Site icon MuslimahHTM News

Hijrah: Momentum untuk Membangun Kembali Peradaban Islam

Hijrah: Momentum untuk Membangun Kembali Peradaban Islam

 

ALHAMDULILLAH, ketika ini kita sudah berada di awal Tahun Baru 1448 Hijrah. Setiap kali memasuki Tahun Baru Hijrah, kaum Muslim selalu mengenang peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah. Peristiwa ini bukan sekadar perpindahan tempat dari Mekah ke Madinah. Hijrah adalah titik perubahan sejarah umat manusia; sebuah perubahan yang bukan hanya bersifat peribadi, tetapi juga sosial, bahkan sistemik.

 

Oleh sebab itulah Khalifah Umar bin al-Khattab RA menjadikan Hijrah Rasulullah SAW sebagai tonggak Kalender Islam. Ketika menetapkan tanggal Tahun Islam itu, Khalifah Umar bin al-Khattab RA beralasan:

 

الْهِجْرَةُ فَرَّقَتْ بَيْنَ الْحَقِّ وَالْبَاطِلِ، فَأَرِّخُوا بِهَا

Hijrah telah memisahkan antara yang haq dan yang batil. Oleh itu jadikanlah hijrah sebagai tarikh permulaan kalendar. (Ibnu Hajar, Fath al-Baari, 7/268).

 

Sebelum hijrah, kaum Muslim memang telah memiliki akidah yang kuat. Mereka telah mengenal halal-haram. Mereka juga memiliki keperibadian Islam yang kuat. Akan tetapi, mereka belum memiliki kekuatan politik yang melindungi agama dan umat. Mereka masih menjadi kelompok kecil yang tertindas di Mekah.

 

Akan tetapi, setelah hijrah, semuanya berubah. Islam tidak lagi hanya menjadi keyakinan rohani. Islam tampil sebagai sistem yang mengatur seluruh aspek kehidupan. Umat Islam juga bangkit menjadi umat yang disegani. Di Madinahlah lahirnya masyarakat baru, negara baru dan peradaban baru yang kelak menjadi kuasa besar dunia selama berabad-abad.

 

Makna Hijrah Syarie

 

Secara bahasa hijrah bermaksud meninggalkan sesuatu menuju sesuatu yang lain. Adapun secara syarie, dalam makna yang umum, hijrah mengarah pada sabda Rasulullah SAW:

 

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

“Orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa saja yang telah Allah larang.” (HR. al-Bukhari)

 

Adapun secara khusus, para ulama menjelaskan bahawa hijrah adalah meninggalkan negeri yang didominasi oleh kekufuran menuju ke negeri yang memungkinkan Islam ditegakkan. Kerana itu dalam Kitab Syarh Umdah al-Ahkaam (1/10) dinyatakan:

 

الهِجْرَةُ هِيَ: الاِنْتِقَالُ مِنْ بَلَدِ الْكُفْرِ إِلَى دَارِ اْلإِسْلاَمِ

Hijrah adalah perpindahan dari negeri kufur menuju Negara Islam.

 

Definisi senada dinyatakan oleh Ibnu al-‘Arabi:

الهِجْرَةُ هِيَ الخُرُوْجُ مِنْ دَارِ الْحَرْبِ إِلَى دَارِ اْلإِسْلاَمِ

Hijrah adalah keluar dari negara perang (negara kufur) menuju Negara Islam (Ibnu Hajar, Fath al-Baari, 6/39).

 

Definisi ini tentu diambil daripada fakta Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah (yang ketika itu merupakan negeri kufur) menuju Madinah (yang kemudian menjadi Negara Islam).

 

Perubahan Pasca Hijrah

 

Pasca Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, setidaknya ada empat perubahan yang terlihat berbanding ketika baginda di Mekah.

 

PertamaPembentukan ukhuwah Islamiyah. Madinah sebelum ini dihuni oleh dua suku besar, Aus dan Khazraj, kedua-dua pihak ini telah berperang selama puluhan tahun. Permusuhan di antara kedua pihak telah mengakar sangat dalam dan hampir mustahil untuk dipersatukan.

Akan tetapi, Islam melakukan sesuatu yang tidak mampu dilakukan ideologi mana pun.

 

Rasulullah SAW mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Ikatan akidah mengalahkan ikatan suku, kaum dan kabilah. Allah SWT berfirman:

 

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

“Sesungguhnya kaum Mukmin itu bersaudara.” [TMQ al-Hujurat (49): 10]

 

Dari ukhuwah inilah lahir kekuatan sosial yang luar biasa. Kaum Muhajirin yang datang tanpa harta dibantu oleh kaum Ansar dengan penuh keikhlasan. Persatuan itu menjadi asas kukuh bagi kebangkitan umat.

 

KeduaPembentukan kekuatan ekonomi umat. Sebelum Islam berkuasa di Madinah, perekonomian kota itu dikuasai oleh kaum Yahudi. Mereka mengawal pasar, perdagangan dan mengamalkan riba. Sebagai ketua Negara Madinah, Rasulullah SAW tidak berdiam diri.

 

Baginda membina pasar baru yang bebas daripada monopoli dan cukai zalim. Baginda menghapuskan riba, melarang penimbunan dan menggalakkan perdagangan yang jujur. Baginda membahagikan zakat kepada mereka yang berhak. Baginda juga membahagikan ghaniimah secara adil. Dengan begitu, kekayaan tidak hanya beredar di kalangan orang kaya saja. Allah SWT berfirman:

 

كَىْ لَا يَكُونَ دُولَةًۢ بَيْنَ الْأَغْنِيَآءِ مِنكُمْ

“Agar harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kalian. [TMQ al-Hasyr (59): 7]

 

Hasilnya luar biasa. Hegemoni ekonomi Yahudi berjaya dipatahkan. Madinah berkembang menjadi pusat ekonomi yang kuat dan mandiri.

 

KetigaPenerapan syariah Islam secara nyata. Setelah hijrah, hukum-hukum Islam diterapkan secara menyeluruh. Bukan hanya pada aspek ibadah ritual. Syariah Islam juga secara nyata digunakan untuk mengatur keluarga, pendidikan, perdagangan, perundangan, pemerintahan, jenayah sehingga hubungan antarabangsa. Allah SWT berfirman:

 

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

“Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) daripada hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).” [TMQ al-Jaathiyah (45): 18]

 

Dengan penerapan syariah Islam secara kaffah, keamanan terjaga, keadilan ditegakkan dan kesejahteraan dapat dirasakan oleh seluruh masyarakat.

 

KeempatPembentukan kekuatan tentera yang disegani. Kaum Muslim yang dahulu ditindas berubah menjadi kekuatan besar. Mereka memenangkan Perang Badar, menghadapi Perang Uhud, bertahan dalam Perang Khandaq hingga akhirnya menaklukkan kota Mekah.

 

Setelah Rasulullah SAW wafat, kekuatan itu terus berkembang dan semakin membesar. Dalam waktu kurang daripada satu abad, kekuasaan Islam (Khilafah Islam) telah menjangkau Parsi, Syria, Mesir, Afrika Utara hingga Andalusia. Dua kuasa besar dunia ketika itu, Rom dan Parsi, akhirnya tunduk di hadapan kekuatan Islam.

 

KelimaPenyebaran Islam secara besar-besaran ke seluruh penjuru dunia. Hijrah menjadikan Madinah sebagai pusat dakwah dunia. Dari kota itu Rasulullah SAW—sebagai ketua Negara Islam—mengirim surat kepada para raja dan penguasa dunia. Islam tidak hanya menjadi agama suatu bangsa, tetapi menjadi risalah universal bagi seluruh umat manusia. Allah SWT berfirman:

 

وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا كَآفَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).” [TMQ Saba’ (34): 28]

 

Pentingnya Hijrah Hari Ini

 

Kini mari kita bandingkan dengan keadaan umat Islam hari ini. Jumlah umat Islam lebih daripada dua billion jiwa. Akan tetapi, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, mereka laksana buih di lautan: banyak, tetapi tidak mempunyai pengaruh yang sebanding dengan jumlahnya. Sebahagian mereka bahkan ditindas selama puluhan tahun, seperti Muslim Palestin.

 

Kaum Muslim di pelbagai negeri masih bergantung pada kekuatan lain dalam bidang ekonomi, teknologi, keselamatan bahkan keperluan makanan. Umat Islam juga tercerai-berai menjadi puluhan negara bangsa yang sering tidak saling peduli. Apabila satu negeri Muslim ditimpa musibah, negeri Muslim yang lain hanya mampu menzahirkan keprihatinan.

 

Lebih daripada itu, banyak negeri Muslim justeru menerapkan sistem kehidupan yang berasal luar daripada Islam, terutamanya sistem Kapitalisme-sekular. Kapitalisme dianggap sebagai sistem ekonomi terbaik. Sekularisme dipandang sebagai dasar kehidupan moden. Demokrasi dijadikan sumber mengesahkan undang-undang. Ironinya, semua itu sering dibanggakan. Seolah-olah Islam tidak memiliki sistem kehidupan yang mengatur aspek ekonomi, politik, pemerintahan, sosial, pendidikan, hukum dan sebagainya. Sedangkan Allah SWT telah mengingatkan:

 

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.” [TMQ al-Maidah (5): 50]

 

Semua keadaan di atas sama dengan keadaan zaman jahiliah dahulu.

 

Kerana itu hijrah bukan hanya relevan untuk saat ini, tetapi juga penting (mendesak). Apatah lagi pengajaran terbesar daripada hijrah adalah bahawa umat tidak akan bangkit hanya dengan nostalgia sejarah. Umat hanya akan bangkit dengan cara membangun kembali kehidupan Islam. Umat perlu kembali bersatu dalam ikatan akidah, bukan dipisahkan oleh nasionalisme sempit sebagaimana ketika ini. Umat perlu kembali menerapkan syariah Islam secara menyeluruh. Umat juga mesti kembali berada di bawah kepimpinan global (Khilafah Islam). Khilafah inilah—sebagaimana dulu selama berabad-abad—yang bakal mampu melindungi Islam serta kaum Muslim sedunia dan menjaga kehormatan mereka. Khilafah juga yang bakal sanggup mengendalikan kekayaan alam untuk kesejahteraan rakyat.

 

Khilafahlah yang bakal benar-benar mampu menyebarkan dakwah Islam ke seluruh dunia.

 

Inilah cita-cita besar yang dahulu pernah diwujudkan Rasulullah SAW melalui hijrah. Inilah juga cita-cita yang mesti diperjuangkan kembali oleh umat hari ini. Apatah lagi dunia kini sedang mengalami krisis besar. Komunisme terbukti telah gagal, runtuh dan bangkrap. Kapitalisme juga sedang menghadapi krisis demi krisis: jurang ekonomi yang semakin tajam, kerosakan persekitaran, kehancuran moral, konflik geopolitik dan hilangnya makna hidup manusia.

 

Oleh sebab itu umat manusia ketika ini memerlukan ideologi yang benar.  Ideologi yang mampu memadukan rohani dan material, urusan duniawi dan ukhrawi, keadilan dan kemajuan, kebebasan dan tanggungjawab. Itulah Islam. Islamlah satu-satunya harapan itu. Hijrah Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa ketika Islam diterapkan secara nyata, ia mampu melahirkan peradaban agung yang mengubah dunia.

 

Oleh itu marilah kita menjadikan momentum hijrah bukan sekadar perayaan tahunan. Marilah kita berhijrah daripada kemaksiatan menuju ketaatan, daripada kelemahan menuju kekuatan, daripada perpecahan menuju persatuan, daripada sistem jahiliah menuju sistem Islam. Hanya dengan itulah umat ini akan kembali menjadi umat terbaik yang mendatangkan rahmat bagi seluruh umat manusia.

 

WalLâhu a’lam bish-shawâb. 

 

—*—

 

Hikmah:

 

Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum hingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” [TMQ ar-Ra’d (13): 11]

 

—*—

Sumber: Buletin Dakwah Kaffah Edisi 448

 

#hijrah #muhasabahhijrah #TegakKhilafah #TerapIslamKaffah

Exit mobile version