Pengemban Dakwah Perlu Mempunyai Kesedaran Geopolitik
Oleh: Aliya Ab Aziz
Pengarah Institut Muslimah Negarawan (IMuNe), Dr Fika Komara, menegaskan bahawa pengemban dakwah perlu mempunyai kesedaran ruang dan geopolitik agar mampu menghasilkan serta mengawal naratif Islam untuk disampaikan kepada generasi muda dan media.
“Inilah sebenarnya poinnya, mengapa pada awal tadi saya membuka (perbincangan) dengan kesedaran ruang dan kesedaran geopolitik yang menjadi semakin penting dalam kalangan pengemban dakwah. Apabila kita mampu memainkan peranan, kita boleh feeding the narrative, menghasilkan naratif dan mengawal naratif untuk disampaikan kepada anak-anak kita, generasi muda serta media,” ungkapnya dalam pembentangan bertajuk Sejarah Undang-Undang Maritim Islam dan Kesedaran Geopolitik Pengemban Dakwah di Putrajaya pada Sabtu (4 Julai 2026).
Menurutnya, sejarah undang-undang laut dan kedudukan Melaka sebagai pusat maritim merupakan warisan penting yang dapat membangkitkan kebanggaan umat Islam di Tanah Melayu.
“Sekarang, apabila berbicara tentang maritime, golongan muda sering bercakap tentang pride. Kebanggaan mereka, kebanggaan kita sebagai kaum Muslimin di Tanah Melayu. Hal ini kerana dahulu wilayah Melaka juga meliputi hingga ke Sumatera. Dan Melaka ini memang luar biasa sejarahnya,” jelasnya.
Beliau menyambung, “Sebenarnya, kita boleh mengolah perkara ini menjadi satu naratif yang membangkitkan kebanggaan umat Islam di Malaysia terhadap warisan Islam dalam perdagangan maritim.”
Menurutnya, sejarah undang-undang maritim Islam dapat ditelusuri kepada Piagam Ayla yang dimeterai pada zaman Rasulullah SAW dalam konteks Perang Tabuk pada tahun 9 Hijrah. Piagam tersebut memberikan jaminan keselamatan kepada pemerintah Ayla dan kapal-kapalnya yang melintasi wilayah berkenaan.
“Piagam Ayla ini merupakan embrio kepada kelahiran diplomasi dan undang-undang laut Islam. Kebebasan bergerak, freedom of navigation, dilindungi oleh Rasulullah,” jelasnya.
Beliau seterusnya menerangkan bahawa fikah maritim Islam mengenali konsep bidang kuasa luar wilayah atau extraterritoriality.
“Ini merupakan inovasi undang-undang extraterritoriality. Kedaulatan di atas kapal dianggap sebagai lanjutan kedaulatan negara,” katanya.
Menurutnya, konsep tersebut turut tercermin dalam Undang-Undang Laut Melaka menerusi penetapan peranan nakhoda dan malim di atas kapal.
“Dalam Undang-Undang Laut Melaka digambarkan sebuah kapal yang mempunyai nakhoda dan malim. Kapal itu dianggap sebagai lanjutan tangan pemerintahan Islam, seperti yang saya sebutkan tadi. Malim pula berperanan sebagai hakim,” terangnya.
Berdasarkan beberapa dokumen yang dibacanya, Dr Fika berkata Undang-Undang Laut Melaka memperlihatkan kemajuan perundangan maritim Islam. Undang-undang itu bukan sahaja mengatur perdagangan dan struktur kuasa di atas kapal, malah merangkumi kesalahan jenayah serta pelaksanaan ibadah tertentu.
“Aspek jenayah dalam Undang-Undang Laut Melaka itu sudah sangat maju. Terdapat peruntukan mengenai pembunuhan, hukuman bagi kesalahan mencuri dan zina, sehinggalah kepada pengaturan pelaksanaan solat Jumaat di atas kapal atau di pelabuhan-pelabuhan, kerana ya ada syarat jumlah minimalnya,” ceritanya.
Beliau menyifatkan warisan Undang-Undang Laut Melaka itu sebagai bukti kecanggihan jurisprudens maritim Islam.
Seterusnya, Dr Fika membezakan fikah maritim Islam dengan undang-undang laut antarabangsa moden. Menurutnya, hukum Islam bukan sahaja mengatur perdagangan dan sempadan laut, malah turut merangkumi hukum berkaitan pertahanan dan peperangan.
“Islam mempunyai kemampuan dan kapasiti untuk menentukan bila perdagangan diatur dan bila jihad diatur,” katanya.
Jelasnya lagi, “Sebenarnya, apabila kita berbicara tentang perdagangan, fikah syiar Islam mengatur hukum ketenteraan, jihad dan perdagangan secara bersamaan.”
Sebaliknya, menurut beliau, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut atau UNCLOS lebih tertumpu kepada zon laut dan sempadan maritim, tetapi tidak mengatur peraturan terkait peperangan.
“UNCLOS hanya mengatur zon-zon laut dan sempadannya, tetapi tidak mengatur soal peperangan,” ungkapnya.
Seterusnya, beliau menghubungkan kelemahan tersebut isu kontemporari mengenai Selat Hormuz.
“Amerika Syarikat memanfaatkan kekaburan dalam undang-undang peperangan laut untuk menjerut ekonomi Iran tanpa mencetuskan pengisytiharan perang. Ketika Iran menyekat Selat Hormuz, pakar-pakar undang-undang laut berdebat, ‘Bolehkah?’ (tindakan itu dilakukan?). UNCLOS sendiri tidak mengatur soal peperangan,” jelasnya.
Beliau turut mengetengahkan sistem ribat di pesisir Mediterranean sebagai contoh bagaimana pemerintahan Islam membangunkan sistem pertahanan laut yang turut menyokong kegiatan ekonomi dan perdagangan.
Dr Fika menjelaskan, “Di Mediterranean, komandan ribat yang bertugas di stesen pesisir diwajibkan memberikan suaka kepada kapal-kapal dagang, termasuk kapal dari Barat. Kapal dagang yang ditimpa musibah atau diserang lanun akan dibantu oleh komandan ribat.”
Beliau menyimpulkan bahawa ketetapan tersebut mencerminkan bagaimana hukum Islam mengutamakan nilai kemanusiaan mengatasi batasan wilayah.
Seterusnya, beliau menghuraikan kepentingan strategik Selat Melaka dalam konteks postur pertahanan Amerika Syarikat di rantau Indo-Pasifik.
Menurutnya, daripada sembilan negara bersenjata nuklear dunia, lapan berada dalam lingkungan strategik yang diliputi Komando Indo-Pasifik Amerika Syarikat. Keadaan itu, katanya, menunjukkan betapa pentingnya Selat Melaka dalam percaturan geopolitik dan kepentingan kuasa-kuasa besar.
“Hari ini, Selat Melaka bukan sahaja menjadi arena perdagangan, tetapi juga dikelilingi oleh negara-negara bersenjata nuklear (negara kuasa besar). Itulah hakikat pada hari ini,” tegasnya.
Oleh itu, beliau menekankan pentingnya umat Islam mempunyai kesedaran ruang dan memahami konsep ribat, termasuk keupayaan umat Islam terdahulu mengatur serta menggabungkan kekuatan ketenteraan dan masyarakat awam dalam mempertahankan kawasan pesisir.
Dr Fika berkata, sejarah tidak sepatutnya sekadar diketahui sebagai fakta masa lalu. Sebaliknya, sejarah perlu dihubungkan dengan geografi dan keadaan semasa agar umat Islam memahami kepentingan tanah, laut serta ruang kehidupan mereka.
“Jika kita tidak mempunyai kesedaran ruang, sedangkan kita sebenarnya memiliki sejarah, kita akan kehilangan pride. Suara Islam juga akan semakin tidak kedengaran dalam isu-isu strategik,” ujarnya.
“Siapakah yang akan memperdengarkan suara ini kepada generasi muda Muslim? Ya, kitalah kaum ibu,” soalnya.
Beliau turut menekankan bahawa pengemban dakwah perlu membina gambaran yang jelas tentang penerapan Islam pada masa lalu dan menghubungkannya dengan keadaan geopolitik masa kini. Pendekatan itu penting agar sejarah Islam dapat diterjemahkan menjadi naratif kebangkitan umat.
“Kita, para syabab, apabila mempunyai kesedaran geopolitik, perlu bersedia untuk menyandingkan, membandingkan, mengimaginasikan dan menarasikan,” tegasnya. []
#KesedaranGeopolitik #GeopolitikUmat #AyuhUmatBangkit #Dakwah #IslamPolitik

