Site icon MuslimahHTM News

Krisis Remaja adalah Krisis Worldview

Ummu Fadilah: Krisis Remaja adalah Krisis Worldview

 

Oleh: Aliya Ab Aziz

 

Ustazah Ummu Fadilah berkomentar bahawa remaja Muslim sedang mengalami krisis moral, identiti dan agama kerana tidak mempunyai cara pandang (worldview) kehidupan yang berpijak pada Islam.

 

“Yang paling utama dan paling mendasar sebenarnya adalah krisis worldview atau cara pandang. Dalam melihat kehidupan hari ini, masih ramai golongan muda yang belum memahaminya, khususnya apabila dikaitkan dengan Islam,” jawabnya dalam segmen wawancara Muslimah Tea Break bertajuk Krisis Remaja Muslim Hari Ini: Antara Agama, Identiti & Dunia Moden, di Facebook Muslimah HTM pada Ahad (14/6/2026).

 

Menurut beliau, krisis itu berlaku apabila remaja Muslim lebih banyak dikelilingi nilai materialistik dan budaya asing berbanding nilai Islam.

 

Katanya, “Hari ini, kalau kita lihat, nilai-nilai yang masuk ke generasi umat Islam itu majoritinya bukan dari Islam. Ada budaya materialistik yang itu bukan daripada Islam. Ada budaya asing, pemikiran, pemahaman dan undang-undang yang bukan daripada Islam,” katanya.

 

Tambahan lagi menurutnya, krisis keluarga turut memperparah keadaan remaja hari ini apabila sebahagian ibu bapa Muslim belum memahami cara menanamkan akidah, ibadah dan akhlak sejak kecil, manakala tekanan ekonomi menyebabkan mereka kekurangan masa untuk membimbing anak-anak.

 

“Keluarga-keluarga Muslim secara agama tertulis Muslim, tetapi ayah dan ibu belum tentu memahami bagaimana mengajarkan nilai-nilai akidah, ibadah dan akhlak dari kecil,” ujarnya.

 

Sambungnya lagi, “Ibu bapa juga semakin sibuk, lebih-lebih lagi pada hari ini apabila krisis ekonomi amat dirasai. Sehinggakan, demi memenuhi keperluan hidup, semua automatik mesti bekerja, dan anak akhirnya dibiarkan terabai,” tambahnya.

 

Seterusnya, beliau mengungkapkan bahawa fenomena ini bukan hanya berlaku di Indonesia atau Malaysia, tetapi turut melibatkan remaja di negara-negara dunia Islam.

 

“Bukan hanya di kita, di Melayu, tapi di dunia Islam, negeri Arab pun remajanya terkena dengan krisis. Ini menunjukkan bahawa ia adalah fakta global dan itu disebabkan oleh budaya atau nilai kapitalistik yang juga bersifat global,” tegasnya.

 

Menurut Ustazah Ummu Fadilah, pemahaman separa terhadap Islam menjadi rintangan bagi remaja yang berhasrat menjadi good Muslim.

 

Beliau menjelaskan, “Yang Islam hanya dikaitkan dengan perkara menutup aurat dan solat sahaja. Sementara itu, dalam soal bagaimana mereka berpakaian, bagaimana mereka bergaul dan bagaimana mereka berkomunikasi dengan orang lain, mereka tidak memahaminya dengan peraturan Islam.”

 

Oleh sebab kefahaman Islam yang tidak utuh, menurutnya, berlakulah percanggahan antara identiti Muslim dengan trend semasa.

 

“Niatnya baik untuk menutup aurat, tetapi kemudian mereka mengikuti gaya yang belum tentu model pakaiannya sesuai dengan syariah,” katanya.

 

Beliau seterusnya memberikan contoh, “Ada pacaran (couple) dalam tanda petik, `Islami’. Mereka tidak berpegangan tangan, tetapi tetap berdua-duaan, keluar pada waktu malam dan sebagainya, kerana mengikut trend yang sedemikian.”

 

Selain itu, beliau juga tidak menafikan bahawa media sosial menjadi faktor yang memparahkan dan mempercepatkan lagi krisis ini tanpa batas.

 

“Kemudahan mereka mengakses teknologi untuk mendapatkan maklumat dari pelbagai pelosok dunia berlaku tanpa sebarang sekatan. Sama ada dari negara Eropah mahupun negara yang membawa ideologi komunis, liberal dan lain-lain, itu (semua) tidak ada saringannya,” komennya.

 

Lebih-lebih lagi menurutnya, apabila golongan remaja menjadikan media sosial sebagai sumber rujukan utama ketika institusi keluarga sendiri sedang berdepan dengan krisis.

 

Beliau menegaskan, “Keluarga sendiri juga sedang krisis. Jadi akhirnya, anak-anak ini yang menjadi panduannya adalah media sosial. Itulah yang memburukkan, menambah berat krisis dan mempercepatkan kesannya.”

 

Menurut Ustazah Ummu Fadilah, tanggungjawab menangani pengaruh budaya yang merosakkan tidak boleh dibebankan kepada keluarga semata-mata.

 

“Lagi-lagi yang disalahkan adalah ibu bapa, dibebankan kepada ibu bapa. Sepatutnya, apabila diketahui bahawa pengaruh nilai dan budaya yang ditonton itu merosakkan, pihak yang bertanggungjawab terhadap generasi rakyat, sepatutnya memberikan perlindungan,” katanya.

 

Beliau turut mengaitkan kelemahan kawalan itu dengan kepentingan ekonomi industri hiburan.

 

“Idola-idola, pertandingan ini dan itu, penjualan pelbagai barangan, malah konsert-konsert dan sebagainya, itu semuakan menjadi industri, malah mungkin menguntungkan bagi pihak pemerintah,” hurainya.

 

Katanya lagi, generasi muda perlu dibimbing untuk memahami bahawa menjadi Muslim merupakan identiti yang bernilai dan mempunyai tujuan kehidupan yang melampaui kepentingan material.

 

“Menjadi seorang Muslim itu, jika kalian benar-benar mengerti dan memahaminya, memang sangat hebat!” katanya sambil memberikan contoh bentuk komunikasi dengan golongan remaja.

 

Beliau turut memperingatkan bahawa generasi muda pada zaman Rasulullah SAW terlebih dahulu dibentuk dengan keyakinan kepada Allah dan agama.

 

“Yang awal sekali dibentuk adalah keyakinan terhadap Allah, keyakinan terhadap agamanya,” jelasnya.

 

Oleh itu, menurutnya, remaja tidak seharusnya menjadikan keperluan material dan hawa nafsu sebagai fokus utama kehidupan.

 

“Bukan hanya sekadar memperhatikan keperluan perut, keperluan nafsu, tapi diajarkan oleh Rasulullah bahawa kehidupan dunia ini hanya sementara. Gunakan saja itu secukup mungkin, tapi kemudian hendaklah fokus ke akhirat,” tegasnya.

 

Beliau turut memberikan tips yang perlu diketengahkan kepada remaja muslim. Pertama, ibu bapa dan pendidik perlu berulang kali memperkenalkan kisah pemuda Muslim yang beriman, berjuang dan tetap mampu menjalani kehidupan dunia.

 

“Kita bersabar, terus mengulang-ulang tentang kisah-kisah, contoh-contoh para pemuda Muslim yang hebat-hebat, yang menjadi pejuang,” ujarnya.

 

Sambungnya, “Yang kedua, kurangkan ego ketika kita berkomunikasi dengan anak-anak di zaman sekarang. Jangan terus melarang ini dan itu tanpa mereka dapat memahami kenapa hal itu dilarang.”

 

Sebagai penutup, beliau menegaskan bahawa sebelum membimbing anak-anak, ibu bapa terlebih dahulu hendaklah memahami panduan Islam berkaitan institusi kekeluargaan.

 

“Ibu bapa terlebih dahulu mesti memahami Islam, bagaimana panduannya dalam rumah tangga, bagaimana hubungan dengan suami, bagaimana hubungan dengan anak-anak, serta apakah peraturan-peraturan yang perlu diamalkan di dalam rumah,” simpulnya. []

Exit mobile version