S.O.S DI TAHUN BARU
Oleh : Nurul Ilmi
Saban tahun, fajar tahun baharu Hijrah menyinsing membawa bersama keberkatan bulan Muharam, iaitu sebuah fasa utama untuk kita memperbaharui azam dan berhijrah kepada kehidupan yang lebih diredhai-Nya. Amalan sunat seperti puasa Tasu’a dan ‘Asyura hadir sebagai medium terbaik untuk kita membersihkan diri daripada dosa lalu. Momentum ini sepatutnya menjadi batu lonjakan untuk kita terus memacu kehidupan dengan tekad menjadi hamba-Nya yang lebih baik di samping memanfaatkan setiap nikmat yang dianugerahkan. Namun, satu muhasabah penting yang perlu kita renungkan bersama; adakah keazaman baharu ini mampu bertahan lama, atau kita akan tewas di tengah-tengah perjuangan?
Bahaya Sesat
Kehidupan boleh diumpamakan seperti perjalanan meredah hutan. Kadang-kadang kita perlu mendaki, kadang-kadang kita perlu menurun. Setiap pendaki akan terdedah kepada ehsan alam. Ketika pertanda alam mengelirukan, kita mungkin tersesat jalan. Dalam sekelip mata, kesenangan yang dicari berubah menjadi keperitan malah kecederaan. Ketika sesat, tindakan terbaik adalah memohon pertolongan Allah SWT, Penguasa alam semesta.
Begitulah juga kehidupan yang sedang kita jalani pada hari ini. Kehidupan dalam sistem kapitalisme hari ini telah ‘menyesatkan’ ramai orang. Golongan miskin berada di bawah ehsan golongan kaya kerana golongan kaya berkuasa mencorakkan ekonomi, sosial sehinggalah politik di sesebuah negara. Si miskin terpaksa mengikut rentak ekonomi semasa agar ‘berjaya’ seperti si kaya. Ledakan skim pinjaman mikro dan paylater mengheret masyarakat ke dalam perangkap hutang. Bahagia yang dikejar berbalik menjadi kepayahan. Di peringkat negara, ada pemerintah yang hanya ikut telunjuk agensi kewangan antarabangsa bagi mengatur ekonomi negaranya, misalnya menghapuskan subsidi, penswastaan besar-besaran dan juga memberikan hak istimewa kepada korporat asing demi kemasukan pelaburan ke dalam negara. Dalam prinsip neoliberal, negara hanya pemudahcara, sehingga rakyat tidak punya sesiapa untuk berkongsi bebanan hidup yang kian menyesakkan. Di Malaysia, 70% isi rumah masih berjuang memenuhi keperluan asas. Situasi ini semua menyimpang daripada peraturan Allah SWT, dan pasti mengundang kemurkaanNya. Persoalan seterusnya, mengapakah kita tidak mengambil petunjuk daripada wahyu yang diturunkan oleh Pencipta yang Maha Tahu dalam mengatur kehidupan hari ini?
Cerah ataupun Mendung di Hadapan?
Konflik di selat Hormuz tempoh hari telah mengancam bekalan bahan api sehingga membawa kepada krisis tenaga, petrokimia dan makanan. Secara amnya, krisis ekonomi akan mengundang krisis sosial malahan berpotensi menjadi krisis politik global yang berpanjangan. Sesetengah pihak menafikannya dengan alasan mall masih sesak dan café masih rancak. Tempat pelancongan juga masih sibuk dan tiket konsert tetap sold out. Kajian MTEN mendapati penggunaan petrol meningkat ketika kerajaan mengurangkan kuota subsidi dan menerapkan polisi bekerja daripada rumah. Hakikatnya dinamika ekonomi tidaklah sesederhana itu. Ramai tidak sedar bahawa yang berlaku adalah lipstick effect, yang kerap menyertai krisis besar termasuklah Great Depression dan pasca-Covid19. Keadaan ini bermaksud dalam suasana krisis, ada pengguna mengejar kemewahan kecil (affordable luxuries) dengan secawan kopi yang nilainya sama dengan kos makan sehari. Sebahagian pengguna sering menganggapnya sebagai healing, atau self rewards. Dengan erti kata lain, pengguna terdorong membeli produk tersebut kerana motif emosional kerana secawan kopi menjadi alternatif untuk menenangkan hati dan fikiran. Hakikatnya, bentuk healing ini sebenarnya diluar kemampuan rata-rata masyarakat di negara ini.
Jalan Keluar
Kelemahan sistem ekonomi sekarang berkait rapat dengan tatanan politik antarabangsa dan manuver negara kuasa besar seperti AS. Apabila Muslim berpecah di banyak negara dengan kapasiti sumber yang terhad, memang sukar membentuk kekuatan yang berdaulat sehingga mampu menerapkan syariat Islam yang mulia dan membawa keberkatan.
Pendaki yang tersesat biasanya melakukan kesilapan akibat kekurangan ilmu, kurang perancangan, berjalan sendirian, dan mudah leka. Selari dengan itu, untuk keluar daripada masalah, umat Islam mesti menggali ilmu-ilmu Islam secara mendalam dan menyeluruh, kemudian membuat perancangan agar Islam diterapkan secara keseluruhan dalam negara, berjuang secara kolektif dan tidak mudah leka dengan urusan keduniaan yang remeh-temeh.
Sekarang ialah masanya untuk mengemas cara hidup sebagai hamba Allah, membuang segala alasan untuk melanggar peraturanNya, dan bersungguh-sungguh mengejar kejayaan dunia akhirat. Jadikan hijrah Rasulullah SAW sebagai inspirasi untuk memulakan perubahan walau sekecil-kecil perubahan, asalkan diniatkan untuk keredhaan Allah SWT dan kebaikan umat seperti meluangkan masa setiap hari untuk tadabbur al-Quran, membiasakan nasihat-menasihati, mendengar perkongsian ilmu dan sebagainya. “Dan sesiapa mentaati Allah dan rasulNya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan” [TMQ al Ahzab (33): 71]
#MuhasabahAwalMuharram

