Site icon MuslimahHTM News

JIKA KITA MENUNGGU KESEMPURNAAN, SIAPA YANG AKAN MENEGUR PEMERINTAH?

JIKA KITA MENUNGGU KESEMPURNAAN, SIAPA YANG AKAN MENEGUR PEMERINTAH?

 

Penulis : Joko Prasetyo

 

Saya bimbang bahawa sebahagian nasihat yang kelihatan bijaksana sebenarnya, tanpa disedari, boleh melemahkan salah satu kewajipan penting dalam Islam, iaitu amar makruf nahi mungkar terhadap pemerintah. Bukan kerana nasihat itu mengajak kepada keburukan, tetapi kerana logik yang dibinanya berpotensi mengalihkan perhatian umat daripada kewajipan menegur dan memperbetulkan pemerintah kepada kesibukan menilai kekurangan peribadi orang yang mengkritik.

 

Salah satu contohnya ialah nasihat yang kebelakangan ini tersebar seperti berikut:

 

Sebelum anda mengulas atau mengkritik dasar pemerintah yang mentadbir hampir 280 juta penduduk, sebaiknya lihat dahulu bagaimana kemampuan anda mengurus keluarga di rumah sebagai pemimpin rumah tangga. Adakah anda didengari oleh mereka? Adakah anda mampu mengurus isteri dan anak-anak yang bilangannya boleh dihitung dengan jari? Adakah anda sendiri sudah melaksanakan perintah Allah dan RasulNya? Adakah keluarga anda mentaati anda sebagai ketua keluarga? Adakah anda mampu memenuhi segala keperluan dan permintaan mereka? Jawablah sendiri….”

 

Bagi sesetengah orang, nasihat seperti ini mungkin dianggap sebagai satu ajakan untuk bermuhasabah. Muhasabah diri sememangnya suatu perkara yang baik. Namun, masalahnya ialah susunan hujah tersebut sebenarnya membina hubungan logik antara kemampuan mengurus keluarga dengan kelayakan untuk mengulas atau mengkritik pemerintah.

 

Perhatikan alur hujahnya. Apabila seseorang ingin mengkritik pemerintah, dia terlebih dahulu dihadapkan dengan persoalan: adakah isterinya sudah taat, adakah anak-anaknya sudah patuh, adakah rumah tangganya sudah selaras dengan syariat, dan sebagainya. Oleh itu, sangat munasabah jika pembaca menangkap mesej bahawa: jika keluarga sendiri masih belum terurus dengan baik, jangan sibuk mengulas atau mengkritik pemerintah.

 

Mungkin penulis status tersebut tidak bermaksud demikian. Namun, yang menjadi persoalan bukan sekadar niatnya, tetapi juga implikasi logik daripada hujah yang dikemukakannya. Jika kemampuan mengurus keluarga sememangnya tidak dijadikan ukuran sama ada seseorang boleh atau tidak mengulas atau mengkritik pemerintah, maka mengapa isu rumah tangga dibangkitkan ketika membincangkan kritikan terhadap pemerintah?

 

Akibatnya, perbahasan beralih daripada isu pokok kepada soal peribadi. Sepatutnya yang dinilai ialah sama ada dasar dan tindakan pemerintah itu selaras dengan syariat atau tidak. Namun yang akhirnya dihakimi ialah pengkritiknya: bagaimana keluarganya, bagaimana isterinya, dan bagaimana kehidupan peribadinya. Dasar pemerintah terlepas daripada perbahasan, sedangkan pengkritiknya pula yang menjadi tertuduh.

 

Muhasabah Diri Tidak Menggugurkan Kewajipan Muhasabah Terhadap Pemerintah

Sudah tentu ada yang akan menjawab, “Nasihat tersebut tidak bertujuan untuk membungkam kritikan terhadap pemerintah. Tujuannya hanyalah untuk mengingatkan tentang pentingnya memperbaiki diri dan keluarga sebelum terlalu sibuk menilai orang lain.”

 

Pada pandangan pertama, penjelasan ini kedengaran munasabah. Memang benar bahawa Islam memerintahkan setiap Muslim untuk menjaga diri dan keluarganya daripada api neraka. Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka…” [TMQ At-Tahrim (66): 6]

Tiada siapa yang menafikan kewajipan ini. Namun, pada bahagian manakah dalam ayat tersebut dinyatakan bahawa seseorang hanya dibenarkan melakukan amar makruf nahi mungkar setelah urusan keluarganya selesai dan teratur?

 

Pada bahagian manakah ayat tersebut menggugurkan kewajipan menegur atau membetulkan pemerintah hanya kerana isteri atau anak-anak seseorang belum sepenuhnya taat? Tiada sama sekali.

 

Ayat tersebut memerintahkan satu kewajipan. Sementara amar makruf nahi mungkar merupakan satu lagi kewajipan yang berbeza. Kedua-duanya berjalan secara serentak, bukan saling menunggu antara satu sama lain.

 

Keluarga dan Amar Makruf Nahi Mungkar Bukan Kewajipan yang Saling Menunggu

 

Jika logik dalam status tadi diterapkan secara konsisten, seseorang juga boleh berkata:

– “Jika isteri dan anak-anak belum sepenuhnya taat, jangan berdakwah dahulu.”

– “Jika rumah tangga belum sempurna, jangan menuntut ilmu dahulu.”

– “Jika keluarga belum seperti yang diharapkan, jangan menegur kemungkaran dahulu.”

 

Sudah tentu tiada dalil yang mengajarkan perkara sedemikian. Islam tidak pernah menjadikan satu kewajipan sebagai alasan untuk meninggalkan kewajipan yang lain.

 

Seorang Muslim tetap wajib menunaikan solat walaupun zakatnya masih belum sempurna. Tetap wajib berdakwah walaupun masih mempunyai kekurangan dalam diri. Tetap wajib menuntut ilmu walaupun keluarganya belum ideal. Begitu juga, dia tetap wajib melaksanakan amar makruf nahi mungkar walaupun dirinya masih terus berusaha memperbaiki diri dan keluarganya.

 

Jika semua kewajipan perlu menunggu kesempurnaan pelakunya, maka hampir tiada satu pun kewajipan yang akan dilaksanakan oleh manusia.

 

𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗻𝗶𝗹𝗮𝗶 𝗮𝗱𝗮𝗹𝗮𝗵 𝗞𝗲𝗯𝗲𝗻𝗮𝗿𝗮𝗻, 𝗕𝘂𝗸𝗮𝗻 𝗢𝗿𝗮𝗻𝗴𝗻𝘆𝗮

 

Masalah seterusnya, status tersebut mengalihkan ukuran penilaian daripada dalil kepada kemampuan atau kapasiti seseorang. Perkara yang sepatutnya dibincangkan ialah: “Adakah dasar dan tindakan pemerintah itu selaras dengan syariat atau tidak?”

 

Namun, perkara yang dipersoalkan pula ialah:

– “Siapa yang mengkritik?”

– “Sudahkah keluarganya terurus?”

– “Sudahkah isterinya taat?”

 

Padahal dalam Islam, kebenaran tidak diukur berdasarkan status, jawatan, atau tahap kesempurnaan orang yang menyampaikannya. Ali bin Abi Talib RA berkata: “Kenalilah kebenaran, nescaya engkau akan mengenali orang-orang yang memperjuangkannya.”

 

Oleh kerana itu, perkara yang pertama kali dinilai ialah isi kandungan kritikannya, bukan latar belakang atau biodata orang yang mengkritik.

 

Islam Memuliakan Orang Yang Menegur Pemerintah

 

Rasulullah SAW bersabda: “Jihad yang paling utama ialah menyampaikan perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim” [HR Abu Dawud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah]. Dalam hadis lain, baginda SAW bersabda:

 

Penghulu para syuhada ialah Hamzah dan seseorang yang berdiri di hadapan pemerintah yang zalim, lalu menyerunya kepada perkara yang makruf dan melarangnya daripada perkara yang mungkar, kemudian dia dibunuh” [HR al-Hakim].

 

Perhatikan dengan baik. Rasulullah SAW tidak mensyaratkan seseorang perlu terlebih dahulu berjaya mengurus keluarganya dengan sempurna sebelum menyampaikan kebenaran kepada pemerintah.

 

Baginda SAW juga tidak mensyaratkan seseorang perlu bebas daripada segala kekurangan sebelum melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Apa yang baginda puji ialah keberanian dalam menyampaikan kebenaran.

 

𝗝𝗶𝗸𝗮 𝗠𝗲𝗻𝘂𝗻𝗴𝗴𝘂 𝗦𝗲𝗺𝗽𝘂𝗿𝗻𝗮, 𝗔𝗺𝗮𝗿 𝗠𝗮𝗸𝗿𝘂𝗳 𝗡𝗮𝗵𝗶 𝗠𝘂𝗻𝗴𝗸𝗮𝗿 𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗠𝗮𝘁𝗶

 

Ada pula yang berdalil dengan firman Allah SWT: “Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu kerjakan?” [TMQ As-Saff (61):2]. Padahal ayat ini mencela orang yang tidak mengamalkan apa yang dikatakannya, bukan melarang seseorang daripada menyampaikan kebenaran.

 

Oleh itu, Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim  menjelaskan bahawa orang yang menyeru kepada kebaikan tidak disyaratkan telah sempurna dalam mengamalkan semua perkara yang diserukannya. Dia tetap wajib menyeru kepada kebaikan, dan pada masa yang sama tetap wajib memperbaiki kekurangan dirinya.

 

Dengan kata lain, Islam tidak menuntut kesempurnaan sebelum berdakwah. Islam menuntut ketaatan semampu mungkin dalam melaksanakan seluruh kewajipan secara serentak.

 

Jangan lupa, muhasabah diri itu wajib. Muhasabah terhadap keluarga juga wajib. Namun muhasabah terhadap pemerintah juga wajib. Islam tidak pernah membezakan ketiga-tiganya. Oleh itu, yang benar bukanlah: “Urus keluargamu dahulu, kemudian barulah kritik pemerintah.”

 

Sebaliknya: “Urus keluargamu sesuai dengan syariat, dan tetaplah menegur pemerintah apabila mereka menyimpang daripada syariat.”

 

Ini kerana jika syarat untuk menegur pemerintah ialah kesempurnaan peribadi, maka tidak akan ada seorang pun yang layak menegur pemerintah. Amar makruf nahi mungkar akan mati bukan kerana tiada kemungkaran, tetapi kerana tiada manusia yang sempurna.

 

Dan jika semua orang memilih untuk berdiam diri sehingga dirinya sempurna, persoalan besarnya ialah  ‘Jika menunggu kesempurnaan, siapa yang akan menegur pemerintah’?

 

#MuhasabahPemimpin #TanggungjawabMuslim #Dakwah #Syariat #PerananRakyat

 

Exit mobile version