” [TMQ al-Furqan (25): 74]

 

Kedua, anak sebagai ujian. Kadangkala anak-anak menjadi ujian kepada ibu bapa melalui tanggungjawab besar yang perlu dipikul dalam membesarkan dan mendidik mereka. Sejak anak dilahirkan sehingga dewasa, ibu bapa memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan pengorbanan yang berterusan.  Firman Allah SWT,

 

“Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu, dan di sisi Allah pahala yang besar.” [TMQ at-Taghabun (64): 15]

 

Ketiga, anak sebagai musuh. Allah SWT memberikan peringatan melalui firmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka.” [TMQ at-Taghabun (64): 14]

 

Apabila anak menjadi musuh, bukanlah bermaksud ibu bapa perlu membenci mereka. Sebaliknya, anak-anak boleh menjadi sebab seseorang terlalai daripada ketaatan kepada Allah SWT atau terdorong untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan syariatNya.

 

Oleh itu, sama ada anak menjadi penyejuk mata, ujian atau musuh, semuanya bergantung kepada sejauh mana ibu bapa berusaha mendidik mereka dengan Islam serta sejauh mana persekitaran membantu proses pendidikan tersebut.

 

Strategi Mendidik Generasi Moden

 

Dalam mendidik anak-anak, ibu bapa perlu memahami bahawa zaman dan suasana telah berubah. Maka, ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan strategi yang sesuai agar anak-anak dapat dibimbing menurut tuntutan Islam.

 

Pertama, ibu bapa perlu mempelajari ilmu keibubapaan (parenting). Ia bukan sekadar pilihan tetapi suatu keperluan agar ibu bapa dapat memahami karakter dan keperluan anak-anak mengikut peringkat usia mereka. Dalam masa yang sama, ilmu yang dipelajari hendaklah tidak bercanggah dengan hukum syarak.

 

Kedua, ibu bapa perlu membina syakhsiyah Islamiyah anak-anak melalui pembentukan aqliyah (pola fikir) dan nafsiyah (pola sikap). Anak-anak perlu diperkukuhkan dengan akidah Islam, dididik memahami konsep halal dan haram serta dibiasakan untuk sentiasa terikat dengan hukum syarak dalam setiap aspek kehidupan.

 

Ketiga, pembinaan emosi dan jiwa anak tidak boleh dipandang remeh. Keadaan emosi yang sihat memainkan peranan penting dalam pembentukan keperibadian mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu memahami jiwa anak-anak dan mengelakkan tindakan yang boleh meninggalkan luka emosi yang berpanjangan.

 

Selain itu, hubungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak perlu diperkukuhkan. Anak-anak memerlukan sentuhan kasih sayang seperti pelukan dan ciuman, serta perhatian yang membuatkan mereka berasa dihargai. Dengarlah luahan mereka, fahami perasaan mereka dan bina komunikasi dua hala yang sihat agar mereka berasa selesa untuk berkongsi masalah dan cabaran yang dihadapi.

 

Keempat, ibu bapa perlu bersikap tegas apabila anak-anak melakukan kesalahan. Kasih sayang tidak bererti membiarkan mereka melakukan apa-apa sahaja yang diinginkan. Sebaliknya, anak-anak perlu dibimbing dengan nasihat, teguran dan disiplin yang sesuai agar mereka memahami batasan yang ditetapkan oleh Islam serta membesar sebagai individu yang berakhlak dan bertanggungjawab.

 

Sebagai seorang anak, mereka wajib menghormati kedua ibu bapa. Konsep birrul walidain merupakan hak yang Allah SWT berikan kepada ibu bapa untuk ditaati, dihormati dan dikasihi. Allah SWT memerintahkan supaya janganlah seseorang mengatakan walaupun perkataan ‘ah’ kepada ibu bapanya, apatah lagi membentak atau menyakiti hati mereka. Anak-anak perlu diajar menghormati ibu bapa sejak kecil, manakala ibu bapa pula perlu menunjukkan teladan yang baik kerana mereka banyak belajar melalui contoh yang mereka lihat dalam kehidupan seharian.

 

Cabaran Ibu Bapa Tidak Terhenti Dalam Rumah

 

Walaupun ibu bapa berusaha mendidik anak-anak dengan sebaik mungkin di dalam rumah, tetapi hakikatnya mereka membesar dalam persekitaran yang dipenuhi dengan pelbagai pengaruh daripada media sosial, hiburan, sistem pendidikan dan budaya masyarakat yang tidak semuanya selari dengan nilai Islam.

 

Apa yang diajar oleh ibu bapa di rumah kadangkala bercanggah dengan apa yang dilihat dan dipelajari oleh anak-anak di luar rumah. Ibu bapa mengajar tentang batas pergaulan, namun anak-anak disajikan dengan budaya yang mengagungkan kebebasan. Ibu bapa mengajar tentang ketaatan kepada Allah SWT, namun mereka berhadapan dengan pelbagai fahaman yang mengajak manusia menjadikan kehendak diri sebagai ukuran utama dalam kehidupan.

 

Oleh sebab itu, usaha membina generasi soleh tidak boleh dipikul oleh institusi keluarga semata-mata. Keluarga memerlukan sokongan daripada masyarakat yang baik, media yang mendidik dan yang paling utama sistem pemerintahan yang membantu memelihara akidah, akhlak dan pemikiran generasi muda. Tanpa sokongan tersebut, ibu bapa akan sentiasa berada dalam keadaan ‘melawan arus’ ketika mendidik anak-anak mereka.

 

Khatimah

 

Cabaran yang besar tidak boleh dijadikan alasan untuk berputus asa atau mengabaikan tanggungjawab. Tugas mendidik anak bukan sekadar memastikan mereka berjaya dalam pelajaran atau kerjaya, tetapi memastikan mereka membesar sebagai hamba Allah yang taat dan bertakwa. Dengan itu, tugas mendidik anak-anak tidak lagi menjadi perjuangan yang dipikul secara bersendirian oleh ibu bapa, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat dan negara.

 

Ya Allah, sesungguhnya mendidik anak-anak pada zaman ini bukanlah perkara yang mudah. Bantulah kami dalam mendidik dan membesarkan amanah yang Engkau kurniakan kepada kami. Lindungilah anak-anak kami daripada segala pengaruh yang boleh memesongkan hati mereka daripada jalan-Mu dan jadikanlah mereka generasi yang beriman, berilmu dan bertakwa.

 

Rujukan

 

  1. https://muslimahtm.com/2025/07/16/20-amalan-birrul-walidain-berbakti-kepada-ibu-bapa/?amp=1
  2. The Guidance For Parents (Materi Dasar Islam Untuk Anak Sholih-Sholihah) Jilid 1, Fathiy Syamsuddin Ramadhan An-Nawiy, Rairakana Publishing
  3. Nota untuk anakku, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Pustaka Cahaya Kasturi
  4. https://muslimahtm.com/2025/07/23/menjaga-dan-mendidik-anak/
  5. https://youtube.be/QJ9kmfOUVsU

 

#IslamicParenting #DigitalParenting

Exit mobile version