Site icon MuslimahHTM News

Aturan Islam Tentang Mata Wang

Aturan Islam Tentang Mata Wang

 

Berbeza dengan Sistem Ekonomi Kapitalis yang berasaskan sektor bukan nyata (moneter) yang terbukti menimbulkan kepincangan, Sistem Ekonomi Islam ialah sistem ekonomi nyata, dalam erti kata, jauh daripada kegiatan-kegiatan ekonomi bukan nyata. Dalam hal ini, Islam telah menetapkan beberapa hukum/aturan dalam bidang ekonomi. Antaranya adalah hukum-hukum tentang mata wang.

 

Islam menetapkan mata wang dalam negara Khilafah berbentuk emas dan perak, atau mata wang dengan asas emas dan perak, sama ada dalam bentuk mata wang logam ataupun mata wang kertas yang disokong dengan emas dan perak senilai wang kertas yang dikeluarkan (wang kertas pengganti). Wang kertas tersebut boleh ditukar dengan emas dan perak secara langsung pada bila-bila masa tanpa sebarang pengurangan.

 

Sistem ini akan mewujudkan kestabilan nilai mata wang kerana nilainya bersandar pada nilai intrinsik. Berbeza dengan mata wang fiat yang nilainya hanya dijamin dengan undang-undang, dan seterusnya boleh menyebabkan nilainya tidak stabil dan sangat terdedah kepada spekulasi. Ketidakstabilan nilai mata wang ini memberi kesan buruk kepada ekonomi, seperti yang telah menimpa kepada majoriti mata wang di dunia.

 

Ketidakstabilan mata wang juga sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan negara terjebak dalam krisis seperti yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi apabila ditambah dengan bunga hutang.

 

Akibat lain adalah penurunan nilai kekayaan yang dimiliki oleh masyarakat. Selain itu, sistem mata wang yang stabil akan menjadikan usaha, nilai simpanan, industri dan jenis-jenis usaha lain terus berkembang. Hal ini kerana peningkatan pendapatan masyarakat akan dimanfaatkan bagi kegiatan produktif atau perbelanjaan, sekali gus mendorong berlakunya pertukaran dan menggerakkan roda ekonomi. Nilai mata wang yang stabil akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi kerana wang negara tidak banyak teralir keluar untuk menstabilkan mata wang.

 

Sumber: “Tetralogi Dasar Islam”  – Ustaz Arief B. Iskandar

 

 

#SistemKewanganIslam #EkonomiIslam #Matawang #DinarDirham

 

Exit mobile version