Site icon MuslimahHTM News

Serangan Ukraine Terhadap Rusia Sepanjang Forum Ekonomi

Serangan Ukraine Terhadap Rusia Sepanjang Forum Ekonomi

 

Soalan:

 

Al-Jazeera.net melaporkan pada 10 Jun 2026: “Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mengumumkan pada hari Rabu bahawa negaranya telah menyasarkan kemudahan ketenteraan Rusia yang terletak ratusan kilometer di timur Moscow pada malam sebelumnya dengan menggunakan peluru berpandu buatan Ukraine. Dakwaan itu diakui oleh Rusia, yang mengumumkan bahawa pihaknya telah memintas ratusan dron Ukraine di beberapa bahagian negara itu…”

 

CNN Arabic pula melaporkan pada 6 Jun 2026: “Ukraine melancarkan serangan dron berskala besar ke atas St. Petersburg pada pagi Sabtu, iaitu hari terakhir sebuah forum ekonomi utama yang dihoskan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin, di bandar tersebut. Bandar kedua terbesar di Rusia itu menjadi sasaran ‘serangan berskala besar menggunakan dron ketenteraan’. Serangan Ukraine itu berlaku serentak dengan hari penutupan forum ekonomi utama anjuran Rusia di bandar berkenaan, yang menyerupai Forum Davos.”

 

Apakah dimensi serangan besar-besaran Ukraine ini, yang menjangkau jauh ke dalam wilayah Rusia, malah dilakukan ketika sebuah persidangan sedang berlangsung di St. Petersburg, bandar kedua terbesar di Rusia? Adakah serangan ini mendedahkan suatu realiti baharu di Rusia, iaitu transformasi daripada sebuah kuasa besar suatu ketika dahulu kepada sebuah kuasa sederhana dari segi kekuatan dan pengaruh?

 

 Jawapan:

 

Bagi menjawab persoalan-persoalan di atas, kami meneliti perkara-perkara berikut:

 

  1. Dari sudut serangan ini, laporan Al-Jazeera pada 10 Jun 2026 dan laporan CNN Arabic pada 6 Jun 2026 memberikan gambaran yang memberikan konotasi realiti yang sedang dihadapi oleh Rusia, khususnya apabila Ukraine menyerangnya ketika forum ekonomi sedang berlangsung di bandar kedua terpenting Rusia itu. Malah, serangan tersebut bukan sahaja berlaku pada penghujung forum, tetapi juga pada hari pembukaannya:

“Pasukan Ukraine mengebom St. Petersburg, Rusia, pada hari terakhir forum ekonomi antarabangsa yang diadakan di bandar itu… Pada hari pertama forum ekonomi antarabangsa Rusia, iaitu pada hari Rabu, kepulan asap membumbung ke langit di atas bandar lama tersebut selepas sebuah kilang penapisan minyak diserang. Para tetamu yang tiba untuk menghadiri acara itu pula disambut dengan kepulan asap hitam yang kelihatan di latar belakang…” (Asy-Syarq al-Awsat, 6 Jun 2026)

 

  1. Serangan berskala besar dan kuat seperti ini, yang menyasarkan kemudahan serta bandar-bandar utama jauh di pedalaman Rusia dan bukan sekadar kawasan sempadan dengan Ukraine, di samping berlaku serentak dengan acara penting Rusia, iaitu Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg yang turut dihadiri oleh Presiden Putin sendiri, merupakan satu cabaran besar kepada Rusia.

 

Pada peringkat awal perang, Ukraine menahan diri daripada melancarkan sebarang serangan melangkaui sempadannya dengan Rusia. Namun selepas itu, Ukraine mula menyerang kawasan sempadan dan secara beransur-ansur mara lebih jauh ke dalam wilayah Rusia, sehingga berjaya sampai ke Kremlin dan menyerang sebuah lapangan terbang jauh di pedalaman Siberia. Serangan tersebut memusnahkan pesawat strategik Rusia yang dikenali sebagai “Angsa Putih”, salah satu tonggak utama triad nuklear Rusia.

 

Selepas itu, serangan mereka tidak berhenti menyasarkan bandar-bandar Rusia yang dekat dan jauh. Kini mereka menyerang Moscow, ibu kota, dan St. Petersburg, sebuah bandar yang sangat penting bagi Rusia, yang merupakan ibu kota Rusia pada akhir era Tsar dan permulaan era sosialis. Dan Ukraine melakukan serangan itu semasa acara antarabangsa yang sangat penting untuk Rusia, sebuah forum yang meniru forum “Davos” sebagai isyarat kepentingan Rusia di pentas antarabangsa, termasuk aspek ekonomi. Bagi Rusia, acara ekonomi antarabangsa ini merupakan internalisasi rasa kebesaran Rusia. Begitulah pandangan Rusia. Ia bermaksud, serangan pertama Ukraine pada awal forum, serangan kedua pada akhir forum, dan serangan yang menyusul, semuanya mencerminkan kemusnahan rasa kebesaran Rusia seolah-olah sebuah kuasa besar, baik Amerika mahupun Eropah, berdiri di belakang Ukraine, serangan ini ingin memberitahu Rusia bahawa anda adalah negara yang kerdil dalam ekonomi dan anda tidak dapat melindungi bandar yang menjadi tuan rumah acara yang membangkitkan rasa kebesaran dalam diri anda.

 

  1. Benar bahawa Rusia menyerang Ukraine. “Rusia mengebom ibu negara Ukraine dan kawasan sekitarnya dengan ratusan dron dan peluru berpandu pada hari minggu, termasuk pelancaran peluru berpandu hipersonik Oreshnik berhampiran Kyiv, dalam salah satu serangan paling sengit yang pernah dialami bandar itu sejak perang meletus lebih empat tahun lalu” (Reuters, 24 Mei 2026). Dengan makna bahawa kedua-dua negara saling menyerang, dan serangan terbaru Ukraine adalah sebahagian daripada serangan bersama itu… Walau bagaimanapun, realiti serangan bersama ini menunjukkan bahawa Rusia telah jatuh dari statusnya sebagai negara besar yang digeruni oleh negara-negara seperti Ukraine! Dahulu Rusia menyelimuti dirinya dengan aura prestij yang mencegah Ukraine menyerangnya. Bahkan, pada permulaan perang, Ukraine menahan diri daripada menyerang semenanjung Crimea, yang dianeksasi (diambil alih) Rusia pada tahun 2014, kerana takut akan tindakan balas yang sangat keras daripada Rusia.

 

  1. Kemudian, prestij Rusia ini mulai runtuh sedikit demi sedikit sepanjang bulan-bulan perang sehingga prestij itu benar-benar terhakisdan jalan pun terbuka bagi serangan-serangan Ukraine ke bahagian paling dalam Rusia, simbol-simbolnya yang paling suci, bandar-bandarnya yang paling mewah, dan pada saat-saat yang paling sensitif bagi Rusia. Mungkin, pendalaman terhadap pernyataan dan sikap Rusia yang bertepatan dengan dua serangan ini, atau sebelum dan selepasnya, menunjukkan tahap kelemahan Rusia yang mendalam. Walaupun Rusia tidak syak lagi menyedari bahawa Ukraine menyerang Rusia dengan sokongan Amerika, ia masih berusaha untuk mendekati Amerika. Dan kenyataan Putin menunjukkan hal itu:

 

  1. “Presiden Vladimir Putin semalam menyatakan rasa hormatnya kepada Presiden AS Donald Trump dan usahanya untuk mencadangkan penyelesaian di Ukraine. Dia memuji sikap Trump terhadap Volodymyr Zelenskyy. Berkenaan usaha penyelesaian ini, Timbalan Presiden Rusia Yuri Ushakov baru-baru ini mengumumkan bahawa dia sedang berhubung dengan rakan sejawatnya dari Amerika, Steve Witkoff, dan menantu Trump, Jared Kushner, dan bahawa lawatan mereka ke Rusia sedang dipersiapkan” (RT, 6 Jun 2026).

 

Putin menjelaskan bahawa Rusia “bersedia dan ingin mencapai persetujuan dengan Ukraine melalui cara damai, terutamanya berdasarkan apa yang kami bincangkan dalam pertemuan kami dengan Presiden Trump di Anchorage.” Presiden Rusia mengisyaratkan bahawa semasa rundingan di Anchorage, kepada Rusia dikemukakan isu-isu berkaitan dengan kemungkinan negara tersebut memberikan konsesi tertentu. Dia menekankan, “Berkenaan penyelesaian yang kami bincangkan di Anchorage, Rusia bersetuju dengannya.” Putin menambah, “Adalah sangat penting bahawa pihak Ukraine bersetuju dengan penyelesaian ini. Kemudian konflik itu akan cepat mencapai kesimpulan semula jadinya” (RT, 4 Jun 2026).

 

  1. Semua ini menggambarkan sejauh mana kemerosotan dan kelemahan Rusia dalam bidang ketenteraan, ekonomi dan politik, sebagai berikut:

 

  1. Dari perspektif ketenteraan, sejak pecahnya perang Ukraine pada tahun 2022, Rusia telah kehilangan puluhan jeneral tertingginya dalam operasi ketenteraan Ukraine yang berjaya. Tentera Rusia telah mengalami kerugian besar, terbukti dalam pertempuran sukar di sekitar bandar Bakhmut dan, sebelum ini, Mariupol, di mana tentera Ukraine berkubu di sebuah kilang keluli untuk tempoh yang lama. Sebelum ini, terdapat kegagalan dahsyat serangan Rusia ke atas Kyiv, kemunduran yang dialami oleh tentera Rusia, pengundurannya dari wilayah Ukraine, dan keputusannya untuk menumpukan perhatian di timur Ukraine. Rusia juga kehilangan 40% kapal Armada Laut Hitamnya dan kemusnahan beberapa pesawat strategik “Angsa Putih” di kota-kota yang berjarak ribuan kilometer dari sempadan Ukraine, dan banyak kerugian lainnya.. Kemunduran ini, kerugian-kerugian itu, dan ketidakmampuan untuk mencapai kemenangan yang muktamad, semuanya telah menegaskan realiti baru di pentas antarabangsa bahawa tentera Rusia tidak mencerminkan kekuatan kuasa besar. Mereka tidak dapat menang di Ukraine. Presiden AS Trump menyerang perkara ini apabila dia berkata bahawa perang, yang sepatutnya tamat dalam masa dua minggu, telah berlarutan selama empat tahun tanpa kemenangan. Oleh kerana itu, perang Ukraine telah mengungkapkan hakikat (kebenaran) yang belum kelihatan sebelum perang ini, iaitu kelemahan tentera Rusia, atau setidaknya bahawa tentera ini tidak sebanding kekuatannya dengan negara kuasa besar, tetapi lebih dekat dengan kuasa ketenteraan pertengahan seperti tentera India atau Pakistan. Namun, Rusia kekal sebagai kuasa nuklear utama, dan kuasa nuklear ini tidak pernah diuji secara ketenteraan. Selama perang, Presiden Ukraine Zelensky menyatakan bahawa kuasa nuklear Rusia mengalami masalah teknikal yang besar, yang menimbulkan keraguan besar tentang kesahihan kuasa nuklear Rusia, walaupun ia merupakan tonggak terakhir kehebatan antarabangsa Rusia.

 

  1. Dari segi ekonomi, mustahil bagi sesebuah negara untuk menjadi kuasa besar jika ia lemah dari segi ekonomi. Dan inilah situasi Rusia sekarang. Walaupun wilayahnya luas dan sumber pertanian, minyak, bahan mentah, dan nadir bumi yang banyak, jumlah output ekonominya hanya mencapai $2.5 trilion pada kemuncaknya, turun naik antara tempat kelapan dan kesepuluh di peringkat antarabangsa. Angka ini sangat jauh dari China dan Amerika Syarikat, yang output ekonominya masing-masing menghampiri $20 dan $30 trilion, dan secara ekonomi Rusia didahului oleh banyak negara lain seperti Jerman, Jepun, India, United Kingdom, dan Perancis, dan kadangkala Itali dan Kanada dalam beberapa tahun. Ekonomi Rusia hampir secara asasnya bergantung pada sumber tenaga dan eksport bahan mentah. Dunia hampir tidak mengetahui komoditi ekonomi tertentu yang terkenal dengan Rusia, kecuali senjata. Ketika aliran kewangan Eropah terputus disebabkan perang di Ukraine, sekatan yang dikenakan ke atas minyak dan gas Rusia, dan pengeboman saluran paip Nord Stream menyebabkan ekonomi Rusia berada dalam kesukaran. Rusia cuba keluar daripada keadaan ini dengan beralih kepada China. Namun, sekatan AS dan ketakutan China untuk terjejas olehnya memaksa Rusia menjual minyaknya pada harga rendah untuk menarik pembeli di China, India dan negara-negara lain. Setelah empat tahun peperangan, penghijrahan ramai golongan intelektual Rusia ke luar negara, serta penumpuan ekonomi kepada sektor pembuatan ketenteraan bagi memenuhi keperluan medan perang di Ukraine, keadaan ekonomi Rusia menjadi semakin sukar.

 

  1. Adapun aspek politik, setelah perang di Ukraine pada tahun 2022, Rusia dikenakan pengasingan politik yang ketara, sekali gus menciptakan penghalang besar antara Rusia dan banyak negara di dunia, terutamanya negara-negara Barat, yang menghambat pergerakan Rusia. Rusia juga kehilangan banyak hubungan antarabangsanya. Ketika meletus perang AS dan entiti Yahudi terhadap Iran, Rusia tidak menawarkan apa pun yang berharga kepada Iran. Mungkin sokongan paling signifikan yang diberikannya adalah ungkapan takziah secara terbuka atas kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei. Walaupun Iran membekalkan Rusia dengan dron Shahed sepanjang perang Ukraine, namun tidak kelihatan bahawa Rusia menawarkan sesuatu untuk memperkuatkan ketahanan Iran terhadap serangan besar-besaran AS dan entiti Yahudi. Dari sisi politik, jika Iran memiliki kemampuan untuk bergerak secara bebas daripada orbit Amerika, orientasinya tidak akan ke sisi Rusia disebabkan kelemahan politik Rusia. Seandainya Rusia memiliki visi politik yang setanding dengan negara besar, sudah tentu Rusia akan tampil membantu Iran dan menyokong tindakan menenggelamkan kapal-kapal Amerika sebagai balasan terhadap bantuan Amerika kepada Ukraine dalam menenggelamkan kapal-kapal Armada Laut Hitam Rusia. Dan pastinya Rusia akan memperoleh pengaruh yang besar di Iran. Namun, kegagalan Rusia bertindak sedemikian menegaskan kelemahan politiknya dan bahawa politiknya ini hanya setanding dengan tahap negara-negara kuasa pertengahan, dan tidak layak bagi negara yang melancarkan perang di Ukraine untuk memperbaiki kedudukan antarabangsanya!

 

  1. Ringkasnya, mesin-mesin kebesaran Rusia telah mulai runtuh, dan telah memasuki fasa awal dalam kemunduran.Serangan-serangan Ukraine, yang didorong oleh negara-negara Barat pada umumnya, dan diterajui oleh Amerika Syarikat, berlaku pada masa yang kritikal bagi Rusia, bertepatan dengan penganjuran Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg. Serangan-serangan ini didahului oleh kelemahan tentera Rusia dan tenggelamnya kapal-kapal perangnya, yang merupakan sumber kebanggaan bagi rakyat Rusia, seperti kapal penjelajah besar “Moskva”, kapal pemimpin Armada Laut Hitam. Selain itu, kemusnahan beberapa pesawat “Angsa Putih” menghancurkan tonggak kekuatan udara Rusia. Dan serangan paling akhir terhadap bandar yang menjadi tuan rumah forum antarabangsa tersebut. Semua itu mengingatkan rakyat Rusia bahawa rasa kebesaran mereka tidak sesuai dengan kelemahan ekonomi mereka. Bahkan Rusia menjadi tuan rumah acara antarabangsa yang bahkan tidak dapat mereka lindung. Lebih jauh lagi, hubungan antarabangsanya mengalami kemunduran dan goyah, kecuali hubungannya dengan Belarus. Bahkan usaha Rusia untuk menjalinkan hubungan dengan China serta apa yang disebut pakatan Rusia-China telah gagal. China tidak membantu Rusia ketika negara itu memerlukannya, walaupun ada perjanjian strategik di antara keduanya dan pakatan mereka dalam BRICS, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (Shanghai Cooperation), dan lainnya. Semua ini merupakan pakatan yang telah terbukti sebagai pakatan yang hanya bersifat simbolik dan tidak memadai untuk menghidupkan kembali kebesaran Rusia setelah kemunduran dan kemerosotannya.

 

Penutup, walaupun Rusia telah mendahului negara-negara Barat, terutamanya Amerika, dalam hal kelemahan dan kegoyahan, namun semua negara kafir penjajah mengusung kegagalan mereka sendiri. Hal ini akan kelihatan jelas ketika berdirinya al-Khilafah ar-Rasyidah, dengan izin Allah, ketika itu al-Khilafah akan mengulangi kisah kejatuhan Cyrus dari Parsi dan Maharaja Rom di hadapan kekuatan Daulah Islam, al-Khilafah yang mengikuti manhaj kenabian. Negara-negara tersebut, walaupun mampu bangkit semula selepas kejatuhan daulah al-Khilafah sebelum ini, namun negara-negara itu akan runtuh kembali ketika berdirinya al-Khilafah yang telah dijanjikan kepada kita oleh Allah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa:

 

﴿وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ﴾

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang Berkuasa.” [TMQ an-Nur (24): 55]

 

Dan telah disampaikan khabar gembira oleh Rasulullah SAW yang jujur ​​dan terpercaya, bahawa ia akan kembali setelah pemerintahan zalim yang kita jalani. Imam Ahmad telah meriwayatkan daripada Hudzaifah RA, Rasulullah SAW bersabda:

 

«…ثُمَّ تَكُونُ مُلْكاً جَبْرِيَّةً فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا، ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ ثُمَّ سَكَتَ»

“… kemudian akan ada kekuasaan yang zalim dan akan tetap ada sesuai kehendak Allah. Kemudian Dia akan mengangkatnya jika Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Khilafah yang mengikuti manhaj kenabian”, kemudian baginda diam”.

 

Dan ini pasti akan terjadi dengan izin Allah.

﴿وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ﴾

“Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [TMQ Yusuf (12): 21]

 

#global #Rusia #Ukraine #Perang

 

 

Exit mobile version